7/13/2009 10:37:00 PTG

Ciri ciri Paradigma Akhlak

Madzhabuna shawab yahtamilu al-khatha
Mazhab kami benar, tetapi mengandungi kekeliruan

Wa madzhabu ghyarina khatha yahtamilu al-shawab
Dan mazhab selain kami keliru, tetapi mengandungi kebenaran
-Ibn Hajar al-Haitami

Kata-kata Ibn Hajar ini terkenal di kalangan ulama' dan sering ditemui di dalam kitab-kitab fiqh. Apa yang cuba disampaikan oleh Ibn Hajar ialah bahawa pendapat seseorang imam itu benar baginya dengan kemungkinan salah. Dalam erti kata lain pendapat yang diyakini sebagai benar itu, memiliki peluang untuk benar; juga pendapat yang dikatakan salah itu memiliki peluang untuk benar. Ini lah salah satu ciri golongan yang berparadigma akhlak. Walaupun berbeza pendapat, akan tetapi hak orang lain untuk mengungkapkan pendapatnya dijunjung tinggi. Malah sebenarnya perbezaan pendapat itu akan membawa kepada proses memperkaya ilmu pengetahuan dan membawa kita lebih dekat dengan kebenaran.

Imam Ghazali pernah menyatakan, sebelum kita berhak mengkritik, kita harus berupaya memahami pendapat yang akan kita kritik itu seperti pemahaman penganutnya. Bahkan pendapat yang kelihatan bertentangan dengan pendapat kita, selalu mempunyai peluang kebenaran yang bisa kita pungut.

Pada dasarnya, makhluk yang bernama manusia ini boleh diajak berinteraksi secara baik dan suasana yang harmoni, asalkan kita bersedia untuk memberi hujah-hujah dan mendengar hujah-hujah mereka dengan baik. Tidak mustahil, barangkali perbezaan pendapat yang wujud disebabkan kurangnya dialog yang produktif dan silaturrahim yang tulus di antara kedua pihak.

Diriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah pernah berkata, "Apa yang menjadi pegangan kami ini hanyalah pendapat. Kami tidak akan memaksa seseorang pun untuk mengikutinya. Kami tidak berkata: Wajib orang menerimanya dengan terpaksa. Jika ia punya pendapat yang lebih baik, berikan lah kepada kami" (Al-Khatib, Tarikh al-Baghdadi 13:352)

Ini lah contoh paradigma akhlak yang ditunjukkan oleh para fuqaha dan para imam mazhab. Semoga kita dapat mencontohi sifat mulia yang ada pada tokoh-tokoh ini.

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails