7/25/2009 10:14:00 PTG

Kualiti Vs Kuantiti


"Kita kena tambah target bilangan ahli semester ini!" tegas Harun.

"Ana rasa setiap orang kena 'tarik' paling kurang 5 orang adik baru jadi ahli persatuan kita!" Tambah Mus dengan penuh semangat.

Mesyuarat petang tu hangat membahaskan isu kekurangan ahli baru.

Pelbagai cadangan diutarakan fokus kepada isu menambah kuantiti ahli.

Tapi mereka terlupa perkara yang lebih utama.

Menambah kualiti ahli yang ada!

Apalah gunanya ada ahli yang ramai, tetapi ramai yang menjadi sleeping members?

Apalah gunanya ada ahli yang ramai, tetapi tak sanggup berkorban masa?

Apalah gunanya ada ahli yang ramai, tetapi tidak bersedia untuk berkerja?

Lihat sahaja bagaimana Allah menyatakan di dalam al-Qur'an tentang kedudukan golongan yang sedikit dan berkualiti

وَقَلِيلٌ۬ مِّنۡ عِبَادِىَ ٱلشَّكُورُ
Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.
(Surah Saba' : 13)


إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَقَلِيلٌ۬ مَّا هُمۡ‌ۗ
....kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!.."
(Surah Sad : 24 )

Daripada ayat tersebut maka jelas sekali bukan kuantit yang menjadi perkara utama, sebaliknya kualiti itu lah yang menjadi sasaran utama.

PERANG BADAR vs PERANG HUNAIN

Lihat sahaja sirah Nabawiyah yang dibentangkan di dalam al-Qur'an akan kisah peperangan Badar yang dihadapi Rasulullah Sallallahu alayhi wasallam bersama para sahabat dalam serba kekurangan dan jumlah yang sedikit.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud:

Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).
(Surah Ali Imran : 123)

Sebaliknya berlaku di dalam peperangan Hunain, apabila kaum muslimin hampir tewas dan kalah teruk.

Mengapa?

Kerana ketika itu kaum muslimin berbangga dan berasa sombong dengan jumlah mereka yang banyak.

Setelah mereka tersedar dan bertaubat maka Allah Ta'ala memberikan pertolongan yang tidak dapat dilihat oleh pihak musuh. Seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. (25) Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Dia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.
(Surah at-Tawbah : 26)

Justeru, jelas sekali kepada kita semua bahawa jumlah bukan penentu kejayaan usaha kita. Malah dalam sesetengah perkara menambahkan masalah dan menjadi faktor kegagalan kita semua. Maka jangan sesekali berasa selesa dengan jumlah ahli yang ramai, sebaliknya sentiasa lah pertingkatkan lah kualiti diri sendiri dan ahli dari masa ke masa.
bersambung..

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails