5/25/2009 05:20:00 PTG

Dahulukan Akhlak

Sepanjang kita melaksanakan ibadah, perasan kah kita bahawa setiap ibadah itu berkait rapat dengan akhlak? Ramai di kalangan kita yang gagal mengaitkan ibadah dengan pembinaan akhlak. Sebab itu lah kita dapat lihat ramai juga di kalangan umat Islam yang cukup ibadahnya kepada Allah, tetapi gagal melahirkan akhlak yang mulia seperti Rasulullah Sallallahu alayhi wasallam. Perkara ini sangat mendukacitakan kerana kesannya bukan sahaja terhadap individu itu malah terhadap agama Islam itu sendiri.

Maka lahirlah ucapan yang kurang enak didengar seperti ini;

"Alah dia tu tudung labuh pun mulut boleh tahan jahat! Baik tak payah pakai tudung"

"Eleh harap je kuat sembahyang, tapi mencarut no 1!"

Fitnah seperti di atas harus kita cuba elakkan seboleh mungkin. Kita tidak mahu kerana kelemahan diri kita, maka Islam yang tercemar.

Perkara ini telah banyak kali dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam firman-Nya. Antaranya:

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ‌ۗ
sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar
[al-Ankabut: 45]


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
[al-Baqarah: 183]


فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلۡحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلۡحَجِّ‌ۗ
Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji.
[al-Baqarah: 197]


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَـٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِى يُنفِقُ مَالَهُ ۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat
[al-Baqarah: 264]


Jadi sama-sama lah kita muhasabah diri kita, adakah ibadah yang kita lakukan selama ini menambahkan kualiti akhlak kita? Mungkin sukar untuk berubah baik secara total. Tapi persoalan yang kritikal untuk dijawab ialah ADAKAH SEBARANG PERUBAHAN @ PENINGKATAN? Tepuk dada tanya iman kita.

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails