4/16/2009 10:26:00 PTG

Syurga atau Neraka?


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anh bahawa Rasulullah Sallallahu alayh Wasallam bersabda:

Pada zaman Bani Israel dahulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap yang berbeza. Lelaki yang pertama suka berbuat dosa sementara yang kedua rahin beribadah. Setiap kali orang yang ahli ibadah itu melihat temannya berbuat dosa, ia menyarankan untuk rakannya berhenti daripada perbuatan dosanya.

Dosamu tidak akan diampuni!

Suatu hari ahli ibadah itu berkata lagi, "Berhentilah daripada berbuat dosa." Dia menjawab, "Jangan pedulikan aku, terserah Allah akan menilai perbuatan aku. Adakah engkau diutus Allah untuk mengawasi aku?"
Ahli ibadah itu pun membalas, "Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni oleh-Nya atau kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah."

Kamu lebih tahu?

Kemudian setelah kedua-dua orang itu mati, Allah Subhanahu Wa Taala telah menghakimi kedua-duanya. Allah menyoal ahli ibadah tersebut, "Adakah engkau lebih mengetahui daripada-Ku? Atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang telah berada dalam kekuasaan-Ku." Kemudian kepada ahli maksiat Allah berfirman, "Masuklah kamu ke dalam syurga berkat rahmat-Ku." Sementara kepada ahli ibadah dikatakan, "Masukkan orang ini ke dalam neraka!" 1


Pengajaran Hadith

Kisah yang diriwayatkan melalu hadith ini menunjukkan betapa syurga atau neraka bukan milik kita untuk menentukannya tetapi merupakan hak Allah Subhanahu Wa Taala. Allah berhak memberikan syurga kepada sesiapa yang dikehendaki berkat rahmat-Nya yang Maha Luas dan sebaliknya. Memang menjadi tugas kita sebagai khalifah Allah di bumi untuk melaksanakan tuntutan amar makruf nahi mungkar sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:


"Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar, dan kamu beriman kepada Allah...."

[Ali Imran : 110]


Kita ialah daie (pendakwah) bukan penghukum, itulah prinsip yang mesti dipegang oleh setiap orang Muslim. Oleh itu janganlah kita mudah berputus asa jika orang yang kita nasihat tidak mengendahkan nasihat yang kita beri. Apa yang lebih penting ialah kita yakin apa yang kita buat mendapat ganjaran pahala dari Allah, InsyaAllah. Allah tidak menilai hasil dakwah kita tetapi usaha dakwah yang kita lakukan semata-mata mendapat keredhaan-Nya.


Wallahu 'Alam


-Ibnu Abas-


1 Hadith Sahih riwayat Ahmad dan Abu Daud

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails