11/12/2009 08:35:00 PG

Harus mengumpat?


"Abg, mengumpat tu haram kan?" tanya salah seorang adik usrah ku.

"Memang lah, kenapa tanya?" aku membalas dengan satu pertanyaan semula.

"Tapi ana hairan lah, kalau macam tu kenapa kita boleh mengumpat pemimpin zalim, atau pun orang yang buat maksiat?" balasnya menjelaskan kekeliruan yang dialami.

Keharusan Mengumpat

Mengumpat adalah perbuatan yang haram. Namun dalam keadaaan darurat, hukum boleh berubah menjadi harus. Imam an-Nawawi di dalam al-Azkar dan Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin menyenaraikan enam keadaan di mana mengumpat diharuskan.

Semasa dizalimi

Imam an-Nawawi berkata,
"Mereka yang dizalimi boleh mengadu kepada sultan, kadi ataupun mereka yang mempunyai kekuasaan untuk menghilangkan kezaliman yang menimpa ke atas dirinya."

Menurut Imam Bukhari dan Imam Muslim, Nabi SAW bersabda,
"Sesungguhnya orang yang mempunyai hak (yakni yang dizalimi) mempunyai perkataan (berhak bersuara)."


Semasa meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran

Menceritakan kemungkaran yang dilakukan oleh individu lain dengan tujuan mendapatkan bantuan adalah diizinkan. Pada zaman khalifah Omar al-Khattab, suatu laporan dari Syria berhubung dengan seorang lelaki pembuat arak bernama Abu Jundul sampai kepada beliau. Khalifah Omar terus menulis surat menegur lelaki itu dan akhirnya Abu Jundul bertaubat dan berhenti daripada perbuatannya. Khalifah tidak menganggap laporan berkaitan dengan Abu Jundul itu sebagai umpatan.

Semasa meminta fatwa

Semasa meminta hukum atau fatwa, keaiban dan kelemahan orang lain boleh diceritakan supaya hukum dan fatwa diberikan tepat berdasarkan realiti yang berlaku. Pada zaman Rasulullah, Hindun binti Utbah bertanya kepada Rasulullah berhubung suaminya, Abu Sufyan, yang tidak memberikan nafkah yang mencukupi kepadanya. Nabi Muhammad SAW bersabda, "Ambillah sesuatu yang mencukupi bagi dirimu dan anakmu secara yang makruf". Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Perbuatan Hindun itu tidak dianggap umpatan oleh Nabi.

Semasa menyedarkan masyarakat berhubung dengan suatu kemungkaran

Masyarakat perlu disedarkan tentang bahaya dan kesesatan yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka juga perlu disedarkan tentang kezaliman dan kemungkaran yang melanda. Rasulullah pernah ditanya tentang kejahilan orang tertentu pada zaman baginda melalui sabda baginda yang bermaksud, "Aku tidak yakin si pulan dan si pulan mengetahui tentang agama sedikit pun." Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari ini, Nabi menceritakan keadaan dua orang munafik yang berpura-pura memeluk Islam supaya sahabat berwaspada.
Berhubung perkara ini, Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin berkata, "Apabila kamu melihat seorang alim sering mendatangi seorang pembuat bid'ah ataupun seorang yang fasiq dan kamu khuatir bid'ah itu menular kepadanya, kamu berhak menceritakan keaiban orang itu kepada si alim tadi. Sewajarnya yang menggerakkan kamu melakukannya adalah keinginan mencegah bid'ah dan kefasiqan dan bukan disebabkan faktor lain."
Demikian juga apabila berlaku penghinaan ke atas rakyat, penyalahgunaan kuasa dan hakisan terhadap hak rakyat secara terang dan nyata, syariat membenarkan pendedahan dilakukan pada masyarakat bertujuan melahirkan kewaspadaan dan akhirnya pencegahan. Imam Nawawi berkata, "(Antara perkara yang harus diumpat) adalah berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin ataupun berhubung dengan kefasiqan seseorang ataupun seumpamanya."

Umpatan bagi mereka yang menzahirkan maksiat

Omar al-Khattab pernah berkata, "Tidak ada kehormatan ke atas orang fajir." Imam al-Ghazali mentafsirkan kalimat fajir sebagai 'mereka yang melakukan kefasiqan secara terang-terangan tanpa berselindung.'
Imam Hasan al-Basri pula berkata, "Tiga golongan yang boleh diumpat iaitu mereka yang mengikut hawa nafsu, mereka yang melakukan kefasiqan secara terang-terangan dan imam (pemimpin) yang zalim."

Memberi gelaran pada individu lain sebagai pengenalan

Menghina individu lain denga gelaran-gelaran tertentu adalah dilarang. Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan atas sebab sebab pengenalan diri supaya hak individu tersalur baik. Sebagai contoh, apabila di dalam sebuah kawasan terdapat enam orang bernama Mustafa bin Ahmad, gelaran boleh diberikan pada setiap orang daripada mereka untuk memudahkan pengenalan individu tersebut.

Wallahu 'Alam


*sumber rujukan: Bahan Berdakwah untuk Remaja Moden , Dr. Danial Zainal Abidin.



0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails