10/28/2010 02:05:00 PTG

Baca Qunut & Tak Baca Qunut

Aku hairan dengan sikap segelintir (kebanyakkan barangkali) umat Islam yang begitu taksub kepada mazhab yang dipegang sehingga melampau batasan dan mengabaikan ukhwah serta akhlak Islamiyyah. Sehingga satu tahap berpendapat tidak sah solat di belakang Imam yang berlainan mazhab. Ataupun mengingkari perbuatan Imam dalam sesetengah perkara sunat (seperti Qunut). Sedangkan apabila kita membaca kisah-kisah para Imam mazhab mereka mempunyai pandangan fiqh yang cukup luas dalam hal ini.

Sebagai contoh kisah Imam Syafie. Diceritakan jika beliau solat di belakang Imam Malik dan tidak mendengar basmalah, beliau tidak meninggalkan solatnya itu. Bahkan ketika disampaikan jika sekiranya Imam Hanafi berwudhu' dan setelah wudhu' tersentuh kemaluannya, sahkah solat Imam Syafi'i di belakangnya? (Dalam mazhab Hanafi, menyentuh kemaluan tidak membatalkan wudhu') Imam Syafi'i menjawab: 'Mana mungkin aku tidak solat di belakang Abu Hanifah?'

Contoh lain ialah Imam Ahmad bin Hanbali, yang berpendapat bahawa seseorang yang sedang solat lalu berlaku pendarahan pada hidung, maka batallah solatnya itu kerana pendarahan hidung adalah salah satu dari hal yang menyebabkan batalnya wudhu'. Lain pula dengan pendapat Imam Malik bin Anas, yang dari anak-anak muridnya lahir Mazhab Maliki, beliau berpendapat pendarahan hidung itu tidaklah membatalkan wudhu'. Akan tetapi apabila di suatu ketika salah seorang dari anak murid Imam Ahmad bertanya kepadanya - apakah hukum solat di belakang imam yang tidak memperbaharui wudhu' apabila berlaku pendarahan hidung, Imam Ahmad menjawab: Adakah patut aku enggan bersolat di belakang Imam Malik dan Sa'id ibnu Musayyib?

Tidak hairan lah Ibn Hajar al-Haitami mengatakan: 
Mazhab kami benar, tetapi mengandungi kekeliruan. Dan mazhab selain kami keliru, tetapi mengandungi kebenaran.


Mentaliti seperti ini bukan sahaja membelenggu orang awam, adakalanya mereka yang bergelar ustaz. Amat malang kita menyempitkan keluasan fiqh yang ada pada Islam sehingga menyalahi pendapat Imam mazhab kita sendiri. Sehingga ada yang mengatakan apabila solat subuh di Mekah [Imam Arab Saudi tidak membaca Qunut] tidak boleh meninggalkan Qunut, mesti dibaca juga. Begitu juga hal yang melanda golongan salafy di Malaysia yang meninggalkan bacaan Qunut, lantas dengan bangga mereka tidak mengikut Imam membaca Qunut, malah tidak mahu mengangkat tangan. Sedangkan ini sangat bertentangan dengan perintah Nabi s.a.w:

Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya.  Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca 'SamiAllahuliman Hamidah' maka katalah 'Rabbana lakal Hamduh' . Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah). Dan luruskanlah barisan saf dalam solat (jemaah) kerana sesungguhnya saf yang lurus adalah tanda kesempurnaan solat (jemaah).[Sahih Bukhari]  

Kesimpulan, ikuti Imam solat kita sekalipun ia melakukan perbuatan yang bertentangan dengan mazhab kita.  Andai imam membaca Qunut, bacalah Qunut. Andai imam meninggalkan Qunut, maka tinggalkanlah. Inilah adab yang diajar dan ditunjukkan para Imam mazhab kita. Kerana perkara furu' atau cabang tidak sewajarnya menjadi punca kita berpecah belah. Wallahu 'Alam

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails