9/07/2009 12:45:00 PG

Tadarus al-Qur'an



Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Maka tidak hairanlah berlumba-lumba umat Islam menambah amal ibadat mereka, antaranya dengan bertadarus.

Namun sejauh mana amalan bertadarus ini mampu menjadikan kita hamba yang bertaqwa, sejajar dengan tuntutan Allah yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, agar kamu BERTAQWA
[al-Baqarah: 183]


Berlapar di siang hari, belum cukup menambahkan ketaqwaan kita.

Ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga
[hadith riawayat al-Nasa'i dan Ibn Majah]
Berpuasa, tapi masa dipenuhi dengan tidur di siang hari.

Berpuasa, tapi masih tidak menjaga hati, mata, mulut dan telinga daripada maksiat.

Berpuasa, tapi masih tidak menutup aurat dengan sempurna.

Semuanya ini mungkin berpunca daripada kurangnya usaha memahami dan menghayati ayat-ayat al-Qur'an yang kita baca siang dan malam hari. Kita membaca al-Qur'an, tapi sekadar di mulut, tidak sampai ke hati.

Allah menyatakan di dalam al-Qur'an, surah al-Baqarah ayat 121 yang bermaksud:
Dan mereka yang Kami berikan al-Kitab mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barang siapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang rugi.
Abdullah ibn Mas'ud berkata,
"Demi Allah, maksud membaca al-Qur'an dengan bacaan yang sebenarnya adalah menghalalkan apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca seperti mana yang diturunkan Allah, tidak mengubah kalam Tuhan dari tempatnya serta tidak mentakwilkan ayat-ayatnya secara tidak betul."
Untuk membaca al-Qur'an, ramai yang rajin lakukan. Tetapi untuk membaca tafsir al-Qur'an, mengkaji serta memahami ayat-ayat yang dibaca cukup kurang sekali yang mampu melakukannya. Lantaran itu, ramai yang bacaannya sedap, lidahnya fasih, tajwidnya lancar akan tetapi sayang sekali dia langsung tidak mengerti akan apa yang dibacanya. Maka tidak hairan wujud manusia yang hafiz al-Qur'an akan tetapi dia lah juga manusia yang menentang isi kandungan al-Qur'an! Naudzubillah min zalik!

Teguran di dalam tulisan ini tidak lain sebagai peringatan diriku yang lemah dan jahil ini. Laksanakan amar makruf dan nahi munkar, dan dalam masa yang sama perbaiki lah diri kita. Kalau ada orang yang mengatakan,
"Ah, kau pun sama teruk, ada hati nak tegur orang!"
Bersabarlah...kalau setiap umat Islam menunggu diri sempurna dan cukup ilmu baru nak laksanakan tugas dakwah, nescaya tiada ada golongan yang akan meneruskan risalah Nabi ini dan akan rosaklah manusia kerana maksiat yang berleluasa.

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-



sumber rujukan
-Muhammad Rahimi Osman, Ramadhan: Konsep dan Penghayatan
-Dr. Danial Zainal Abidin, Bahan Berdakwah untuk Remaja Moden

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails