10/28/2010 02:05:00 PTG

Baca Qunut & Tak Baca Qunut

Aku hairan dengan sikap segelintir (kebanyakkan barangkali) umat Islam yang begitu taksub kepada mazhab yang dipegang sehingga melampau batasan dan mengabaikan ukhwah serta akhlak Islamiyyah. Sehingga satu tahap berpendapat tidak sah solat di belakang Imam yang berlainan mazhab. Ataupun mengingkari perbuatan Imam dalam sesetengah perkara sunat (seperti Qunut). Sedangkan apabila kita membaca kisah-kisah para Imam mazhab mereka mempunyai pandangan fiqh yang cukup luas dalam hal ini.

Sebagai contoh kisah Imam Syafie. Diceritakan jika beliau solat di belakang Imam Malik dan tidak mendengar basmalah, beliau tidak meninggalkan solatnya itu. Bahkan ketika disampaikan jika sekiranya Imam Hanafi berwudhu' dan setelah wudhu' tersentuh kemaluannya, sahkah solat Imam Syafi'i di belakangnya? (Dalam mazhab Hanafi, menyentuh kemaluan tidak membatalkan wudhu') Imam Syafi'i menjawab: 'Mana mungkin aku tidak solat di belakang Abu Hanifah?'

Contoh lain ialah Imam Ahmad bin Hanbali, yang berpendapat bahawa seseorang yang sedang solat lalu berlaku pendarahan pada hidung, maka batallah solatnya itu kerana pendarahan hidung adalah salah satu dari hal yang menyebabkan batalnya wudhu'. Lain pula dengan pendapat Imam Malik bin Anas, yang dari anak-anak muridnya lahir Mazhab Maliki, beliau berpendapat pendarahan hidung itu tidaklah membatalkan wudhu'. Akan tetapi apabila di suatu ketika salah seorang dari anak murid Imam Ahmad bertanya kepadanya - apakah hukum solat di belakang imam yang tidak memperbaharui wudhu' apabila berlaku pendarahan hidung, Imam Ahmad menjawab: Adakah patut aku enggan bersolat di belakang Imam Malik dan Sa'id ibnu Musayyib?

Tidak hairan lah Ibn Hajar al-Haitami mengatakan: 
Mazhab kami benar, tetapi mengandungi kekeliruan. Dan mazhab selain kami keliru, tetapi mengandungi kebenaran.


Mentaliti seperti ini bukan sahaja membelenggu orang awam, adakalanya mereka yang bergelar ustaz. Amat malang kita menyempitkan keluasan fiqh yang ada pada Islam sehingga menyalahi pendapat Imam mazhab kita sendiri. Sehingga ada yang mengatakan apabila solat subuh di Mekah [Imam Arab Saudi tidak membaca Qunut] tidak boleh meninggalkan Qunut, mesti dibaca juga. Begitu juga hal yang melanda golongan salafy di Malaysia yang meninggalkan bacaan Qunut, lantas dengan bangga mereka tidak mengikut Imam membaca Qunut, malah tidak mahu mengangkat tangan. Sedangkan ini sangat bertentangan dengan perintah Nabi s.a.w:

Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya.  Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca 'SamiAllahuliman Hamidah' maka katalah 'Rabbana lakal Hamduh' . Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah). Dan luruskanlah barisan saf dalam solat (jemaah) kerana sesungguhnya saf yang lurus adalah tanda kesempurnaan solat (jemaah).[Sahih Bukhari]  

Kesimpulan, ikuti Imam solat kita sekalipun ia melakukan perbuatan yang bertentangan dengan mazhab kita.  Andai imam membaca Qunut, bacalah Qunut. Andai imam meninggalkan Qunut, maka tinggalkanlah. Inilah adab yang diajar dan ditunjukkan para Imam mazhab kita. Kerana perkara furu' atau cabang tidak sewajarnya menjadi punca kita berpecah belah. Wallahu 'Alam

10/26/2010 01:01:00 PG

HUKUM TAHALUF SIYASI DALAM KONTEKS GERAKAN ISLAM MASAKINI

Pendahuluan

Istilah tahaluf siyasi menjadi satu istilah yang semakin dikenali khususnya di kalangan pendokong gerakan Islam. Dengan kejatuhan khilafah Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924, gerakan Islam yang pertama ditubuhkan ialah Ikhwan al-Muslimin di bawah pimpinan Hassan al-Banna pada tahun 1928. Penubuhan gerakan ini di Mesir membayangkan hasrat untuk menegakkan Haikimiyyah Allah SWT. Idealisme ini berkembang ke seluruh dunia dengan penubuhan gerakan-gerakan Islam di hampir setiap negara di dunia. Matlamat dan konsep perjuangan mereka hampir sama antara satu lain iaitu ke arah menegakkan sebuah negara Islam dan lebih jauh dari itu menghidupkan semula sistem khilafah yang telah berkubur.

Dalam keadaan hari ini, amatlah disedari oleh gerakan-gerakan Islam bahawa mereka tidak mampu untuk berdiri sendiri dalam memperjuangkan aspirasi masing-masing. Di dalam sesebuah negara bangsa yang dibina pada zaman moden ini, tidak semua rakyat memahami inti kandungan Islam dan kebaikan-kebaikannya. Lantas, berlakulah keperluan untuk bekerjsama dengan gerakan lain samada di dalam menyertai politik pilihanraya atau sebagai pendokong di dalam pembentukan kerajaan. Perosalannya, adakah ia merupakan satu keharusan? Dalam erti kata lain, haruskah bagi sesebuah gerakan Islam untuk menjalinkan kerjasama dengan gerakan lain yang tidak mempunyai hasrat yang sama dengannya dalam membentuk kerajaan?


Pengertian Tahaluf Siyasi

Tahaluf Siyasi membawa makna kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama. Tahaluf Siyasi juga kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi untuk menentang ideologi harakah Islam. Dalam suasana hari ini, tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk menghadapi musuh yang sama.

Hukum Tahaluf Siyasi
Para ulama haraki khususnya berbeza pandangan mengenai hukum melakukan kerjasama dengan gerakan yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam. Sebahagian daripada mereka dengan tegas menolak langsung sebarang usaha melakukan kerjasama ini serta menghukumkan bahawa kerjasama ini sebagai haram. Di antara mereka ialah Sheikh Muhammad Qutb dan al-Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin Abdullah . Manakala di antara ulama yang mengharuskan tahaluf siyasi ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi , Dr Mustoffa al-Tohhan , al-Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid , Doktor Solah al-Showi dan Doktor Munir Ghahdban .
Dalil-dalil yang dipegang oleh ulama yang mengharamkan tahaluf siyasi ialah seperti berikut :
 
1. Firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (51) فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَنْ تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِنْ عِنْدِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَى مَا أَسَرُّوا فِي أَنْفُسِهِمْ نَادِمِينَ (52)
Yang bermaksud : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: "Kami takut akan mendapat bencana". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri mereka.

Hujah : Kerjasama gerakan Islam dengan orang-orang kafir di atas dasar politik akan menjauhkan lagi orang-orang Islam daripada mereka. Ini kerana, Islam mengharamkan sebarang jenis wala’ kepada kepada ahli kitab yang mempunyai akidah yang hampir sama dengan Islam, apatah lagi wala’ kepada orang-orang kafir yang akidah mereka langsung tidak mempunyai persamaan dengan akidah Islam.

2. Firman Allah SWT :
فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاس وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
Yang bermaksud : Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya

Hujah : Ayat di atas berkenaan dengan pengharaman arak dan judi. Namun jika dilihat dari sudut tahaluf siyasi, kerjasama dengan musuh mungkin mendatang manfaat dari beberapa sudut, bagaimanapun dari sudut yang lebih jauh iaitu ke arah menegakkan hakimiah Allah SWT, ia tidak akan dapat dicapai. Lantas, kerjasama akan menyebabkan terbantutnya usaha gerakan Islam untuk menegakkan daulah Islamiah. Oleh yang demikian, kerjasama ini adalah haram kerana lebih banyak mendatangkan mudharat daripada manfaat.
 
3. Pertimbangan logik bahawa gerakan yang tidak berhasrat untuk menegakkan Islam ini pastinya hanyalah menjadikan gerakan Islam sebagai jambatan untuk mereka mendapatkan kuasa. Mereka sekali-kali tidak membiarkan gerakan Islam ini berkembang sehingga mengatasi diri mereka. Dan ini sekali lagi akan menghalang kepada tertegaknya daulah Islamiah seperti yang diperjuangan oleh Harakah Islamiah.
Manakala bagi golongan ulama haraki yang mengatakan tahaluf siyasi sebagai sesuatu yang diharuskan, mereka berpegang dengan hujah-hujah berikut :

1. Half al-Fudhul : Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman jahiliyyah iaitu perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong golongan yang dizalimi. Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis baginda yang menyatakan :
وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً
Yang bermaksud : Mana-mana perjanjian yang dilaksakanan ketika jahiiyyah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin patut dilaksanakan - membawa makna mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang baik.
Hujah : Sekalipun Nabi SAW menyaksikan perjanjian ini ketika jahiliyyah, tetapi kerana Nabi telah memujinya semasa Islam, ia dianggap sebagai perkara yang baik. Ini menunjukkan bahawa sekalipun yang berada dalam ikatan perjanjian itu orang-orang yang berakidah salah, ia tetap dianggap perjanjian yang baik selagi mana tujuannya adalah baik.

2. Perjanjian Rasulullah SAW dengan bapa saudaranya Abu Talib untuk menjaganya serta memeliharanya dari ancaman kaum Quraisy. Tahaluf di antara mereka berdua berlaku dalam beberapa peringkat :

2.1 Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib lantas menyatakan : “Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa yang kamu hendaki. Demi Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa selama-lamanya” Kata-kata ini dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di mana pernah beliau mengetahui tentang sekumpulan kaum Quraisy yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, lalu dikumpulkan bani Abdul Mutalib dan Bani Hasyim untuk melindungi baginda SAW. Mereka semua berkumpul termasuklah yang masih kafir untuk melindungi Nabi Muhammad SAW.

2.2 Peringkat berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan pemulauan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak balas kerana mereka melindungi Rasulullah SAW. Lalu ditulis surat penguatkuasaan di mana tidak dibenarkan sesiapa pun menikahi atau dinikahi oleh kedua-dua kabilah ini. Juga tidak dibenarkan berlakunya urusan jual beli dengan kedua-duanya. Surat ini ditampalkan di dinding kaabah.
 
Hujah : Di dalam peristiwa-peristiwa ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa menjadi satu keharusan jamaah Islam untuk mendapat perlindungan daripada orang yang bukan Islam demi mencapai matlamat perjuangannya. Namun ia tidaklah sampai kepada peringkat tunduk dan patuh sehingga menggadaikan perjuangannya.

3. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi perang Badar, “Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”
 
Hujah : Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Mut’im tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika ia menjawab soalan dari Abu Jahal . Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari orang yang tidak berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan kebaikan kepada Islam dan umatnya.

4. Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi ketika ditegakkan negara Islam Madinah. Perjanjian yang melahirkan Sahifah Madinah ini merupakan satu-satunya peristiwa besar dan terpenting yang menjadi hujjah keharusan kaum muslimin menjalinkan perjanjian dengan orang-orang bukan Islam di atas dasar memelihara kebajikan kedua-dua pihak.

Di antara isi kandungan perjanjian ini ialah, “Kaum muslimin mempunyai haknya dan kaum Yahudi mempunyai haknya. Dan di antara mereka hendaklah tolong menolong sekiranya diserang oleh sesiapa. Dan di antara mereka hendaklah saling menasihati dan bekerjasama. Dan janganlah sesiapa memungkiri janjinya. Dan hendaklah pertolongan diberikan kepada yang dizalimi. Dan sekiranya berlaku apa-apa kepada pihak yang menjalinkan perjanjian ini, maka tempat rujukan ialah kepada Allah dan Muhammad Rasulullah SAW…”
 
Hujah : Inilah sebesar-sebar hujah keharusan melakukan hubungan dengan non-muslim di dalam menegakkan negara Islam. Dan tidaklah menjadi dasar Islam mengenepikan kaum musyrikin daripada realiti kehidupan.

5. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Bani Khaza’ah. Ia berlaku apabila baginda bersama para sahabat ingin memasuki kota Makkah untuk mengerjakan haji namun disekat oleh kaum Quraisy. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan pengintip dari bani Khaza’ah yang merupakan seorang musyrik dan mereka melaporkan kepada Rasulullah SAW mengenai pergerakan kaum Quraisy. Bani Khaza’ah sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan Bani Hasyim semenjak zaman jahiliyyah dan mereka meneruskan hubungan baik mereka dengan Bani Hasyim sekalipun berbeza akidah. Rasulullah SAW mengiktiraf hubungan ini dengan memberikan syarat iaitu pertolongan tidak akan diberikan kepada golongan yang zalim.

6. Perintah Rasulullah SAW kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah semasa ditindas di Makkah untuk mendapatkan perlindungan dari Raja Najasyi yang merupakan seorang Nasrani pada masa itu turut merupakan dalil kepada keharusan untuk mendapatkan perlindungan dari orang yang bukan Islam di dalam menjaga kemaslahan umat Islam.

Jawapan Terhadap Golongan Yang Mengharamkan Tahaluf Siyasi

Di dalam memberikan jawapan kepada golongan ulama haraki yang mengharamkan tahaluf siyasi, beberapa pandangan telah dikemukakan. Antara lain :

1. Ayat yang digunakan iaitu dari surah al-Maidah, ayat 51-52 bukanlah merujuk kepada tahaluf siyasi tetapi merujuk kepada orang-orang munafik yang terus meletakkan kepatuhan kepada orang-orang Yahudi di Madinah. Ianya turun kepada ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai yang bertindak untuk menyokong kabilahnya Yahudi Bani Qainuqa’ di dalam berhadapan dengan Nabi Muhammad SAW. Ini menunjukkan bahawa ayat ini tiada kena mengena dengan tahaluf siyasi tetapi berkenaan dengan orang yang keluar langsung dari Harakah Islam untuk bekerjasama dengan musuh bagi melawan Islam.

2. Ayat 219 dari surah al-Baqarah pula bukan sahaja tidak menjadi hujah mengharamkan tahaluf siyasi bahkan menjadi peneguh kepadea keharusannya. Ini kerana daripada tahaluf siyasi yang dilaksanakan di beberapa buah negara seperti Mesir, Sudan dan Yaman, manfaat yang besar banyak diperolehi oleh kaum muslimin. Oleh yang demikian, di dalam masalah manfaat dan mudharat ini, pertimbangan berdasarkan senario semasa perlu diambil kira. Tahaluf Siyasi sebelum diputuskan hendaklah dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pakar politik dan ahli-ahli strategi.

KESIMPULAN

Di dalam mendepani arus politik dunia pada hari ini, gerakan Islam perlulah bijak mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang ada. Tahaluf siyasi perlulah dilakukan dalam keadaan gerakan Islam mendapat keuntungan yang maksimum dalam usaha untuk menegakkan agama Allah SWT. Bagaimanapun, perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan hendaklah dilakukan dari masa ke semasa khususnya kepada masyarakat awam agar tidak terkeliru dengan langkah yang diambil.

Penyertaan gerakan Islam dalam mana-mana kerajaan seharusnya dilakukan dengen penelitian yang teliti terhadap senario politik setempat. Oleh yang demikian, pimpinan gerakan Islam perlulah sentiasa prihatin dan sensitif dengan perkembangan semasa serta kehendak masyarakat agar langkah yang diambil tidak menyebabkan kerugian di mereka nanti.

Maklumat Penulis:
Ahmad Fadhli bin Shaari
B.A (Hons) Dakwah Islamiyyah, Univ. Al-Azhar, Mesir.
Penulis merupakan Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah

10/23/2010 10:27:00 PTG

Thesis: Ringkas tapi Signifikan

Pertama sekali, Ringkas tapi Signifikan ialah moto Tok Guru aku: Prof. Dr. Hj. Muhd Kamil bin Ibrahim. Hehe.. Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya menyiapkan thesis pertamaku yang bertajuk "Determinants of ISO Accreditation and Value Relevance in Malaysian Property Sector". Ramai kata, "panjangnya tajuk..." Hehe aku pun mula-mula blur dengan tajuk yang sedikit di luar bidang aku. Ok, aku bukan nak cerita tentang thesis aku, pening nanti. :)

Sepanjang proses menyiapkan thesis, banyak perkara yang aku belajar daripada Prof. Anehnya, perkara itu dahulu aku pandang kecil je. Walhal ia mencermin akhlak kita. Antaranya tentang erti sebuah JANJI.

Pernah tak anda berjanji dengan kawan anda, "Udanis, [dengan izin] pukul 3 petang ni aku nak jumpa kau, nak bincang hal bisnes sikit"

Kemudian bila tiba masa yang dijanjikan, anda menghantar SMS, "Alamak Udanis, ada assignment lah. Tak jadi jumpa. Sorry ye!"

Lihatlah betapa mudah untuk menabur janji dan mengkhianatinya. Bagi kebanyakkan orang, janji hanya menjadi janji apabila kita sebut 'aku janji' sedangkan contoh di atas ni lah sebuah janji yang ringkas tapi signifikan. Namun ramai yang begitu mudah mungkirinya.

Mencari Jalan Penyelesaian, atau Mencari Alasan

Membuat alasan memang mudah, cuma perlu membuat pakatan dengan Syaitan laknatullah maka bercambah lah idea untuk berdalih. Dan sikap inilah yang melanda kebanyakkan daripada kita [termasuk yang menulis: astagfirullah]

Namun untuk mencari jalan memerlukan kita untuk memerah otak dan keringat. Susah!

Tidak hairanlah ramai yang memilih pilihan pertama.

Cara kita berfikir mempengaruhi keputusan yang kita dapat. Andai kita 'optimis' kita gagal, inshaAllah kita akan merancang untuk gagal. Kalau kita optimis untuk berjaya, inshaAllah kita akan berjaya.

Peperiksaan dan Thesis - Hanyalah Wasilah bukan Ghayah

Aku cukup bimbang dengan cara berfikir yang terdapat dalam kebanyakkan pelajar yang bersifat 'CGPA Oriented'. Kalau dengan cara yang halal tak mengapa, tapi sehingga satu tahap sanggup MENIRU, PLAGARISM, maka kita perlu tanya sendiri apa yang kita kejar sebenarnya? Apa matlamat (ghayah) kita sebenarnya? CGPA, Gred bukan lah satu-satunya indicator anda berjaya!



Cuba kita fikirkan secara logik. Andai semasa belajar kita sanggup menipu dan meniru untuk LULUS dengan 'CEMERLANG'(kah?), apa jaminan kita takkan menipu majikan apabila sudah bekerjaya nanti?

Andai semasa belajar kita mengamalkan plagarism, apa jaminan kita tidak akan merompak hasil kerja orang apabila sudah bekerjaya nanti?



Pesanan akhir saya buat adik-adik & sahabat yang bakal menduduki peperiksaan, perbetulkan niat kita kerana ALLAH! Di saat akhir ini bukan buku tebal itu tempat anda bergantung, sebaliknya ALLAH S.W.T yang Maha Bijaksana itu lah tempat yang sewajarnya kita bergantung harap. Bukankah Dia yang memberikan ilham kepada kita? Ambil lah pesanan Imam Syafie dan kata-kata Confucius ini sebagai motivasi untuk kita semua. Wallahu 'Alam.

Barangsiapa yang mencari ilmu dengan perasaan sombong dan merasa tidak perlu kepadanya maka dia tidak akan pernah berhasil dan barangsiapa mencari ilmu dalam seribu kesusahan tapi dia bersungguh-sungguh maka dia akan berhasil - Imam Syafie

Learning without thinking is useless. Thinking without learning is dangerous - Confucius

Baca juga:

Apa Niat Kita?


p/s: saya memohon jutaan kemaafan kepada GURU-GURU dan PENSYARAH saya atas kesilapan, kecuaian, dan kenakalan saya sepanjang menuntut ILMU.

10/14/2010 12:03:00 PTG

E-Book Tafsir & Syarah Hadith

Assalamualaikum...
Di bawah ni link di mana aku download e-book ilmiah yang insyaAllah bermanfaat untuk kita semua.
Boleh download direct tapi sebaiknya guna Internet Download Manager (IDM)


Tafsir Al-Azhar - Hamka

Fathul Baari Jilid 1 (Imam Ibnu Hajar al-Asqalani)

Fathul Baari Jilid 2 (Imam Ibnu Hajar al-Asqalani)

Fathul Baari Jilid 3 (Imam Ibnu Hajar al-Asqalani)

Himpunan Hadith Qudsi

Tafsir Jalalain Imam As Suyuti

Ada lagi tapi aku kena cari semula lah link nya.. Hehe

Abu Hurairah

10/12/2010 11:07:00 PG

Umur Isteri-Isteri Rasulullah ketika Dinikahi

Sebagai info tambahan. Mungkin berbeza rujukan berbeza pendapat. Tapi aku dapat tahu yang mengatakan umur Khadijah 40 tahun ketika berkahwin denga Rasulullah itu datang dari Syiah. Wallahu 'Alam.


Khadijah bt. Khuwailid al-Asadiyah r.a

Beliau adalah merupakan isteri nabi Muhammad s.a.w. yang pertama. Sebelum berkahwin dengan baginda, beliau pernah menjadi isteri kepada Atiq bin Abid dan Abi Halah bin Malik dan telah mempunyai empat anak, dua dengan suaminya yang bernama Atiq, iaitu Abdullah dan Jariyah, dan dua dengan suaminya Abu Halah iaitu Hindun dan Zainab.

Banyak kisah memaparkan bahawa sewaktu nabi Muhammad s.a.w. bernikah dengan Khadijah, umur Khadijah berusia 40 tahun sedangkan nabi Muhammad s.a.w. hanya berumur 25 tahun. Tetapi menurut Ibnu Kathir, seorang tokoh dalam bidang tafsir, hadis dan sejarah, mereka berkahwin dalam usia yang sebaya. Nabi Muhammad s.a.w. bersama dengannya sebagai suami isteri selama 25 tahun iaitu 15 tahun sebelum bithah dan 10 tahun selepasnya iaitu sehingga wafatnya Khadijah, kira-kira 3 tahun sebelum hijrah. Khadijah wafat semasa beliau berusia 50 tahun.

Beliau merupakan isteri nabi Muhammad s.a.w. yang tidak pernah dimadukan kerana kesemua isterinya yang dimadukan adalah berlaku selepas daripada wafatnya Khadijah. Di samping itu, kesemua anak baginda kecuali Ibrahim adalah kandungannya.

Mas kahwin daripada nabi Muhammad s.a.w. sebanyak 20 bakrah dan upacara perkahwinan diadakan oleh ayahnya Khuwailid. Riwayat lain menyatakan, upacara itu dilakukan oleh saudaranya Amr bin Khuwailid.
Saudah bt. Zam'ah al-Amiriyah al Quraisiyah r.a

Nabi Muhammad s.a.w. berkahwin dengan Saudah setelah wafatnya Khadijah tetapi dalam bulan itu juga.

Saudah adalah seorang janda tua. Suami pertamanya ialah al-Sakran bin Amr. Saudah dan suaminya al-Sakran adalah di antara mereka yang pernah berhijrah ke Habsyah. Apabila suaminya meninggal dunia setelah pulang dari Habsyah, maka nabi Muhammad s.a.w. telah mengambilnya menjadi isteri untuk memberi perlindungan kepadanya dan memberi penilaian yang tinggi kepada suaminya.

Acara perkahwinan dilakukan oleh Salit bin Amr. Riwayat lain menyatakan upacara dilakukan oleh Abu Hatib bin Amr. Mas kahwinnya ialah 400 dirham.
Aishah bt Abu Bakar

Akad nikah diadakan di Mekah sebelum Hijrah, tetapi setelah wafatnya Khadijah dan setelah nabi Muhammad s.a.w. berkahwin dengan Saudah. Ketika itu Aisyah berumur 16 tahun. Rasulullah tidak bersama dengannya sebagai suami isteri melainkan setelah berhijrah ke Madinah. Ketika itu, Aisyah berumur 19 tahun sementara nabi Muhammad s.a.w. berumur 53 tahun.

Aisyah adalah isteri nabi Muhammad s.a.w. yang tunggal yang dikahwininya semasa gadis. Upacara dilakukan oleh ayahnya Abu Bakar dengan mas kahwin 400 dirham.
Hafsah bt. Umar bin al-Khattab r.a

Hafsah seorang janda. Suami pertamanya Khunais bin Hudhafah al-Sahmiy yang meninggal dunia selepas Perang Badar. Bapanya Umar mempelawa Abu Bakar berkahwin dengan Hafsah, tetapi Abu Bakar tidak menyatakan sebarang persetujuan dan Umar mengadu kepada nabi Muhammad s.a.w.. Lalu baginda mengambil Hafsah sebagai isteri.
Ummu Salamah Hindun bt. Abi Umaiyah r.a

Salamah seorang janda tua mempunyai 4 anak dengan suami pertama yang bernama Abdullah bin Abd al-Asad. Suaminya terkorban dalam Perang Uhud dan saudara sepupunya turut terkorban dalam perang itu lalu nabi Muhammad s.a.w. melamarnya. Mulanya lamaran ditolak kerana menyedari usia tuanya. Alasan umur turut digunakannya ketika menolak lamaran Abu Bakar dan Umar al Khattab.

Lamaran kali kedua nabi Muhammad s.a.w. diterimanya dengan mas kahwin sebuah tilam, mangkuk dari sebuah pengisar tepung.
Ummu Habibah Ramlah bt. Abi sufian r.a

Ummu Habibah seorang janda. Suami pertamanya Ubaidullah bin Jahsyin al-Asadiy. Ummu Habibah dan suaminya Ubaidullah pernah berhijrah ke Habsyah. Ubaidullah meninggal dunia ketika di rantau dan Ummu Habibah yang berada di Habsyah kehilangan tempat bergantung.

Melalui al Najashi, nabi Muhammad s.a.w. melamar Ummu Habibah dan upacara perkahwinan dilakukan oleh Khalid bin Said al-As dengan mas kahwin 400 dirham, dibayar oleh al Najashi bagi pihak nabi.
Juwairiyah ( Barrah ) bt. Harith

Ayah Juwairiyah ialah ketua puak Bani al-Mustaliq yang telah mengumpulkan bala tenteranya untuk memerangi nabi Muhammad s.a.w. dalam Perang al-Muraisi'. Bani al-Mustaliq telah tewas dan Barrah telah ditawan oleh Thabit bin Qais bin al-Syammas al-Ansariy. Thabit mahu dia dimukatabah dengan 9 tahil emas Barrah mengadu kepada nabi. Baginda sedia membayar mukatabah tersebut dan seterusnya mengahwininya.
Safiyah bt. Huyay

Safiyah anak kepada Huyay, ketua puak Bani Quraizah iaitu dari keturunan Nabi Harun a.s. Dalam Perang Khaibar, suaminya seorang Yahudi telah ditawan dan Safiyah telah ditawan. Dalam satu rundingan setelah dibebaskan, Safiyah telah memilih untuk menjadi isteri nabi Muhammad s.a.w. .
Zainab bt. Jahsyin

Zainab merupakan isteri kepada Zaid bin Harithah, yang pernah menjadi hamba dan kemudian menjadi anak angkat nabi Muhammad s.a.w. setelah dia dimerdekakan.

Hubungan suami isteri antara Zainah dan Zaid tidak bahagia kerana Zainab dari keturunan mulia, tidak mudah patuh dan tidak setaraf dengan Zaid. Zaid telah menceraikannya walaupun telah dinasihati oleh nabi Muhammad s.a.w. .

Upacara perkahwinan dilakukan oleh al-Abbas bin Abd al-Muttalib dengan mas kahwin 400 dirham, dibayar bagi pihak nabi Muhammad s.a.w.
Asma' bt. al-Nu'man al-Kindiyah

Asma' telah berkahwin dengan nabi Muhammad s.a.w. tetapi diceraikan oleh baginda dan dihantar pulang kepada keluarganya sebelum hidup bersama kerana Asma mengidap penyakit sopak.
Umrah bt. Yazid al-Kilabiyah

Nabi Muhammad s.a.w. berkahwin dengan Umrah ketika Umrah baru sahaja memeluk agama Islam. Umrah telah diceraikan dan dipulangkan kepada keluarganya.
Zainab bt Khuzaimah

Zainab binti Khuzaimah meninggal dunia sewaktu nabi Muhammad s.a.w. masih hidup.
Rujukan
* Profesor Madya Dr. Ishak Mohd. Rejab, 'Rasulullah Sebagai Ketua Keluarga', Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, 1988.

Baca juga artikel ni

Related Posts with Thumbnails