Petang tadi tengah aku stress buat assignment, tiba-tiba ada hamba Allah ni YM aku. Mula-mula okay la, cerita isu-isu semasa. Tiba-tiba dia buka tajuk yang paling aku menyampah pula.
Mula-mula dia tanya aku, “aa nak tanye..akh baik dgn org cina dan india tak?”
Aku pun tak syak apa-apa lah. Ingat soalan biasa je. Maka aku pun jawap lah,
“Baik je. Tiada masalah pun”
“Nampaknya anta silap besar di situ” jawab hamba Allah ni.
‘Eh kenapa pula minah ni’, monologku dalam hati. “Silap BESAR?” tanyaku tanpa bertangguh.
Hamba Allah: Betul..mereka sedang merangka agenda besar nak jatuhkan org melayu
Aku: hmmm...racist
Hamba Allah: Banyak bukti
Hamba Allah: ayah selalu pesan jgn percaya kat diaorg.. betul akh..
Bila aku kata dia racist, dia melenting pula dan menjawab,
“melampaunya..eh dengar ye..ana cuma nak observe kesedaran sahabat2..ana bukan racist..tapi ana ckp based on rahsia kepolisan yg ntum tak tau..sebagai umat islam..kita kena sedarkan sahabat2 yg tak sedar nih..kalau akh nak tau..baru2 ni gang mafia india dari seremban merompak bersenjata dekat kawasan kepolisan ayah ana bertugas..kalau nta nak tau..mereka dapat tgkp seorang dan seorang ditembak..akhirnya yg ditangkap bunuh diri dalam lokap dan yg ditembak tuduh polis tembak tanpa ada reason..kemudian..NGO,Y2 PEguam2 india semua datang bising2 kat office ayah ana nak jamin dia sedangkan dia hampir bunuh ayah ana ok...dan mereka disokong oleh org cina! dis is the fact..and for ur info..sometimes diaorg terlepas kerana yb dan ngo2 nih hinggakan kes terpaksa ditutup..u tell me who's the racist?”
Okay, cukup! Aku malas nak cerita semua. Cukup la dialog di atas menggambarkan realiti konsep 1Malaysia yang retorik. Sedangkan pemikiran rakyat Malaysia rata-rata masih dibelenggu perasaan perkauman yang sempit.
KITA SEMUA DARIPADA NABI ADAM
Sedih dan marah… Itulah perasaan aku bila melibatkan isu perkauman yang tidak pernah selesai.
Tidak cukup jelaskan firman Allah Subhanahu wa Taala di dalam surah al-Hujuraat ayat 13 yang bermaksud:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
Islam agama yang bersifat global (alamiyyah) bukan agama yang sempit dengan semangat perkauman dan prasangka buruk terhadap bangsa berlainan. Islam bukan tertumpu kelompok Muslim sahaja, malah lebih jauh dan luas lagi. Islam menjaga hubungan antara sesama Muslim dan bukan Muslim. Islam agama yang bebas daripada prejudis tanpa berbekal bukti yang kukuh. Dan Islam tidak pernah mengajar kita menghukum sesuatu kaum hanya disebabkan sebahagian mereka itu melakukan kerosakan dan ancaman terhadap Islam! Jangan kerana nyamuk beberapa ekor, kita bakar satu kelambu!
Malah Allah sendiri menerangkan kepada kita bahawa kejadian pelbagai bangsa manusia ini adalah bukti kekuasaan Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan. (Ar-Rum: 22)
Aku sangat suka mendengar kata-kata Tok Guru. Antara ayatnya yang suka untuk aku naqalkan di sini ialah:
“Kita semua Melayu, Cina, India, orang Amerika, orang putih, orang Asli dan lain-lain adalah adik-beradik. Kita datang daripada keturunan yang satu, iaitu ayah kita bernama Adam dan emak kita bernama Hawa. Soal berapa ribu pupu kita ini, biarlah. Jika tuan-tuan kata nenek moyang kita bukan Adam dan Hawa, cuba beritahu saya. Jika tidak jumpa jawapan, terima dulu kenyataan ini
(Nik Abd Aziz Nik Mat. Ceramah Padang Perdana pada 20 Februari 2008)
Inilah Islam. Jadi, masih nak membenci Cina dan India?
Sekian
Wallahu ‘Alam
Ibnu Abas
0 ulasan:
Catat Ulasan