3/29/2010 06:57:00 PTG

Cukupkah Sekadar Ikhlas di dalam Berdakwah?

Tidak dinafikan ikhlas kerana Allah Ta'ala di dalam setiap amalan merupakan syarat diterima amalan seseorang. Namun cukupkah sekadar ikhlas?

As-Syahid Imam Hasan al-Banna di dalam Usul 20 meletakkan fahmu (faham) sebagai usul yang pertama sebelum ikhlas.

Ini adalah kerana hanya melalui kefahaman yang tulen dan sumber syariat yang sahih kita mampu menjalankan misi dan kewajipan dakwah yang diredhai dan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Kerana itulah Ibnu Qayyim mengatakan bahawa nikmat yang paling besar selepas nikmat Islam dan Iman ialah kefahaman yang sahih.

Al-Imam as-syahid telah menjelaskan  usul ini dan menerangkannya kepada setiap orang yang mempunyai kefahaman dalam banyak risalahnya. Beliau berkata dalam risalah muktamar kelima di bawah tajuk: "Islam Ikhwan Muslimin": 
"Wahai saudara, izinkan saya menggunakan ungkapan ini. Saya tidak bermaksud bahawa Islam Ikhwan Muslimin adalah Islam yang baru, yang bukan dibawa oleh Muhammad saw dari Tuhannya. Saya maksudkan bahawa kebanyakan umat Islam di kebanyakan zaman telah mencabut sifat-sifat, ciri-ciri dan batas-batas dari Islam mengikut kemahuan masing-masing. Mereka mempergunakan keanjalan dan keluasannya secara buruk. Sedangkan keanjalan dan keluasan itu adalah mempunyai hikmat yang tinggi. Mereka bertelingkah hebat dalam memahami makna Islam dan menanamkan gambaran Islam yang bermacam-macam di dalam jiwa anak-anak mereka, samada ianya hampir, jauh atau bertepatan  dengan Islam pertama yang dibawa oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya.
Di antara manusia ada yang memandang bahawa Islam hanya terbatas pada ibadat-ibadat zahir sahaja. Jika dia menunaikannya atau melihat ada orang melaksanakannya, beliau berpuashati dan mengira bahawa dia telah sampai ke puncak Islam. Inilah makna yang difahami secara meluas di kalangan umat Islam. 

Hasil daripada usaha untuk mendapatkan 'al-fahmu' ini lah yang menyebabkan seseorang Muslim itu sedar bahawa kewajipan mendapatkan ilmu yang diperlukan untuk terjun ke alam dakwah perlu diutamakan.

Sebagai mahasiswa dan juga daie maka sudah tentu kewajipan dakwah dan jihad menuntut ilmu perlu diselaraskan. Dakwah dan pelajaran, kedua-duanya perlu diletakkan pada tangga pertama. 

Maka di sini perlunya kita memahami dan membedah kitab karangan para ulama bagi mendapatkan kefahaman yang sohih dan jelas, antaranya kitab Fiqh Awlawiyyat karangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam usaha memahami tingkat keutamaan amalan @ tugas kaum muslimin dari perspektif al-Quran dan Sunnah.



Disebabkan kegagalan memahami fiqh Awlawiyyat ini lah kita melihat begitu banyak kecelaruan di kalangan umat Islam.

Aku pernah menegur seorang hamba Allah, di mana dia membaca satu hadith yang ganjil dan tidak pernah ku dengari sebelum ini. Ketika aku bertanya, "di manakah engkau memperolehi hadith ini?"

Dia sekadar menjawab, "Wallahu Alam"

Nah! Inikah dakwah? Barangkali ikhlas tapi culas dan sambil lewa dalam meriwayatkan sesuatu hadith. Bukankah Rasulullah SAW sudah memberi amaran kepada kita semua?

"Barangsiapa berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah ia menempatkan tempat duduknya di neraka." [riwayat Jama'ah dari Abu Hurairah - hadith ini menurut Imam Nawawi diriwayatkan oleh 200 orang sahabat]

Aku juga pernah berdebat dengan seorang hamba Allah yang tidak peduli soal sahih atau tidak hadith yang dibawanya. Baginya, asalkan ia membawa mesej yang baik, apa salahnya?

Fahaman ini tidak boleh kita terima sama sekali. Hadith maudhu' (palsu) atau dhaif jiddan (sangat lemah) sama sekali tidak wajar disebar di kalangan umat Islam kerana kemudaratannya lebih besar daripada manfaatnya walaupun atas niat yang ikhlas. Tidak pula Nabi memberi kebenaran untuk berdusta dan mereka-reka hadith palsu demi mengajak orang untuk beribadat. Malah sudah cukup dengan hadith yang sahih untuk kita beramal dan berpegang kepadanya.

Malah fenomena 'forward' emel di kalangan kita hari ini begitu banyak dan adakala diterima dan disebarkan tanpa meneliti kesahihan sumbernya.

Asalkan dilihat baik atau Islamik, semuanya disebarkan tanpa memikirkan risiko menebarkan fitnah dan pendustaan terhadap Rasulullah dan Islam itu sendiri!

Begitu juga dalam soal ibadat khusus seperti solat, puasa dan lain-lainnya. Ramai di kalangan kaum muslimin yang ikhlas dalam beribadat tapi tidak berusaha untuk memperbaiki dan menambah ilmu tentang ibadat yang mereka lakukan. Sehinggakan mereka melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya dan membatalkan ibadat mereka. Malah ada yang menambah-nambah yakni melakukan bid'ah di dalam amalan mereka dengan gaya atau kaifiat ibadat yang tidak pernah ditunjukkan dan diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Malah sebahagiannya lebih rajin membawa kitab fadhail amal yang terdapat banyak hadith dhaif di dalamnya berbanding membaca kitab-kitab fiqh dan memperbaiki mutu amalan mereka agar menepati sunnah Nabi SAW.

Akibatnya mereka beribadat dan berdakwah di atas dasar semangat, bukannya di atas kefahaman dan ilmu yang sahih!

Apakah patut kita mengakui mencintai Nabi tapi mendustakannya?

Apakah patut kita mengakui mencintai Nabi tapi meninggal sunnah nya yang utama dan memperbesarkan sunnah jibiliyyah (pakaian dan sebagainya)

Apakah patut kita mengakui mencintai Nabi tetapi berjihad dengan sekadar dakwah dari masjid ke masjid dan meninggalkan dakwah terhadap pemerintah yang zalim?

Apakah patut kita mengakui mencintai Nabi tetapi hanya melaksanakan amar makruf dan meninggalkan tugas menegah kemungkaran?

Kesimpulannya, faham dan ikhlas merupakan dua syarat yang mesti diambil berat bagi memastikan ibadat kita dan dakwah yang dibawa diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Faham menghasilkan ibadat yang sahih dan mengutamakan tugas yang paling utama, manakala ikhlas pula menghasilkan ibadat yang dilakukan semata-mata kerana Allah dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu.

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

sumber bacaan:
Syarah Usul 20 - Dr 'Ali Abdul Halim Mahmud
Fiqh Keutamaan - Dr Yusuf al-Qaradhawi

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails