8/27/2010 01:29:00 PG

Hukum Lukisan Gambar Bernyawa


Isu asalnya, aku guna gambar profile kartun sebelum tu... hamba Allah tu pun tanya lah apa hukum  guna gambar bernyawa? Dipendekkan cerita aku 'snip' lah sikit kat atas ni..

Dipetik daripada website PTS

Asalamualaikum warahmatullah,
Semoga Puan Ainon sentiasa sihat di bawah naungan Allah. Saya mengambil kesempatan ini membincangkan isu aurat perempuan dalam projek Komik Malaysia oleh PTS.
Hukum melukis / menggambar ini luas. Sebelum memasuki persoalan hukum melukis aurat, saya memulakan dengan hukum melukis makhluk bernyawa supaya dapat melihat jawapan hukum dengan lebih tuntas. Saya mengkhususkan persoalan ini dalam lingkungan berikut:
(1) Melukis makhluk bernyawa / komik
(2) Melukis / melihat aurat pada lukisan / gambar.
(3) Menjadikan lukisan aurat itu sebagai bahan dagangan (jual beli).

Hukum Melukis Makhluk Bernyawa
Sebenarnya isu melukis makhluk bernyawa sudah ada banyak perselisihan para ulama. Saya menyimpulkan hukum melukis menurut empat mazhab yang muktabar.

Pendapat yang Mengharamkan

Pendapat ini diambil daripada Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Ahmad bersepakat mengharamkan lukisan makhluk bernyawa berdasarkan daripada zahir hadis:
Hadis daripada Aisyah. Sesungguhnya Aisyah telah membeli bantal kecil untuk hiasan yang di dalamnya ada lukisan gambar. Ketika Rasulullah melihat bantal tersebut, beliau berdiri di depan pintu dan enggan untuk masuk lalu berkata, "Sesungguhnya pemilik gambar ini akan diazab dan akan dikatakan kepada mereka. "Hidupkanlah apa yang telah engkau ciptakan".(Direkodkan oleh Bukhari).
Ketika Jibril datang ke rumah Rasulullah (selawat dan salam ke atasnya), beliau enggan memasuki rumah. Nabi pun bertanya. Jibril menjawab:
"Di dalam rumah itu ada tirai daripada kain nipis yang bergambar patung dan di dalam rumah itu terdapat seekor anjing. Perintahkan agar gambar kepala patung yang berada di pintu rumah itu dipotong sehingga bentuknya menyerupai pohon, dan perintahkan agar tirai itu dipotong dan dijadikan dua buah bantal untuk bersandar dan perintahkan agar anjing itu keluar dari rumah". (Direkodkan oleh Tirmizi) "Malaikat tidak akan masuk rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan lukisan." (Direkodkan oleh Bukhari)

Pendapat yang Mengharuskan

Pendapat ini diambil daripada mazhab Maliki. Mereka membolehkan melukis gambar makhluk yang bernyawa dan sempurna dengan makruh. Walau bagaimanapun, sekiranya prinsip-prinsip ini diambil kira maka hukumnya tidak makruh sebaliknya menjadi khilaf aula (berlawanan dengan perkara yang lebih utama).
Hujah Imam Malik adalah seperti berikut:

Abu Talhah melaporkan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam berkata, "Malaikat tidak memasuki rumah yang mengandungi patung, kecuali gambar pada baju." Hadis ini adalah hadis muqaiyad (berkait). Ia berkait dengan hadis larangan melukis / mengukir dan melaknat pelukis / pengukir.
Abu Hurairah melaporkan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam berkata, Allah memberitahunya, "Daripada sezalim manusia adalah yang mencipta makhluk seumpama makhlukku. Maka mereka mencipta zarah." Penelitian hujah, Allah tidak menciptakan dalam bentuk lukisan tetapi mencipta dalam bentuk berjisim.
Penggunaan bantal yang asalnya tirai mempunyai lukisan oleh Rasulullah. Menurut rekod hadis, "Pada bantal itu ada gambar."

Nabi sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat menggunakan wang emas (dinar) dan wang perak (dirham) yang tercetak gambar raja-raja mereka sedangkan mereka tidak ada wang lain kecuali duit itu.
Direkodkan oleh sebahagian sahabat dan tabi'in bahawa mereka menggunakan lukisan pada tirai dan sebagainya. Selain itu Zaid bin Khalid al-Juhni menggunakan lukisan pada tirai. Hadis ini ada pada dua hadis sahih. Abu Talhah juga menggunakannya dan diakui oleh Sahl bin Hanif. Hadis mengenainya direkodkan dalam kitab Muwatta' Imam Malik, Tirmizi dan Nasa'i.
Mereka berpegang pada hujah hadis, "Kecuali lukisan pada baju."

Ibnu Abu Syaibah daripada Urwah bin Zubair dengan katanya, "Urwah menggunakan bantal yang mempunyai gambar manusia dan burung. At-Tohawi merekodkan ukiran pada mohor Imran bin Husain adalah lelaki yang bersisikan pedang. Mohor Nukman bin Muqarran ketua pembuka Parsi dan lain-lain.

Direkodkan daripada Ibnu Abi Syaibah dengan sanadnya daripada Ibnu Aun. Beliau memasuki rumah Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar as-Siddiq ketika di menjadi pemimpin tertinggi Makkah. Beliau terlihat lampu yang mempunyai gambar memerang dan burung. Ibnu Hajar berkata, Qasim bin Muhammad adalah salah seorang ahli fikah di Madinah. Beliau merekodkan daripada A'ishah dan beliau adalah yang terbaik pada zamannya.

Kesimpulannya adalah mudah. Apabila kita berpegang dengan pendapat dengan pendapat Jumhur, persoalan mengenai boleh atau tidak melukis aurat dikira selesai (tidak perlu melukis). Walau bagaimanapun tidak menjadi kesalahan/ dosa sekiranya berpegang dengan pendapat Imam Malik dengan syarat memahami hujah-hujah yang dikemukakan. Muqallid (pengikut mazhab) dinasihatkan supaya menghormati kedua-dua pendapat ini.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi merumuskan syarat-syarat yang perlu ada di dalam lukisan adalah seperti berikut:
(i) Jika yang dilukis itu adalah gambar-gambar Tuhan yang disembah selain Allah seperti patung-patung berhala dan sebagainya, pelukisnya jatuh kafir. Nabi Muhammad berkata, "Sesungguhnya manusia yang paling berat siksaannya di akhirat ialah para pelukis". (Direkodkan oleh Imam Muslim).
Imam at-Tabari menghuraikan, "Pelukis yang dimaksudkan di sini ialah orang yang melukis Tuhan yang disembah selain Allah…".

(ii) Diharamkan juga melukis dengan tujuan untuk menandingi ciptaan Allah, iaitu merasakan diri dapat mencipta dan membuat rekaan sebagaimana ciptaan Allah. Hal ini kembali kepada niat pelukis itu sendiri. Pelukis sebegini juga diancam dengan siksaan yang berat oleh Rasulullah dengan sabdanya, "Sesungguhnya manusia yang paling berat siksaannya di hari kiamat ialah orang-orang yang melakukan sesuatu untuk menandingi ciptaan Allah". (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Aisyah)

(iii) Diharamkan juga melukis gambar malaikat, para Nabi dan para sahabat iaitu orang-orang yang dimuliakan di sisi agama kerana dikhuatiri lukisan gambar mereka akan menjatuhkan kemuliaan mereka di samping berlakunya pemalsuan kerana tidak ada seorang pun yang hidup hari ini yang pernah melihat mereka.

(iv) Diharamkan juga melukis gambar tokoh-tokoh yang kufur, zalim atau fasik seperti pemimpin-pemimpin yang menentang Islam, memusuhi syari'at Allah, penyanyi-penyanyi atau pelakon yang mendorong manusia kepada maksiat, memuja kebatilan dan sebagainya. Melukis gambar mereka merupakan pemujaan terhadap mereka sedangkan mereka adalah orang-orang yang dibenci oleh agama.

(v) Diharamkan juga melukis gambar-gambar yang mendedahkan aurat, berunsur lucah dan menggairahkan nafsu dan sebagainya lagi yang dilarang oleh syarak.
Dr. Yusuf al-Qaradawi merumuskan dalam kitab Islam wal Fann (Islam dan hiburan) dengan katanya, "Seni adalah jalan kepada maksud (tujuan). Maka hukumnya adalah mengikut hukum yang dimaksudkan. Sekiranya kita menggunakan seni untuk tujuan yang halal maka hukumnya menjadi halal.Dan sekiranya kita menggunakan dengan tujuan haram maka hukumnya menjadi haram."

Hukum Melihat Gambar Aurat Berlainan Jantina (muslim ataupun tidak)

1. Boleh lihat gambar berlainan jantina yang ajnabi yang menutup aurat.
2. Boleh lihat gambar antara sesama suami dan isteri walaupun tidak menutup aurat.
3. Haram lelaki melihat gambar perempuan ajnabi yang hanya tutup anggota antara pusat dan lutut. Dengan syahwat atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan harus jika tanpa syahwat.
4. Harus wanita melihat gambar lelaki ajnabi yang hanya menutup anggota antara pusat dan lutut tanpa syahwat. Haram jika ada syahwat.
5. Haram lelaki dan wanita melihat gambar lelaki dan wanita bogel dengan syahwat atau tidak. Ada pendapat mengatakan boleh jika tanpa syahwat.
Kesimpulannya:

(i) Apabila hukum melihat aurat perempuan ajnabi (baik Muslimah ataupun bukan) haram maka menghasilkannya juga menjadi haram. Begitu juga sebaliknya.
(ii) Haram juga berjual beli sebagaimana haram menghasilkannya. Begitu juga sebaliknya.

Usaha mewujudkan komik Islami adalah suatu yang murni. Saya mencadangkan sebelum komik Islami ini dilancarkan, satu panduan diwujudkan terlebih dahulu. Puan Sifu boleh berbincang dengan pakar rujuk supaya perjalanan panduan ini lebih terarah, adil dan fleksibel.
Wallahu a'lam.

Kitab-kitab rujukan:
1.Mausu`ah Fiqhiyyah Quwaitiyyah.2.al-Halal Wa al-Haram Fil-Islam
3.al-Islam wal Fann
4.Islam yang Mudah

KOMENTAR:
Sengaja aku copy & post isu ni sebab ada seorang puak pelampau salafi kata aku tak faham syariat.. tak mengapa lah.. aku cool je bulan puasa ni sebab memang aku bukan ahli fatwa pun.. Cuma aku nak bagitau lah tokoh mereka, Dr Asri pun pernah post gambar bernyawa kat blog beliau.. tak pula dia hentam tokoh aliran dia.. hehe



P/S: Aku bukan anti-salafi ok..aku cuma anti dengan golongan pelampau salafi yang menunduh PAS sebagai khawarij. Sekian

Wallahu 'Alam

1 ulasan:

Hamba Allah berkata...

Bolehke post gambar lukisan perempuan (kartun) yg tak menutup aurat di media sosial?

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails