Memaparkan catatan dengan label Renungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Renungan. Papar semua catatan
5/26/2010 04:51:00 PTG

Imam Muda



Lama betul aku tak update blog ni.. sebulan terbengkalai.. Semalam aku menonton rancangan Imam Muda di Astro. Macam-macam gelagat 'imam' aku tengok. 

Nak dijadikan cerita, aku rasa pelik dengan salah seorang peserta yang mempertikaikan keputusan hakim. Alasannya? Dia kata dia sudah dua kali menjadi imam tarawih di Masjid Negara dan Imam Masjid Negara pun mengiktiraf suara dan bacaannya. Siap dia kata dia pernah jadi hakim tilawah al-Quran, lepas tu kalau boleh dia nak suruh hakim tadi pula baca biar dia check. Hahaha tergelak aku!

Bukan lah aku nak pertikaikan kesedapan suaranya mahupun kebagusan bacaan imam muda tersebut. Cumanya,   aku sedikit terkesima dengan sikap beliau. Yelah, bukan ke semua orang sedia maklum mana-mana pertandingan pun ada syarat @ terma seperti berikut: "keputusan hakim adalah muktamad......"

Lagipun bukan ke pertandingan seperti ni begitu subjektif? Maka tak perlu lah nak frust atau kecoh sangat kalau tak qualified. Betul tak?



Teringat pula aku kisah sahabat* Nabi s.a.w. yang rasa suara dia sedap dan nak ganti Bilal R.A jadi muazzin. Rasulullah benarkan sahabat tersebut ganti Bilal untuk satu Subuh dan beliau pun azan lah. Memang sedap, merdu dan syahdu sehingga ramai orang berkunjung ke masjid dan memuji sahabat tersebut? Tetapi tahu apa pertanyaan Malaikat Jibrail pagi tu? "Ya Muhammad, adakah kamu semua tidak solat Subuh tadi?" Rupa-rupanya suara azan tersebut tidak sampai ke langit dan tidak didengari oleh para malaikat. 

Aduh.. suara yang sedap kalau dibaca dengan riak dan menunjuk-nunjuk tiada nilainya di sisi Allah. Perbetulkan lah niat wahai Imam-imam muda sekalian. Tahniah kepada yang layak!

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

*p/s: untuk cerita penuh kisah sahabat tersebut sila rujuk kitab Sirah ye..  =)

4/20/2010 03:25:00 PTG

Perasaan sebuah bakul sampah

Bakul sampah. Perlukah aku memberikan takrifan apakah itu bakul sampah? Tak perlu kot.. Ini dia bakul sampah. 


Bakul sampah, walaupun dipandang hina oleh orang. Dituduh busuk, kotor, jijik dan bermacam lagi hinaan. Namun tidak pernah bakul sampah terfikir untuk bertukar karier selaku sebuah bakul sampah. 

Jiwanya kental, berpegang teguh kepada prinsip. Dia yakin, walaupun orang sering melemparkan sampah, sisa makanan, bangkai, najis dan segala jenis kebusukan dan keburukan terhadap dirinya, namun di sisi Allah kebaikannya dihitung dan dikira setiap hari.

"Ah, bukan aku yang melakukan segala kekotoran ini" monolog bakul sampah kerana sering dipandang hina orang makluk lain.

"Aku hanya melaksanakan tanggungjawabku, kalau bukan kerana aku pasti bersepah dan berselerak lah sampah-sampah yang manusia lakukan" bicaranya sendirian dengan yakin agar semangatnya tidak goyah.

Falsafah Di Sebalik Bakul Sampah

Adakala hidup kita diuji seperti sebuah bakul sampah. Melakukan kebaikan, namun dipandang pelik, hina malah dilemparkan pelbagai sinisan dan kutukan. Inilah kehidupan. 

Bakul sampah, walaupun melaksanakan tanggungjawab dan tugas yang mulia, tidak terlepas daripada hinaan dan pandangan sebelah mata. 

Mampukah anda menyelami perasaan bakul sampah?

3:191 (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.
Segala pujian bagi Allah, yang tidak menjadikan bakul sampah itu sia-sia bagi mereka yang berfikir.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allah Akbar!

Ok dah, cukup berfalsafah... sambung ulangkaji...

Wallahu 'Alam

Ibnu Abas al-Banjari 

2/11/2010 11:46:00 PTG

Perkauman




Petang tadi tengah aku stress buat assignment, tiba-tiba ada hamba Allah ni YM aku. Mula-mula okay la, cerita isu-isu semasa. Tiba-tiba dia buka tajuk yang paling aku menyampah pula.
Mula-mula dia tanya aku, “aa nak tanye..akh baik dgn org cina dan india tak?”
Aku pun tak syak apa-apa lah. Ingat soalan biasa je. Maka aku pun jawap lah,
“Baik je. Tiada masalah pun”
“Nampaknya anta silap besar di situ” jawab hamba Allah ni.
‘Eh kenapa pula minah ni’, monologku dalam hati. “Silap BESAR?” tanyaku tanpa bertangguh.
Hamba Allah: Betul..mereka sedang merangka agenda besar nak jatuhkan org melayu
Aku: hmmm...racist
Hamba Allah: Banyak bukti
Hamba Allah: ayah selalu pesan jgn percaya kat diaorg.. betul akh..
Bila aku kata dia racist, dia melenting pula dan menjawab,
“melampaunya..eh dengar ye..ana cuma nak observe kesedaran sahabat2..ana bukan racist..tapi ana ckp based on rahsia kepolisan yg ntum tak tau..sebagai umat islam..kita kena sedarkan sahabat2 yg tak sedar nih..kalau akh nak tau..baru2 ni gang mafia india dari seremban merompak bersenjata dekat kawasan kepolisan ayah ana bertugas..kalau nta nak tau..mereka dapat tgkp seorang dan seorang ditembak..akhirnya yg ditangkap bunuh diri dalam lokap dan yg ditembak tuduh polis tembak tanpa ada reason..kemudian..NGO,Y2 PEguam2 india semua datang bising2 kat office ayah ana nak jamin dia sedangkan dia hampir bunuh ayah ana ok...dan mereka disokong oleh org cina! dis is the fact..and for ur info..sometimes diaorg terlepas kerana yb dan ngo2 nih hinggakan kes terpaksa ditutup..u tell me who's the racist?”

Okay, cukup! Aku malas nak cerita semua. Cukup la dialog di atas menggambarkan realiti konsep 1Malaysia yang retorik. Sedangkan pemikiran rakyat Malaysia rata-rata masih dibelenggu perasaan perkauman yang sempit.
KITA SEMUA DARIPADA NABI ADAM
Sedih dan marah… Itulah perasaan aku bila melibatkan isu perkauman yang tidak pernah selesai.
Tidak cukup jelaskan firman Allah Subhanahu wa Taala di dalam surah al-Hujuraat ayat 13 yang bermaksud:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
Islam agama yang bersifat global (alamiyyah) bukan agama yang sempit dengan semangat perkauman dan prasangka buruk terhadap bangsa berlainan. Islam bukan tertumpu kelompok Muslim sahaja, malah lebih jauh dan luas lagi. Islam menjaga hubungan antara sesama Muslim dan bukan Muslim. Islam agama yang bebas daripada prejudis tanpa berbekal bukti yang kukuh. Dan Islam tidak pernah mengajar kita menghukum sesuatu kaum hanya disebabkan sebahagian mereka itu melakukan kerosakan dan ancaman terhadap Islam! Jangan kerana nyamuk beberapa ekor, kita bakar satu kelambu!
Malah Allah sendiri menerangkan kepada kita bahawa kejadian pelbagai bangsa manusia ini adalah bukti kekuasaan Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan. (Ar-Rum: 22)
Aku sangat suka mendengar kata-kata Tok Guru. Antara ayatnya yang suka untuk aku naqalkan di sini ialah:
“Kita semua Melayu, Cina, India, orang Amerika, orang putih, orang Asli dan lain-lain adalah adik-beradik. Kita datang daripada keturunan yang satu, iaitu ayah kita bernama Adam dan emak kita bernama Hawa. Soal berapa ribu pupu kita ini, biarlah. Jika tuan-tuan kata nenek moyang kita bukan Adam dan Hawa, cuba beritahu saya. Jika tidak jumpa jawapan, terima dulu kenyataan ini
(Nik Abd Aziz Nik Mat. Ceramah Padang Perdana pada 20 Februari 2008)
Inilah Islam. Jadi, masih nak membenci Cina dan India?
Sekian
Wallahu ‘Alam
Ibnu Abas

5/06/2009 12:02:00 PTG

Ia Bukan Sekadar Wabak


Mutakhir ini kecoh satu dunia dengan wabak influenza A (selesema babi) yang melanda Mexico dan beberapa buah negara sekitarnya. Namun adakah kerana ia berlaku di Mexico maka kita boleh bersenang lenang merasakan bahawa negara kita berada di zon yang selamat?

Kesemua wabak itu kerja Allah. Itu yang kita harus tanam di dalam pemikiran kita. Ia bukan kebetulan, tapi suatu peringatan daripada Allah kepada hambanya; sama ada yang beriman mahupun yang durhaka.

Kepada yang beriman, ini peringatan daripada Allah supaya teruskan kerja amar makruf nahi munkar agar kalian tidak dibinasakan sekali. Kepada yang durhaka dan engkar, ia peringatan agar kembali ke pangkuan Islam agar kalian sempat memohon keampunan-Nya.

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِى عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)

Sekadar peringatan buat diri dan pembaca semua. Ya. hidup hanya sekali, tetapi bukan untuk enjoy semata-mata. Sebaliknya untuk diisi dengan bekalan yang secukupnya, agar kita tidak fakir di hadapan Allah. Umpama petani yang bercucuk tanam, itu lah kehidupan kita. Di sini kita berkerja, masa menuainya di akhirat sana. Buruk amalan kita, rosaklah hasil tuaian kita. Baik amalan kita, insyaAllah baiklah ganjaran kita perolehi nanti.

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

5/04/2009 05:57:00 PTG

Bahaya Riak

Syidad bin Ausi berkata, "Suatu hari saya melihat Rasulullah S.A.W sedang menangis, lalu saya pun bertanya beliau, Ya Rasulullah, mengapa anda menangis?"

Sabda Rasulullah S.A.W, "Ya Syidad, aku menangis kerana khuatir terhadap umatku akan perbuatan syirik, ketahuilah bahawa mereka itu tidak menyembah berhala tetapi mereka berlaku riak dengan amalan perbuatan mereka."

Rasulullah bersabda lagi, "Para malaikat penjaga akan naik membawa amal perbuatan para hamba dari puasanya, solatnya, dermanya dan sebagainya. Para malaikat itu mempunyai suara seperti suara lebah dan mempunyai sinar matahari dan bersama mereka itu 3,000 malaikat dan mereka membawa ke langit ketujuh."

Malaikat yang diserahi ke langit berkata kepada para malaikat penjaga, "Berdirilah kamu semua dan pukulkanlah amal perbuatan ini ke muka pemiliknya dan semua anggotanya dan tutuplah hatinya, sungguh saya menghalangi sampainya kepada Tuhan saya setiap amal perbuatan yang tidak dikehendaki untuk Tuhan selain daripada Allah (membuat sesuatu amal bukan kerana Allah)."

"Berlaku riak di kalangan ahli fiqh adalah kerana inginkan ketinggian supaya mereka menjadi sebutan. Di kalangan para ulama pula untuk menjadi popular di kota dan di kalangan umum. Allah S.W.T telah memerintahkan agar saya tidak membiarkan amalnya melewati saya akan sampai selain kepada saya."

Malaikat penjaga membawa amal orang-orang soleh dan kemudian dibawa oleh malaikat di langit sehingga terbuka semua aling-aling dan sampai kepada Allah S.W.T. Mereka berhenti di hariban Allah dan memberikan persaksian terhadap amal orang tersebut yang betul-betul soleh dan ikhlas kerana Allah.

Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu semua adalah para malaikat Hafazdah (malaikat penjaga) pada amal-amal perbuatan hamba-Ku, sedang Aku-lah yang mengawasi dan mengetahui hatinya, bahawa sesungguhnya dia menghendaki amal ini bukan untuk-Ku, laknat para malaikat dan laknat segala sesuatu di langit."

Harap kita tidak tertipu dengan bisikan syaitan yang kerjanya merosakkan amalan kita. Ya Allah jauhi kami daripada riak dalam amalan.... Ameen...

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

5/03/2009 02:03:00 PTG

Jawatan : Antara Rebutan di Dunia dan Bebanan di Akhirat

Sewaktu Nabi mengiklankan satu jawatan untuk diisi oleh para sahabat, lalu datanglah Abu Zar al-Ghifari memohon jawatan tersebut, melihat yang memohon itu Abu Zar, lalu nabi menyatakan

« Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan ini satu amanah, kelak nanti di hari akhirat engkau akan akan dukacita dan menyesal ; melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau tunai pula amanahnya’.

Hadis ini seharusnya menjadi dasar pegangan setiap kita agar tidak terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan, kerana beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung nanti. Muawiyah bin Abu Sufyan disaat kematiannya menungkapkan kata-kata masyhur ‘Alangkah sedikitnya bekalan, alangkah jauhnya perjalanan dan alangkah beratnya bebanan’.

Rasulullah juga pernah memberi amaran antara lain mafhumnya ‘ jangan kamu mendesak untuk mendapatkan jawatan, kerana sesiapa yang mendapatkannya sedang orang ramai tidak meredhainya, maka Allah tidak akan membantunya’. AlHamdulillah, semangat keimanan tersebut telah tersemat kukuh dalam jamaah kita, sehingga setiap kita merasa berat untuk menerima jawatan tersebut.

Tetapi kita juga sedar dengan apa yang diucapkan oleh Presiden, menerima jawatan dalam jamaah adalah perlumbaan untuk membuat kebaikan dan memperjuangkan Islam. Kita rasa seronok bilamana kita boleh menyumbangkan sesuatu kepada jamaah, walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti.
Betapa ramainya golongan yang ikhlas dalam perjuangan ini sanggup korbankan harta, masa dan tenaga untuk kemenangan Islam, walau mereka tidak memegang apa-apa jawatan dan jauh dari dipilih sebagai calon dalam pilihanraya.

Jamaah kita didokongi oleh ahli yang ikhlas, kepimpinan yang wibawa dan kemantapan jamaah yang hebat. Kita sedar musuh amat cemburu dengan muafakat jamaah yang kita ada.
Mereka cuba memecahkan perpaduan kita, mereka cuba laga-lagakan antara kita, kerana itu kita harus sedar agar tidak jadi jurucakap bagi pihak musuh. Dalam kebimbangan dan ketakutan untuk menerima amanah ini, kita juga diberi amaran oleh Rasulullah antara lain Baginda mengingatkan sesiapa yang ummah/orang ramai mengharapkan kepadanya untuk menjaga maslahah mereka, lalu dia melarikan diri ( enggan menerima) maka aku tak ingin berjumpa dengannya nanti di padang mahsyar.
( Nauzubillah). Oleh itu pertimbangan yang wajar ialah berada di antara takut dan harap. Takut Rasulullah murka, dan harap Allah bantu dengan amanah ini.oleh itu menjadi tanggungjawab perwakilan yang menerima amanah ahli bawahan meneliti dengan keilmuan, menolak sentimen dan emosi, meletakkan kepentingan jamaah di hadapan agar membuat pilihan yang sebaik-baiknya bagi menerajui kepimpinan jamaah kita.

Namun kemungkinan pilihan kita bertepatan dengan pilihan ramai, lalu yang kita cadang menerima amanah; atau mungkin juga berlaku sebaliknya. Kita harus sedar, setelah diputus oleh jamaah maka kita mesti wala’ kepada kepimpinan yang dipilih. Perlantikan sebagai pimpinan menuntut kita taat dan wala’ kepadanya ‘ walaupun dari hamba berkulit hitam, berbangsa Habashi sekalipun’.
Ini lebih penting dari pemilihan, kerana soal pemilihan boleh selesai dalam sehari, tetapi soal wala’ akan berpanjangan sehingga muktamar akan datang. Kepada yang terpilih menerajui kepimpinan kawasan, dewan dan akan terpilih dalam muktamar pusat, ingatlah akan doa saidina Umar alKhattab
“ Ya Allah, engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka janganlah engkau bebankan pula aku dengan bebanan yang berat diakhirat”.
Ingatlah kita sebenarnya belum diuji oleh Allah dengan kemenangan besar yang menanti kita- Semoga Allah tidak menguji kita sebagaimana Allah menguji umat sebelum kita, Wassalam.
Mau'izah untuk ana dan para sahabat;
Tuan Ibrahim Tuan Man,

5/03/2009 01:04:00 PTG

Konflik

Konflik di dalam sesebuah hubungan adalah perkara biasa. Tidak pun, sedikit pasti ada. Sedangkan Nabi Sallahu alayhi wasallam pun pernah berkonflik dengan Aisyah R.A., inikan pula kita manusia biasa yang lemah jiwanya. Pagi tadi selepas Subuh aku secara tidak sengaja bertengkar dengan seorang sahabat yang aku kira bagai adik sendiri. Pada mulanya aku ingin bertanya dengan baik tapi entah macam mana dua-dua meletup dicucuk jarum syaitan laknatullah.

"Kau ni tak pandai jaga hati kawan!" jerkah dia.

"Memang aku tak pandai jaga hati kawan!" aku pun menyirap umpama disiram petrol.

Tidak lama dia keluar dari bilik, dan aku termenung sendirian. 'Astagfirullah... apa aku buat ni?' aku mengomel sendirian.

Kemudian aku menyambung menelaah buku PD, terbaca pula tentang Managing Interpersonal Conflict Successfully. Adeh, macam tahu-tahu je apa masalah aku buku ni.

Jadi aku teringin nak share beberapa pilihan yang kita boleh buat bila berlaku konflik dengan sahabat / member kita.

1. Mengelak (Avoidance); secara mudahnya aku katakan menyerah kalah. Sesuai kalau seorang jenis api lagi seorang jenis air. Pilihan ni sesuai kalau konflik yang berlaku tu merupakan perkara remeh temeh. Jadi kalau kita mengalah pun tiada rugi apa pun, cuma kena korbankan sedikit ego.

2. Kompromi (Compromise); penyelesaian melalui rundingan (negotiated solution). Kalau pilih untuk berkompromi, kita kena bersedialah untuk berkorban sedikit kepentingan peribadi kedua-dua pihak.

3. Memberi ruang (Accomodation); yang ni pilihan paling sukar. Sebab kita terpaksa korbankan kepentingan kita untuk menyelesaikan konflik kedua-dua pihak. Tapi ia berkesan apabila kita lebih penting persahabatan perbanding kepentingan peribadi kita =)

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

P/S: Habis exam tadi memang best, soalan senang pastu dapat message 'adik' aku tu mintak maaf. Jadi dah berbaik pun. Biasalah adik beradik gaduh. Pagi bertumbuk pun petang boleh main game PES sama-sama semula. Hehe...

4/27/2009 11:48:00 PTG

Kisah Si Anak Kecil

Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis.
Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?"
Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Qur'an sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi, "Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum wa ahlikum nara" yang bermaksud, " Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka." Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka."

Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka."
Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."

Berkata orang tua itu, sambil menangis, "Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti?"

Komen:
Kalau lah kita bertaqwa seperti anak kecil di atas, sudah tentu kita takut hendak melakukan maksiat kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Mari kita tanya diri sendiri. Sejauh mana kita yakin adanya malaikat yang mencatit segala amalan? Sejauh mana kita yakin akan alam barzakh (kubur), sejauh mana kita yakin kedatangan Yaumul Hisab (Hari pembalasan). Umat Islam hari ini dilanda krisis keyakinan. Yang memerintah, seolah-olah tidak akan jatuh; yang berduit, seolah-olah tidak mungkin miskin; yang muda, seolah-olah tidak akan tua; yang panjang umur seolah-olah tidak akan mati. Janganlah jadikan Islam sebagai pakaian yang boleh kita pakai dan tanggalkan bila-bila masa kita suka; jangan jadikan Nabi sebagai idola semasa maulid Nabi kemudian dalam kehidupan sehari-hari sunnah baginda langsung tak guna pakai; janganlah jadikan al-Quran sebagai tangkal pembawa tuah atau perhiasan di dinding atau khazanah yang tersimpan rapi di dalam almari. Kembali kepada agama fitrah yakni Islam. Yakinlah, Islam ialah penyelesaian bagi segala masalah.

Wallahu 'Alam....

-Ibnu Abas-

4/21/2009 07:49:00 PG

Kisah perempuan miskin, lembu tua dan Gaza




Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu.


Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti.


Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata.


Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya.


Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu.


Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut.


Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.


Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah.


Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.


Sebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.


Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza . Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza , beri kepada penduduk di sana ."


Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza , soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.


"Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza . Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih keberatan.Masing-masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu.


Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana.


Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:" Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza .


Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.


Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza ?"


Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan.


Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.


Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00)!


Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu.


"Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu.


"Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.


Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah.


Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.

Sumber: harakahdaily

4/16/2009 10:26:00 PTG

Syurga atau Neraka?


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anh bahawa Rasulullah Sallallahu alayh Wasallam bersabda:

Pada zaman Bani Israel dahulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap yang berbeza. Lelaki yang pertama suka berbuat dosa sementara yang kedua rahin beribadah. Setiap kali orang yang ahli ibadah itu melihat temannya berbuat dosa, ia menyarankan untuk rakannya berhenti daripada perbuatan dosanya.

Dosamu tidak akan diampuni!

Suatu hari ahli ibadah itu berkata lagi, "Berhentilah daripada berbuat dosa." Dia menjawab, "Jangan pedulikan aku, terserah Allah akan menilai perbuatan aku. Adakah engkau diutus Allah untuk mengawasi aku?"
Ahli ibadah itu pun membalas, "Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni oleh-Nya atau kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah."

Kamu lebih tahu?

Kemudian setelah kedua-dua orang itu mati, Allah Subhanahu Wa Taala telah menghakimi kedua-duanya. Allah menyoal ahli ibadah tersebut, "Adakah engkau lebih mengetahui daripada-Ku? Atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang telah berada dalam kekuasaan-Ku." Kemudian kepada ahli maksiat Allah berfirman, "Masuklah kamu ke dalam syurga berkat rahmat-Ku." Sementara kepada ahli ibadah dikatakan, "Masukkan orang ini ke dalam neraka!" 1


Pengajaran Hadith

Kisah yang diriwayatkan melalu hadith ini menunjukkan betapa syurga atau neraka bukan milik kita untuk menentukannya tetapi merupakan hak Allah Subhanahu Wa Taala. Allah berhak memberikan syurga kepada sesiapa yang dikehendaki berkat rahmat-Nya yang Maha Luas dan sebaliknya. Memang menjadi tugas kita sebagai khalifah Allah di bumi untuk melaksanakan tuntutan amar makruf nahi mungkar sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:


"Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar, dan kamu beriman kepada Allah...."

[Ali Imran : 110]


Kita ialah daie (pendakwah) bukan penghukum, itulah prinsip yang mesti dipegang oleh setiap orang Muslim. Oleh itu janganlah kita mudah berputus asa jika orang yang kita nasihat tidak mengendahkan nasihat yang kita beri. Apa yang lebih penting ialah kita yakin apa yang kita buat mendapat ganjaran pahala dari Allah, InsyaAllah. Allah tidak menilai hasil dakwah kita tetapi usaha dakwah yang kita lakukan semata-mata mendapat keredhaan-Nya.


Wallahu 'Alam


-Ibnu Abas-


1 Hadith Sahih riwayat Ahmad dan Abu Daud

Related Posts with Thumbnails