Sedang sedap aku melelapkan mata, tiba-tiba bas ekspress yang aku naiki berhenti.
"Ah sudah.... jangan kata rosak pulak!" Monolog aku sendirian. Aku toleh sebelah, budak form 4 yang duduk di sebelah aku masih nyenyak tidur.
Aku lihat si pemandu turun untuk memeriksa bas. Setelah agak lama beberapa penumpang juga turut turun kerana tak tahan panas setelah 'air kon' bas dimatikan.
Oleh kerana tak tahan panas maka aku pun turut sama keluar. Aku lihat handphone, sudah pukul 6 petang. Aku tak solat asar lagi!
"Kat mana ni bang?" aku bertanya si pemandu.
"Air Keroh" jawapnya ringkas. Malas melayan barangkali.
Setelah lebih kurang setengah jam, akhirnya si pemandu memberitahu kami bahawa dia tak tahu apa yang rosak.
Aku bingung. Mana nak cari air untuk berwudhu' ni? Aku tengok kawasan sekitar. Tiada parit pun. Tetiba baru terfikir untuk tanya pemandu bas!
"Bang, ada air bersih tak? Boleh minta sikit?" Aku memberanikan diri bertanya. Padahal nak minta air je pun.
"Ada, tu tong warna putih tu. Guna jelah.." jawabnya tanpa banyak soal. Barangkali dia sudah faham akan niat aku. Alhamdulillah.
Setelah mendapat izin maka aku pun ambil lah tong tersebut dan terus mengambil wudhu' dengan kadar penggunaan air yang minimum.
Siap wudhu' aku pun pergi sedikit jauh dari bas untuk melakukan solat qasar Asar. Sejadahku ialah jaket hitam yang selalu aku bawa ke hulu ke hilir.
Kali pertama aku merasakan pengalaman solat di atas jalan tar lebuhraya. Terasa nikmat dan manis! Nikmat kerana mempertahan iman. Walaupun pada mulanya aku terasa kurang selesa melihat mata-mata yang memandang pelik ketika aku mengambil wudhu, namun aku teringat akan sebuah hadith Rasulullah Sallahu alayhi wasallam yang bermaksud:
"Akan datang padamu suatu zaman, orang yang berpegang teguh pada agamanya sama seperti orang yang memegang bara api. Jika ia lepaskan, bara itu akan padam."
Begitu juga di dalam hadith lain yang bermaksud:
"Islam itu pada mulanya asing, dan akan kembali asing. Maka berbahagia mereka yang terasing"
Alhamdulillah... dapat juga aku tunaikan kewajipan yang ditaklifkan ke atas diri ku selaku hamba-Nya. Selesai solat aku pun duduk di tepi jalan mengambil angin petang.
Aku teringat kisah lama.....
"Ustazah nak tanya, harap kamu semua jawap dengan jujur." Ustazah membuka kelas petang tu dengan sebuah pertanyaan.
"Apa dia ustazah?" Tanya kawan ku dengan curiousity yang tinggi.
"Sepanjang tempoh kamu semua berada di UiTM, siapa yang tak pernah tinggal solat? Tolong angkat tangan." Satu soalan maut yang memerangkap kami semua.
1 saat....
3 saat....
5 saat....
Tiada yang mengangkat tangan.
Ustazah menggeleng kepala.
"Boleh ustazah tau apa alasan kamu tertinggal atau sengaja tinggal solat?" Tanya ustazah lagi dengan nada tidak puas hati.
"Tertido ustazah"
"Penat lah ustazah"
"Kelas full ustazah, tak sempat!"
"Kami tak bawak telekung"
Dan berbagai lagi alasan yang diberikan oleh pelajar dalam kelas tersebut. Riuh!
"Kamu pula L?" Tiba-tiba soalan tu diajukan kepadaku. L ialah nickname yang diberikan kepada aku ketika diploma. Mungkin ustazah perasan aku tidak memberi respon.
"Erm....saya outing gi bandar Segamat, tapi tak jumpa surau. Bila balik UiTM dah habis waktu asar. Saya bukan sengaja ustazah." Jawab aku tanpa ragu dan rasa bersalah.
"Awak bagi alasan takda surau boleh tinggal solat L? Siapa ajar?!" Jerkah ustazah.
Aku terkejut, tapi aku beranikan diri untuk membela diri.
"Tapi saya dah cari ustazah! Memang tiada tempat solat! Tak percaya ustazah tanya pelajar lain."
"Betul lah ustazah! Memang bandar Segamat tu macam bandar koboi! Semua tak cukup!" sokong salah seorang classmate aku.
"Cukup! Jangan nak bagi alasan lagi! Kamu semua tahu tak, solat tu wajib dalam apa jua keadaan? Tak boleh ke solat atas jalan?" Satu lagi persoalan ustazah utarakan.
Kelas senyap sebentar.
"Memang kami tahu solat tu wajib ustazah. Tapi kami segan lah. Takkan lah nak solat tepi jalan. Nanti orang kata kami gila, tak pun fanatik agama."
"Astagfirullah......" Ustazah menggeleng kepala. Pening dengan kerenah pelajar-pelajarnya.
Itu kisah ketika aku part 1 diploma dulu. Ketika aku masih tidak nampak agama itu ialah cara hidup. Aku yang menjadikan tuntutan agama sebagai suatu pilihan. Nak buat, buat. Taknak atau susah, maka ditinggal. Itu lah aku yang dahulu. Namun aku bersyukur. Aku yang kini bukan lagi seperti dahulu.
Akhirnya, pada pukul 9 malam bas kami siap dibaiki. Perjalanan diteruskan....
Wallahu 'Alam
-Ibnu Abas-
0 ulasan:
Catat Ulasan