Asas Mazhab Tunggal
Orang yang berparadigma fiqh, mereka mendakwa bahawa hanya satu-satu pendapat itu sahaja yang benar. Maka mereka pun menganjurkan menunggalkan mazhab. Seolah-olah umat Islam berpecah bila berbeza pendapat dan hanya bersatu bila hanya satu pendapat sahaja diterima.
Mereka mendakwa umat Islam hendaklah kembali kepada Allah dan Rasul-Nya yakni Al-Quran dan Hadis, tetapi bukankah keempat-empat mazhab itu berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah? Mari kita hayati kisah seorang ulama dari Kota Madinah al-Munawwarah dengan salah seorang pelajarnya.
Ketika aku sedang memberikan kuliah, salah seorang pelajarku bertanya,
"Bagaimana pendapat tuan tentang keupayaan menyatukan mazhab dan membawa manusia kepada satu mazhab sahaja?"
Mula-mula aku menjawabnya pendek, "Upaya ini bertentangan dengan kehendak Allah Azza wa Jalla di dalam penetapan syariat-Nya. Bertentangan dengan Rasulullah, para sahabat, ulama salaf sesudahnya dan bertentangan dengan akal."
Kemudiannya aku bertanya dia, "Bukankah Allah sejak azali, sudah tahu bahwa orang Arab akan menggunakan perkataan quru' dalam dua makna: haid dan bersuci?"
Ia menjawab, "Benar". Aku tanya lagi, "Bukankah Allah Subhanahu wa Taala sudah tahu sejak azali bahwa terdapat dua sahabat, Zaid bin Tsabit dan Abdullah ibn Mas'ud, dan Zaid akan berkata quru' itu bersuci, sedangkan Abdullah Ibn Mas'ud akan berkata quru' itu haid?" Ia menjawab, "Benar."
"Kalau begitu, mengapa Allah tidak menurunkan firman-Nya 'tsalatsata quru' dalam bentuk yang tidak menimbulkan ikhtilaf antara Zaid dan Ibn Mas'ud. Misalnya Dia berkata: Tiga kali haid atau tiga kali bersuci. Sehingga hilang ikhtilaf dan tiada lagi tempat untuk berbantah. Ada banyak kata-kata dalam nash-nash al-Quran yang memberi peluang untuk berbeza fahaman. Begitu juga hadith-hadith. Kita berkeyakinan bahwa hadith itu pun wahyu Allah. Mengapa Allah Yang Maha Mengetahui tidak mewahyukan kepada Rasul-Nya agar ia menyampaikan hadithnya dengan kata-kata yang tidak menjadi penyebab ikhtilaf? Mengapa Allah tidak memerintahkan kepada Rasulullah pada saat ia menyuruh para sahabat untuk bersegera ke perkampungan Bani Quraizhah dengan kalimah yang tidak menimbulkan perbezaan faham? Misalnya "Janganlah kamu solat Asar di dalam perjalanan menuju kampung Bani Quraizhah." Waktu itu Rasulullah bersabda, "Janganlah seorang pun di antra kamu solat Asar kecuali di kampung Bani Quraizhah." Ada sahabat yang berpegang kepada makna zahir dan ada yang memberi makna yang lain.
Aku bertanya lagi, "Apakah para sahabat dan orang setelah mereka berikhtilaf?" Ia menjawab, "Mereka berikhtilaf." Aku bertanya lagi, "Apakah akal kita berbeza-beza?" Ia menjawab, "Ya, benar." Kataku, "Dan adakah ikhtilaf terjadi kerana di dalam kehidupan dan masyarakat manusia ada apa-apa yang menyebabkan terjadinya ikhtilaf?" Ia berkata, "Terjadi kerana apa-apa yang menyebabkan ikhtilaf." Aku berkata, "Oleh itu, berusaha mempersatukan mazhab dan memaksa manusia mengikut satu mazhab saja adalah kegilaan atau kesesatan!" (Muhammad 'Awwamah, Adab Al-Ikhtilaf, hh. 23-24)
"Aku berkata kepadanya: Ya Amir al-Mukminin, jangan lakukan seperti itu. Setiap masyarakat sudah berlaku berbagai pendapat, mereka telah mendengar hadith-hadith dan menyampaikan riwayat-riwayat. Setiap kaum mengambil dari para pendahulunya dan sudah beramal berdsarkan itu. Jika anda mengubahnya dari apa yang mereka ketahui kepada apa yang mereka tidak ketahui, mereka akan menganggapnya sebagai kekafiran. Biarlah setiap negeri berpegang dengan ilmu yang ada pada mereka. Jika anda mahu mengambil ilmu ini, ambillah untuk dirimu saja. Para sahabat telah berikhtilaf pada hal-hal yang furu' dan tersebar di berbagai penjuru. Semuanya benar. Al-Manshur berkata: Jika anda menyetujuinya, sungguh aku akan memerintahkannya" (Thabaqat Ibn Sa'ad, h.440; Taqdimah al-Jarh wa al-Ta'dil 29)
Justeru keinginan menunggalkan mazhab adalah paradigma fiqh yang merugikan umat Islam. Malah melemahkan dan melembapkan pelaksanaan Islam itu sendiri. Sebagai contoh Malaysia sendiri. Kalau kita mengambil pendapat mazhab Syafi'i sahaja saya berani jamin sistem perbankan Islam yang wujud dan membangun seperti hari ini sukar tercapai.
Wallahu 'Alam
-Ibnu Abas-
0 ulasan:
Catat Ulasan