2/28/2009 08:17:00 PG

Amar Makruf Nahi Munkar


Malam semalam kami nekad untuk buat rush keliling kampus. Tak tahan hendak biarkan maksiat berleluasa. Betul lah kata Ustaz Kamaruddin @ UKM, kita penat-penat "bina masjid", orang lain senang-lenang "runtuhkan". Beberapa orang muslimeen dan muslimat berpecah sebarkan artikel "Cara Menutup Aurat yang dituntut oleh Islam" dan "Pesanan buat Mereka yang Bercouple". Alhamdulillah, ada yang menerima dengan baik, tidak kurangnya ada yang memandang sinis malah ada juga yang berani perlekeh. Antara respon -ve yang aku terima ialah bila seorang siswi free hair tu kata: "cara I pakai tak salah kan?" sambil menunjukkan gaya ala-ala model (tak selera aku tengok sebab badan dia "debab"). Huh.. bukan hendak mengutuk tapi kasihan juga bila orang jahil tak tahu ukur saiz badan sendiri ni. Hehe.. Usaha yang aku buat ni kecik tapi harap-harap dapat meningkatkan imanku dan melepaskan diri dari disoal Allah kelak

"Apabila kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah kamu cegah dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu cegahlah dengan lisan, jika tidak mampu maka cegahlah dengan hati (membenci). Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman."
Hadis muttafaqun alaih

Wallahu 'Alam

Ibnu Abas



2/27/2009 11:06:00 PTG

Agama yang kian terhakis

Malam MITEK ni merupakan malam yang menyedihkan bagiku. Aku hanya mampu membenci, merasa sedih tapi tak mampu cegah kemungkaran yang berlaku di depan mata aku sendiri. Melihat dengan mata ku sendiri bagaimana bangsaku melucutkan agama sebagai cara hidup mereka. Mereka memperlaku agama Islam yang mulia ini umpama pakaian yang boleh ditukar ganti. Di masjid berpakaian Islam, di luar berpakaian Kristian. Melihat gelagat dan acara pada perasmian MITEK ini membuatkan aku teringat akan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Daripada Abu Sa’eed radhiyallaahu ‘anhu, sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Pasti benar kamu nanti akan mengikut tatacara orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan tatkala mereka itu masuk ke lubang biawak dhabb sekali pun, pasti kamu akan mengikut mereka”. Kami bertanya, “Ya Rasulullah, apakah (umat terdahulu) yang engkau maksudkan itu adalah Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab, “kalau bukan mereka, siapa lagi?” [Hadith riwayat al-Bukhari (3269) dan Muslim (2669)

Aku sesekali tidak akan redha dengan apa yang aku lihat pada malam ni. Kerana tidak tahan melihat kemungkaran yang berlaku, aku memilih untuk beruzlah malam ni. Timbul persoalan di kepala otak ku, siapakah yang harus bertanggungjawab ke atas semua ini? Terlalu berat untuk menjawab soalan ini. Aku rasa aku juga tidak dapat lari daripada disoal oleh Allah SWT kelak. Tapi apa yang harus aku lakukan untuk memastikan perkara ini tidak terus berulang? Apa yang aku fikirkan sekarang ialah bagaimana hendak melahirkan pemimpin pelajar yang berfikrah Islam di masa akan datang. Mungkin bukan pada zamanku, tetapi 2/3 tahun akan datang? Wallahua'lam..Sebab itulah aku akan teruskan juga apa yang mampu aku lakukan. Walaupun ilmuku cetek, biarlah ilmu yang sedikit ini dimanfaat sebaik mungkin. Aku akan terus BELAJAR untuk MENGAJAR...

Wallahu 'Alam

Ibnu Abas


2/21/2009 03:00:00 PTG

Ilmu



Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Menghadiri majlis ilmu itu lebih baik daripada solat 1000 rakaat, lebih baik daripada menziarah 1000 orang sakit, lebih baik daripada melihat 1000 mayat". Lalu sahabat pun bertanya: "Ya Rasulullah, adakah lebih baik daripada menbaca al-Quran?" Lalu Rasulullah menjawab: "Adakah al-Quran yang kamu baca itu memberi manfaat kepada kamu, sekiranya kamu membacanyanya tanpa ilmu?"

Daripada hadis di atas (yang aku sempat salin daripada ceramah yang aku dengar) menekankan bertapa pentingnya ilmu di dalam Islam. Jelas sekali menunjukkan, di dalam setiap amalan kita hendak dipastikan amalan itu dilakukan dengan ilmu yang sohih bukan secara takliq semata-mata tanpa cuba memahami. Sebab itu jangan hairan kalau hari ini kita lihat ramai di kalangan umat Islam yang kuat beribadah, tetapi ibadahnya batal lantaran kejahilan. Sayang bukan? Bagi aku sendiri, semakin banyak aku belajar, semakin aku rasa jahil. Kerana setiap kali mendapat ilmu baru, aku terasa begitu jahil. Semakin belajar semakin kehausan ilmu. Sukar untuk aku gambarkan betapa manisnya setiap kali aku mendengar ilmu yang tidak pernah aku tahu. Hatta dalam bab solat pun, semakin banyak kuliah aku dengar, semakin baca buku aku baca, semakin terasa keluasan ilmu Allah dan kesempitan ilmu yang ada padaku. Semoga Allah terus memberi aku ruang dan peluang untuk meneroka ilmuNya yang Maha Luas

Allah Knows Best...

Ibnu Abas

2/16/2009 11:02:00 PTG

Money



" "Money is NOT everything BUT almost everything needs money"

"It's not how much you earn, it's how much you spend and how much you save"

2/13/2009 12:22:00 PG

Hari Lahir + Test

Suatu kombinasi yang cukup cantik.. Huhu 13hb merupakan hari lahirku dan aku ada Test QMT.. Tak dapat nak menulis panjang.. Lepas test aku akan bertolak ke Melaka kemudian ke Kelantan.. Seronoknya hidup yang padat x) Satu pesanan ustaz ku "Jihad ialah mencari susah kerana Allah, siapa yang mahu mengelak susah, maka dia mengelak untuk berjihad"

Allah knows Best...

Ibnu Abas

2/10/2009 07:03:00 PG

Dakwah, Ta'alim dan Tarbiah.



Dakwah, Ta'alim dan Tarbiah.


Tiga perkataan yang nampaknya sama, tetapi hakikatnya berbeza. Namun ketiga-tiganya memainkan peranan yang besar dalam merobah wajah masyarakat, dari wajah kegelapan zulumat jahiliah kepada wajah nur keimanan. Dengan ketiga-tiga usaha inilah menjadi syarat untuk menyedarkan, menyalurkan ilmu dan membimbing masyarakat untuk tunduk dan patuh kepada hukum syariat yang telah di wahyukan oleh Allah kepada Rasul Nya dan dipertanggungjawabkan ke atas setiap muslim.

Untuk menyelesaikan permasalahan serta menyeru yang maaruf dan mencegah kemungkaran, bukan semata-mata dengan dakwah dan ta'alim. Sebaliknya gandingan ketiga-tiga usaha ini; dakwah, ta'alim dan tarbiah. Dakwah untuk mencetus kesedaran beragama. Setelah kesedaran beragama diperolehi, pemberian ilmu (ta'alim) dilaksanakan. Seterusnya tarbiah iaitu membimbing untuk beramal dengan ilmu yang telah diperolehi.


Dakwah semata-mata hanyalah suatu seruan. Tujuan berdakwah adalah untuk mencetus kesedaran dalam hati masyarakat tentang perkara yang berhubungkait dengan iman dan Islam. Kalau nak insaf atau tidak insaf, terpulanglah. Yang memberi petunjuk adalah Allah. Sebab itu da'ie tidak boleh bernoktah di peringkat dakwah semata. Beri kuliah dan ceramah. Selepas kuliah dan ceramah, target dakwah buat maksiat semula. Para pendakwah akan berkata "Hidayah dan taufiq hak Allah, kita hanya menyampaikan sahaja". Inilah antara ciri-ciri da'ie yang dayus. Da'ie yang sebegini, berdakwah bukan untuk mendidik masyarakat mentaati Allah dan Rasul. Sebaliknya adalah untuk dirinya digelar sebagai da'ie. Mereka sudah berpuas hati dengan usaha dakwah mereka yang hanya berteori dan bersifat jumud. Jumud kerana mempersempitkan ruang lingkup perjuangan hanya dengan berdakwah, tanpa menitik beratkan ta'alim dan tarbiah. Mereka sangka, dengan hanya melafazkan beberapa ucapan yang lahir dari pemikiran mereka yang jumud, sudah tertunailah tanggungjawab mereka dan merasakan diri mereka sudah menyempurnakan beban perjuangan serta merasa selamat di dunia dan di akhirat. Maka si pejuang yang jumud ini akan mendabik dadanya sambil berkata "Inilah manhaj Rasulullah yang sebenar, selain dari cara yang telah aku tunjukkan bukan manhaj Rasulullah dan adalah salah". Inilah da'ie yang ghurur. Tertipu dengan usahanya semata-mata kejumudan yang dianuti. Semuanya berlaku kerana ketiadaan ilmu. Cakap tidak serupa bikin.


Da'ie yang sejati, tidak akan bernoktah di peringkat dakwah semata-mata. Perjuangannya lebih global , walaupun mulutnya tidak melafazkan caranya global. Tidak seperti pejuang yang jumud. Pejuang yang jumud mencanangkan kepada dunia bahawa perjuangannyalah paling global sedangkan gerakannya amat terbatas. Seterbatasnya pemikirannya yang jumud yang hanya nampak, perjuangan ini hanya berkisar dalam memberi kuliah dan berceramah kepada pendengar yang ramai. Si jumud tidak berusaha untuk berta'alim dan mentarbiah. Bagi si jumud, "Hidayah dan taufiq hak Allah, kita hanya menyampaikan sahaja. Ini saja kemampuan kita". Persoalannya ; "Apakah usaha dan ikhtiar si jumud memadai ?" Jangan sampai ingin menyembunyikan kejumudan diri sendiri, maka pejuang sanggup menukar aqidah kepada golongan Qadariah yang berserah bulat kepada Allah SWT semata tanpa sebarang usaha dan ikhtiar. Inilah fahaman yang sesat lagi menyesatkan.


Berlainan dengan da'ie yang sejati. Dirinya akan berusaha berdakwah agar kesedaran beragama tercetus di dalam hati masyarakat. Agar masyarakat sedar bahawa kejadiannya di muka bumi ini adalah untuk menjadi hamba Allah dan bukannya hamba kepada makhluk ciptaan Allah. Agar masyarakat sedar bahawa peranan mereka sebagai khalifah Allah SWT adalah untuk menegakkan hukum-hakam Allah di muka bumi. Walaupun usaha tidak memberi bekas, dan yang hanyasanya memberi bekas adalah Allah SWT, usaha dan ikhtiar itu wajib. Inilah pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Berdasarkan aqidah dan keyakinan inilah, si pejuang sejati akan berusaha dalam seruan dakwahnya membentuk seramai mungkin masyarakat untuk sedar kepada matlamat hidup mereka di muka bumi ini. Setelah kesedaran tercetus, perlulah disusuli dengan ta'alim.


Ta'alim adalah usaha mengajar dan mencurahkan ilmu kepada target dakwah. Orang yang jahil dan fasik, setelah menerima kesedaran hasil usaha dakwah, perlulah dibekalkan diri mereka dengan ilmu. Di sini peranan ta'alim. Andainya orang yang telah sedar hasil usaha dakwah tidak dibekalkan dengan ilmu, bagaimana mereka ingin beramal dan beribadah kepada Allah ? Bagaimana mereka ingin kenal Allah dan Rasul Nya jika mereka tidak mempunyai ilmu ? Bagaimana mereka ingin membezakan antara yang halal dan yang haram ? Setiap sesuatu perlu sandaran ilmu. Dengan ilmu, maka kebenaran dan kemungkaran dapat dipisahkan. Dengan ilmu, maka jalan menuju akhirat dapat dicari. Ilmu yang wajib disampaikan ialah ilmu Fardhu Ain yang di dalamnya terkandung tiga juzuk ilmu iaitu ilmu Tauhid, ilmu Feqah dan ilmu Tasawwuf. Dan penyampaian ilmu juga perlu disusun rapi agar mempermudahkan masyarakat memahami, menghayati dan mengamalkannya. Sebagaimana tersusunnya ilmu tauhid, yang mengajar umat untuk mengenal Allah, kemudian mengenal Rasul & Nabi, kemudian mengenal Malaikat, kemudian mengenal kitab, kemudian mengenal akhirat kemudian mengenal Qada' & Qadar. Begitu juga ilmu Tauhid yang bermula dengan bab Thaharah, Solat, Puasa, Zakat dan seterusnya. Bukan main ceduk atau tangkap muat. Setelah ilmu dicurahkan, maka perlulah masyarakat ditarbiah untuk beramal dengan ilmu yang telah diperolehi.


Tarbiah ialah didikan atau bimbingan. Mendidik dan membimbing masyarakat untuk beramal dengan ilmu yang telah disalurkan kepada mereka. Sebagaimana fatanahnya baginda Rasulullah SAW mentarbiah para sahabat untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah demi membantu para sahabat beramal dengan ilmu yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Di Madinah, banyak ayat-ayat hukum diwahyukan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Inilah petanda bahawa Madinah dijadikan tempat untuk memantapkan ilmu, pentarbiahan dalam beramal, justeru lahirlah masyarakat Islam yang lengkap dengan tempat ibadah khusus, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Tetapi kaum Yahudi, melihat penghijrahan Rasulullah SAW dan para sahabat dari Mekah dan Madinah sebagai suatu tindakan dayus. Kononnya Muhammad sudah berputus asa dengan usaha dakwahnya di Mekah, maka Muhammad menjadi pelarian di Madinah. Pandangan Yahudi terhadap Rasulullah SAW, saling tak tumpah dengan pandangan pejuang yang jumud. Pejuang yang jumud yang berhati busuk bak bangkai himar, melihat penghijrahan dari suatu daerah ke daerah yang lain bagi tujuan tarbiah adalah salah dan haram. Ini adalah kerana si pejuang jumud yang berhati busuk hanya melihat perjuangan ini hanya sekadar berkuliah dan berceramah. Tidak pernah melihat dari sudut ta'alim dan tarbiah. Tidak hairan daerah gelanggang perjuangan si jumud masih di takuk lama dengan akhlak yang suka keji mengeji, masih lazat dengan maksiat dan masih bertopengkan agama. Di mana globalnya minda si jumud ? Siapa sebenarnya ingin diikut oleh si jumud ? Rasulullahkah atau Yahudikah ?

Tarbiah bukanlah sesuatu yang semudah usaha dalam berdakwah atau berta'alim. Andainya pejuang sudah merasakan kesukaran dalam usaha berdakwah, maka usaha mentarbiah akan menjanjikan lebih banyak kesukaran. Seandainya dalam usaha dakwah, pejuang sudah menjadikan jumud sebagai pegangan, pastinya dia tidak akan mampu mentarbiah masyarakat kerana diri sendiri pun si pejuang tidak mampu tarbiah, mana mungkin mahu mentarbiah orang lain. Sebab itu sering kita temui, si jumud memperalatkan orang lain untuk berhadapan dengan orang yang dia iri hati. Dia tidak berani berdepan bersemuka. Kerana dia tahu andainya dia bersemuka dan berdepan, akan terserlah kejumudannya dan kepalsuan yang diperjuangkannya.



2/09/2009 07:57:00 PG

Liku-liku kehidupan



Hari ini merupakan hari yang padat seperti biasa. Menyiapkan assignment, menyediakan bahan public speaking, membuat revision untuk test yang sudah dekat.. Alahai begitu kecil ujian masa yang Allah kurniakan kepadaku namun sudah cukup membuatkan aku rasa terbeban. Malam tadi salah seorang muslimat meluahkan perasaan kecewa kerana aku balik awal dari majlis MPKP. Katanya aku tidak memberi komitmen. Mungkin benar. Aku tidak menafikan, kerana aku memang tidak mampu memenuhi kehendak semua orang. Tetapi kenapa luahan sebegini diluahkan kepadaku yang tidak ada jawatan dalam persatuan? Bukan aku hendak berkira sangat bila buat kerja untuk Islam. Tetapi adakah konsep amal jamaie itu ialah buat kerja yang sama beramai-ramai? Mestikah disamaratakan semua tugas? Situasi dan kemampuan setiap individu adalah berlainan. Namun aku lebih gemar untuk menerima sahaja kritikan tersebut. Bagi aku ianya tidak melemahkan ku sebaliknya memberi aku ruang untuk muhasabah diri. Ternyata kerja ku untuk Islam terlalu sedikit.

Satu lagi sikap yang aku tidak gemar wujud di dalam organisasi ialah sikap mengadu tidak kena pada tempatnya. Kenapa untuk mengkritik si A mesti melalui si B hanya semata-mata kerana si B rakan baik si A? Tidakkah kita lupa bahawa apa yang kita buat itu termasuk di dalam kategori mengumpat? Kita bangga bercakap soal dakwah tetapi kita tidak takut dengan amaran Allah yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhi lah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian daripada kamu yang sebahagian daripada yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwa lah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang."
[Hujuraat: 12]

Perkara-perkara seperti ini lah yang bakal merosakkan ukhwah. Aku sendiri secara peribadi tidak boleh menerima kritikan si C kepadaku yang disampaikan oleh si D. Bukan kerana kritikan itu tetapi kerana adab dan sikap sebegitu aku kira sebagai biadap. Apakah layak kita bergelar pendakwah tetapi kita lah yang mempromosikan sikap tikam dari belakang?

Allah Knows Best............

Ibnu Abas



2/08/2009 10:51:00 PTG

MPKP

Malam ni aku menjadi pemerhati MPKP (Malam Pengenalan Kelab dan Persatuan).. Hehe pemerhati bebas. Kalau sebelum ni aku yang kena terhegeh-hegeh naik pentas untuk mencapap mempromosi PERMAS, malam ni aku jadi penonton. Seperti biasa, membosankan melihat perkara yang sama sejak 3 tahun dulu. Tapi bukan itu yang hendak aku omongkan. Tetapi mengenai BAHASA yang digunakan terhadap audience. Pelik tambah hairan aku, boleh dikatakan setiap wakil kelab akan mengguna perkataan "korang". Aku bukanlah mamat "skema" tetapi tidaklah pula "semborono". Mungkin secara tidak sedar penggunaan bahasa pasar yang tidak bertempat sudah menjadi kebiasaan. Itu lah yang aku perhatikan berlaku di kalangan manusia yang bergelar Mahasiswa yang sepatutnya menonjolkan sikap profesional. Hatta dalam presentation dalam kelas pun tidak lekang penggunaan perkataan "korang" tu. Aku cuba bayang orang-orang begini memasuki alam pekerjaan. Sudah pasti "korang" yang sudah sebati dengan diri tu lah akan terpancul keluar dari mulut "dorang" di depan bos mereka. Hehe

Mungkin perlu diberi penekanan serius oleh pensyarah di dalam kuliah agar pelajar tahu penggunaan bahasa yang sesuai untuk majlis yang bersifat formal dan informal.

2/08/2009 01:13:00 PTG

Kemuliaan.....

.:: Kita adalah kaum yang telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Jika sekiranya kita hendak mencari kemuliaan dengan selain yang Allah muliakan kita (iaitu dengan Islam), maka nescaya Allah akan menghinakan kita!!!. Umar Al-Khattab r.a ::.

Aku merenung bangsa ku harini.. Kenapa orang Melayu No. 1 dalam segala bidang mungkar? Maksiat? Melayu No. 1... Buang Anak? Melayu No. 1... Dadah? Melayu No. 1... Dan banyak lagi perkara yang jijik untuk aku sebut dan akui. Tapi itu lah realiti... Apa puncanya? Tidak lain tidak bukan kerana kita tinggalkan Islam... Islam yang merupakan cara hidup dihina oleh orang Islam sendiri dengan menjadikan Islam hanya di masjid dan surau... Islam hanya dengan solat 5 waktu, berpuasa, bayar zakat dan pergi Haji. Bila dapat "title" Pak Aji sudah cukup puas. Dirasanya syurga sudah pasti untuknya.. Kasihan.. Itulah mentaliti orang kita. Apa nak buat? Bangsa aku jugak... Apa yang penting.. Teruskan usaha dakwah.. Apa pun jamaah yang korg join, PAS ke, JIM ke, ABIM ke..blablablaaaa... letakkan matlamat nak bagi mad'u dakwah kenal Islam, bukan promote jamaah korang je!

Allah Knows Best

Ibnu Abas

2/06/2009 10:15:00 PTG

Permulaan bagi sebuah pengajian kehidupan















السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Blog ni ku cipta untuk belajar menulis, menulis daripada apa yang ku pelajari. Aku menulis untuk belajar daripada kehidupan. Aku belajar untuk menulis tentang kehidupan. Aku belajar berfikir untuk mengajar orang mengenal Tuhan. Aku mengajar diriku untuk belajar berfikir tentang kebesaran Tuhan. Belajar dan mengajar, dua perkara yang berbeza tetapi saling berkait satu sama lain. Berfikir bukan sebarang fikir, tetapi berfikir untuk bertindak dan beramal. Orang yang pandai ialah orang yang belajar dari kesilapan diri sendiri tetapi orang yang bijaksana ialah orang yang belajar daripada kesilapan orang lain. Aku belajar untuk menjadi golongan yang kedua walaupun ku tahu diriku banyak belajar dari kesilapan sendiri. Kesimpulannya, aku harus terus BELAJAR!







Related Posts with Thumbnails