12/14/2009 11:27:00 PG

Aqidah Salaf dan Khalaf - Ust Hasrizal (Bahagian 1)



Usul 20 Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna: Usul ke-10


PERIHAL MENYATAKAN SOAL AQIDAH SERTA MANHAJ SALAF DAN KHALAF


"Mengenal Allah SWT, Mentauhid Dan MenyucikanNya Adalah Setinggi-Tinggi Akidah Islam. Ayat-Ayat Sifat Dan Hadith-Hadithnya Yang Sahih Dan Penyerupaan Yang Layak Dengannya; Kita Beriman Dengannya Sebagaimana Ia Datang Tanpa Takwil Dan Ta’til. Kita Jangan Cuba Mendedahkan Khilaf Di Antara Ulama’ Dalam Masalah Itu. Sudah Cukup Bagi Kita Apa Yang Telah Cukup Bagi Rasulullah SAW Dan Sahabat-Sahabatnya”

Firman Allah SWT:


"Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: kami beriman dengan semuanya (ayat-ayat yang mutasyabihat) dari Tuhan kami. (Ali Imran : 7)

KETERANGAN

Dalam usul ini Al Imam Asy Syahid menjelaskan kedudukan Tauhid dalam aqidah Islam sambil menerangkan jalan tengah dalam ayat-ayat sifat dan hadith-hadithnya yang sahih.

Pendapat Al Imam Asy Syahid dalam hal ini adalah benar dan bersandarkan Al Kitab dan Sunnah. Bagi Allahlah kepujian dan pemberian.

Ketinggian Kedudukan Tauhid


Sudut-sudut pengetahuan amat banyak tetapi yang paling tinggi ialah aqidah Islam. Sudut-sudut aqidah juga banyak tetapi yang paling tinggi ialah mentauhidkan Allah. Iman yang benar dan Tauhid yang hak menjadikan, seseorang itu mendapat ketenangan, kemuliaan, keamanan dan kerehatan. Sebaliknya tanpa iman beliau menjadi resah dan tiada pegangan. Allah berfirman:


"Maka manakah di antara dua golongan itu yang lebih berhak untuk mendapat keamanan (dari malapetaka) jika kamu mengetahui? Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik). Mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk . (Al An ‘aam: 8l-82)

Kerana itulah Allah SWT memerintahkan dengan Tauhid sebelum perkara lain. Allah berfirman:


“Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah.” (Muhammad: 19)

Kewajipan Muslim terhadap aqidah yang tertinggi ini merangkumi tiga perkara:

·         Makrifah dengan yakin, bukannya lintasan fikiran.

·         Tauhid yang benar tanpa ragu-ragu kepadanya.

·         Iktikad kesempurnaan Allah dari sebarang kekurangan.


Dalam hal ini Allah berfirman:


"Katakanlah: Dialah AIlah Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tiada pula diperanakkan dan tiada seorang pun yang setara dengannya.” (Al lkhlas: 1-4)


"Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.(As Syura: 11)

Oleh kerana ruangan ni tidak mengizinkan keterangan secara terperinci, maka saya nyatakan secara ringkas.

·         Apakah yang menghidupkan umat Islam setelah mati?

·         Apakah yang membangunkan mereka setelah tidur?

·         Apakah yang menyemarakkan mereka setelah padam?

·         Apakah yang memberikan mereka kekuatan setelah dihina?

·         Apakah yang menjadikan mereka pemimpin umat-umat setelah mereka adalah gembala-gembala kambing?

·         Itulah iman dengan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya.




Pendirian Terhadap Sifat-sifat Allah SWT


Setiap Muslim wajib menthabitkan semua sifat-sifat kesempurnaan bagi Tuhannya dan menyucikan-Nya dari sebarang kekurangan.

Di sana terdapat sifat-sifat yang di sekitarnya timbul pertikaian pendapat yang lama, rnemecahkan hati-hati, memporak-perandakan saf-saf dan menyia-nyiakan waktu iaitu sifat-sifat yang terdapat perbahasan di kalangan salaf dan khalaf seperti: Mata, tangan, jari-jari, turun dan seumpamanya. sebagaimana yang terdapat dalam ayat-ayat dan hadis-hadith-hadith sifat.

Umat Islam telah membuat beberapa pendirian terhadapnya sejak dahulu hingga sekarang. Al-Imam Asy-Syahid pada zamannya melihat pendirian-pendirian ini yang menimbulkan belas kasihan. Perkara tadi telah melampaui batas dan menimbulkan perbahasan yang panjang.

Para pembahas membuat ketetapan, setengahnya kadang-kadang mengkafirkan setengah yang lain. Yang peliknya, para pembahas tadi tidak ada pada mereka melainkan:

·         Taksub dan melampaui batas kesucian.
·         Alangkah baiknya kalau perbahasan ini ditentukan oleh ahli ilmu, namun ia meluaskan perbahasan untuk menyibukkan orang yang mampu mencapai dan yang tidak mampu mencapainya.
·         Alangkah baiknya kalau perbahasan ini diadakan selepas selesai dari membahaskan perkara-perkara utama yang disepakati bersama.



Iman Tanpa Takwil dan Ta’til


Imam Asy Syahid telah membuat pendirian yang bijaksana.

·         Beriman dengannya tanpa takwil dan ta’til.
·         Menjauhkan diri dari menyebut perselisihan ulama’ padanya.
·         Beriman dengan sifat-sifat tanpa takwil dan ta’til adalah mazhab salaf yang lebih arif, bijaksana dan lebih selamat.
·         Tanpa takwil maksudnya tanpa memalingkan maknanya yang rajih lagi hampir kepada yang marjuh lagi jauh tanpa kaitan yang mewajibkannya. Maka maknanya yang dekat sudah maklum dalam fikiran.

Mazhab salaf memegang makna ini mengikut makna yang layak dengan kebesaran Allah dan tidak memberatkan diri dengan makna-makna yang jauh dan sampingan tanpa keperluan.

Ta’til pula bermakna menafikan madlul-madlul (maksud-maksud yang didalilkan) lafaz yang menyifatkan Allah secara mutlak. Di sisi orang yang memegang ta’til Allah SWT tidak bercakap, tidak mendengar, tidak melihat dan seumpamanya.
 

12/10/2009 03:05:00 PG

Rapatkan Saff !

"Luruskan dan rapatkan saf.... sesungguh kesempurnaan saf merupakan sebahagian daripada kesempurnaan solat." Kata Tuan Imam lalu mengangkat takbir.

"Dik, rapatkan lagi sikit saf tu." Aku menegur seorang remaja, pantas dia menuruti nasihatku itu.

"Pak cik, tolong rapatkan lagi sikit saf." Aku menegur pula seorang pak cik di sebelah kiriku. Dia menoleh ke arah ku dengan muka sedikit pelik kemudian terus mengangkat takbir.

"Astagfirullah al azim..." Aku hanya mampu istighfar di dalam hati dan menarik nafas. Lantas aku pun terus mengangkat takbir.

Tidak aku fahami sikap kebanyakkan orang kita di dalam bab merapatkan saf. Bagaimana hendak mengajar si kecil, sedangkan yang si tua sendiri tidak menunjukkan cara solat berjemaah yang betul?


Kebiasaan Orang Kita

Tidak keterlaluan jika aku katakan sudah menjadi kebiasaan makmum-makmum di mana-mana masjid atau surau mengabaikan kesempurnaan saf solat.

Hendak dikatakan tidak tahu hukum, ada di kalangan mereka "Pak Aji", "Ustaz" dan "Pak Imam". Malah bertambah pelik, boleh dikatakan setiap kali solat Pak Imam memberi nasihat, "luruskan dan rapatkan saf..." namun ia seperti mencurah air ke daun keladi. Imam pula menuturkan kata-kata tanpa berusaha memastikan jamaah sudah merapatkan saf.

Sudah terang lagi bersuluh disebut di dalam hadith; dari Nu'man bin Basyir RA berkata,

"Adalah Rasulullah SAW meluruskan saf kami, seolah-olah meluruskan anak panah sehinggalah beliau berpuas hati bahawa kami telah memenuhi panggilannya. Pada satu hari, beliau keluar untuk solat. Beliau berdiri dan ketika hendak takbir, kelihatan seorang yang dadanya kehadapan dari saf. Beliaupun besabda, Hendaklah kalian luruskan saf kalian, atau ALLAH akan memecahbelahkan persatuan kalian." (HR Muslim no 436)

Ibn Hajar berkata: Yang dimaksudkan dengannya ialah: berlebih-lebihan dalam menyamakan saf dan mengisi kekosongan. [lihat: Fathul Bari 2/211.]

Kata Bakar Abu Zaid: Dalil menunjukkan betulnya apa yang difahami oleh Ibn Hajar ialah kata-kata Nukman bin Basyir itu sendiri iaitu: "Maka aku melihat seseorang lelaki menempelkan bahunya dengan bahu kawannya, lututnya dengan lututnya, dan buku lalinya dengan buku lalinya". Lafaz Abu Daud.
Menempelkan antara lutut dengan lutut tidak mungkin, maka di sini terserlah bahawa yg dimaksudkan ialah: galakan mengisi kekosongan dan meluruskan saf, bukannya benar-benar menempelkan (buku lali dengan buku lali). [Lihat: La Jadid Fi Ahkam al-Solah m/s 16]

Tetapi kalau jarang antara makmum begitu renggang hingga kadangkala boleh 'disumbat' seorang lagi makmum di antara mereka, apa yang mereka faham tentang 'rapatkan saff'?

Berlonggar-longgar dalam memenuhi arahan Nabi Sallahu alayhi wasallam agar meluruskan dan merapatkan akhirnya menjadi punca kepada:

1) Memberi laluan mudah untuk syaitan mencelah dan mengganggu solat kita. Sudah pasti menjadikan semakin sukar untuk kita memperoleh khusyuk di dalam solat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
"Luruskan saf kalian, dan luruskanlah bahu-bahu kalian, dan tutuplah celah-celah. Jangan biarkan celah-celah tersebut untuk syaithan. Barangsiapa yang menyambung saf, nescaya Allah akan menyambung(urusan) nya. Barangsiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah akan memutus(urusan) nya." (HR Abu Daud 666, Sohih Targhib wa Tarhib 495)

2) Mencari salah satu punca perpecahan ummat seperti yang disebut dalam hadith di atas, "Barangsiapa yang menyambung saf, nescaya Allah akan menyambung(urusan) nya. Barangsiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah akan memutus(urusan) nya."

3) Mengurangkan pahala solat berjamaah, sebagaimana sabda Nabi, "Sesungguhnya seorang hamba itu mendirikan solat tetapi tidak mendapat pahala kecuali sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, seperenam, seperlima, seperempat, sepertiga atau setengah." (HR Abu Daud, An Nasai).

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

12/08/2009 12:56:00 PTG

Berapakah Nilai Dakwah Kita?

"Ana tak boleh pergi program tarbiyah tu, ada masalah kewangan lah." Jawapan Rizal bila dia diminta untuk untuk menghadiri program tarbiyah musim cuti.

"Kenapa buat masa cuti? Time macam ni mana ana ada duit?" Rungut Eja bila mendapat tahu dia diminta menjadi fasilitator tanpa bayaran untuk kem Remaja Islam.

Dialog seperti ini biasa kedengaran, lebih-lebih lagi apabila melibatkan harta (wang) untuk gerak kerja dakwah Islam.

Seringkali wang menjadi penghalang, masalah wang juga yang menjadi alasan KONKRIT untuk menbantut gerak kerja Islam.



Masalah Kewangan atau Masalah Sikap?

Itu persoalan yang harus kita tanya kepada diri sendiri.

Sama ada masalah tidak cukup wang itu wujud disebabkan faktor yang tidak dapat dielak atau dijangka, maka boleh lah dikatakan masalah kewangan.

Tetapi jika masalah tidak cukup wang itu berpunca daripada amalan boros dan  tidak mengurus wang dengan betul , maka itu masalah SIKAP.

Jika untuk mengisi perut kita sehari-harian kita membuat kira-kira, apakah untuk dakwah tidak perlu?

Jika untuk membeli peralatan pengajian itu penting kerana menuntut ilmu itu WAJIB, adakah dakwah itu PILIHAN? Bila ada wang lebih kita sumbang untuk kerja dakwah, kalau tiada maka tiada lah..

Tepuk dada tanyalah IMAN kita......

Berapakah Nilai Dakwah Kita?

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (10) Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (11)

Sekian.

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

12/07/2009 08:02:00 PTG

Kehidupan Berumahtangga

Minggu lalu (Isnin - Ahad) aku mengikut En Hairul dan Pn Mas ke klang, rumah baru mereka yang terletak di Taman Aman Perdana. Aku ni pantang dipelawa, kalau tiada aral melintang memang pasti mengekor sahaja.

Tak banyak yang aku tolong. Angkat barang sikit, kemas-kemas sikit, potong rumput sikit, tapi makan BANYAK. He.. =) Kesian mereka...

Aku kagum dengan pasangan romantis ni. Barangkali pasangan suami isteri yang boleh menjadi mentor aku apabila berumahtangga nanti. Hehe..

Sudah pasti setiap rumahtangga akan diuji oleh Allah SWT. Rumahtangga mereka juga tidak ketinggalan. Antaranya ujian tinggal berjauhan. Selama beberapa tahun sebelum ini mereka terpaksa tinggal berjauhan maka sudah pasti banyak perkara yang SEPATUTNYA harus dibuang daripada senarai tugasan si isteri dan si suami.

Contohnya, si isteri sepatutnya memasak untuk suami, tetapi kerana masing bekerja dan duduk berjauhan tanggungjawab itu terpaksa diabaikan. Suami juga banyak senarai tanggungjawab  yang bersifat SEPATUTNYA, tetapi banyak juga yang harus diundurkan.

Melihat dan cuba memahami pasangan-pasangan hidup yang aku kenali membuatkan aku lebih faham akan REALITI hidup berumahtangga.

Di zaman belajar seperti sekarang, orang seperti aku (yang bujang) melihat kehidupan berumahtangga dengan pandangan yang IDEAL.

Tetapi bagi mereka yang sudah berumahtangga, mereka sedar bahawa pandangan kehidupan yang IDEAL itu belum tentu mampu diREALITIkan.

Apa yang kita cita-citakan dan idam-idamkan, kebanyakannya bersifat IDEAL
Sedangkan kehidupan yang harus kita tempuhi, semua itu bersifat REALITI dan PRAKTIKAL.

Mungkin ada bakal suami yang mengidam isteri yang pandai dan rajin memasak, tetapi bila berumahtangga si isteri sibuk dengan kerjaya sehingga tidak mampu memenuhi expectation suami.

Mungkin kerana hidup berjauhan selama ini, Pn Mas dan En Hairul belum dikurniakan zuriat lagi. Satu ujian yang besar buat pasangan suami-isteri. Tapi mereka cukup tabah dan sabar. Kerana itu lah aku kagum dengan mereka. Apapun, hanya doa yang mampu aku sumbangkan buat mereka. Kepada Pn Mas dan En Hairul, yakinlah dengan berkat kesabaran dan toleransi selama ini, ditambah dengan perasaan syukur terhadap nikmat dan redha dengan ujian daripada Allah; InsyaAllah kalian akan dikurniakan rezeki yang paling diidam-idamkan yakni anak yang soleh / solehah. Amin.



Andai penantian yang lama itu membuahkan hasil yang terbaik, nantikan lah ia dengan perasaan syukur dan redha.

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa”   
 [Surah al-Furqan ayat 74]

Sekian.

Wallahu 'Alam.

-Ibnu Abas-

11/26/2009 12:10:00 PTG

Kematian

Selasa yang lalu seorang sahabatku kehilangan abangnya. Abangnya meninggal disebabkan sesak nafas. Ironinya aku tidak berada di kampung ketika itu. Jadi tidak dapat menolong memandikan dan mengebumikan jenazah si mati.
 

Namun apa yang paling menyedihkan aku, sahabatku itu menceritakan bagaimana orang kampung 'melayan' Almarhum. Dia dihukum kerana kesalahan lalunya. Tidak ada orang kampung yang mahu memandikan jenazah Almarhum! Akhirnya ibu sahabatku itu sendiri yang mengetuai memandikan jenazah si mati. Mujurlah ibu sahabatku itu pernah mengambil kursus pengurusan jenazah. Ada lah beberapa orang kampung yang turut membantu selepas itu.




Lebih mengecewakan, ada di antara mereka yang merupakan 'ahli masjid' tetapi bukan sahaja tidak menolong malah mengumpat si mati pula tu! Astagfirullah.. Jahilnya manusia hari ini. Ada yang menuduh Almarhum mati kerana jangkitan HIV, sebab tu mereka tidak mahu memandikannya. Ya Allah, apalah penyakit hati umat Islam hari ini. Penuh dengan prasangka dan hasad sehingga orang yang telah meninggal pun mereka jadikan bahan umpat! Kalau lah Allahyarham mati disebabkan HIV sudah pasti pihak hospital yang mengambil alih dan tertulis di dalam surat kematian. Mereka membuat andaian seolah-olah mereka tahu seba serbi walhal mereka hanya mendapat 'dosa kering' secara percuma.

Tidakkah mereka membaca al-Quran?
" Adakah kamu suka memakan daging mayat saudara kamu ? " ( Al-Hujurat : 12 )
Atau mereka membacanya sekadar di kerongkong? Malah di dalam satu hadith ketika Jabir r.a mengatakan bahawa dia bersama Nabi SAW di satu tempat dan terbau busuk di tempat itu, lalu Nabi SAW berkata  " Adakah kamu tahu apakah bau ini ? , inilah bau orang-orang yang mengumpat orang mukmin" (Ahmad, dengan perawinya thiqat).

Aku hanya mampu memberi sedikit nasihat untuk menenangkan sahabatku ketika aku melawat beliau semalam:
"Abang kau memdapat pahala percuma pada hari kematiannya. Di akhirat nanti sama ada mereka yang mengumpat itu akan memberikan pahala mereka kepada abang kau ataupun mereka yang bakal memikul dosa-dosa abang kau."
 Semoga Allah merahmati Almarhum dan mengampuni dosa-dosa lalunya....

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

Related Posts with Thumbnails