8/11/2010 04:58:00 PTG

Latihan Industri

Sudah dua bulan aku menjalani latihan industri di Bank Rakyat. Dalam tempoh ni jarang sekali aku update blog ni. Entah, penyakit malas barangkali.

Sepanjang tempoh berpraktikal ni, banyak perkara aku pelajari. Bukan setakat mendapat pengalaman kerja tapi juga pengalaman mengenali ragam manusia.

Alhamdulillah setakat ni, tiada lagi jumpa makhluk aneh di sini. Stafnya semua ramah dan mesra belaka. Layan aku macam kawan sekerja, bukan macam budak suruhan (seperti di sesetengah tempat) yang kerjanya hanya photostat. Yang paling 'syok', mereka tak mewarisi genetik keturunan kedekut bin haji bakhil. Itu aku paling suka! =)



Cuma ada beberapa perkara yang aku ingin kongsi di sini. Walaupun mengamalkan dan berimejkan perbankan Islam yang berlandaskan syariah,  masih banyak kekurangan pada pihak pelaksana (practitioner) yang perlu ditegur dan diperbetul untuk kebaikan bersama.

Istilah @ Terminologi

Kata sesetengah orang, "Apalah yang ada pada nama, yang penting isinya."
Aku tidak setuju cara pemikiran begini. Sama seperti ketika satu masa dahulu, apabila Islam Hadhari diperkenalkan. Bila dipertikaikan namanya, ada yang kata: "nama tak penting, yang penting isinya benda baik!" [rujuk buku: "Hadharah Islamiyyah, Bukan Islam Hadhari" : TG Hj Abdul Hadi Awang]

Begitu lah halnya di bank yang mengamalkan perbankan syariah. Penggunaan  istilah pinjaman/loan, faedah/interest dan insurans begitu menyakitkan telinga. Sedangkan istilah-istilah tadi semuanya merujuk kepada produk yang diharamkan Allah iaitu riba'! Mana mungkin kita menyamakan antara daging ayam dan babi. Tergamak kah kita masak daging ayam untuk dijual kemudian apabila tiba masa kita hendak jual kita kata kepada pembeli,
"Encik, sila beli babi masak kicap ni!"

Gunakan lah istilah yang betul, perbankan Islam tidak menawarkan pinjaman tetapi pembiayaan (financing). Kita tak guna insuran tapi kita ada takaful. Kita tak mengenakan riba (interest) tapi kita ambil keuntungan (profit). Aku faham kalau istilah itu keluar dari mulut pelanggan, sebab mereka tidak tahu (barangkali). Tapi kita yang bekerja dengan bank, yang dihantar berkursus, latihan, seminar dan sebagainya? Takkan tidak rasa bersalah tatkala 'ayam' yang kita jual terus disangka 'babi' oleh pelanggan kita? Maka tanggungjawab kita untuk tegur dan mendidik pelanggan.

Aku cukup yakin perkara ini turut dialami oleh kawan-kawan yang praktikal di bank lain. Sama ada terus berdiam diri atau bersikap amanah terhadap ilmu yang anda miliki, keputusan di tangan masing-masing. Setiap daripada kita akan menghadap Allah di akhirat kelak dan ditanya tentang bagaimana ilmu kita digunakan.

Ketika mesyuarat cawangan tempoh hari aku mengambil kesempatan untuk membangkitkan perkara ini dan AlhamduliLlah teguran aku itu diterima baik oleh Pengurus Cawangan (PC) untuk diambil tindakan / perhatian.

Pembiayaan Bersyarat

Aku yakin majoriti pelajar BBA Islamic Banking sudah faham apa hukum jual-beli bersyarat. Rasulullah menegah (mengharamkan) menjalankan transaksi bersyarat dalam jual-beli. Aku tidak bercadang membahas panjang di sini, cukup lah hadith ini sebagai asasnya:

Tidak dihalalkan salaf (hutang) dengan penjualan, dan tidak pula ada dua syarat dalam satu jual beli. 
[HR at-Tirmidzi].

Contohnya: "Saya jual beg tangan ini dengan syarat awak beli jam ni sekali"

Namun apa yang terjadi dalam bank yang mengamalkan perbankan Islam, samada disedari atau tidak, berlakunya jual-beli bersyarat ini. Contoh paling mudah ketika pelanggan datang hendak melakukan aqad pembiayaan peribadi. Staf tersebut mensyaratkan produk yang tidak termasuk dalam aqad pembiayaan tersebut seperti mensyaratkan pelanggan memasukkan sebahagian wang ke dalam fixed deposit, mengambil takaful dan sebagainya. [duti setem dan takaful pelindungan pembiayaan tidak termasuk dalam konteks ini]. Perbuatan ini sama ada disedari atau tidak telah menyebabkan pihak bank melakukan transaksi yang diharamkan oleh Islam.

Tidak salah untuk staf terbabit untuk menjual produk sampingan ketika aqad hendak dilakukan, tetapi jangan sampai mewajibkan atau mendesak. Kalau tidak berlaku jual-beli bersyarat sekalipun, akan berlaku unsur paksaan (coercion) yang menyebabkan aqad tersebut fasad (rosak). Gunakan kemahiran untuk meyakinkan pelanggan, bukan mewajibkan dan memaksa pelanggan.



Tidak melaksanakan aqad jual-beli

Mungkin tidak berlaku di sini (tempat praktikal aku), namun tidak mustahil ia berlaku di tempat lain. Perkara ini diakui oleh PPC aku sendiri berlaku di cawangan tertentu di mana staf mengambil kerja mudah tidak melaksanakan aqad. Sama ada staf terbabit atau tidak sebenarnya dia telah melakukan sekurang-kurang tiga dosa:

1) Mengkhianati amanah bank kepadanya dan menipu.
2) Menyebabkan transaksi menjadi haram.
3) Mengakibatkan pelanggan tersebut menggunakan duit haram untuk berbelanja.

Bayangkan betapa besar implikasi dan dosa yang perlu ditanggung? Perkara ini mungkin jarang berlaku di dalam bank kerana ada pantauan daripada pegawai, namun terjadi apabila aqad dilakukan di luar bank (contoh: di rumah pelanggan, pejabat dsbnya). Adakala staf terbabit hanya sekadar menyuruh pelanggan menandatangan surat perjanjian, dan berlaku juga di mana staf tidak membawa sijil saham yang menjadi aset jual-beli pembiayaaan tersebut. Akibatnya transaksi tersebut tidak sah dan pelanggan mendapat wang yang haram.

Ingatlah, setiap daripada kita akan berjumpa dengan Allah kelak. Bos kita mungkin tidak melihat, tapi Allah itu Maha Melihat dan Maha Mendengar. Janganlah kerana mahu mencari kesenangan dalam kerja, kita mendapat susah yang lama di akhirat nanti. Wallahu Alam

Sekian

Abu Hurairah

7/21/2010 09:14:00 PTG

Kesilapan ketika Solat


Sabda Rasulullah SAW: “Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.” 
(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Ahmad)

Hadith yang cukup ringkas dan padat. Barangkali ramai yang pernah mendengar atau membacanya, tapi sedikit sekali yang betul-betul beramal dengannya, hatta ber'title' ustaz.

Bagaimana kita hendak solat seperti Nabi SAW? Tidak lain dengan mengetahui hadis-hadith Nabi SAW yang wajib kita tahu selaku seorang Muslim. Tidakkah kita terasa malu dengan Nabi SAW, sepanjang hayat kita solat tidak pernah kita cuba untuk mendalami ilmu tentang solat dan mengkaji solat kita? Sedangkan kita mengakui mencintai baginda. 

Rasulullah SAW tahu bahawa di suatu ketika nanti, umatnya akan mensia-siakan solat, umatnya tidak lagi ‘menjaga solat’.  Dan ini boleh diperhatikan melalui sabda baginda SAW: 
“Akan datang satu masa atas manusia, di mana mereka mengerjakan solat, yang sebenarnya mereka tidak mengerjakan solat!” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Kata ulama’ besar Imam Ahmad lagi, “Saya sangat khuatir bahawa zaman yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadis ini adalah zaman kita sekarang ini”  Bayangkan zaman tersebut adalah di zaman Imam Ahmad  iaitu di tahun 164H hingga 241H.  “Sekiranya engkau solat di dalam 100 buah masjid, engkau tidak akan melihat  satu masjidpun di mana manusia mengerjakan solat dengan betul sebagaimana yang 
dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. 
Ketahuilah olehmu, sekiranya ada seorang yang benar tatacara solatnya, lalu dia melihat  orang lain yang salah dan mensia-siakan solatnya, lantas dia diam, tidak menegurnya atau memperbaiki akan kesalahan orang itu atau tidak menasihatinya, maka dia bersama-sama menanggung dosanya.  Jadi orang yang betul tatacara solatnya tadi,  samalah dengan orang yang melakukan kesalahan bila dia tidak menegur dan menasihati  orang yang salah tadi,” kata Imam Ahmad.

Naudzubillah min zalik!

Pernahkah kita terfikir kerana ketidakpedulian kita terhadap kesilapan solat orang di sekeliling kita, solat kita juga mungkin tidak diterima? 

Di sini aku ingin berkongsi kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan orang awam, dan sering juga dipandang sepi oleh mereka yang berilmu:

1. Solat Pendekar
Mungkin kedengaran pelik tapi itulah istilah yang sepatutnya diberikan. Aku pelik melihat gaya-gaya pencak silat segelintir orang yang dilakukan di dalam solat. Terutamanya ketika mengangkat takbir. Kadang-kadang hilang khusyuk solat orang seperti ni.

2. Solat Ekpress
Ini pula solat yang dilakukan orang golongan ultra pantas. Bayangkan 4 rakaat solat boleh selesai dalam masa 2 minit! Masakan sah solatnya sedangkan fatihah yang dibaca pun susah malaikat nak hitung (sinis). Thuma'ninah (tempoh berhenti antara dua rukun) lagi lah tak dititikberatkan! Dengan rukuk yang tak sempurna dah sujud, sujud pula begitu angkuh untuk hidungnya mencium bumi!

Sabda Rasulullah SAW: “Seburuk-buruk pencuri adalah orang yang mencuri (dalam) solatnya.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana mungkin ia mencuri (dalam) solatnya? Rasulullah SAW menjawab: “Yaitu mereka yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujud.” (Hadis riwayat Imam Thabrani dan Hakim).

3.Memakai pakaian bergambar / bercorak
Perkara ini dilarang Nabi dan termasuk dalam perkara yang makruh kerana mengganggu fokus ketika solat.
“Nabi solat dengan mengenakan khamisah yang memiliki corak/gambar-gambar. Beliau memandang sekali ke arah gambar-gambarnya. Setelah selesai dari solatnya, beliau bersabda, “Bawalah khamisahku ini kepada Abu Jahm dan datangkan untukku anbijaniyyahnya Abu Jahm, kerana khamisah ini hampir menyibukkanku dari solatku tadi .”   Hisyam bin Urwah berkata dari bapanya dari Aisyah, “Nabi bersabda, “Ketika sedang solat tadi aku sempat melihat ke arah gambarnya, maka aku khuatir gambar ini  akan melalaikan/menggodaku .”  (Hadis riwayat  Al-Bukhari no. 373 dan Muslim no. 
1239)

5/28/2010 10:23:00 PG

Sekular ?



Sekular? Bila sebut perkataan ni mesti rata-rata orang faham ia bererti memisahkan agama daripada kehidupan. Tapi betul ke kita faham sejauh mana kesan pemikiran sekularisme terhadap masyarakat dan negara kita hari ni? Cuba lihat dialog-dialog di bawah ni, ada unsur sekularisme tak?

"Okay, lepas solat Subuh kita buat pengisian rohani sikit ye.. Nanti ustaz bagi tazkirah, ok? Pukul 8 pagi kita buat aktiviti enjoy-enjoy sikit. Kita main futsal team lelaki lawan team perempuan."

- Sekularisme dalam program dan aktiviti pelajar/masyarakat

"Assalamualaikum w.b.t... Kita mulakan kelas dengan bacaan ummu Quran, al-Fatihah" [Pensyarah Pengajian Islam]

"Good morning... how do you feel today guys?" [Pensyarah Ekonomi]

- Sekularisme dalam pendidikan (Islam hanya diamalkan ketika kelas pengajian Islam)

"Apa pakcik ni, mana ada politik Islam? Politik tu politik la... Islam tu kita buat 6 perkara dalam rukun Islam tu sudah la!"

- Sekularisme dalam politik

"Alah, Bank Islam punya pembiayaan  mahal lah! Baik kita pinjam bank konvensional je.. Interest pun tak tinggi!"

- Sekularisme dalam ekonomi

Hakikatnya, hidup kita tak lari daripada ancaman dan pengaruh sekularisme. Walaupun kita faham dan tahu, kadang-kadang kita sendiri yang terpengaruh dengan sekularisme ni. Buka TV, tengok sekular. Selak suratkhabar, baca sekular. Keluar rumah, jumpa sekular. Masuk kelas pun belajar jadi sekular. Sekular dah lama merebak dan didoktrin dalam negara kita. Sama ada sedar atau tidak itu lah hakikatnya. Tak percaya? Cubalah fikir dan nilai sendiri.

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

5/26/2010 04:51:00 PTG

Imam Muda



Lama betul aku tak update blog ni.. sebulan terbengkalai.. Semalam aku menonton rancangan Imam Muda di Astro. Macam-macam gelagat 'imam' aku tengok. 

Nak dijadikan cerita, aku rasa pelik dengan salah seorang peserta yang mempertikaikan keputusan hakim. Alasannya? Dia kata dia sudah dua kali menjadi imam tarawih di Masjid Negara dan Imam Masjid Negara pun mengiktiraf suara dan bacaannya. Siap dia kata dia pernah jadi hakim tilawah al-Quran, lepas tu kalau boleh dia nak suruh hakim tadi pula baca biar dia check. Hahaha tergelak aku!

Bukan lah aku nak pertikaikan kesedapan suaranya mahupun kebagusan bacaan imam muda tersebut. Cumanya,   aku sedikit terkesima dengan sikap beliau. Yelah, bukan ke semua orang sedia maklum mana-mana pertandingan pun ada syarat @ terma seperti berikut: "keputusan hakim adalah muktamad......"

Lagipun bukan ke pertandingan seperti ni begitu subjektif? Maka tak perlu lah nak frust atau kecoh sangat kalau tak qualified. Betul tak?



Teringat pula aku kisah sahabat* Nabi s.a.w. yang rasa suara dia sedap dan nak ganti Bilal R.A jadi muazzin. Rasulullah benarkan sahabat tersebut ganti Bilal untuk satu Subuh dan beliau pun azan lah. Memang sedap, merdu dan syahdu sehingga ramai orang berkunjung ke masjid dan memuji sahabat tersebut? Tetapi tahu apa pertanyaan Malaikat Jibrail pagi tu? "Ya Muhammad, adakah kamu semua tidak solat Subuh tadi?" Rupa-rupanya suara azan tersebut tidak sampai ke langit dan tidak didengari oleh para malaikat. 

Aduh.. suara yang sedap kalau dibaca dengan riak dan menunjuk-nunjuk tiada nilainya di sisi Allah. Perbetulkan lah niat wahai Imam-imam muda sekalian. Tahniah kepada yang layak!

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

*p/s: untuk cerita penuh kisah sahabat tersebut sila rujuk kitab Sirah ye..  =)

4/26/2010 07:57:00 PG

Alahai Subuh... beratnya untuk umat Islam hari ini...


“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." [HR Imam Bukhari]

Subhanallah... besar sungguh ganjaran yang Allah berikan kepada umat Nabi Muhammad. Tidak pernah ada umat sebelum ini yang dikurniakan ganjaran pahala sehebat ini. Namun sejauh mana kita hari ini hargai kelebihan yang Allah berikan kepada umat Nabi Muhammad saw?


Tidak cukup dengan itu, malah Allah 'top up' lagi dengan ganjaran bonus bagi mereka yang melakukan solat sunat fajar.

Dalam hadis riwayat Imam At-Tirmidzi:

“Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah S.A.W., dua rakaat solat Fajar (solat Subuh) pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”

Lebih indah daripada dunia dan seisinya? Tak jelas lagi kah? Benarlah.... pada akhir zaman kita melihat yag syurga itu neraka, yang neraka itu syurga! Benarlah!

"Di antara fitnah Dajjal ialah bahawa ia akan membawa syurga dan neraka; adapun neraka Dajjal ialah syurga, dan syurga Dajjal ialah Neraka. Maka barangsiapa diuji dengan neraka Dajjal, hendaklah ia mohon pertolongan Allah sambil membaca permulaan surat al--Kahfi, maka neraka akan menjadi dingin dan damai"

Bersabda rasul s.a.w: Para malaikat malam bertukar dengan malaikat siang dan mereka berhimpun pada waktu solat subuh dan solat Asar, mereka kemudian naik ke langit Allah bertanya kepada mereka dan Dia lebih mengetahui. ” Bagaimana kamu tinggalkan hamba-ku?”
Para malaikat menjawab: Kami tinggalkan mereka dalam keadaan menunaikan solat dan kami bertemu dengan mereka juga  dalam keadaan menunaikan solat, ampunkanlah mereka pada hari pembalasan. ” [Hadith Muttafaqun ’Alayhi]
Solat Subuh merupakan ujian yang berat, dan tak mungkin mudah untuk dihadapi sekiranya tanpa niat yang ikhlas, serta usaha dan mujahadah yang bersungguh-sungguh. Seperti mana hadith Nabi saw yang bermaksud:

"Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafiq adalah solat Isya' dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi keduanya sekalipun dengan merangkak"

Lihatlah bagaimana Nabi saw menggambarkan kehebatan ganjaran subuh berjemaah dan sehingga orang yang  benar-benar faham akan mendatanginya walaupun merangkak! Dan beratnya solat Subuh sehinggakan ia membezakan antara mukmin dan munafiq!

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. [Al-Ankaboot: 2-3]

Namun lihat lah diri kita? Tanya kepada diri sendiri apa usaha di malam hari agar kita dapat bangun Subuh berjemaah?

Facebook? Movie terbaru? Ziarah bilik kawan? Borak kosong? Study lewat malam? (kononnya)

Salahkah ber'Facebook'? Salahkah tengok Movie? Bukan itu persoalannya!

Tapi kalau inilah amalan yang kita lakukan sehingga sanggup tinggalkan ganjaran Subuh yang Allah berikan, tak munafiq kah kita? 'Kau' marah? Terasa hati? Bagus, itu petanda 'kau' masih hidup! Aku ingat 'kau' dah mam***!

Memang aku tulis ni untuk buat 'kau' terasa? Kasar? Tak berhikmah?

Aku katakan: "hikmah itu ada pada diam, hikmah itu ada pada perkataan, hikmah itu ada pada ketenangan, hikmah itu ada pada kemarahan, hikmat itu ada pada kelembutan, hikmah itu ada pada kekerasan!"

Biarlah 'kau' terasa! Memang aku nak 'kau' rasa! Nah! Rasakan 'kau'! Tak malu ke 'kau'? Mengaku orang mukmin, tapi Nabi kata 'kau' ada ciri munafiq! 

Harap 'kau' segera sedar dan bertaubat!


Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas al-Banjari-

P/S: "Kau" merujuk kepada IMAN bin ISLAM. Kau pun terasa ke? Bagus! =)

Related Posts with Thumbnails