8/11/2010 04:58:00 PTG

Latihan Industri

Sudah dua bulan aku menjalani latihan industri di Bank Rakyat. Dalam tempoh ni jarang sekali aku update blog ni. Entah, penyakit malas barangkali.

Sepanjang tempoh berpraktikal ni, banyak perkara aku pelajari. Bukan setakat mendapat pengalaman kerja tapi juga pengalaman mengenali ragam manusia.

Alhamdulillah setakat ni, tiada lagi jumpa makhluk aneh di sini. Stafnya semua ramah dan mesra belaka. Layan aku macam kawan sekerja, bukan macam budak suruhan (seperti di sesetengah tempat) yang kerjanya hanya photostat. Yang paling 'syok', mereka tak mewarisi genetik keturunan kedekut bin haji bakhil. Itu aku paling suka! =)



Cuma ada beberapa perkara yang aku ingin kongsi di sini. Walaupun mengamalkan dan berimejkan perbankan Islam yang berlandaskan syariah,  masih banyak kekurangan pada pihak pelaksana (practitioner) yang perlu ditegur dan diperbetul untuk kebaikan bersama.

Istilah @ Terminologi

Kata sesetengah orang, "Apalah yang ada pada nama, yang penting isinya."
Aku tidak setuju cara pemikiran begini. Sama seperti ketika satu masa dahulu, apabila Islam Hadhari diperkenalkan. Bila dipertikaikan namanya, ada yang kata: "nama tak penting, yang penting isinya benda baik!" [rujuk buku: "Hadharah Islamiyyah, Bukan Islam Hadhari" : TG Hj Abdul Hadi Awang]

Begitu lah halnya di bank yang mengamalkan perbankan syariah. Penggunaan  istilah pinjaman/loan, faedah/interest dan insurans begitu menyakitkan telinga. Sedangkan istilah-istilah tadi semuanya merujuk kepada produk yang diharamkan Allah iaitu riba'! Mana mungkin kita menyamakan antara daging ayam dan babi. Tergamak kah kita masak daging ayam untuk dijual kemudian apabila tiba masa kita hendak jual kita kata kepada pembeli,
"Encik, sila beli babi masak kicap ni!"

Gunakan lah istilah yang betul, perbankan Islam tidak menawarkan pinjaman tetapi pembiayaan (financing). Kita tak guna insuran tapi kita ada takaful. Kita tak mengenakan riba (interest) tapi kita ambil keuntungan (profit). Aku faham kalau istilah itu keluar dari mulut pelanggan, sebab mereka tidak tahu (barangkali). Tapi kita yang bekerja dengan bank, yang dihantar berkursus, latihan, seminar dan sebagainya? Takkan tidak rasa bersalah tatkala 'ayam' yang kita jual terus disangka 'babi' oleh pelanggan kita? Maka tanggungjawab kita untuk tegur dan mendidik pelanggan.

Aku cukup yakin perkara ini turut dialami oleh kawan-kawan yang praktikal di bank lain. Sama ada terus berdiam diri atau bersikap amanah terhadap ilmu yang anda miliki, keputusan di tangan masing-masing. Setiap daripada kita akan menghadap Allah di akhirat kelak dan ditanya tentang bagaimana ilmu kita digunakan.

Ketika mesyuarat cawangan tempoh hari aku mengambil kesempatan untuk membangkitkan perkara ini dan AlhamduliLlah teguran aku itu diterima baik oleh Pengurus Cawangan (PC) untuk diambil tindakan / perhatian.

Pembiayaan Bersyarat

Aku yakin majoriti pelajar BBA Islamic Banking sudah faham apa hukum jual-beli bersyarat. Rasulullah menegah (mengharamkan) menjalankan transaksi bersyarat dalam jual-beli. Aku tidak bercadang membahas panjang di sini, cukup lah hadith ini sebagai asasnya:

Tidak dihalalkan salaf (hutang) dengan penjualan, dan tidak pula ada dua syarat dalam satu jual beli. 
[HR at-Tirmidzi].

Contohnya: "Saya jual beg tangan ini dengan syarat awak beli jam ni sekali"

Namun apa yang terjadi dalam bank yang mengamalkan perbankan Islam, samada disedari atau tidak, berlakunya jual-beli bersyarat ini. Contoh paling mudah ketika pelanggan datang hendak melakukan aqad pembiayaan peribadi. Staf tersebut mensyaratkan produk yang tidak termasuk dalam aqad pembiayaan tersebut seperti mensyaratkan pelanggan memasukkan sebahagian wang ke dalam fixed deposit, mengambil takaful dan sebagainya. [duti setem dan takaful pelindungan pembiayaan tidak termasuk dalam konteks ini]. Perbuatan ini sama ada disedari atau tidak telah menyebabkan pihak bank melakukan transaksi yang diharamkan oleh Islam.

Tidak salah untuk staf terbabit untuk menjual produk sampingan ketika aqad hendak dilakukan, tetapi jangan sampai mewajibkan atau mendesak. Kalau tidak berlaku jual-beli bersyarat sekalipun, akan berlaku unsur paksaan (coercion) yang menyebabkan aqad tersebut fasad (rosak). Gunakan kemahiran untuk meyakinkan pelanggan, bukan mewajibkan dan memaksa pelanggan.



Tidak melaksanakan aqad jual-beli

Mungkin tidak berlaku di sini (tempat praktikal aku), namun tidak mustahil ia berlaku di tempat lain. Perkara ini diakui oleh PPC aku sendiri berlaku di cawangan tertentu di mana staf mengambil kerja mudah tidak melaksanakan aqad. Sama ada staf terbabit atau tidak sebenarnya dia telah melakukan sekurang-kurang tiga dosa:

1) Mengkhianati amanah bank kepadanya dan menipu.
2) Menyebabkan transaksi menjadi haram.
3) Mengakibatkan pelanggan tersebut menggunakan duit haram untuk berbelanja.

Bayangkan betapa besar implikasi dan dosa yang perlu ditanggung? Perkara ini mungkin jarang berlaku di dalam bank kerana ada pantauan daripada pegawai, namun terjadi apabila aqad dilakukan di luar bank (contoh: di rumah pelanggan, pejabat dsbnya). Adakala staf terbabit hanya sekadar menyuruh pelanggan menandatangan surat perjanjian, dan berlaku juga di mana staf tidak membawa sijil saham yang menjadi aset jual-beli pembiayaaan tersebut. Akibatnya transaksi tersebut tidak sah dan pelanggan mendapat wang yang haram.

Ingatlah, setiap daripada kita akan berjumpa dengan Allah kelak. Bos kita mungkin tidak melihat, tapi Allah itu Maha Melihat dan Maha Mendengar. Janganlah kerana mahu mencari kesenangan dalam kerja, kita mendapat susah yang lama di akhirat nanti. Wallahu Alam

Sekian

Abu Hurairah

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails