2/10/2009 07:03:00 PG

Dakwah, Ta'alim dan Tarbiah.



Dakwah, Ta'alim dan Tarbiah.


Tiga perkataan yang nampaknya sama, tetapi hakikatnya berbeza. Namun ketiga-tiganya memainkan peranan yang besar dalam merobah wajah masyarakat, dari wajah kegelapan zulumat jahiliah kepada wajah nur keimanan. Dengan ketiga-tiga usaha inilah menjadi syarat untuk menyedarkan, menyalurkan ilmu dan membimbing masyarakat untuk tunduk dan patuh kepada hukum syariat yang telah di wahyukan oleh Allah kepada Rasul Nya dan dipertanggungjawabkan ke atas setiap muslim.

Untuk menyelesaikan permasalahan serta menyeru yang maaruf dan mencegah kemungkaran, bukan semata-mata dengan dakwah dan ta'alim. Sebaliknya gandingan ketiga-tiga usaha ini; dakwah, ta'alim dan tarbiah. Dakwah untuk mencetus kesedaran beragama. Setelah kesedaran beragama diperolehi, pemberian ilmu (ta'alim) dilaksanakan. Seterusnya tarbiah iaitu membimbing untuk beramal dengan ilmu yang telah diperolehi.


Dakwah semata-mata hanyalah suatu seruan. Tujuan berdakwah adalah untuk mencetus kesedaran dalam hati masyarakat tentang perkara yang berhubungkait dengan iman dan Islam. Kalau nak insaf atau tidak insaf, terpulanglah. Yang memberi petunjuk adalah Allah. Sebab itu da'ie tidak boleh bernoktah di peringkat dakwah semata. Beri kuliah dan ceramah. Selepas kuliah dan ceramah, target dakwah buat maksiat semula. Para pendakwah akan berkata "Hidayah dan taufiq hak Allah, kita hanya menyampaikan sahaja". Inilah antara ciri-ciri da'ie yang dayus. Da'ie yang sebegini, berdakwah bukan untuk mendidik masyarakat mentaati Allah dan Rasul. Sebaliknya adalah untuk dirinya digelar sebagai da'ie. Mereka sudah berpuas hati dengan usaha dakwah mereka yang hanya berteori dan bersifat jumud. Jumud kerana mempersempitkan ruang lingkup perjuangan hanya dengan berdakwah, tanpa menitik beratkan ta'alim dan tarbiah. Mereka sangka, dengan hanya melafazkan beberapa ucapan yang lahir dari pemikiran mereka yang jumud, sudah tertunailah tanggungjawab mereka dan merasakan diri mereka sudah menyempurnakan beban perjuangan serta merasa selamat di dunia dan di akhirat. Maka si pejuang yang jumud ini akan mendabik dadanya sambil berkata "Inilah manhaj Rasulullah yang sebenar, selain dari cara yang telah aku tunjukkan bukan manhaj Rasulullah dan adalah salah". Inilah da'ie yang ghurur. Tertipu dengan usahanya semata-mata kejumudan yang dianuti. Semuanya berlaku kerana ketiadaan ilmu. Cakap tidak serupa bikin.


Da'ie yang sejati, tidak akan bernoktah di peringkat dakwah semata-mata. Perjuangannya lebih global , walaupun mulutnya tidak melafazkan caranya global. Tidak seperti pejuang yang jumud. Pejuang yang jumud mencanangkan kepada dunia bahawa perjuangannyalah paling global sedangkan gerakannya amat terbatas. Seterbatasnya pemikirannya yang jumud yang hanya nampak, perjuangan ini hanya berkisar dalam memberi kuliah dan berceramah kepada pendengar yang ramai. Si jumud tidak berusaha untuk berta'alim dan mentarbiah. Bagi si jumud, "Hidayah dan taufiq hak Allah, kita hanya menyampaikan sahaja. Ini saja kemampuan kita". Persoalannya ; "Apakah usaha dan ikhtiar si jumud memadai ?" Jangan sampai ingin menyembunyikan kejumudan diri sendiri, maka pejuang sanggup menukar aqidah kepada golongan Qadariah yang berserah bulat kepada Allah SWT semata tanpa sebarang usaha dan ikhtiar. Inilah fahaman yang sesat lagi menyesatkan.


Berlainan dengan da'ie yang sejati. Dirinya akan berusaha berdakwah agar kesedaran beragama tercetus di dalam hati masyarakat. Agar masyarakat sedar bahawa kejadiannya di muka bumi ini adalah untuk menjadi hamba Allah dan bukannya hamba kepada makhluk ciptaan Allah. Agar masyarakat sedar bahawa peranan mereka sebagai khalifah Allah SWT adalah untuk menegakkan hukum-hakam Allah di muka bumi. Walaupun usaha tidak memberi bekas, dan yang hanyasanya memberi bekas adalah Allah SWT, usaha dan ikhtiar itu wajib. Inilah pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Berdasarkan aqidah dan keyakinan inilah, si pejuang sejati akan berusaha dalam seruan dakwahnya membentuk seramai mungkin masyarakat untuk sedar kepada matlamat hidup mereka di muka bumi ini. Setelah kesedaran tercetus, perlulah disusuli dengan ta'alim.


Ta'alim adalah usaha mengajar dan mencurahkan ilmu kepada target dakwah. Orang yang jahil dan fasik, setelah menerima kesedaran hasil usaha dakwah, perlulah dibekalkan diri mereka dengan ilmu. Di sini peranan ta'alim. Andainya orang yang telah sedar hasil usaha dakwah tidak dibekalkan dengan ilmu, bagaimana mereka ingin beramal dan beribadah kepada Allah ? Bagaimana mereka ingin kenal Allah dan Rasul Nya jika mereka tidak mempunyai ilmu ? Bagaimana mereka ingin membezakan antara yang halal dan yang haram ? Setiap sesuatu perlu sandaran ilmu. Dengan ilmu, maka kebenaran dan kemungkaran dapat dipisahkan. Dengan ilmu, maka jalan menuju akhirat dapat dicari. Ilmu yang wajib disampaikan ialah ilmu Fardhu Ain yang di dalamnya terkandung tiga juzuk ilmu iaitu ilmu Tauhid, ilmu Feqah dan ilmu Tasawwuf. Dan penyampaian ilmu juga perlu disusun rapi agar mempermudahkan masyarakat memahami, menghayati dan mengamalkannya. Sebagaimana tersusunnya ilmu tauhid, yang mengajar umat untuk mengenal Allah, kemudian mengenal Rasul & Nabi, kemudian mengenal Malaikat, kemudian mengenal kitab, kemudian mengenal akhirat kemudian mengenal Qada' & Qadar. Begitu juga ilmu Tauhid yang bermula dengan bab Thaharah, Solat, Puasa, Zakat dan seterusnya. Bukan main ceduk atau tangkap muat. Setelah ilmu dicurahkan, maka perlulah masyarakat ditarbiah untuk beramal dengan ilmu yang telah diperolehi.


Tarbiah ialah didikan atau bimbingan. Mendidik dan membimbing masyarakat untuk beramal dengan ilmu yang telah disalurkan kepada mereka. Sebagaimana fatanahnya baginda Rasulullah SAW mentarbiah para sahabat untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah demi membantu para sahabat beramal dengan ilmu yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Di Madinah, banyak ayat-ayat hukum diwahyukan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Inilah petanda bahawa Madinah dijadikan tempat untuk memantapkan ilmu, pentarbiahan dalam beramal, justeru lahirlah masyarakat Islam yang lengkap dengan tempat ibadah khusus, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Tetapi kaum Yahudi, melihat penghijrahan Rasulullah SAW dan para sahabat dari Mekah dan Madinah sebagai suatu tindakan dayus. Kononnya Muhammad sudah berputus asa dengan usaha dakwahnya di Mekah, maka Muhammad menjadi pelarian di Madinah. Pandangan Yahudi terhadap Rasulullah SAW, saling tak tumpah dengan pandangan pejuang yang jumud. Pejuang yang jumud yang berhati busuk bak bangkai himar, melihat penghijrahan dari suatu daerah ke daerah yang lain bagi tujuan tarbiah adalah salah dan haram. Ini adalah kerana si pejuang jumud yang berhati busuk hanya melihat perjuangan ini hanya sekadar berkuliah dan berceramah. Tidak pernah melihat dari sudut ta'alim dan tarbiah. Tidak hairan daerah gelanggang perjuangan si jumud masih di takuk lama dengan akhlak yang suka keji mengeji, masih lazat dengan maksiat dan masih bertopengkan agama. Di mana globalnya minda si jumud ? Siapa sebenarnya ingin diikut oleh si jumud ? Rasulullahkah atau Yahudikah ?

Tarbiah bukanlah sesuatu yang semudah usaha dalam berdakwah atau berta'alim. Andainya pejuang sudah merasakan kesukaran dalam usaha berdakwah, maka usaha mentarbiah akan menjanjikan lebih banyak kesukaran. Seandainya dalam usaha dakwah, pejuang sudah menjadikan jumud sebagai pegangan, pastinya dia tidak akan mampu mentarbiah masyarakat kerana diri sendiri pun si pejuang tidak mampu tarbiah, mana mungkin mahu mentarbiah orang lain. Sebab itu sering kita temui, si jumud memperalatkan orang lain untuk berhadapan dengan orang yang dia iri hati. Dia tidak berani berdepan bersemuka. Kerana dia tahu andainya dia bersemuka dan berdepan, akan terserlah kejumudannya dan kepalsuan yang diperjuangkannya.



0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails