11/13/2009 07:00:00 PG

FIS Algeria:Teladan Bagi Parti Islam Seluruh Dunia


“Mereka kata, kita tak join PAS sebab PAS lemah tarbiah, jadi kami berukhuwah dan di tarbiah dalam jemaah kami ini yang menekan aspek-aspek itu,walaupun PAS menang, Islam belum tentu dapat ditegakkan di Malaysia, dan kalau menang, mungkin PAS akan tumbang seperti parti Islam di Algeria”

Di atas adalah kata-kata seorang pelajar junior di Kaherah, pada masa itu kami sempat berbual pendek di sebuah majlis Perubatan. Dia sempat bercerita kepada saya tentang keterlibatannya dengan satu ‘jemaah’ barunya yang berpendirian atau memilih untuk tidak bersama PAS dalam memperjuangkan Islam di Malaysia sama ada politik atau tarbiah.

Hujahnya kelemahan PAS

Setahun kemudian, saya jumpa lagi dengannya dalam satu majlis.

“Saya dah keluar! Saya dah tahu siapa mereka” luah dia kepada saya.

Saya hanya mampu tersenyum, saya tahu, budak sebijak dia tidak semudah itu untuk menjadi manusia yang direkrut yang memperkuatkan jemaah yang melemahkan gerakan Islam yang lain, pada masa yang sama memperkuatkan UMNO.

Kisah junior tahun 2 medik Kaherah itu sangat memberi kesan pada saya tentang Algeria, hujah ‘jemaah’ lama si junior dengan parti Islam di Algeria membuatkan saya tercari-cari fakta kebenaran, dan ternyata saya temui, parti Islam Algeria tidak seburuk yang digambarkan ‘jemaah’ itu.

Usianya pendek. Namun, akan dikenang sebagai sebuah gerakan Islam yang mampu diterima oleh rakyat. Kerana, ia konsisten dalam berjuang sebagai parti Islam. Perkembangan dan sejarahnya dimatikan oleh pemerintah.


Pada akhir 80-an dan awal 90-an, hampir semua gerakan Islam dunia mengenali FIS. FIS atau Front Islamic du Salut (Islamic Salvation Front) atau dalam bahasa Melayu ialah Barisan Penyelamat Islam adalah sebuah parti politik di Algeria berideologi Islam.


FIS emblem

Sehinggalah pada tahun 1988, di Algeria hanya ada satu parti politik iaitu FLN (National Liberation Front). Namun ketika meletus penentangan terhadap pemerintah dan FLN, presiden Algeria ketika itu, Chadli Bendjedid (sekali gus merangkap sebagai setiausaha Agong FLN), terpaksa mengizinkan berbagai perubahan baru.

Setahun kemudian, berdirilah FIS. FIS didirikan di atas kesedaran masyarakat Algeria yang beragama Islam. Bertahun-tahun masyarakat Muslim Algeria kecewa terhadap pemerintah yang berorientasikan sekular,serta negaranya tidak mengalami kemajuan. Selain itu, pemerintah Algeria pada ketika itu tidak mengakomodasikan kepentingan umat Islam.

Benjedid sendiri memerintah sejak tahun 1978, meneruskan kepemimpinan Boumedienne yang juga berideologi sekular. Boumedienne sendiri berkuasa kerana menggulingkan presiden Bella pada tahun 1962. Secara automatik, sejak tahun 1988 itu, muncul beberapa kumpulan pembangkang di Algeria. Namun begitu, hanya FIS yang berjaya menyerlah ke permukaan dan meraih simpati masyarakat.

Tetapi kenapa FIS dapat menyerlah? Ini kerana FIS konsisten berjuang dengan program-program dan asas Islam.

Masyarakat Algeria yang sudah lama hidup dalam belenggu dan suasana sekular, tidak disangka-sangka lebih memilih FIS. Walaupun majoriti rakyat beragama Islam, namun kehidupan dan budaya hidup masyarakat Algeria tidak jauh bezanya dengan masyarakat Perancis atau Eropah,dan kecenderungan mereka terhadap FIS adalah sangat menghairankan banyak pihak. Sekalipun hidup dalam hedonis, tapi untuk urusan pemerintahan, rakyat Algeria lebih percaya pada konsep Islam.

FIS menggunakan peluang keemasan dengan baik, iaitu dengan tidak tertarik akan ideal “berpura-pura” menjadi sekular, seperti menjadi parti terbuka atau nasionalis untuk menarik simpati masyarakat. Mereka tetap konsisten dengan nilai dan prinsip Islam, baik di dalam parti ataupun pendirian luar terhadap parti atau golongan serta pemerintah.

Pada pilihan raya 1991, setelah dua tahun berdirinya FIS, partai ini meraih 54% undi keseluruhan dan mendapat 188 kursi di parlimen atau menguasai 81% kerusi. Suatu pencapaian yang fantastik! Pada pilihan raya pusingan kedua, FIS diisytiharkan menang mutlak.

Pada undian putaran pertama 20 Jun 1991, FIS memenangi 54% undi dan mendapat 188 (81%) kursi di parlimen. Umat Islam Algeria menyambut gembira Kemenangan FIS.

Namun tidak dengan Benjedid. Presiden itu yang kemudian mengundurkan diri setelah kekalahan partinya segera berkonspirasi dengan pihak-pihak yang tidak ingin Islam tampil dan FIS berkuasa. Maka Benjedid pun menggalang kekuatan tentera. Tentera, dengan segala jenteranya dan tidak semena-mena, membubarkan parlimen Algeria serta membatalkan keputusan pilihan raya.

Mohammed Boudiaf, mewakili pihak tentera, segera mendirikan Dewan Tertinggi Negara, dan kemudian bertindak sebagai pemerintahan sementara, dengan tidak mempedulikan mana-mana undang, mengumumkan bahawa Algeria berada dalam keadaan darurat.

Boudiaf menjadi penguasa baru di Aljazair. Ia merencana pelbagai tindakan untuk mengharamkan FIS dan mengisytiharkannya sebagai parti politik haram. Ribuan anggota dan pendukung FIS ditangkap dan di humban ke dalam penjara, dan ada juga yang dibunuh. Pemimpin FIS Abassi Madani dan Ali Belhadj dipenjarakan. Tidak lama kemudian Boudiaf sendiri mati dibunuh oleh Leftenan Mohammed Bumaaraf yang berusia 26 tahun. Sejarah berulang lagi, Algeria tidak pernah lepas dari pemberontakan dan pembunuhan. Ini berbeza jika FIS memerintah, kerana walaupun memperjuangkan ideologi Islam, FIS tidak sekalipun merugikan kepentingan golongan lain.

Kini Algeria diperintah oleh Abdul Aziz Boetuflika yang juga sekular. FIS sudah tidak ada lagi di negara ini. Namun pelajaran besar dari FIS adalah jangan pernah menanggalkan prinsip perjuangan sebagai parti Islam walaupun di tengah masyarakat yang sekular.

Ini Kerana,walau bagaimana jahiliahnya umat Islam di sebuah negara, jauh di lubuk hatinya mereka menginginkan sebuah parti Islam yang benar-benar Islam. Bukan partai Islam 'palsu' dan dipimpin para penjenayah politik, yang bertindak-tanduk hampir tidak ada bezanya dengan parti sekular, yang menghalalkan segala cara untuk mendapatkan kekuasaan dan berkomplot dengan penguasa sekular.

Meskipun, akhirnya FIS dibubarkan oleh kuasa tentera Algeria, tapi itu jauh lebih terhormat daripada menjadi pak turut kepada kekuasaan sekular.

Artikel asal:http://hijaudamai. blogspot. com/

p/s: Boleh baca dengan lebih lanjut tentang FIS dalam buku karangan Ustaz Riduan Mohd Nor

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails