9/20/2010 03:32:00 PTG

Mencari Salah atau Selesai Masalah?

Aku sedikit terkilan dengan kenyataan terbaru Mufti Perak tentang isu solat Jumaat mengikut mazhab Maliki.

IPOH: Penduduk tiga kampung iaitu Tebing Rebak, Sungai Nyamuk dan Teluk di Mukim Teluk Baharu, Bagan Datoh, kira-kira 150 kilometer dari sini diminta menghentikan perbuatan mendirikan solat Jumaat di Masjid Ismailiah dengan berpandukan kepada syarat Mazhab Imam Maliki.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata umat Islam di negara ini dari segi peraturan hanya boleh berpandukan kepada Mazhab Imam Shafie, yang menyatakan solat Jumaat boleh dilakukan jika syarat sekurang-kurangnya 40 jemaah yang tinggal tetap di kawasan itu dipenuhi. Seandainya bilangan jemaah tidak cukup seperti dinyatakan dalam Mazhab Imam Shafie, penduduk berkenaan tidak boleh mendirikan solat Jumaat sebaliknya hanya perlu mendirikan solat Zohor berjemaah. Oleh itu, tindakan mereka mendirikan solat Jumaat berpandukan Mazhab Imam Maliki salah di sisi peraturan.

Jika mereka tetap mahu meneruskan solat Jumaat mengikut mazhab itu, mereka perlu memohon perkenan dan kebenaran Sultan Perak, Sultan Azlan Shah selaku ketua agama negeri, katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Sementara itu, Imam Masjid Ismailiah, Abdul Hamed Mat Ali, 63, berkata mereka terpaksa berpandukan Mazhab Imam Maliki bagi menunaikan solat Jumaat di masjid yang terletak di Kampung Tebing Rebak, sejak 10 tahun lalu kerana bilangan jemaah yang menunaikan solat itu tidak cukup seperti ditetapkan Mazhab Imam Shafie, sedangkan Mazhab Imam Maliki menyatakan solat itu boleh dilakukan jika ada 12 jemaah akil baligh.

Beliau berkata, masalah itu berlaku kerana ketiga-tiga kampung terbabit yang berada di kawasan pedalaman, kini dihuni sekitar 140 orang pelbagai peringkat usia.
Mengikut bancian pihak jawatankuasa masjid, memang ada 40 jemaah untuk mendirikan solat Jumaat tetapi apabila tiba waktu solat itu, bilangannya tidak cukup kerana ada yang berada di luar kampung atau ponteng solat. 

Jadi kami terpaksa menggunakan kaedah Imam Maliki, katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.


 
Komen
 
Umum mengetahui bahawa majoriti rakyat Malaysia mengamalkan dan berpegang dengan mazhab Syafi'e namun bukanlah bererti tidak boleh sama sekali untuk kita 'keluar' daripada pegangan mazhab dan mengambil pandangan mazhab lain yakni bertalfiq.

Tiada kewajipan untuk seseorang itu untuk mengikut sesuatu mazhab (melainkan diwajibkan khalifah) selaras dengan pendirian para Imam mazhab itu sendiri.

Adalah suatu perkara yang menyedihkan (barangkali juga kelakar) apabila ulama' terkemudian yang tidak bertaraf mujtahid tiba-tiba 'memaksa' untuk taqlid kepada satu mazhab sahaja.

Sewajarnya Mufti selaku penasihat Sultan melaksanakan tugas untuk memahamkan Sultan dan memberi jalan penyelesaian kepada MASALAH, bukan sekadar mencari SALAH.

Di dalam isu ini, jelas bukan lah imam-imam ketiga masjid tersebut suka-suka hendaklah 'keluar' mazhab tetapi memikirkan maslahat umum masyarakat yang hendak menunaikan solat Jumaat. Cara Mufti Perak menghadapi isu ini seolah-olah mengambil pendapat mazhab Maliki itu satu kesalahan yang lebih besar berbanding dengan tidak mendirikan solat Jumaat.

Mengapa dalam soal pembayaran zakat kita boleh pula keluar mazhab tetapi dalam soal ini tidak? Tidak hairan lah masyarakat awam begitu 'jakun' untuk bertalfiq, sedangkan Mufti pun berpandangan sempit dan tidak menerima keluasan feqah.

Mengapa perkara-perkara yang secara Qat'ie HARAM masih banyak didiamkan, sedangkan perkara furu' diperbesarkan?
Pelik tapi Benar!

*Rujuk nota berkaitan talfiq telah aku catatkan dalam nota pembacaan aku yakni, 'Paradigma Fiqh'



0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails