Memaparkan catatan dengan label Tafsir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tafsir. Papar semua catatan
10/14/2010 12:03:00 PTG

E-Book Tafsir & Syarah Hadith

Assalamualaikum...
Di bawah ni link di mana aku download e-book ilmiah yang insyaAllah bermanfaat untuk kita semua.
Boleh download direct tapi sebaiknya guna Internet Download Manager (IDM)


Tafsir Al-Azhar - Hamka

Fathul Baari Jilid 1 (Imam Ibnu Hajar al-Asqalani)

Fathul Baari Jilid 2 (Imam Ibnu Hajar al-Asqalani)

Fathul Baari Jilid 3 (Imam Ibnu Hajar al-Asqalani)

Himpunan Hadith Qudsi

Tafsir Jalalain Imam As Suyuti

Ada lagi tapi aku kena cari semula lah link nya.. Hehe

Abu Hurairah

11/24/2009 03:25:00 PTG

Tafsir Surah al-Mumtahanah 1

Ringkasan asbab al nuzul (sebab penurunan) Surah al-Mumtahanah

Dinyatakan di dalam Tafsir Fi Zilal al-Quran bahawa terdapat riwayat yang menceritakan peristiwa khusus yang menyebabkan turunnya permulaan surah ini.

Diceritakan terdapat seorang sahabat bernama Hatib ibn Abu Balta'ah yang merupakan kaum Muhajirin dan juga merupakan Ahli Peperangan Badar. Dia mempunyai anak-anak dan harta benda di Makkah. Walaupun dia bukan daripada kaum Quraisy, tetapi dia mempunyai ikatan janji setia dengan 'Uthman.

Apabila Rasulullah berazam untuk menakluk Makkah kerana kaum musyrikin telah melanggar perjanjian Hudaybiyah, baginda telah memerintahkan kaum muslimin bersiap sedia untuk memerangi mereka dan berdoa, "Ya Tuhanku, lindungilah berita kami ini daripada mereka." Kemudian Rasulullah telah memberitahu tujuannya itu kepada sekumpulan sahabat-sahabat termasuk Hatib.

Tiba-tiba Hatib menulis sepucuk surat dan mengirinkan melalui seorang perempuan musyrikin Makkah dari suku Muzaynah. Surat itu ditujukan kepada penduduk Makkah memberitahu kepada mereka bahawa Rasulullah telah berazam untuk menyerang mereka. Lalu Allah mendedahkan perbuatan itu kepada Rasulullah s.a.w sebagai memperkenan doa baginda dan meneruskan rancangan menawan Makkah. Lalu baginda mengirimkan sahabat-sahabatnya untuk mengejar dan merampas surat tersebut.


gambar hiasan semata-mata

Al-Bukhari telah menceritakan di dalam kitab al-Maghazi, manakala Muslim menceritakannya di dalam Sahihnya dari hadith Hasan ibn Abd Rahman dari Sa'd ibn Ubaydah dari Abu Abdul Rahman as-Salami dari Ali r.a. katanya; Aku telah diutuskan oleh Rasulullah s.a.w bersama Abu Marthad dan Az-Zubayr ibn al-'Awam. Kamu semua daripada pasukan berkuda. Rasulullah bersabda, "Pergilah kamu sampai ke Raudhah Khakh. Di sana kamu akan mendapati seorang perempuan Musyrikin dan ada bersamanya sepucuk surat dari Hatib ibn Abu Balta'ah yang dikirimkan kepada kamu Musykirin." Kami dapat menangkap perempuan tersebut sedang mengenderai untanya di tempat yang dikatakan Rasulullah s.a.w. Lalu kami bertanya: "Di manakah surat?" Lalu dia menjawab, "Aku tidak bawa apa-apa surat." Kami pun menahan untanya dan memeriksanya, namun tidak menjumpai sebarang surat. Lalu kami berkata, "Rasulullah tidak pernah berbohong, awak mesti keluarkan surat itu, kalau tidak kami akan menanggalkan pakaian awak." Apabila dia mendapati kesungguhan kami dia pun mendapatkan tali pinggang bajunya dan mengeluarkan surat itu. Kami pun membawa surat itu kepada Rasulullah s.a.w.

Lalu Umar pun berkata, "Wahai Rasulullah! Dia (Hatib) telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya serta sekalian orang Mukmin! Serahkan sahaja kepada hamba untuk memenggal lehernya." Rasulullah pun bertanya kepada Hatib, "Apakah tujuan kau berbuat begini?" Jawab Hatib, "Demi Allah saya tidak mempunyai apa-apa tujuan melainkan tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Tujuan saya berbuat demikian supaya budi saya dikenang mereka dan saya harap dengan budi ini Allah melindungi keluarga dan harta benda saya di sana, kerana tiada seorang pun dari sahabat anda melainkan semuanya masing-masing ada anak buahnya, dan dengan perantaraan mereka Allah melindungi keluarga dan harta benda mereka di sana.


gambar hiasan semata-mata

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, "Cakapnya memang benar. Oleh itu janganlah kamu berkata apa-apa melainkan yang baik-baik sahaja." Umar menyampuk lagi, "Dia telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan sekalian orang Mu'min, serahkan sahaja kepada hamba memenggal lehernya." Jawab baginda s.a.w, "Bukankah dia Ahli Peperangan Badar?" Lalu Umar berkata, "Semoga Allah memberi kebaikan kepada Ahli Peperangan Badar." Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda, "Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Syurga telah ditetapkan untuk kamu atau (syak rawi) sesungguhnya dosa-dosa kamu telah diampunkan oleh Allah." Lalu kedua mata Umar digenangi air mata dan berkata, "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Al Bukhari telah menambah di dalam kitab al-Mughazi: Lalu Allah telah menurunkan surah.


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّى وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡہِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ‌ۙ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَـٰدً۬ا فِى سَبِيلِى وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِى‌ۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡہِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۟ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡ‌ۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ 

 Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Mekah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul.  (1)

4/28/2009 12:32:00 PG

Tafsir Surah al-Maidah Ayat 102 : Nabi tegah bertanya agama tidak serius


Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Ayat ini diturunkan bersempena dengan Abdullah bin Huzafah r.a. Beliau termasuk di kalangan ahli Badar yang diutuskan oleh Nabi s.a.w. membawa surat yang mengajak Raja Parsi (Kisra) memeluk Islam.

"Masuk Islam, kamu selamat," demikian antara isi kandungan surat itu. Kisra diberi peringatan bahawa jika raja Parsi itu tidak memeluk Islam nescaya dia memikul dosa pengikutnya dari kalangan penganut agama Majusi.

Abdullah bin Huzafah tidak sujud kepada Kisra kerana Nabi s.a.w. mengharamkan sujud kepada makhluk, selain dari Allah. Abdullah menyerah surat Nabi s.a.w. kepada Kisra tanpa memperdulikan protokol raja Kisra walaupun dia dimarah oleh raja itu.

Kisra telah mengoyak surat Nabi s.a.w. di dalam majlis penghadapan di istana Kisra. Apabila peristiwa tersebut diberitahu kepada Nabi s.a.w., baginda bersabda yang bermaksud:

"Akan dikoyak setiap yang dikoyak. Apabila binasanya Kisra, tidak ada lagi raja yang bergelar Kisra selepas itu."

Inilah murkanya Nabi s.a.w. apabila suratnya tidak dilayan sedangkan mengikut muamalah antarabangsa pada masa itu sesuatu negara mestilah menghormati utusan yang dihantar dari mana-mana negara ke dalam negara tersebut.

Utusan Nabi, Abdullah bin Huzafah dihina. Allah Ta'ala telah menjatuhkan kerajaan Parsi di zaman Saidina Umar Ibnul Khattab r.a.

Mengikut riwayat At-Tirmizi dan Daraqutni, dari Ali r.a. katanya, ayat ini diturunkan bersempena dengan peristiwa ketika diturunkan firman Allah yang bermaksud:

"Dan sabit bagi Allah mewajibkan manusia menunaikan ibadat haji ke Baitillah (Makkah) kepada sesiapa yang mampu berjalan menuju kepadanya." (Surah Ali Imran: 97)

Bila turun ayat ini mereka bertanyakan Nabi s.a.w., "adakah tiap-tiap tahun wahai Rasulullah?" Nabi s.a.w. mendiamkan diri, tidak menjawab. Mereka bertanya lagi, "adakah tiap-tiap tahun wahai Rasulullah?" Rasulullah bersabda yang bermaksud, "tidak, kalau aku menjawabnya nescaya wajib mengerjakan haji setiap tahun."

Yakni ianya akan menjadi keberatan kepada kamu. Lalu Allah menurunkan ayat ini. Mengikut al-Bukhari bahawa hadis ini adalah hadis hassan tetapi mursal (sandarannya putus) kerana orang yang meriwayatkan hadis ini, Abu Bakhtari (Said) tidak bertemu dengan Saidina Ali r.a.

Bagaimana dia boleh meriwayatkan hadis ini dari Ali dan dari Nabi s.a.w.?

Justeru hadis ini tidak boleh menjadi hujah yang kuat sebagaimana riwayat yang terdahulu.

Ayat ini melarang kita bertanyakan masalah agama kerana bermain-main terutamanya kepada sahabat r.a. ketika wahyu diturunkan.

Apabila ditanya maka Allah menurunkan wahyu yang lain pula. Seringkali ia menjadi bebanan yang berat kepada mereka kecuali dalam perkara yang diizinkan oleh syarak.

Perkara ini pernah berlaku kepada Bani Israel dan kaum-kaum yang lain di zaman silam. Firman Allah yang bermaksud,"sesungguhnya telah bertanya oleh kaum yang lebih dahulu daripada kamu kemudian mereka menjadi orang-orang yang kafir." (Surah al-Maidah: 102)

Di antaranya ialah kaum Nabi Soleh yang bertanyakan Nabi itu supaya menunjukkan bukti lalu Allah mengurniakan mukjizat seekor unta yang luar biasa.

Tiba-tiba mereka menjadi kafir. Mereka menyembelih unta mukjizat yang dikurnaikan oleh Allah kepada Nabi Soleh dan mereka dibalakan oleh Allah dengan satu tempik (jeritan) yang membinasakan mereka semuanya.

Hanya tinggal bangunan yang di pahat daripada bukit yang pejal yang menjadi tempat tinggal mereka.Kaum Nabi Soleh dimatikan oleh Allah.

Justeru kita jangan jadi seperti sahabat-sahabat Nabi Isa a.s. yang meminta supaya diturunkan hidangan daripada langit. Oleh kerana sayangkan para sahabatnya, Nabi Isa a.s. berdoa supaya Allah menurunkan hidangan daripada langit.

Kemudian mereka meminta benda yang bukan-bukan seolah-olah mahu jadikan nabi mereka sebagai pemain silap mata.

Jika berlaku sesuatu yang pelik barulah beriman, sebaliknya jika tidak ada benda pelik berlaku mereka tidak beriman kepada nabi Isa a.s.

Allah Ta'ala tidak sukar untuk mengurniakan sesuatu yang pelik kepada nabi dan rasul-rasul-Nya untuk dijadikan sebagai mukjizat kepada mereka dan kepada wali-wali-Nya sebagai karamah.

Tetapi apabila ada perkara yang pelik ini, tiba-tiba engkar, tidak mahu ikut maka siksanya adalah lebih berat.

Related Posts with Thumbnails