2/18/2010 01:20:00 PTG

Siapakah Aku?

Dahulu aku sering bertanya kepada diri sendiri. Siapakah aku?

Ia rentetan daripada pandangan ku terhadap dunia Islam yang semakin luas.

Di sini aku berjumpa orang yang bermanhaj khalaf (asyairah), di situ ku ketemu sahabat bermanhaj salaf (wahabi?), dan di sana aku berkawan dengan golongan tarekat.

Kemudian, dunia siber tanpa sempadan yang kononnya begitu luas menyebabkan aku rasa terhimpit dan tersepit dengan pelbagai maklumat dan pendapat. Tambah memeningkan apabila aku terjebak secara tidak sengaja dalam perdebatan furu' aqidah seperti persoalan 'Di Mana Allah?' dan sebagainya.

Sehingga suatu tahap yang kritikal aku hampir gila dan menangis sendirian disebabkan kekeliruan yang berpunca daripada lambakan pendapat yang saling bertentangan. (Ini bukan lawak) Aku terasa seolah-olah aku tak tahu agama yang aku anuti!

Lebih teruk lagi apabila hati aku mula merasakan putus asa untuk memahami agama. Agama terlalu susah untuk difahami! Sedangkan Islam itu sepatutnya mudah, dan Nabi menyuruh kita mempermudahkan orang memahaminya. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Masing-masing mendakwa mereka lah yang paling benar sehingga akhirnya orang yang mencari agama seperti aku yang menjadi mangsanya!



Alhamdulillah apabila Allah buka jalan untuk aku lebih memahami agama ini. Aku dipilih Allah untuk meneruskan pengajian dalam SM Perbankan Islam. Antara subjek yang paling memberi kesan kepadaku ialah Usul Fiqh. Pandangan dan pengetahuanku tentang Islam semakin luas. Islam tidak terbatas kepada sesuatu mazhab Fiqh atau Aqidah. Ilmu Islam terlalu luas merentasi mazhab. (bukan aku kata jangan bermazhab)

Kesimpulan dan pengajaran yang mahu aku kongsikan, jangan ada perasaan taksub terhadap sesuatu mazhab ataupun aliran. Tak kira kita berpegang kepada pembahagian Tauhid 3 (rububiyah,uluhiyah, dan asma wa sifat) mahupun Sifat 20, sama ada kita bermazhab Syafie, Hanafi, Maliki atau Hanbali, semua itu hanya jalan dan kaedah untuk memahami syariah Allah dan mengabdikan diri kepada-Nya. Jangan jadikan mazhab sebagai agama. Dan jangan pula kita anti kepada mazhab.

Aqidah yang diajarkan Nabi Sallallah alayhi wasallam terasnya ialah 'La ila ha illallah' yakni Tiada Tuhan melainkan Allah. Beriman dengan Allah tanpa mensyirikkannya dengan menyamatarakan-Nya dan menyekutukan-Nya dengan sesuatu. Hanya Allah yang layak menjadi Ilah kita. Janganlah kita merumitkan dan memeningkan kepada dengan persoalan yang tidak diwajibkan Nabi untuk kita memikirkannya.

Dalam masalah ibadat, beramal lah dengan amalan yang paling mendekati cara Nabi Sallallah alayhi wasallam berdasarkan nas-nas yang kuat dan sohih. Adapun amalan yang dhaif hujahnya, elakkan seboleh mungkin. Jangan bermusuh dan memandang hina orang yang berpegang pendapat yang berbeza dengan kita. Kita boleh berkhilaf dalam fiqh namun jangan sampai berkhilaf dalam akhlak. Dahulukan akhlak dalam berkhilaf.

Fitnah di akhir zaman terlalu banyak. Jangan kita terjebak dengan perdebatan dan permusuhan yang tidak membawa manfaat. Setiap tuduhan hendaklah kita teliti dan kaji. Jangan mudah menerima sesuatu perkhabaran hanya kerana yang menuduh datang daripada 'puak' kita dan tertuduh adalah musuh kita. Setiap pendapat boleh ditolak dan diterima melainkan yang sabit datang daripada Nabi Sallallah alayhi wasallam

Kini, aku telah mengetahui SIAPAKAH AKU?

Aku lah MUSLIM.... tiada label yang lebih tinggi daripada label ini untuk aku banggakan!

 

Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci (Al-Quran) dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong) [al-Kahf: 1]

Subhanallah, Alhamdulillah, Allah Akbar!

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails