Memaparkan catatan dengan label Fiqh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fiqh. Papar semua catatan
10/28/2010 02:05:00 PTG

Baca Qunut & Tak Baca Qunut

Aku hairan dengan sikap segelintir (kebanyakkan barangkali) umat Islam yang begitu taksub kepada mazhab yang dipegang sehingga melampau batasan dan mengabaikan ukhwah serta akhlak Islamiyyah. Sehingga satu tahap berpendapat tidak sah solat di belakang Imam yang berlainan mazhab. Ataupun mengingkari perbuatan Imam dalam sesetengah perkara sunat (seperti Qunut). Sedangkan apabila kita membaca kisah-kisah para Imam mazhab mereka mempunyai pandangan fiqh yang cukup luas dalam hal ini.

Sebagai contoh kisah Imam Syafie. Diceritakan jika beliau solat di belakang Imam Malik dan tidak mendengar basmalah, beliau tidak meninggalkan solatnya itu. Bahkan ketika disampaikan jika sekiranya Imam Hanafi berwudhu' dan setelah wudhu' tersentuh kemaluannya, sahkah solat Imam Syafi'i di belakangnya? (Dalam mazhab Hanafi, menyentuh kemaluan tidak membatalkan wudhu') Imam Syafi'i menjawab: 'Mana mungkin aku tidak solat di belakang Abu Hanifah?'

Contoh lain ialah Imam Ahmad bin Hanbali, yang berpendapat bahawa seseorang yang sedang solat lalu berlaku pendarahan pada hidung, maka batallah solatnya itu kerana pendarahan hidung adalah salah satu dari hal yang menyebabkan batalnya wudhu'. Lain pula dengan pendapat Imam Malik bin Anas, yang dari anak-anak muridnya lahir Mazhab Maliki, beliau berpendapat pendarahan hidung itu tidaklah membatalkan wudhu'. Akan tetapi apabila di suatu ketika salah seorang dari anak murid Imam Ahmad bertanya kepadanya - apakah hukum solat di belakang imam yang tidak memperbaharui wudhu' apabila berlaku pendarahan hidung, Imam Ahmad menjawab: Adakah patut aku enggan bersolat di belakang Imam Malik dan Sa'id ibnu Musayyib?

Tidak hairan lah Ibn Hajar al-Haitami mengatakan: 
Mazhab kami benar, tetapi mengandungi kekeliruan. Dan mazhab selain kami keliru, tetapi mengandungi kebenaran.


Mentaliti seperti ini bukan sahaja membelenggu orang awam, adakalanya mereka yang bergelar ustaz. Amat malang kita menyempitkan keluasan fiqh yang ada pada Islam sehingga menyalahi pendapat Imam mazhab kita sendiri. Sehingga ada yang mengatakan apabila solat subuh di Mekah [Imam Arab Saudi tidak membaca Qunut] tidak boleh meninggalkan Qunut, mesti dibaca juga. Begitu juga hal yang melanda golongan salafy di Malaysia yang meninggalkan bacaan Qunut, lantas dengan bangga mereka tidak mengikut Imam membaca Qunut, malah tidak mahu mengangkat tangan. Sedangkan ini sangat bertentangan dengan perintah Nabi s.a.w:

Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya.  Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca 'SamiAllahuliman Hamidah' maka katalah 'Rabbana lakal Hamduh' . Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah). Dan luruskanlah barisan saf dalam solat (jemaah) kerana sesungguhnya saf yang lurus adalah tanda kesempurnaan solat (jemaah).[Sahih Bukhari]  

Kesimpulan, ikuti Imam solat kita sekalipun ia melakukan perbuatan yang bertentangan dengan mazhab kita.  Andai imam membaca Qunut, bacalah Qunut. Andai imam meninggalkan Qunut, maka tinggalkanlah. Inilah adab yang diajar dan ditunjukkan para Imam mazhab kita. Kerana perkara furu' atau cabang tidak sewajarnya menjadi punca kita berpecah belah. Wallahu 'Alam

9/28/2010 04:36:00 PTG

Mitos Di Sebalik Istikharah

Sedih, letih dan sampai satu tahap bosan dengan situasi begini. Soalan-soalan yang sama pattern diajukan. 

"Setakat ni saya tak nampak lagi dia dalam mimpi saya."
"Saya rasa saya dah jumpa siapa calon saya, tapi mukanya dalam mimpi saya tak begitu jelas."

Aku cukup hairan lagi pelik. Sejak bila mimpi menjadi justifikasi bagi membuat keputusan? Lebih-lebih lagi difokuskan kepada dalam membuat keputusan memilih jodoh. Bila memilih kerjaya, bidang pengajian, tak pula tunggu mimpi? Hehe

Bagi aku cukup lah hadith ini sebagai asas dalam membuat pemilihan. Kenapa perlu pening kepala menunggu mimpi? 

“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bacalah artikel yang ditulis Ust Hasrizal ini. Jangan sampai istikharah anda mengundi fitnah dan menyakiti hati saudaramu.

Fitnah Petunjuk Istikharah



“Ustaz, saya dan tunang saya sudah hampir ke tarikh pernikahan kami. Tetapi tunang saya telah secara mendadak memutuskan pertunangan kami. Beliau bermimpi melihat seorang perempuan lain dan setelah beristikharah, beliau yakin perempuan itu adalah pilihan sebenarnya kerana ia muncul dengan petunjuk Allah. Bagaimana pandangan ustaz? Saya dan keluarga saya serta keluarga tunang saya sangat terkilan. Apakah benar saya sudah dikeluarkan daripada petunjuk Allah? Di mana silap saya, ustaz?”


Sepucuk emel dihantar kepada saya.
Beristighfar dan mengurut dada.
Percaya atau tidak, gejala ini semakin menjadi-jadi.
Malah di kalangan pelajar universiti, Istikharah semakin popular di dalam trend yang tersendiri. Ia diamalkan bagi ‘memaksa’ Allah membuat pilihan untuk mereka. Berbekalkan kejadian persekitaran atau mimpi yang disangka petunjuk, kadang-kadang ‘pilihan Allah’ itu adalah tunang orang, suami orang, malah ada juga isteri orang. Bertindak atas nama ‘petunjuk Allah’, tercetus permusuhan sesama anak Adam.
Apakah Allah, atau Syaitan yang memberikan ‘petunjuk’ penuh mudarat dan zalim itu?
MEMBELAKANGKAN ILMU
Penyakit besar yang melanda anak-anak muda terbabit ialah beribadah tanpa ilmu. Mereka melaksanakan Solat Istikharah berdasarkan saranan rakan-rakan yang juga melakukannya atas saranan kawan-kawan yang lain. Berapa ramaikah yang membuka kitab Fiqh atau belajar mengenai Solat itu dan ibadah yang lain melalui para ustaz dan alim ulama’?
Keadaan ini menjadi lebih bermasalah apabila ada pula agamawan yang mengesyorkan panduan-panduan yang tidak berdasarkan keterangan al-Quran dan al-Sunnah malah diajar pula kaifiyat yang sangat membuka ruang manipulasi Syaitan dalam mengaburi pertimbangan anak Adam.
Mengira huruf tertentu di dalam Surah, menyelak secara rawak mushaf dan mencari petunjuk di muka surat yang terbuka, juga paling banyak meniti di minda ialah menanti mimpi yang menjawab permintaan.
Ia mengingatkan saya kepada pandangan Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali di dalam kitab Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen:
“Ada sesetengah orang berpendapat, “sesudah mengerjakan solat serta Doa Istikharah, akan muncullah nanti petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan memilih sebagaimana yang ditunjukkan oleh mimpinya itu” Justeru ada sesetengah orang berwudhu’ dan kemudian melakukan Solat serta Doa Istikharah dan terus tidur (dengan meletakkan harapan  petunjuk datang melalui mimpi), malah ada juga mereka yang sengaja memakai pakaian berwarna putih kerana mengharapkan mimpi yang baik. Semua ini hakikatnya adalah prasangka manusia yang tidak berasas”
Menjadi satu keperluan yang sangat penting untuk kita kembali kepada maksud asal Solat Istikharah.
Istikharah itu bermaksud meminta bantuan daripada Allah untuk seseorang itu memilih di antara beberapa kemungkinan yang diharuskan oleh Syara’. Ada pun pilihan yang berada antara manfaat dan mudarat, apatah lagi Halal dan Haram hatta Makruh, maka tidak harus untuk Istikharah dilakukan kerana tindakan yang sepatutnya diambil sangat jelas iaitu pada meninggal dan menghindarkan pilihan yang tidak baik itu.
Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:
Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:
Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).
Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.
ANTARA ISTIKHARAH DAN ISTISYARAH
Istikharah itu mempunyai gandingan yang memberi tambahan kemudahan. Ia dikenali sebagai Istisyarah.
Istisyarah ini bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan.
Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata:
“Tidak akan menyesal seorang yang beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta bermesyuarat dengan para Makhluq, serta tetap pendirian dalam keputusannya”
Biar pun para Ulama berselisih pendapat tentang mana yang patut didahulukan antara Istisyarah dan Istikharah, ia tidak menjejaskan bahagian yang perlu dimainkan oleh seorang manusia dalam proses dirinya membuat keputusan. Sebelum sampai kepada pertimbangan memilih antara dua kebaikan, seseorang yang berhajat itu mestilah mempunyai asas dalam penilaiannya agar pilihan yang ada di depan matanya adalah antara dua perkara yang harus serta sama baik. Sudah tentu, hal ini juga memerlukan dirinya untuk mengambil bahagian dengan berusaha.
Setelah beristikharah, namun hati masih berada di dalam ketidak pastian, harus baginya untuk mengulangi Solat dan Doa Istikharah itu hingga beroleh ketetapan hati dalam membuat keputusan. Di samping itu juga, dia dianjurkan beristisyarah, yakni meminta pendapat individu-individu yang dipercayai integriti dan kemahirannya dalam urusan tersebut, agar keputusan boleh dibuat.
Titik pentingnya ialah, keputusan hendaklah kita yang berhajat itu melakukannya dan bukan menyerahkan kepada Allah untuk membuat keputusan itu dan menampakkanya melalui petanda-petanda yang dicari. Di sinilah ruang untuk fitnah berlaku apabila dalam suasana hidup kita yang dibelenggu oleh pelbagai maksiat serta Iman yang teruji, kita membuka suatu ruang kosong untuk dicelah oleh tipu helah Syaitan.
Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan sering terdorong mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada Allah, sebaliknya bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong kecenderungan dirinya sendiri.
Berhentilah mencari mimpi.
Berhentilah menunggu petanda.
Beristikharah memanggil kebersamaan Allah dalam keputusan yang kita buat. Kita yang membuat keputusan itu, dengan keyakinan hasil Istikharah, bahawa keputusan yang kita buat itu adalah dengan kebersamaan Allah. Jika di kemudian hari, pada pilihan yang dibuat itu, datang mehnah yang menguji kehidupan, kita tidak akan berfikiran negatif malah berusaha untuk mencari sisi-sisi positif pada apa yang berlaku kerana keputusan yang dibuat dahulu itu adalah dengan kelengkapan Syariatullah (Istikharah) serta Sunnatullah (Istisyarah – Ikhtiar Usaha).
Pertimbangkanlah… seandainya pilihan yang disangkakan petunjuk daripada Allah itu mencetuskan mudarat, permusuhan, meninggalkan yang afdhal dan mengambil yang mafdhul… berhati-hatilah.
Ia mungkin mainan Syaitan.
“Sebahagian (daripada umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayah” [Al-Aa'raaf 7: 30]
KESIMPULAN
  1. Hindarkan diri daripada kesukaran menetapkan pendirian dalam kehidupan. Was-was adalah permainan Syaitan dan penyakit jiwa yang mengundang bahaya.
  2. Dalam hal-hal yang tiada keraguan dalam membuat pilihan keputusan, ia tidak berhajatkan kepada Istikharah.
  3. Ketika berdepan dengan pilihan yang sukar ditentukan, gunakan pertimbangan diri untuk melihat buruk baiknya.
  4. Jika jelas mudarat atau sudah ditentukan Haram hukumnya, maka tidak harus beristikharah.
  5. Pada perkara yang sukar untuk dibuat keputusan, beristikharahlah kepada Allah mengikut kaifiyat Solat Istikharah dan Doa yang Ma’thur daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
  6. Istikharah boleh diulang beberapa kali hingga beroleh ketetapan hati untuk membuat keputusan.
  7. Di samping itu juga beristisyarahlah dengan meminta pandangan pihak yang boleh dipercayai kewibawaannya.
  8. Petunjuk daripada Allah ialah kemampuan hati untuk tetap pendirian membuat keputusan.
  9. Hindarilah perbuatan menunggu mimpi atau petanda berbentuk isyarat kerana ia sangat terbuka kepada belitan Iblis.
  10. Jauhi Bid’ah dan Syirik.
  11. Setelah keputusan dibuat, bertawakkallah kepada Allah dan tenang dengan keputusan itu.
  12. Seandainya timbul cabaran atau muncul sisi kekurangan pada pilihan yang dipilih, tiada fikiran negatif muncul kerana yakin adanya hikmah dan kebaikan daripada Allah.
  13. Istikharah terbuka kepada apa sahaja urusan kehidupan yang berada di dalam ruang lingkup keharusan Syara’ dan salah jika hanya dilihat sebagai mekanisme jodoh.
  14. Rujuklah kitab-kitab Fiqh serta panduan Sunnah dalam urusan Istikharah serta ibadah-ibadah yang lain.
  15. Melakukan ibadah dengan hanya berpandukan hearsay adalah pintu kebinasaan dalam beragama.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

9/05/2010 08:20:00 PG

Menegur Pemimpin Tidak Secara Terbuka?

aumchak »

Assalamualaikum.

Saya baharu berbual dengan seorang sahabat yang mengikut aliran salafi dari UK. Menurut beliau kaedah dan adab salafi menurut sunnah untuk menegur pemimpin ialah bukanlah secara terbuka di khalayak ramai, tetapi untuk menegur secara peribadi bagi mengelakkan dari memalukannya. Saya juga pernah terbaca artikel di website aliran salafi yang menegaskan perkara ini, dan menyatakan kesilapan jemaah islam yang mengkritik secara terbuka pihak pemerintah/kerajaan. Ini dikuatkan dengan pendirian oleh bekas mufti Arab Saudi bin Baz yang tidak bersetuju dengan cara kritikan lantang/ golongan pembangkang di kalangan ahli akademik/ulama di negara tersebut terhadap pemerintah. Tambah lagi sahabat saya ini mengatakan bahawa nasihat/teguran perlu diberikan bukan untuk berkepentingan lain (politik/meraih sokongan dsb) selain kerana Allah semata-mata.


Soalan saya,

1. Apa komen al-Ahkam mengenai perkara di atas?


2. Sekiranya benar metod salafi demikian, bagaimana pula gerakan sebuah parti yang memperjuangkan Islam di negara kita. Bukankah teguran-teguran/kritikan berkepentingan politik (menjatuhkan lawan). Pernah juga terjadi seorang pemimpin pihak pembangkang mendakwa seorang pemimpin kerajaan menonton video lucah. Adakah metod ini diterima Islam. (Sekadar contoh bukan untuk memburukkan yang sudah tiada)


Sekian mohon dijernihkan permasalahan ini. Wassalam




******************************************

pendekar »

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta'ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama' yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta'ala dan seluruh muslimin. Amin.


Terima Kasih kepada Saudara aumchak yang mengajukan soalan di atas . Kami , khasnya Pendekar , memohon jutaan kemaafan daripada saudara dan para pengunjung al-Ahkam Online kerana agak lewat menjawab soalan ini yang telah dikirim pada 11. Jun . 2003 lalu .

Ini disebabkan kami sendiri terpaksa “ study “ semula permasalahan ini dengan teliti di samping mendahulukan soalan-soalan lain yang lebih mudah ataupun lebih perlu disegerakan jawapannya .


Soalan di atas kami berikan tajuknya sebagai : “ METODE PARTI-PARTI PEMBANGKANG ADALAH SALAH ? “ ataupun boleh juga diberikan tajuk sebagai : “ HUKUM MENJATUHKAN KERAJAAN YANG YANG ZALIM “ .


#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#


Kami mendoakan agar kawan saudara yang didakwa mengikuti aliran SALAFI di UK itu benar-benar bertemu dengan Jemaah Salafi yang sebenar , dan bukannya kumpulan yang sekadar mendakwa mereka itu “ Salafiyun “ akan tetapi lebih cenderung kepada Kumpulan “ HARFIYUN “ yang lebih cenderung memahami agama Islam berdasarkan nas-nas zahir semata-mata ( TEKSTUAL ) dan moga-moga dijauhkan Allah Ta’ala juga daripada cenderung kepada manhaj ( Metode ) “ NEO – KHAWARIJ “ ( Khawarij Moden ) .


Untuk mengetahui apakah MANHAJ SALAFI TULIN yang sesuai dengan Aliran Wasatiyyah ( Sederhana ) yang dibawa oleh Islam , sila baca penjelasan al-‘Allamah Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ha mengenainya di :


PEMIKIRAN SALAFI

http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Etc/Salafi.html

#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#
Sekarang , marilah kita lihat apakah Hukum Menukar Pemerintah Islam Yang Zalim Menurut Pandangan Islam , dan khasnya Golongan Pure - Salafi ( Salafus Solihin radhialLahu ‘anhum ) :

Umat Islam , TIDAKLAH SEPAKAT di dalam memutuskan apakah yang perlu dilakukan apabila seseorang pemimpin yang beragama Islam melakukan kezaliman , adakah perlu kita bersabar dan mendoakan pemimpin itu diberi hidayah ATAUPUN perlukah kita bangkit menentangnya disebabkan kezalimannya itu ? .


Secara ringkasnya , terdapat 2 kelompok umat Islam yang mewakili pandangan masing-masing apabila berhadapan dengan masalah di atas :


{ 1 } ~ GOLONGAN PERTAMA :


Golongan ini mengatakan TIDAKLAH SEPATUTNYA di dalam apa juga keadaan, kita keluar ( bangkit menentang ) pemerintah Islam yang zalim , sama ada menentang secara kekerasan ataupun melakukan revolusi ke atasnya .


Yang sepatutnya – menurut golongan ini – ialah TERUS BERSABAR DAN MENDOAKAN agar pemimpin Islam yang zalim itu diberikan hidayah oleh Allah Ta’ala , lalu bertaubat.


Syeikh Al-Bazdawi mengatakan pendapat ini disandarkan kepada al-Imam Nu’man Bin Tsabit rh ( Abu Hanifah – Pengasas Mazhab Hanafi ) ~ Lihat : USULUDDIN , halaman : 90 , oleh Syeikh Bazdawi rh .


Dikatakan juga bahawa pendapat golongan pertama ini adalah pendapat yang diterima-pakai oleh sebahagian para sahabat r.a yang utama , seperti : Saidina Sa’ad Bin Abi Waqqas r.a , Saidina Usamah Bin Zaid r.a , Saidina ‘Abdullah Bin ‘Umar r.a dan Saidina Muhammad Bin Musalmah r.a . Dan ini dilihat juga daripada sikap mereka yang menerima pemerintahan Bani Umaiyyah yang kejam dan zalim ~ Lihat : al-FISOL FIL MILAL WAN NIHAL , oleh : al-Imam Ibnu Hazm rh , Jilid : 4 , Halaman : 171 .


Dan dinyatakan pula , umat Islam HANYALAH perlu bertindak menasihati dan mendoakan pemimpin yang zalim itu TANPA perlu berbuat selain itu ( lawan secara kekerasan ataupun secara revolusi ) ~ Lihat : AL-AHKAM as-SULTONIYYAH oleh al-Imam al-Mawardi rh , halaman 15 , AL-AHKAM as-SULTONIYYAH oleh al-Imam Abu Ya’ala rh , halaman : 20 , AL-KHARAJ oleh al-Imam Abu Yusuf rh , halaman : 10 , al-IMAMAH al-UZMA oleh al-Fasi , halaman : 41 , al-FISOL FIL MILAL WAN NIHAL , Jilid 2 , Halaman : 171 dan MINHAJUS SUNNAH oleh al-Imam Ibnu Taimiyah rh , Jilid 2 , halaman : 87 .


Menurut satu pendapat yang lemah , dikatakan bahawa pandangan di atas adalah pandangan disepakati oleh seluruh aliran di dalam AHLUS SUNNAH WAL JAMA’AH .


DALIL – DALIL GOLONGAN PERTAMA :


1 ~ Ertinya : “ Wahai orang-orang yang beriman ! , taatilah kamu akan Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin dari kalangan kamu . Maka jika kamu berselisih-faham pada sesuatu , maka rujuklah kembali kepada Allah dan Rasul , jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat . Itulah lebih baik dan kesudahan yang terbaik . “ ~ Surah an-Nisa’ , ayat 59 .


2 ~ Ertinya : Daripada Saidina Junadah ra Bin Abi Umaiyah , dia berkata : Kami pernah menziarahi Saidina ‘Ubadah Bin as-Somit r.a yang sedang sakit , lalu kami berkata kepadanya : “ Semoga Allah memperbaiki keadaan kamu . Tolonglah beritahu kami satu hadis yang pernah kamu dengar daripada Baginda Nabi s.a.w , mudah-mudahan Allah memberikan manfaat kepadamu dengannya “ . Katanya : “ Baginda Nabi s.a.w pernah mengajak kami duduk bersama-samanya , lalu kami pun berbai’ah ( berjanji-setia ) kepada Baginda s.a.w . Apa yang Baginda s.a.w nyatakan di dalam bai’ah itu kepada kami ialah agar kami ini dengar dan taat , sama ada di dalam keadaan kami cergas ( sihat ) ataupun lemah , di dalam keadaan senang ataupun susah , dan walaupun pemimpin itu tidak menunai hak-hak ke atas kami . Dan kami juga diminta berbai’ah agar kami tidak mencabut ketaatan kami kepada mereka yang berkuasa MELAINKAN jika kami melihat kekufuran yang nyata di sisi kamu ( wahai para pemimpin yang zalim ) , yang ada petunjuk yang terang daripada Allah yang mengatakan perbuatan itu adalah kekufuran yang nyata “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh , Kitab al-Fitan , Hadis ke-7056 .


3 ~ Ertinya : Daripada Saidina Ibnu ‘Umar r.a , beliau mendengar Baginda Nabi s.a.w bersabda : “ Janganlah kamu kembali menjadi kafir selepas ketiadaan aku , iaitu kamu saling bunuh-membunuh sesama kamu “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh , Kitab al-Fitan , Hadis ke-7077 .


4 ~ Ertinya : Daripada Saidina Ibnu ‘Abbas r.a , daripada Baginda Nabi s.a.w bersabda : “ Sesiapa sahaja yang benci kepada ketuanya , maka hendaklah dia bersabar . Sesungguhnya , sesiapa sahaja yang keluar ( menentang ) ketuanya walaupun sejengkal , maka matinya nanti adalah mati secara jahiliyyah “~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh , Kitab al-Fitan , Hadis ke-7053 .


5 ~ Ertinya : Daripada Saidina ‘Abdullah Bin Saidina ‘Umar r.a . Sesungguhnya Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda : “ Sesiapa sahaja yang menghunuskan senjatanya ( kepada sesama umat Islam ) , maka dia bukanlah daripada golongan kita “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh , Kitab al-Fitan , Hadis ke-7070 .


6 ~ Ertinya : Diceritakan kepadaku oleh Saidina Busr Bin ‘UbaidilLah Al-Hadrami, sesungguhnya dia pernah mendengar Saidina Abi Idris Al-Khulani r.a berkata : “Aku pernah mendengar Saidina Hudzaifah Bin Yaman r.a berkata : “Sesugguhnya manusia biasa bertanya kepada Rasulullah s.a.w berkenaan dengan kebaikan, akan tetapi aku pula bertanya kepada baginda mengenai keburukan kerana takut aku ditimpa olehnya, sesungguhnya kami ini pernah tinggal di zaman jahiliyyah dan jahat pula, lalu Allah telah mendatangkan kepada kita kebaikan, lalu adakah kejahatan lagi selepas kebaikan ini ?”, jawab Baginda s.a.w : “Ya ada, tetapi terdapat kekurangan dan perselisihan di dalamnya”. Maka aku bertanya lagi : “Apakah kekurangan dan perselisihan itu ?”. Jawab Baginda s.a.w : “Akan ada segolongan yang tidak menjadikan sunnahku sebagai sunnah dan tidak pula megambil petunjuk dengan petunjukku, dari kalangan mereka ada yang engkau kenali dan ada yang tidak engkau kenali”. Aku bertanya lagi : “Adakah akan berlaku keburukan yang lain pula selepas kebaikan itu ?”. Jawab Baginda s.a.w : “ Ya, selepas itu akan ada orang-orang yang menyeru manusia ke Neraka Jahannam. Barangsiapa yang menyahut seruan mereka itu, mereka akan dicampakkan ke dalam neraka itu”. Aku bertanya lagi : ” Wahai Rasulullah ! , tunjukkanlah kepada kami akan sifat-sifat mereka itu ?”. Jawab Baginda s.a.w : ” Baiklah, mereka itu sebangsa dengan kita dan bertutur di dalam bahasa kita”. Aku bertanya lagi : “Wahai Rasulullah !, apakah yang perlu aku perbuat ketika itu andainya aku masih hidup ? ”. Jawab Baginda s.a.w : “ Engkau hendaklah bersama jemaah / persatuan Islam dan pemimpin mereka ”. Aku bertanya lagi : “Bagaimana sekiranya ketika itu sudah tiada jemaah Islam dan pemimpin Islam ? ”. Baginda menjawab : “ Engkau hendaklah memencilkan (uzlah) diri kamu daripada kumpulan mereka walaupun engkau terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah engkau di dalam keadaan itu sehingga engkau mati” ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh , Kitab al-Fitan , Hadis ke-7084 “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh , Kitab al-Fitan , Hadis ke-7084 .


Demikianlah beberapa dalil utama yang menjadi asas pegangan kepada Golongan Pertama di atas . Selain itu , mereka bukan sahaja mengatakan TIDAK DIBERNARKAN menentang sebarang Kerajaan Islam yang zalim , MALAHAN mereka juga berpendapat bahawa setiap orang yang diseru oleh Kerajaan Islam yang dipimpin oleh golongan yang zalim itu UNTUK MENENTANG DAN MENGHAPUSKAN golongan lain yang mahu menjatuhkan dan menentang kerajaan itu sebagai WAJIB . Ertinya :
Wajib taat kepada kerajaan yang zalim itu apabila diminta bersama-sama mereka menentang para pembangkang ! ~ Lihat : BADAI’E as-SONAI’E , oleh : al-‘Allamah al-Kisani rh ( Jilid 7 , Halaman : 140 ) .

#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#


{ 2 } ~ GOLONGAN KEDUA :


Golongan kedua pula berpendapat bahawa hendaklah digunakan cara yang keras dan militan apabila perlu demi menumbang sesebuah kerajaan yang zalim .


DALIL – DALIL GOLONGAN KEDUA :


1 ~ Ertinya : “ Hendaklah kamu saling bantu-membantu di dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu saling bantu-membantu di dalam perkara dosa dan permusuhan “ ~ Ayat 3 , Surah al-Ma-idah .


2 ~ Ertinya : “ Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran , maka hendaklah dicegah dengan tangannya ( kuasanya ) , maka jika dia tidak berupaya , hendaklah dengan lidahnya dan jika dia masih tidak berupaya dengan lisan , maka hendaklah dengan hatinya , kerana itu adalah selemah-lemah iman “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam Muslim rh . al-Imam Abu Daud rh , al-Imam at-Tirmidizie rh , al-Imam an-Nasaie rh dan al-Imam Ibnu Majah rh .


3 ~ Ertinya : “ Tidak ada seorang nabi pun yang diutus Allah daripada umat sebelumku melainkan baginda mempunyai para pembantu dan sahabat yang menjadikan sunnah baginda sebagai contoh dan mengikuti pula arahannya . Kemudian , datanglah pula satu golongan yang buruk selepas itu yang mana mereka hanya pandai berkata tetapi tidak pula mempraktikkannya , dan mereka itu juga mempraktikkan apa yang tidak pernah diperintahkan kepada mereka . Sesiapa sahaja yang berjihad menentang mereka dengan tangannya maka itulah orang yang sebenarnya beriman , dan sesiapa pula yang berjihad menentang mereka dengan lidahnya maka itulah juga orang yang benar-benar beriman , dan sesiapa sahaja yang menentang mereka dengan hatinya ( tidak redha dengan apa yang dilakukan oleh mereka ) maka itu juga adalah orang yang beriman . Dan tiadalah lagi iman walaupun sebesar biji sawi selepas ( tahap terakhir itu ) “ ~ Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam Muslim rh .


4 ~ Ertinya : Daripada Saidina Ibnu ‘Umar r.a , daripada Baginda Nabi s.a.w yang bersabda : “ Dengar dan patuh itu adalah satu kewajipan selagi mana seseorang itu tidak diperintahkan untuk berbuat maksiat . Dan sekiranya dia diperintahkan berbuat maksiat , maka tidak adalah ketika itu dengar dan patuh “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh .


5 ~ Ertinya : Daripada Saidina Tariq Bin Syihab r.a menceritakan : Pernah pada satu ketika ada seseorang lelaki datang bertanya Baginda Rasululullah s.a.w yang telah meletakkan kakinya di pelana tunggangannya , dia bertanya : “ Apakah bentuk jihad yang paling utama ? “ , Jawab Baginda s.a.w : “ Bercakap benar di hadapan seorang pemerintah yang zalim “ ~ Hadis Sahih diriwayakan oleh al-Imam an-Nasaie di dalam Kitab al-Bai’ah .


6 ~ Ertinya : Daripada Saidina Said Bin Zaid ra , dia berkata : Aku pernah mendengar Baginda Rasulullah s.a.w bersabda : “ Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya , maka dia adalah syahid . Dan sesiapa yang mati kerana mempertahankan agamanya , maka dia adalah syahid . Dan sesiapa yang mati kerana mempertahankan darahnya , dia adakah syahid dan sesiapa yang mati kerana mempertahankan ahli keluarganya , maka dia adalah syahid “ ~ Hadis Hasan Sahih diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmidzie rh di dalam Kitab ad-Diyat .


7 ~ Ertinya : Daripada Saidina Huzaifah Bin al-Yaman r.a , daripada Baginda Nabi s.a.w yang bersabda : “ Kamu mestilah melakukan perkara yang makruf ( kebajikan ) dan hendaklah juga kamu mencegah kemungkaran , ataupun ( jika tidak kamu berbuat demikian ) , hampir-hampir sahaja Allah-Nya menurunkan azab ke atas kamu , kemudian kamu pun berdoa kepada-Nya tetapi doa kamu tidak diperkenankan-Nya “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmidzie rh di dalam Kitab al-Fitan dan al-Imam Ahmad di dalam Baqi Musnad al-Ansor .


Pandangan Golongan Kedua ini ~ menurut al-Imam Abul Hasan al-‘Asya’ari rh ~ dinisbahkan kepada majoriti Kaum Muktazilah , Khawarij dan majoriti kelompik Murji-ah dan sebahagian penganut Ahlus Sunnah Wal Jama’ah ~ Lihat : MAQALAT al-ISLAMIYYIN , Jilid : 1 , Halaman : 141 & Jilid : 2 , Halaman : 140 .


Al-Imam Ibnu Hazm rh pula menisbahkan pegangan golongan kedua ini kepada majoriti Para Sahabat r.a , di antara mereka ialah : Saidina ‘Ali Bin Abi Talib r.a dan semua sahabat r.a yang bersama-samanya , Saidatina ‘Aisyah r.a Ummu al-Mukminin , Saidna Tolhah r.a , Saidina az-Zubair r.a dan para sahabat yang bersama-sama mereka r.a . Pendapat ini jugalah yang dipegang oleh para sahabat r.a , tabi’ien r.a , tabie’ at-Tabi’ien r.a serta umat Islam yang menentang kezaliman yang dibawa oleh Kerajaan Bani Umaiyah dan Kerajaan ‘Abbasiah , seperti Saidina al-Hussein r.a , Saidina ‘Abdullah Bin Zubair r.a dan dipersetujui pula pandangan ini oleh al-Imam Abu Hanifah rh , al-Imam Syarik rh , al-Imam Malik rh , al-Imam asy-Syafi’e rh , al-Imam Daud rh dan selain mereka lagi daripada majoriti Fuqaha’ rh.


 
Al-Imam Ibnu Hazm rh menyatakan juga : “ Kesemua fuqaha’ ( cendekiawan Fiqh ) di atas telah bersetujui dengan pandangan golongan kedua itu dengan cara , sama ada menyebutnya di dalam fatwa-fatwa mereka atupun dengan cara menghunuskan pedang mereka apabila mereka melihat kemungkaran itu “ ~ Lihat : al-FISOL FIL MILAL WAN NIHAL , oleh : al-Imam Ibnu Hazm rh , Jilid : 4 , Halaman : 171 & 172 .



PANDANGAN YANG PALING KUAT DAN PALING SESUAI :


Pandangan yang paling kuat dan paling sesuai dengan ajaran Islam ialah PANDANGAN YANG DIPEGANG OLEH GOLONGAN KEDUA DARI KALANGAN PARA ULAMA’ R.A DAN UMAT ISLAM RH . Ini disebabkan sebab-sebab berikut :


{ 1 } ~ Ayat al-Quranul Karim ( Ayat 69 drp Surah an-Nisa’ ) itu sendiri ADALAH DALIL UTAMA kepada golongan kedua ( lebih berpihak kepada golongan kedua dan bukannya bagi golongan pertama ) . Ini difahami sendiri daripada ayat tersebut yang membawa maksud : Taat kepada Allah dan taat kepada Baginda Rasulullah s.a.w adalah TAAT YANG TIDAK BERBELAH BAGI DAN BERSIFAT TOTAL ( MUTLAQ ) , sedangkan taat kepada pemerintah adalah ketaatan yang bersyarat ( MUQAYYAD ) iaitu selagi mana seseorang pemimpin itu taat kepada Allah Ta’ala dan taat kepada Baginda Rasulullah s.a.w .


{ 2 } ~ Di dalam al-Quranul Karim sendiri ( ayat 8 drp Surah al-‘Ankabut ) ada menyebut bahawa TIDAK DIBERNARKAN TAAT kepada kedua ibu-bapa jika mereka berdua memerintahkan anaknya berbuat syirik . Kalau dengan kedua-ibu bapa pun tidak dibenarkan ditaati mereka 100 % , maka betapa pula dengan seorang pemerintah ? .


{ 3 } ~ Hadis-Hadis yang dinyatakan oleh golongan pertama itu semuanya telah dimansukhkan ( dihapuskan ) oleh hadis-hadis yang datang selepas itu ( yang kemudiannya dijadikan hujah bagi golongan pertama ) . Dan hadis-hadis yang dipegang oleh golongan pertama itu sebenarnya adalah hadis-hadis yang diucapkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w di AWAL KEMUNCULAN DAKWAH ISLAM DAN IANYA HANYA SESUAI DILAKSANAKAN DI KALA UMAT ISLAM DI DALAM KELEMAHAN .


{ 4 } ~ Tidakkah masuk akal untuk mewajibkan seseorang muslim itu semestinya taat 100 % dan 24 jam kepada pemerintah yang zalim dengan alasan pemerintah yang zalim itu MASIH BERAGAMA ISLAM . Dan ini bukan sahaja tidak diterima oleh logik dan akal yang waras , bahkan ia sendiri ditentang oleh hadis-hadis yang dinyatakan oleh golongan kedua di atas .


{ 5 } ~ Ini bermakna , umat Islam wajib mendesak seseorang pemimpin Islam yang telah melakukan kezaliman itu agar berundur daripada jawatannya . Ini kerana kezaliman itu sendiri tidak layak dengan amanah yang dipegang oleh seseorang pemimpin Islam . Dan desakan itu tidak berjaya secara nasihat dan kaedah-kaedah lain ( contohnya : pilihanraya ) , maka di waktu itu dibenarkan DIGUNAKAN CARA YANG KERAS ( secara revolusi ataupun penentangan secara bersenjata ) apabila keadaan semakin mendesak .


{ 6 } ~ Ini juga TIDAKLAH BERMAKNA setiap kita dituntut menentang sebarang kezaliman dengan cara yang keras ataupun militan , melainkan apabila itulah satu-satunya cara yang ada ATAUPUN di waktu itu kuasa pemerintahan sudah berada di tangan umat ( rakyat ~ iaitu dengan melakukan revolusi rakyat ) .


{ 7 } ~ Dan di dalam bertindak , umat Islam hendaklah CERDIK dan BERHATI-HATI . Dan Islam sendiri tidak memerintahkan umatnya untuk memilih jalan yang lebih merbahaya ( seperti gerakan militan , revolusi dan sbgnya ) , sebaliknya diutamakan jalan yang lebih selamat ( nasihat , ceramah dan pilihanraya ) dan lebih aman untuk kesinambungan dakwah Islam dan survival umat Islam .




1 ~ Kata Sudara Aumchak :


Saya juga pernah terbaca artikel di website aliran salafi yang menegaskan perkara ini, dan menyatakan kesilapan jemaah islam yang mengkritik secara terbuka pihak pemerintah/kerajaan. Ini dikuatkan dengan pendirian oleh bekas mufti Arab Saudi bin Baz yang tidak bersetuju dengan cara kritikan lantang/ golongan pembangkang di kalangan ahli akademik/ulama di negara tersebut terhadap pemerintah.


Jawapan kami : Apa yang dinyatakan oleh al-‘Allamah Bekas Mufti Arab Saudi itu adalah pandangan yang dipegang oleh golongan pertama di atas . Namun untuk mengatakan bahawa tidak boleh menasihati secara terbuka sesebuah kerajaan Islam yang “ tergelincir “ daripada landasan yag hak , maka kata-kata ini TIDAK DAPAT DITERIMA memandangkan ada di kalangan para sahabat r.a sendiri menasihati sesama mereka secara terbuka ! . Sila pelajari semula KISAH PARA SAHABAT R.A ! .


Ataupun , jika masih mahu diterima pandangan beliau rh itu , maka itu adalah berdasarkan konteks masyarakatnya yang diperintah oleh Kerajaan Arab Saudi . Kerajaan Arab Saudi adalah Kerajaan Islam kerana menjadikan al-Quranul Karim dan as-Sunnah sebagai dasar dan perundangan tertinggi negara itu . Dan ini bermakna Kerajaan Arab Saudi adalah KERAJAAN ISLAM YANG SAH , sekalipun terdapat beberapa kekurangan dan polisi mereka yang bertentangan dengan Islam .


Adapun kerajaan di negara kita BUKANLAH KERAJAAN ISLAM YANG SAH DI SISI SYARIAT kerana perlembagaan negara kita sendiri pun tidak menjadikan al-Quranul Karim dan as-Sunnah sebagai dasar dan perlembagaan utama .


Kerajaan Malaysia dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang beragama Islam . Ya ! , itu memang diakui semua , akan tetapi JANGAN PULA DISAMAKAN KERAJAAN ISLAM DENGAN KERAJAAN YANG DIPIMPIN OLEH UMAT ISLAM .


Dan Jangan pula disamakan NEGARA ISLAM dengan NEGARA YANG DIPIMPIN OLEH UMAT ISLAM , sebagai mana tidaklah sama di antara BANK ISLAM dengan BANK YANG PENGARAHNYA ADALAH ORANG ISLAM !!! . :non


Tambah lagi sahabat saya ini mengatakan bahawa nasihat/teguran perlu diberikan bukan untuk berkepentingan lain (politik/meraih sokongan dsb) selain kerana Allah semata-mata.


Jawapan kami : Ya , memang benar nasihat dan teguran yang diberikan HENDAKLAH kerana Allah Ta’ala dan demi melaksanakan perintah Baginda Rasulullah s.a.w serta demi menyelamatkan umat Islam daripada kezaliman dan kemungkaran . Ya , kata-kata di atas adalah benar sekali .


Namun , kata-kata di atas TIDAKLAH BERMAKSUD bahawa para ulama’ dan umat islam yang masuk ke kancah politik hari ini sebagai orang-orang yang tidak ikhlas kerana Allah Ta’ala .


Beranikah kawan saudara itu menafikan keikhlasan para pejuang Islam yang sanggup bersusah-payah dan berkorban jiwa dan raga demi kedaulatan Islam !? .


Beranikah kawan saudara itu menyatakan bahawa mereka yang ditangkap secara zalim kerana memperjuangkan Islam itu sebagai golongan yang BERMOTIF politik semata-mata ( tidak ikhlas ) !? .


Beranikah kawan saudara itu menyatakan bahawa jika mahu benar-benar ikhlas maka hendaklah dipegang hujah-hujah golongan pertama di atas SAHAJA , ataupun , sekadar memberi nasihat sahaja kepada pemerintah yang zalim !? .


3 ~ Tanya Saudara Aumchak pula :


Sekiranya benar metod salafi demikian, bagaimana pula gerakan sebuah parti yang memperjuangkan Islam di negara kita. Bukankah teguran-teguran/kritikan berkepentingan politik (menjatuhkan lawan). Pernah juga terjadi seorang pemimpin pihak pembangkang mendakwa seorang pemimpin kerajaan menonton video lucah. Adakah metod ini diterima Islam. (Sekadar contoh bukan untuk memburukkan yang sudah tiada)


Jawapannya : Metode SALAFI telah pun kami bentangkan di atas . Dan pandangan daripada golongan kedua di atas juga adalah pandangan yang dipersetujui jugak oleh MAJORITI FUQAHA’ DAN SALAFUS SOLIHIN R.A . Kawan Saudara Aumchak di UK itu TIDAK SEPATUTNYA MENUTUP SEBELAH MATANYA dengan mengatakan bahawa HANYA pandangan dia ( yang sama dengan pandangan golongan pertama di atas ) sahajalah YANG BENAR DAN YANG “ PURE SALAFI “ ! .


Dan kawan saudara juga tidak sepatutnya MENGEKSPLOITASI DALIL yang biasanya menjadi “ permainan “ bagi golongan yang konon-kononnya adalah salafi !!! .


Teguran dan nasihat yang diberikan oleh parti / gerakan / jemaah Islam kepada pemerintah yang zalim ( sama ada ia Islam ataupun tidak ) TIDAKLAH BOLEH DIANGGAP SUDAH SEMESTINYA TIDAK IKHLAS KERANA IA LEBIH BERMOTIF POLITIK . Ini sudah pun kami jelaskan sebentar tadi .


Adapun mengenai dakwaan : SEORANG PEMIMPIN KERAJAAN MENONTON VIDEO LUCAH , maka perkara itu hendaklah dibuktikan oleh si pendakwa . Ini bersesuaian pula dengan kaedah fiqh yang menyebut : “ AL-BAIYYINAH ‘ALA MUDDA’IE WAL YAMIN ‘ALA MAN ANKARA “ ( Bukti hendaklah dibawa oleh pihak pendakwa dan bersumpah itu menjadi hak ke atas orang yang menafikan dakwaan ) . Maka hal itu lebih patut disoal kepada orang yang mendakwanya dan bukannya ditanyakan kepada al-Ahkam Online ! .


4 ~ Kami di al-Ahkam. Net ini sendiri pernah membicarakan hal politik Islam ini berdasarkan padangan SALAFI ( Para Salafus Solihin r.a ) . Cuba lihat kembali perbincangan tersebut di :


Sekian . Semoga ada manfaatnya bersama .

Wallahu A'alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#


RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN


1 ~ al-MAS-ULIYYAH FIL ISLAM : DIRASAH MUQORONAH

{ Teks Pengajian Master , Fakulti Syariah & Perundangan , Universiti al-Azhar asy-Syarif , Kaherah }
Oleh : Al-'Allamah Dr. Fuad Muhammad an-Nadi ha
Terbitan : az-Zahra’ Lil I’elam al-‘Arabi ( 1986 m )


2 – FATHUL BARY : SYARH SAHIH al-IMAM al-BUKHARI RH

Oleh : Syekhul Islam al-Hafiz al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqolani rh
Jilid ke- 14 , Kitab al-Fitan , Halaman : 491 – seterusnya
Terbitan : Darul Fikr , Beirut ( 1995 ) 
 

8/30/2010 02:16:00 PTG

Hukum Wanita Haid dan Orang Berjunub Masuk Masjid

Akhir-akhir ni sering isu agama dipolitikkan sehingga ramai umat Islam melatah kerana kejahilan dan tidak dapat menilai isu secara ilmiah. Antara isu mendoakan orang bukan Islam dan isu orang bukan Islam masuk masjid.

Semalam salah seorang peserta bertanyakan pula soalan berkenaan hukum wanita haid masuk masjid. Maka aku ambil sedikit masa untuk membuat nota ini sekadar rujukan tambahan.

Pertamanya, ini hanya nota dari pembacaan aku di internet, maka boleh diterima dan ditolak. [maaf tidak mempunyai kesempatan untuk membuat semakan sumber di perpustakaan)



Hukum yang dipegang oleh kebanyakan ulama seperti Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal ialah haram bagi wanita haid duduk di dalam masjid.
Pendapat Imam Dawud Zahiri, Imam Muzani, Ibn Hazim Zahiri, Imam  serta beberapa orang lain lagi pula ialah diharuskan. Manakala ulama kontemporari seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi juga berpendapat harus dan menarik fatwa beliau sebelum ini yang mengharamkan


جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَوُجُوهُ بُيُوتِ أَصْحَابِهِ شَارِعَةٌ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ وَجِّهُوا هَذِهِ الْبُيُوتَ عَنْ الْمَسْجِدِ ثُمَّ دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَصْنَعْ الْقَوْمُ شَيْئًا رَجَاءَ أَنْ تَنْزِلَ فِيهِمْ رُخْصَةٌ فَخَرَجَ إِلَيْهِمْ بَعْدُ فَقَالَ وَجِّهُوا هَذِهِ الْبُيُوتَ عَنْ الْمَسْجِدِ فَإِنِّي لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلَا جُنُبٍ

Maksudnya: “Nabi saw datang ke Masjid Nabawi. Di kala itu muka pintu rumah para sahabat Nabi saw bersambungan dengan Masjid Nabawi. Baginda lantas bersabda: “Palingkan rumah-rumah kamu ke arah lain daripada masjid” Kemudian baginda memasuki masjid. Orang ramai belum mengambil apa-apa tindakan pun kerana mengharapkan agar turun kepada mereka kelonggaran. Setelah itu baginda keluar bertemu mereka. Baginda lantas bersabda lagi: “Palingkan rumah-rumah kamu ke arah lain daripada masjid, kerana sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid ini untuk perempuan haid dan orang yang berjunub”

Bagaimana pun ulama hadith berbeza pendapat tentang hadith yang mengharamkan wanita haid masuk masjid.
Antaranya Imam Ibnu Hajar al-Asqolani, Imam Bukhari, dan Syeikh Albani. Namun disanggah oleh Imam Syaukani yang mengatakan ia bertaraf Hasan & Sahih.Imam al-Bukhari mendhaifkan hadith ini dalam Adab al-Mufrad, berkata al-Bukhari "Jasrah adalah (perawi yg) Ajaib!", "ajaib" biasanya digunakan untuk perawi yang meriwayatkan hadith yang mungkar/palsu.

Dalil yang mengharuskannya pula:
Dari 'Aisyah, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda kepadaku, "Ambilkanlah untukku sajadah kecil [6] di masjid." Jawabku, "Sesungguhnya aku sedang haid." Lalu Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya haidmu itu tidak berada di tanganmu."

Shahih riwayat Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad dan Iain-lain.

Walaupun hadith ini digunakan oleh ulama' yang mengharamkan sebagai hujah membolehkan wanita haid sekadar melintas masjid, namun disanggah oleh mereka yang mengharuskannya.

Ini kerana menurut mereka Rasulullah menyebut secara umum, tanpa menyebut bahawa Aisyah boleh sekadar melintasi atau masuk masjid dalam tempoh masa yang singkat.

Ini dikuatkan lagi dengan dalil:
Shahih riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah, Ahmad dan lain-lain dari jalan Abu Hurairah, ia berkata: “Rasulullah SAW pernah menjumpaiku di salah satu jalan dari jalan-jalan yang ada di Madinah, kemudian aku berlalu pergi dan segera aku mandi kemudian aku datang (menemui beliau), lalu beliau bersabda, “Ke mana engkau tadi wahai Abu Hurairah?” Jawabku, “Aku tadi dalam keadaan junub, maka aku tidak suka duduk bersamamu dalam keadaan tidak bersih (suci)”, Maka beliau bersabda, “Subhanallah! Sesungguhnya orang mu’min itu tidak najis” (Dalam riwayat yang lain beliau bersabda, “Sesungguhnya orang muslim itu tidak najis)

Kejadian yang sama juga terjadi pada Hudzaifah sebagaimana diriwayatkan oleh Muslim, Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah, Ahmad dan lain-lain  

Adapun ayat 43 surah An-Nisaa' yang digunakan oleh ulama yang mengharamkan:

 وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ
Maksudnya: “(jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub melainkan orang yang melintasinya.”

Saidina Ali bin Abi Thalib menafsirkan ayat di atas dengan orang musafir, beliau berkata, “Diturunkan ayat ini berkenaan dengan orang musafir. Dan tidak juga bagi orang yang junub kecuali orang yang mengadakan perjalanan sehingga dia mandi. Beliau berkata ; Apabila seorang (musafir) itu junub lalu dia tidak memperoleh air, dia tayamum lalu solat sampai dia mendapatkan air. Dan apabila dia telah mendapatkan air (hendaklah) dia mandi’ [Riwayat Baihaqiy 1/216 dan Ibnu Jarir di kitab Tafsirnya juz 5 hal. 62 dan lain-lain sebagaimana telah dijelaskan oleh Ibnu Katsir di Tafsirnya 1/501 dan Imam Suyuthi di tafsirnya Ad-Durul Mantsur 2/165]
Kesimpulan: 
Perbezaan pendapat yang timbul adalah berpunca daripada perbezaan penilaian taraf hadith,  pemahaman terhadapnya dan aplikasi hadith oleh para ulama' yang disebut di atas. Yang mengharamkan menilai hadith yang diriwayat Ibn Khuzaiman dan Abu Dawud sebagai sahih manakala yang mengharuskan pula menilainya sebagai dhaif dan dikukuhkan dengan hadith sahih lain. Justeru aku lebih cenderung kepada pendapat yang mengharuskan wanita duduk diam di dalam masjid kerana lebih kuat dan lebih banyak maslahat diperolehi.. 

Wallahu 'Alam.

sumber:
http://www.mail-archive.com/assunnah@yahoogroups.com/msg22139.html
http://syeikh-takiri.blogspot.com/2008/02/hukum-wanita-haid-masuk-masjid-untuk.html

8/27/2010 01:29:00 PG

Hukum Lukisan Gambar Bernyawa


Isu asalnya, aku guna gambar profile kartun sebelum tu... hamba Allah tu pun tanya lah apa hukum  guna gambar bernyawa? Dipendekkan cerita aku 'snip' lah sikit kat atas ni..

Dipetik daripada website PTS

Asalamualaikum warahmatullah,
Semoga Puan Ainon sentiasa sihat di bawah naungan Allah. Saya mengambil kesempatan ini membincangkan isu aurat perempuan dalam projek Komik Malaysia oleh PTS.
Hukum melukis / menggambar ini luas. Sebelum memasuki persoalan hukum melukis aurat, saya memulakan dengan hukum melukis makhluk bernyawa supaya dapat melihat jawapan hukum dengan lebih tuntas. Saya mengkhususkan persoalan ini dalam lingkungan berikut:
(1) Melukis makhluk bernyawa / komik
(2) Melukis / melihat aurat pada lukisan / gambar.
(3) Menjadikan lukisan aurat itu sebagai bahan dagangan (jual beli).

Hukum Melukis Makhluk Bernyawa
Sebenarnya isu melukis makhluk bernyawa sudah ada banyak perselisihan para ulama. Saya menyimpulkan hukum melukis menurut empat mazhab yang muktabar.

Pendapat yang Mengharamkan

Pendapat ini diambil daripada Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Ahmad bersepakat mengharamkan lukisan makhluk bernyawa berdasarkan daripada zahir hadis:
Hadis daripada Aisyah. Sesungguhnya Aisyah telah membeli bantal kecil untuk hiasan yang di dalamnya ada lukisan gambar. Ketika Rasulullah melihat bantal tersebut, beliau berdiri di depan pintu dan enggan untuk masuk lalu berkata, "Sesungguhnya pemilik gambar ini akan diazab dan akan dikatakan kepada mereka. "Hidupkanlah apa yang telah engkau ciptakan".(Direkodkan oleh Bukhari).
Ketika Jibril datang ke rumah Rasulullah (selawat dan salam ke atasnya), beliau enggan memasuki rumah. Nabi pun bertanya. Jibril menjawab:
"Di dalam rumah itu ada tirai daripada kain nipis yang bergambar patung dan di dalam rumah itu terdapat seekor anjing. Perintahkan agar gambar kepala patung yang berada di pintu rumah itu dipotong sehingga bentuknya menyerupai pohon, dan perintahkan agar tirai itu dipotong dan dijadikan dua buah bantal untuk bersandar dan perintahkan agar anjing itu keluar dari rumah". (Direkodkan oleh Tirmizi) "Malaikat tidak akan masuk rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan lukisan." (Direkodkan oleh Bukhari)

Pendapat yang Mengharuskan

Pendapat ini diambil daripada mazhab Maliki. Mereka membolehkan melukis gambar makhluk yang bernyawa dan sempurna dengan makruh. Walau bagaimanapun, sekiranya prinsip-prinsip ini diambil kira maka hukumnya tidak makruh sebaliknya menjadi khilaf aula (berlawanan dengan perkara yang lebih utama).
Hujah Imam Malik adalah seperti berikut:

Abu Talhah melaporkan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam berkata, "Malaikat tidak memasuki rumah yang mengandungi patung, kecuali gambar pada baju." Hadis ini adalah hadis muqaiyad (berkait). Ia berkait dengan hadis larangan melukis / mengukir dan melaknat pelukis / pengukir.
Abu Hurairah melaporkan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam berkata, Allah memberitahunya, "Daripada sezalim manusia adalah yang mencipta makhluk seumpama makhlukku. Maka mereka mencipta zarah." Penelitian hujah, Allah tidak menciptakan dalam bentuk lukisan tetapi mencipta dalam bentuk berjisim.
Penggunaan bantal yang asalnya tirai mempunyai lukisan oleh Rasulullah. Menurut rekod hadis, "Pada bantal itu ada gambar."

Nabi sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat menggunakan wang emas (dinar) dan wang perak (dirham) yang tercetak gambar raja-raja mereka sedangkan mereka tidak ada wang lain kecuali duit itu.
Direkodkan oleh sebahagian sahabat dan tabi'in bahawa mereka menggunakan lukisan pada tirai dan sebagainya. Selain itu Zaid bin Khalid al-Juhni menggunakan lukisan pada tirai. Hadis ini ada pada dua hadis sahih. Abu Talhah juga menggunakannya dan diakui oleh Sahl bin Hanif. Hadis mengenainya direkodkan dalam kitab Muwatta' Imam Malik, Tirmizi dan Nasa'i.
Mereka berpegang pada hujah hadis, "Kecuali lukisan pada baju."

Ibnu Abu Syaibah daripada Urwah bin Zubair dengan katanya, "Urwah menggunakan bantal yang mempunyai gambar manusia dan burung. At-Tohawi merekodkan ukiran pada mohor Imran bin Husain adalah lelaki yang bersisikan pedang. Mohor Nukman bin Muqarran ketua pembuka Parsi dan lain-lain.

Direkodkan daripada Ibnu Abi Syaibah dengan sanadnya daripada Ibnu Aun. Beliau memasuki rumah Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar as-Siddiq ketika di menjadi pemimpin tertinggi Makkah. Beliau terlihat lampu yang mempunyai gambar memerang dan burung. Ibnu Hajar berkata, Qasim bin Muhammad adalah salah seorang ahli fikah di Madinah. Beliau merekodkan daripada A'ishah dan beliau adalah yang terbaik pada zamannya.

Kesimpulannya adalah mudah. Apabila kita berpegang dengan pendapat dengan pendapat Jumhur, persoalan mengenai boleh atau tidak melukis aurat dikira selesai (tidak perlu melukis). Walau bagaimanapun tidak menjadi kesalahan/ dosa sekiranya berpegang dengan pendapat Imam Malik dengan syarat memahami hujah-hujah yang dikemukakan. Muqallid (pengikut mazhab) dinasihatkan supaya menghormati kedua-dua pendapat ini.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi merumuskan syarat-syarat yang perlu ada di dalam lukisan adalah seperti berikut:
(i) Jika yang dilukis itu adalah gambar-gambar Tuhan yang disembah selain Allah seperti patung-patung berhala dan sebagainya, pelukisnya jatuh kafir. Nabi Muhammad berkata, "Sesungguhnya manusia yang paling berat siksaannya di akhirat ialah para pelukis". (Direkodkan oleh Imam Muslim).
Imam at-Tabari menghuraikan, "Pelukis yang dimaksudkan di sini ialah orang yang melukis Tuhan yang disembah selain Allah…".

(ii) Diharamkan juga melukis dengan tujuan untuk menandingi ciptaan Allah, iaitu merasakan diri dapat mencipta dan membuat rekaan sebagaimana ciptaan Allah. Hal ini kembali kepada niat pelukis itu sendiri. Pelukis sebegini juga diancam dengan siksaan yang berat oleh Rasulullah dengan sabdanya, "Sesungguhnya manusia yang paling berat siksaannya di hari kiamat ialah orang-orang yang melakukan sesuatu untuk menandingi ciptaan Allah". (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Aisyah)

(iii) Diharamkan juga melukis gambar malaikat, para Nabi dan para sahabat iaitu orang-orang yang dimuliakan di sisi agama kerana dikhuatiri lukisan gambar mereka akan menjatuhkan kemuliaan mereka di samping berlakunya pemalsuan kerana tidak ada seorang pun yang hidup hari ini yang pernah melihat mereka.

(iv) Diharamkan juga melukis gambar tokoh-tokoh yang kufur, zalim atau fasik seperti pemimpin-pemimpin yang menentang Islam, memusuhi syari'at Allah, penyanyi-penyanyi atau pelakon yang mendorong manusia kepada maksiat, memuja kebatilan dan sebagainya. Melukis gambar mereka merupakan pemujaan terhadap mereka sedangkan mereka adalah orang-orang yang dibenci oleh agama.

(v) Diharamkan juga melukis gambar-gambar yang mendedahkan aurat, berunsur lucah dan menggairahkan nafsu dan sebagainya lagi yang dilarang oleh syarak.
Dr. Yusuf al-Qaradawi merumuskan dalam kitab Islam wal Fann (Islam dan hiburan) dengan katanya, "Seni adalah jalan kepada maksud (tujuan). Maka hukumnya adalah mengikut hukum yang dimaksudkan. Sekiranya kita menggunakan seni untuk tujuan yang halal maka hukumnya menjadi halal.Dan sekiranya kita menggunakan dengan tujuan haram maka hukumnya menjadi haram."

Hukum Melihat Gambar Aurat Berlainan Jantina (muslim ataupun tidak)

1. Boleh lihat gambar berlainan jantina yang ajnabi yang menutup aurat.
2. Boleh lihat gambar antara sesama suami dan isteri walaupun tidak menutup aurat.
3. Haram lelaki melihat gambar perempuan ajnabi yang hanya tutup anggota antara pusat dan lutut. Dengan syahwat atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan harus jika tanpa syahwat.
4. Harus wanita melihat gambar lelaki ajnabi yang hanya menutup anggota antara pusat dan lutut tanpa syahwat. Haram jika ada syahwat.
5. Haram lelaki dan wanita melihat gambar lelaki dan wanita bogel dengan syahwat atau tidak. Ada pendapat mengatakan boleh jika tanpa syahwat.
Kesimpulannya:

(i) Apabila hukum melihat aurat perempuan ajnabi (baik Muslimah ataupun bukan) haram maka menghasilkannya juga menjadi haram. Begitu juga sebaliknya.
(ii) Haram juga berjual beli sebagaimana haram menghasilkannya. Begitu juga sebaliknya.

Usaha mewujudkan komik Islami adalah suatu yang murni. Saya mencadangkan sebelum komik Islami ini dilancarkan, satu panduan diwujudkan terlebih dahulu. Puan Sifu boleh berbincang dengan pakar rujuk supaya perjalanan panduan ini lebih terarah, adil dan fleksibel.
Wallahu a'lam.

Kitab-kitab rujukan:
1.Mausu`ah Fiqhiyyah Quwaitiyyah.2.al-Halal Wa al-Haram Fil-Islam
3.al-Islam wal Fann
4.Islam yang Mudah

KOMENTAR:
Sengaja aku copy & post isu ni sebab ada seorang puak pelampau salafi kata aku tak faham syariat.. tak mengapa lah.. aku cool je bulan puasa ni sebab memang aku bukan ahli fatwa pun.. Cuma aku nak bagitau lah tokoh mereka, Dr Asri pun pernah post gambar bernyawa kat blog beliau.. tak pula dia hentam tokoh aliran dia.. hehe



P/S: Aku bukan anti-salafi ok..aku cuma anti dengan golongan pelampau salafi yang menunduh PAS sebagai khawarij. Sekian

Wallahu 'Alam

2/16/2010 11:24:00 PTG

Tabarruj (Berhias)


Salah seorang kawan ku (perempuan) pernah bertanya kepadaku hukum berhias di sisi syarak. Maka aku ambil kesempatan cuti ini untuk buat sedikit rujukan berkenaan hukum tabarruj (berhias) di sisi Islam.

Tabarruj menurut takrifan Imam Bukhari ialah,

“Seorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya”

Takrifan ini selaras dengan firman Allah di dalam Surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali  yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain  tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”

Daripada ayat ini ada beberapa kesimpulan yang boleh kita fahami. Antaranya ialah:

1.Menutup aurat bukan sekadar bertudung menutupi kepala @ rambut seperti mana yang difahami oleh segelintir (mungkin kebanyakkan) muslimah Melayu di negara kita. Adalah pelik bilamana seorang perempuan bertudung tapi mendedahkan leher, dada, atau memakai baju berlengan pendek. Jelas mereka juga tergolong dalam golongan yang tidak menutup aurat.

2.Segelintir muslimah keliru dan tidak faham dengan apa yang dimaksudkan dengan larangan berhias sehingga ada di kalangan mereka yang bertudung labuh sekalipun tetapi masih tidak dianggap menutup aurat. Pelik bukan? Hal ini kerana mereka mendakwa sudah menutup aurat akan tetapi masih berpakaian yang menarik perhatian golongan muslimin (bukan mahram) seperti memakai pakaian yang bercorak terlalu menonjol @ menarik perhatian, bermanik-manik dan sebagainya. Inilah akibatnya apabila kita memahami nas hukum secara literal tanpa mengkaji maqasid (objektif) syariah itu sendiri. Tujuan Islam mewajibkan wanita menutup aurat mereka adalah untuk mengelakkan fitnah dan gangguan daripada lelaki. Sekiranya muslimah menutup aurat tetapi masih berpakaian yang menarik perhatian kaum lelaki, adakah mereka memenuhi tuntutan syariah tersebut? Malah seringkala pihak tertentu menamakan pakaian fesyen sebagai busana muslimah. Perkara inilah yang perlu kaum muslimah fikir-fikirkan.

3.Di dalam ayat di atas tadi juga menyatakan larangan untuk kaum muslimah memakai perhiasan yang menghasilkan bunyi (hentakan) yang sudah pasti menarik perhatian orang di sekeliling untuk melihat mereka. Ini termasuklah memakai kasut tumit tinggi (kecuali jika anda boleh pastikan ia tidak menarik perhatian), gelang kaki dan sebagainya.

 
 
Kesimpulannya, hukum tabarruj adalah haram di sisi Islam kecuali untuk suami dan mereka yang mahram. InsyaAllah aku akan sambung tulisan berkenaan tabarruj ini di lain hari. Tulisan ku ini pasti tidak disenang segelitir muslimah. Oleh kerana aku pun bukan lah golongan ustaz, maka tulisanku mungkin banyak silapnya. Maka sebarang komen membina sangat dialu-alukan. Sekian

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

1/17/2010 06:17:00 PTG

Angkat Tangan Doa Antara Dua Khutbah Jumaat

"Kenapa abang tak angkat tangan masa khatib berdoa tadi?"

"Kenapa anta angkat tangan?" Tanyaku semula kepada adik usrah ku?

"Entah, ana ikut je apa yang orang lain buat."

"Itu lah anta, ikut tanpa ilmu. Kita bukan ustaz, tapi bukanlah bermakna tak perlu ambil tahu tentang amalan kita."





Perlukah angkat tangan ketika doa antara dua khutbah?

Umumnya, mengangkat tangan ketika berdoa' ini sunnah. Ini berdasarkan hadith Nabi saw, sabdanya :


إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ
"Sesungguhnya Allah yang Maha Mulia, apabila hambanya mengangkat tangan kpadanya, ia tidak akan menolak dengan tangan kosong" - Riwayat Al-Tirmudzi no: 3556, dikelaskan sebagai Sahih oleh al-Albani didalam Sahih al-Tirmudzi.

Terdapat hadith sahih yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim mengenai satu waktu yang mustajab doa pada hari jumaat. Waktu tersebut dijelaskan lagi dalam hadith Sahih Muslim:

هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ
Ia (waktu mustajab doa) adalah antara imam duduk (di atas mimbar) sehingga selesai solat (jumaat).

Difahami dengan hadith ini, waktu antara dua khutbah jumaat adalah termasuk waktu doa mustajab.

Akan tetapi, mengangkat tangan semasa berdo'a didalam Khutbah Jumaat bagi Khatib bukanlah sunnah untuk mengangkat tangannya. Ia hanya disunnahkan menunjuk dengan menggunakan jari telunjuk. Malah para sahabat mengutuklarang khatib mengangkat tangan ketika berdo'a.

Imam Muslim (874) dan Abu Daud (1104) telah meriwayatkan :
عَنْ عُمَارَةَ بْنِ رُؤَيْبَةَ أنه رَأَى بِشْرَ بْنَ مَرْوَانَ عَلَى الْمِنْبَرِ رَافِعًا يَدَيْهِ (زاد أبو داود : وَهُوَ يَدْعُو فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ) فَقَالَ: ( قَبَّحَ اللَّهُ هَاتَيْنِ الْيَدَيْنِ لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزِيدُ عَلَى أَنْ يَقُولَ بِيَدِهِ هَكَذَا وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ الْمُسَبِّحَةِ
 "Dari 'Umaarah ibn Ru'aibah melihat Bishr ibn Marwaan ketika diatas mimbar mengangkat tangan (Abu Daud menambah : apabila melakukan do'a pada hari Jumaat), dan berkata :'Semoga Allah menjadikan hodoh kedua-dua tangan. Aku melihat Rasulullah saw tidak menambah apa-apa melainkan seperti ini dengan tangannya' dan mengisyaratkan dengan jari telunjuknya."

Imam Al-Nawawi mengatakan :
فِيهِ أَنَّ السُّنَّة أَنْ لا يَرْفَع الْيَد فِي الْخُطْبَة وَهُوَ قَوْل مَالِك وَأَصْحَابنَا وَغَيْرهمْ .
"Ini menunjukkan bahawa adalah sunnah TIDAK mengangkat tangan semasa berkhutbah dan ia adalah pandangan Malik dan yang lain-lain."

Ma'mum juga tidak digalakkan mengangkat tangan semasa Khatib membaca do'a, kerana ma'mum mengikut Imam.

Akan tetapi jika Imam berdo'a agar diturunkan hujan pada hari Jumaat semasa beliau diatas mimbar, maka adalah menjadi sunnah mengangkat tangan dan begitu juga keadaan ma'mumnya, disunatkan mengangkat tangan.

Muhaddith Sheikh Nasyiruddin Al-Albani didalam buku Bida' Al-Jumu'ah (ms 56-66)[1] telah menyatakan bahawa mengangkat tangan :
(دعاء الناس ورفع اليدين عند جلوس الإمام على المنبر بين الخطبتين.)
a. semasa Imam duduk diantara dua Khutbah (no:42)

(رفع القوم أيديهم تأمينا على دعائه.)

b. semasa ma'mum mengaminkan do'a khatib (no:63)

merupakan bid'ah-bid'ah yang biasa dilakukan oleh ma'mum yang menghadirkan diri didalam solat Jumaat.


Begitu jugalah halnya kepada mereka yang mengangkat tangan mereka tatkala Imam duduk diantara 2 khutbah.

Berdo'a didalam Khutbah Jumaat adalah disyara'kan thabit dari Nabi saw dimana ia mendoa'kan keatas mu'minin dan mu'minat. Didalam Fatwa no:6396, Faatwa Lajhah Daa'imah LilBuhtuth Al-Ilmiyah wa Al-Ifta' (8/233) mengatakan bahawa menyebut 'Amin' pada do'a tidaklah mengapa[3]

Kesimpulannya ialah mengangkat tangan untuk berdo'a semasa Imam duduk antara 2 khutbah dan juga semasa Imam membaca do'a tidaklah terdapat didalam syara', malah ulama' mengatakan ia adalah perbuatan bid'ah. Do'a boleh dibaca pada masa Imam sedang duduk diantara 2 khutbah dengan secara perlahan (sir) tanpa mengangkat tangan dan 'Amin' boleh dibaca secara perlahan semasa Imam membaca do'a.

Wallahu 'alam



-----------------


Rujukan :

1. Sheikh Nasyiruddin Al-Albani. Bida' Al-Jumu'ah . Riyad : Maktabah Al-Maa'arif, 1996.
2. Faatwa Lajhah Daa'imah LilBuhtuth Al-Ilmiyah wa Al-Ifta' - 8.cetakan ke 3. Riyad : Dar Al-Mu'id, 2000.
3. Shahih Bukhari dan Shahih Muslim


1/02/2010 11:26:00 PTG

ISU KALIMAH ‘ALLAH’ : ALLAH FOR ALL

ISU KALIMAH ‘ALLAH’ : ALLAH FOR ALL

Sesuatu hukum dalam Islam, memerlukan kepada dalil. Jika mahu dikatakan boleh, dimanakah dalilnya? Dan jika mahu dikatakan tidak boleh, dimanakah dalilnya?

Dalam manhaj istinbat, Imam Ghazali tidak sealiran kaedah dengan Imam Abi Walid Al-Baji. Manhaj Imam Ghazali, sebarang pengistinbatan terhadap kewujudan sesuatu hukum, memerlukan kepada dalil, tetapi dalam menyatakan sesuatu itu tiada hukum, maka ia tidak perlu kepada dalil. Manhaj ini berbeda dengan Imam Abi Walid Al-Baji yang menyatakan, mengistinbatkan hukum dan menyatakan tiada hukum, kedua-duanya perlu kepada dalil.

Walaubagaimana pun, dalam isu menyebut kalimah Allah bagi non Muslim, Apakah dibenarkan atau tidak, ia memerlukan kepada dalil dalam menyatakan keizinannya. Adapun jika kita adalah golongan yang mengatakan tidak boleh, dalam manhaj Imam Ghazali, tidak perlu didatangkan dalil, bahkan sudah memadai dikatakan tidak boleh jika tidak didapati langsung dalil-dalil yang membenarkannya.




KALIMAH ALLAH

Kalimah Allah adalah kalimah ”rahmat” sekelian Alam. Allah SWT adalah tuhan yang bukan sekadar disembah oleh Orang islam, sebaliknya wajib disembah juga oleh orang-orang selain beragama Islam. cumanya, tafsiran bagi kalimah Allah itu pelbagai dikalangan manusia.

Bagi mereka yang beragama Islam, Allah itu merujuk kepada tuhan yang esa. Adapun bagi mereka yang beragama kristian, ia merujuk kepada triniti. Begitu pula yahudi, merujuk kepada tuhan bapa kepada Uzair.

Justeru, dalam isu penggunaan kalimah Allah bagi non Muslim, apakah ia dibenarkan atau tidak? Apa yang dapat kita perhatikan, banyak nas-nas Al-Quran, dan hadis yang membenarkan penggunaan kalimah Allah, berbanding nas-nas Quran dan Hadis yang melarangnya.

Pertama : Surah Al-Ankabut : 61

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ

Maksudnya;
“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah", maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar)”

(Surah Al-Ankabut : 61)

Ayat ini, dengan jelas orang bukan Islam menjawab “Allah” dikala ditanya oleh Nabi SAW tentang siapa pencipta langit dan bumi. Selepas menyebut kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini, Allah tidak pernah menyuruh Nabi SAW menyerang atau menghalang mereka daripada menyebut kalimah “Allah” tersebut.

Kedua : Surah Al-Ankabut : 63

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

Maksudnya;
“Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah", Katakanlah: "Segala puji bagi Allah", tetapi kebanyakan mereka tidak memahami(nya)”

(Surah Al-Ankabut : 63)

Sama juga dengan ayat ini, ia mempunyai maksud yang sama dengan ayat di atas. Bahkan, di akhir ayat ini, Allah menyatakan kepada Muhammad agar mengucapkan syukur terhadap apa yang orang bukan Islam sebutkan – iaitu menyebut kalimah Allah. cumanya, Allah memerli mereka dengan alasan mereka tidak menggunakan akal dengan sihat disebalik pengakuan Allah sebagai tuhan yang menurunkan air daripada langit dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan daripada bumi.

Ketiga : Surah Al-Haj : 40

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا

Maksudnya;
“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid- masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah”

(Surah Al-Haj : 40)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut bahawa rumah-rumah ibadat yang menyebut kalimah Allah ini, bukan hanya digunakan di masjid-masjid sahaja, bahkan digunakan juga di rumah-rumah ibadat agama selain Islam, seperti gereja dan biara yahudi. Ia merupakan satu pengi’tirafan dari Allah, atas keizinan bagi non Muslim menggunakan kalimah Allah dalam peribadatan mereka.

Keempat : Dalam Sahih Muslim, Nabi SAW bersabda;

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ اللَّهُ اللَّهُ

Maksudnya;
“Tidak akan berlaku kiamat, melainkan tidak ada lagi di bumi orang menyebut, Allah, Allah[1]”

Dalam bahasa arab, kalimah ‘assa’ah’ yang diterjemah sebagai ‘kiamat’. Ia juga boleh diterjemah sebagai ‘kebinasaan’. Hal ini merujuk kepada hadis bahawa Nabi SAW bersabda;

فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Maksudnya;
“apabila amanah dikhianati, maka tunggulah kebinasaan”

Ditanya, ”bagaimana amanah dikhianati?”

”apabila diberikan sesuatu urusan itu kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kebinasaan” Jawab Nabi SAW ringkas tapi padat[2].

Daripada ini, kita fahami bahawa kebinasaan akan berlaku, jika tiada lagi manusia yang menyebut kalimah Allah atas muka bumi. Dalam hadis ini, tidak pernah wujud satu pengkhususan bahawa keizinan menyebut kalimah Allah ini hanya khusus kepada orang islam sahaja.

Justeru, dari segala dalil-dalil yang dikemukakan ini, difahami bahawa tidak ada larangan dari Islam bahawa orang bukan islam tidak dibenarkan menyebut kalimah Allah. Bahkan, yang wujudnya adalah, nas sendiri memberikan keizinan untuk disebut kalimah Allah bagi orang bukan Islam.

Bahkan, ini dikuatkan lagi sirah Nabawiyyah, yang mana di awal-awal dakwah Nabi SAW, kalimah Allah sudah digunakan oleh orang-orang quraish ketika itu. apabila kedatangan Islam, nabi SAW tidak pernah menghalang atau melarang orang-orang Quraish daripada menyebut kalimah Allah. Malahan, apa yang dilakukan oleh Nabi SAW adalah, baginda SAW memberi penerangan yang betul terhadap maksud kalimah Allah dari sudut yang betul.

Perlu diingat, Nabi SAW datang ketika itu, bukan menghalang dari mereka memggunakan kalimah Allah, tetapi Nabi SAW datang memberi penerangan yang betul terhadap maksud kalimah Allah itu sendiri. Inilah tugas nabi, yang wajib dicontohi oleh seluruh umat-umatnya.

ISYKAL DAN JAWAPAN

Pertama :

Mengizinkan non muslim menggunakan kalimah Allah dapat melahirkan keraguan umat Islam terhadap maksud kalimah Allah SWT.

Jawapan;

Penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, sepatutnya tidak difikirkan sebagai ruang non Muslim untuk meragukan umat Islam. bahkan, yang wajib difikirkan oleh umat Islam adalah, bagaimana kalimah Allah ini dijadikan sebagai kalimah yang sering disebut oleh non Muslim, kemudian diberikan kefahaman kepada mereka tentang maksud sebenar terhadap kalimah Allah yang mereka sebut itu. dan inilah, yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dalam dakwah di marhalah Makkiyyah dahulu.

Kedua:

Lebih baik menghalang dari mereka menggunakan kalimah Allah, kerana ia dibawah maksud ”sad Az-Zarai’”

Jawapan;

Kaedah ”sad Az-Zarai’” digunakan untuk menutup sebarang ruang-ruang yang boleh membawa kepada haram. Adapun dalam kes non Muslim menggunakan kalimah Allah, ia merupakan ruang untuk mendekatkan non Muslim terhadap kefahaman maksud ”Allah”.

Ketiga:

Ramai orang Islam pada hari ini yang lemah aqidah, justeru, dibimbangi mereka terpengaruh dengan agama non Muslim, apabila mereka dibenarkan menggunakan kalimah ”Allah”

Jawapan;

Apabila lemah aqidah, maka perkara yang perlu dilakukan adalah, perkuatkan aqidah mereka. berikan kefahaman kepada mereka tentang aqidah yang sahihah.

Tindakan melarang penggunaan kalimah ”Allah” dari kalangan Non Muslim dalam usaha hendak menyelamatkan aqidah orang Islam, merupakan dakwaan yang terlalu dangkal. Ini kerana, tindakan tersebut samalah seperti doktor yang memberi ubat pening kepala kepada pesakit yang sedang sakit perut.

Keempat:

Tindakan non Muslim yang kini baru sahaja mahu menuntut mahu menggunakan kalimah Allah terkandung agenda tersembunyi

Jawapan:

Apakah wujud agenda tersembunyi atau tidak, ia bukan isu yang wajar dibangkitkan. Apa yang pasti, Nabi SAW ada bersabda;

فَإِنَّ لِصَاحِبِ الْحَقِّ مَقَالًا

Maksudnya;
”Sesungguhnya orang yang ada hak, hendaklah diberikan ruang untuk dia bercakap[3]”

Justeru, dalam isu menggunakan kalimah ”Allah” bagi orang bukan islam, ia merupakan hak yang dibenarkan dalam agama mereka. justeru, hak ini hendaklah diberikan kepada mereka. jika mereka mahu menuntut hak itu, wajib diberikan ruang kepada mereka bersuara dalam menyatakan hak mereka.

Adapun sekiranya benar wujud agenda tersembunyi tersebut, maka ia perlu dihadapi dengan segala kebijaksanaan. Bukannya dengan melarang terus mereka daripada bersuara. Kerana, tindakan sebegitu akan memberi gambaran buruk terhadap Islam di mata-mata non Muslim.

KESIMPULAN

Secara asasnya, tindakan membenarkan kalimah Allah kepada Non Muslim bukanlah perkara yang dilarang dalam syarak, sama ada menerusi Al-Quran, atau Hadis nabi SAW.

Sebagai umat Islam, keizinan terhadap non Muslim dalam menggunakan kalimah Allah ini, sewajibnya diambil kesempatan dalam memberi penjelasan dan penerangan yang sebenar terhadap maksud kalimah “Allah” itu sendiri. Kerana, inilah yang sebenarnya dilakukan oleh Nabi SAW.

Tindakan melarang mereka dari menggunakan kalimah Allah, ia merupakan satu tindakan yang boleh melahirkan gambaran buruk terhadap Islam di mata-mata non Muslim, yang sudah pasti, ia tidak memberi keuntungan kepada Islam sedikit pun.

jika mahu difikirkan balik, mengapa tidak dijadikan kalimah “Allah” ini sebagai cara untuk melahirkan penyatuan manusia di seluruh dunia. Sekiranya Najib Tun Razak boleh menggunakan tema 1 Malaysia dalam usaha hendak menutup politik perkauman UMNO, mengapa tidak digunakan “esa Allah” dalam menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan berbilang bangsa?

“ALLAH FOR ALL”

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
2 Januari 2010 * 4:18 petang



[1] 211.
[2] Al-Bukhari : 57.
[3] Al-Bukhari : 2141.

12/21/2009 12:12:00 PTG

Kepentingan Menyatukan Umat Islam Pelbagai Aliran




Pertembungan antara golongan Salaf (golongan Muda) dan Khalaf (golongan Tua) memang tidak dapat dielakkan. Ia berlaku sejak dahulu lagi. Lebih menyedihkan apabila mereka yang melibatkan diri di dalam gerakan dakwah Islam turut terjerat dengan perbalahan yang wujud antara dua golongan ini. Persengketaan bukan sahaja berlaku di dalam masalah furu' (cabang) malahan mengheret kepada peperangan 'sesat-menyesat' di dalam masalah Aqidah.

Tidak keterlaluan jika aku katakan bahawa mereka yang terjerat dalam perbalahan ini sebenarnya jahil dan taksub hingga tidak nampak siapakah musuh Islam sebenar. Jika dilihat daripada sejarah kemunculan kedua-dua mazhab Aqidah ini, baik salafiyyah mahupun asyairah; mereka muncul untuk menangkis dan menentang kewujudan golongan khawarij. Namun amat menyedihkan apabila salafi bengong bertemu asyairah bengap, masing-masing kononnya mempertahankan aqidah ASWJ tetapi dalam masa yang sama boleh bersekongkol dengan puak Khawarij Moden yang  menanamkan doktrin bahawa undang Syariah tidak sesuai untuk masyarakat majmuk, pelaksanaan Islam menyebabkan ekonomi mundur, hudud tidak sesuai untuk zaman moden, dan sebagainya. Malah pemimpin tertinggi Khawarij moden ini tidak segan silu melanggar fatwa pengharaman bertafakur dan meletakkan kalungan bunga di tugu negara yang jelas merosakkan aqidah pemimpin Khawarij moden tersebut. 

Maka adalah tidak wajar bagi mereka yang terlibat dalam gerakan dakwah Islamiyyah turut terjebak dalam persengketaan ini. Malah wajib kita mengkaji dan memghayati isi kandungan Usul 20 yang ditulis oleh As-Syahid Imam Hasan al-Banna bagi menjadi agen PENYATUAN bukan agen PERPECAHAN.


USUL 20 AL-IMAM ASY-SYAHID HASAN AL-BANNA


1.     Islam adalah satu system yang syamil merangkumi seluruh aspek hidup. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, material dan harta benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah, sebagaimana ia juga adalah aqidah yang benar dan ibadat yang sah.

2.     Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan sumber rujukan bagi setiap muslim dalam memahami hukum-hukum Islam. Al-Quran hendaklah difahami mengikut kaedah-kaedah Bahasa Arab tanpa memberat-beratkan dan tidak pula membabi buta. Sunnah pula difahami melalui periwayat-periwayat Hadith yang thiqah.

3.     Iman yang benar, ibadah yang sah dan mujahadah merupakan cahaya dan kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati sesiapa yang dikehendaki di kalangan hamba-hambaNya. Tetapi ilham, lintasan-lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil-dalil hukum syara’. Ia tidak diambil kira kecuali dengan syarat tidak berlawanan dengan hukum dan nas agama.

4.     Tangkal, azimat, al-wad’ (sesuatu yang diambil dari laut seperti kulit kerang untuk menghindarkan sakit mata), al-ma’rifah (mengetahui sesuatu perkara dengan tanda-tanda awal untuk mencari barang kecurian, tempat orang sesat dsb), kihanah (pemberitahuan tentang perkara-perkara ghaib pada masa akan datang atau perkara yang tersembunyi di dalam hati orang lain) dan dakwaan mengetahui perkara ghaib dan perkara-perkara yang tergolong di dalam perkara ini merupakan perkara mungkar yang wajib diperangi melainkan jampi-jampi dari ayat Al-Quran atau jampi yang ma’thurah (datang dari Rasulullah SAW).

5.     Pendapat Imam atau Naibnya dalam perkara-perkara yang tidak ada nas, yang boleh menerima andaian pelbagai segi dan yang berhubung dengan masalih al-mursalah boleh diterima sekiranya tidak bertentangan dengan kaedah-kaedah syara’. Kadang-kadang ia berubah menurut keadaan, uruf dan adat. Asal pada ibadat ialah ta’abbud tanpa melihat kepada makna-makna. Dan asal pada adat ialah melihat kepada rahsia, hikmah dan tujuan.

6.     Setiap orang boleh diterima dan ditolak kata-katanya melainkan Rasulullah SAW yang maksum. Setiap yang datang dari salafus soleh yang bertepatan dengan Kitab Allah dan Sunnah RasulNya kita terima dengan sebulat hati. Akan tetapi jika berlawanan dengannya maka Kitab Allah dan Sunnah RasulNya lebih utama diikuti. Walau bagaimanapun kita tidak sekali-kali mengecam atau mendedahkan keburukan peribadi-peribadi tertentu di dalam masalah yang diperselisihkan. Kita hanya berserah kepada niat hati mereka. Sesungguhnya mereka berlalu dengan apa yang mereka lakukan.

7.     Setiap muslim yang tidak sampai ke peringkat meneliti (nadzar) dalil-dalil hukum cabang (furu’) boleh mengikuti mana-mana Imam. Elok sekiranya seseorang itu cuba berijtihad sekadar yang beliau mampu bagi mengetahui dalil-dalilnya. Beliau juga hendaklah menerima setiap petunjuk yang disertai dengan dalil apabila beliau yakin dengan kebaikan dan kepada orang yang memberi petunjuk kepadanya. Jika sekiranya beliau terdiri dari kalangan orang yang berilmu, beliau hendaklah mencukupkan kekurangannya dari segi ilmu sehingga sampai ke peringkat meneliti dalil-dalil hukum.

8.     Perselisihan fiqh dalam perkara cabang tidak sepatutnya menjadi sebab kepada perpecahan dalam agama dan tidak seharusnya membawa kepada perbalahan atau permusuhan. Setiap orang yang berijtihad ada pahalanya. Walau bagaimanapun tidak ada penghalang bagi melakukan tahqiq ilmu / penjelasan ilmiah dalam masalah-masalah yang diperselisihkan dalam suasana kasih saying kerana Allah SWT. Serta kerjasama dalam menyampaikan kebenaran tanpa terbawa-bawa kepada pertengkaran yang dicela serta taksub.

9.     Setiap masalah yang tidak berdiri amal di atasnya maka melibatkan diri di dalamnya adalah membebankan diri dengan perkara yang ditegah  syara’. Di antaranya ialah banyak furu’ di dalam hukum hakam yang tidak berlaku, melibatkan diri di dalam makna-makna ayat Al-Quran yang ilmu belum sampai kepadanya dan bercakap tentang kelebihan di antara sahabat R.A. dan khilaf yang berlaku di kalangan mereka. Setiap mereka mempunyai kelebihan bersahabat dengan Rasulullah SAW dan dibalas menurut niat mereka, tambahan pula takwil adalah dibenarkan.

10.  Mengenal Allah SWT, mentauhid dan menyucikanNya adalah setinggi-tinggi aqidah Islam. Ayat-ayat sifat dan hadith-hadithnya yang sahih serta penyerupaaan yang layak denganNya, kita beriman dengannya sebagaimana ia datang tanpa takwil dan ta’thil. Kita jangan cuba mendedahkan khilaf di antara ulama’ di dalam masalah itu. Sudah cukup bagi kita apa yang telah cukup bagi Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya.

11.  Setiap bid’ah dalam agama Allah adalah tidak mempunyai asas sama sekali yang dipandang baik oleh manusia hanyalah menurut hawa nafsu mereka, sama ada dengan cara menambah atau mengurangkannya adalah kesesatan yang wajib diperangi dan dihapuskan dengan cara yang paling baik sehingga tidak membawa kepada perkara yang lebih buruk dari bid’ah itu sendiri.

12.  Bid’ah dengan cara menambah, meninggalkan dan beriltizam dengan sejenis ibadat mutlak adalah masalah khilafiyah. Setiap orang mempunyai pendapatnya sendiri dan tidak mengapa mencari hakikat berdasarkan dalil dan bukti.

13.  Mencintai orang-orang yang saleh, menghormati dan memberi pujian terhadap amalan-amalan baik yang mereka lakukan adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wali-wali Allah ialah mereka yang disebut oleh Allah di dalam Al-Quran iaitu orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Karamah yang berlaku ke atas mereka hendaklah terjadi dengan syarat-syarat yang bertepatan dengan dengan syara’ serta mempercayai bahawa mereka adalah hamba yang diredhai oleh Allah SWT. Mereka tidak mampu untuk memberi manfaat atau mendatangkan mudharat ketika hidup atau pun setelah mereka mati. Mereka juga tidak mampu memberikan kurniaan yang ada pada mereka itu kepada orang lain.

14.  Menziarahi kubur dalam apa keadaan sekali pun adalah perkara sunat yang disyariatkan dengan cara-cara yang ma’thur. Tetapi meminta pertolongan  dari ahli-ahli kubur siapa sekali pun mereka, menyeru mereka kerana perkara tersebut, menuntut mereka menunaikan segala hajat sama ada dari dekat atau jauh, bernazar kepada mereka, membangunkan binaan di atas kubur, menyelimutinya, meneranginya, mengusap-ngusapnya, bersumpah dengan sesuatu selain Allah dan seumpamanya yang terdiri daripada perkara-perkara bid’ah adalah dosa-dosa besar yang wajib diperangi. Kita tidak mentakwilkan amalan-amalan ini dengan tujuan menutup jalan kemungkaran.

15.  Berdoa apabila dibuat dengan cara bertawasul kepada Allah dengan salah satu makhluk-makhlukNya, merupakan perselisihan kepada masalah furu’ (cabang) di dalam kaifiat (cara-cara) berdoa, dan bukannya permasalahan aqidah.

16.  Uruf yang salah tidak mengubah hakikat lafaz-lafaz syariat. Malah wajib dipastikan batas-batas pengertian yang dimaksudkan dari lafaz-lafaz itu, dan tidak melewati pengertian-pengertian yang dimaksudkan itu. Begitu juga mestilah diawasi sebarang lafaz-lafaz yang sengaja dikemukakan dengan tujuan tipu helah di dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan urusan dunia dan agama. Yang diambil kira ialah sesuatu yang dinamakan, bukan nama yang diberikan”.

17.  Aqidah merupakan asas setiap amalan. Amalan hati lebih penting dari amalan anggota badan. Mencari kesempurnaan pada kedua-duanya adalah dituntut oleh syara’ walaupun darjat tuntutan pada kedua-duanya berbeza.

18.  Islam membebaskan aqal. Menggalakkan supaya memerhatikan alam semesta, mengangkat kedudukan ilmu dan ulama’, mengalu-alukan sesuatu yang baik dan bermanfaat. Al-Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, di mana sahaja didapati maka dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya.

19.  Boleh jadi perkara yang diteliti oleh pandangan syara’ tidak termasuk ke dalam perkara yang diteliti oleh pandangan aqal, begitu juga sebaliknya. Sungguh pun demikian, pandangan syara’ dan pandangan aqal tidak bercanggah dalam perkara-perkara yang qath’i (muktamad dan putus). Hakikat ilmiah yang sahih tidak bertentangan dengan kaedah syara’ yang tsabit. Perkara dzanni, dari kedua-duanya ditakwilkan, agar bersesuaian dengan qath’i. Sekiranya pandangan syara’ dan pandangan aqal masih berada di peringkat dzann, maka pandangan syara’lah yang lebih utama untuk diterima. Hinggalah pandangan aqal dapat mentsabitkan kebenarannya atau ia akan gugur dengan sendirinya.

20.  Kita tidak mengkafirkan seorang Muslim yang telah mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan tuntutan-tuntutannya dan menunaikan kawajipan-kewajipannya dengan hanya berdasarkan kepada pendapat atau maksiat yang dilakukannya melainkan jika beliau:

  • Mengakui kalimah kufur
  • Mengengkari perkara agama yang diketahui secara dharuri
  • Mendustakan ayat Al-Quran yang jelas pengertiannya.
  • Menafsirkan Al-Quran  dengan penafsiran yang tidak diterima oleh semua uslub Bahasa Arab dalam semua keadaan.
  • Melakukan sesuatu yang tidak boleh ditafsirkan selain dari kufur.



** Usul ini telah disalin semula daripada buku Pandangan Semula Kepada Risalah Ta’alim oleh Muhammad Abdullah Al-Khatib, terbitan Pustaka Media Budi, sebagai sebahagian usaha dakwah, dan bukannya untuk tujuan komersil yang melanggar hakcipta penerbitan.

Wallahu 'Alam

-IbnuAbas-

Related Posts with Thumbnails