Hati ini terasa begitu sedih dan pilu. Di saat dakwah Islam semakin berkembang, di saat non-muslim tidak lagi fobia terhadap Islam, muncul pula golongan munafiq yang ingin merosakkan gagasan dakwah ini. Dahulu perjuangan ini sangat perit, tidak popular. Dihina keluarga, dibuang masyarakat, dipulau, dicaci maki malah dituduh sesat. Tidak ramai yang mahu menyambutnya. Di kala dakwah ini semakin diterima, semakin ramai lah yang menonjolkan diri bahawa mereka lah pejuang Islam sejati. Benarlah, ketika Islam dihimpit dan dihina, ramai yang sembunyi bagaikan pengecut. Di saat Islam naik dan merai kemenangan maka ramailah pula keluar menyatakan sokongan. Perjuangan menegakkan Islam tidak menjanjikan harta untuk diri dan kroni-kroni. Sebaliknya ia menuntut setiap Muslim yang ingin turut sama berjuang bersedia untuk berkorban harta, masa, dan jiwa.
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (10) Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (11)
[Surah as-Saff]
Ya, dakwah adalah suatu perniagaan, yang keuntungan diperolehi di hari kemudian. Suatu perniagaan yang mesti kita rebut untuk mendapatkan saham yang tidak ternilai harganya dan kekal abadi. Satu-satunya perniagaan yang tidak timbul soal rugi. Kerana ia mustahil terjadi.
Mengapa Allah meletakkan pra-syarat berjuang membela agama Allah ini dengan berkorban harta benda dahulu baru nyawa? Tidak lain tak bukan kerana sifat manusia yang cintakan harta itu sendiri. Sesungguhnya orang yang sanggup mengorbankan hartanya untuk Islam, insyaAllah mereka lah golongan yang sanggup mempertahan agama suci ini dengan darah. Tetapi ada pun yang bercakap lantang sanggup berkorban nyawa untuk Islam, tapi apabila diminta sumbangan semuanya sepi belaka. Inilah ciri-ciri pejuang yang tidak ikhlas dalam perjuangan. Kalau tak mampu korban harta, mustahil untuk seseorang itu mengorban nyawanya demi agama!
"Ana tak mampu syeikh, gaji ana pun tak besar"
Sering kedengaran alasan sumbang sebegini. Sumbangan sedikit atau banyak tidak menjadi persoalan, yang menjadi persoalan mahu atau tidak? Malah satu ringgit itu bisa mengalahkan seratus ringgit. Perkara ini terbukti di dalam satu hadith sahih yang bermaksud;
"(wang) satu dirham itu dapat mengalahkan seratus ribu dirham"
Hadith ini diungkapkan Nabi Sallallahu alayhi wasallam apabila terjadi kisah seorang lelaki (hanya) mempunyai 2 dirham, kemudian dia bersedekah dengan sekeping dirham (iaitu dia bersedekah dengan setengah harta yang dimiliki padahal dia berhajat kepada harta tersebut) dan seorang lelaki yang lain mempunyai harta yang banyak, kemudian dia mengambil dari hartanya seratus ribu keping dirham untuk disedekahkan.
Tepuk dada tanya iman, apakah jaminan di kala susah kita mampu tak mampu sumbang RM 50 sebulan daripada RM 1000 gaji kita (5%), dan apabila senang kita mampu sedekah RM 200 sebulan daripada gaji RM 4000? Tidak ada jaminan! Sebenarnya kita tertipu dengan nafsu kita sendiri. Kalau di kala susah kita berat untuk infaq harta demi Islam, jangan bermain kata bermimpi untuk menyumbang di kala senang. Telah ramai manusia diuji dengan harta, dan telah ramai jua lah yang tertewas. Semoga tazkirah di pagi jumaat ini membakar semangat kita semua untuk perbanyakkan sedekah kita ke jalan Allah.
Wallahu 'Alam
-Ibnu Abas-
0 ulasan:
Catat Ulasan