Pada mukaddimah yang lalu aku telah kupaskan sedikit perbezaan antara paradigma fiqh dan paradigma akhlak secara umum. Tuliskan kali ini aku ingin mengupas secara spesifik ciri-ciri orang yang berparadigma fiqh ini.
Empat ciri yang menunjukkan fiqh sebagai paradigma diniyah (keagamaan) ialah orang yang berpegang kepada prinsip kebenaran tunggal, asas mazhab tunggal, dan fiqh sebagai ukuran kesolehan.
_________________________________________________________________
'Syaikh, anta solat apa selepas azan solat jumaat tadi?' tanya Azmi kepada Midi sambil berkerut dahi.
'Ana solat sunat sebelum jumaat lah. Kenapa anta tanya macam pelik semacam je?' Midi menjawab lantas membalas dengan soalan.
'Setahu ana, mana ada solat qabliah jumaat ni? Rasulullah tak pernah buat! Bid'ah ni!' terang Azmi dengan berkobar-kobar.
'Anta dah mengaji ke? Berapa kitab fiqh anta buka? Ana tak mahu bahas la sebab panjang jadinya kalau bahas. Tapi setakat ana belajar, memang lah ada 2 qaul (pendapat) ulama yang berbeza yakni yang membenarkan dan menidakkan solat qabliah jumaat ni. Apa pun jangan lah anta senang membid'ah sesuka hati. Kita kena meraikan perbezaan pendapat ulama ni. Ada pun ulama yang menidakkan solat sunat qabliah jumaat ini seperti Ibn Qayyim mengambil hujah antaranya ialah "Bila Bilal selesai azan, mulailah Nabi Sallahu alayhi wasallam berkhutbah. Tidak ada seorang pun yang berdiri melakukan solat dua rakaat dan waktu itu hanya satu kali azan' jelas Midi dengan panjang lebar.
'Bagaimana pula hujah yang membenarkan solat sunat ni?' tanya Azmi dengan nada kurang puas hati.
'Baiklah, bagi ulama yang membenarkannya seperti al-Khandahlawi berpendapat; memang Nabi tidak pernah melakukan azan Jumaat selain yang dilakukan setelah kedatangannya dan tidak solat sebelumnya. Tetapi ia tidak menunjukkan argumentasi bahawa Nabi Sallahu alayhi wasallam keluar rumah tanpa melakukan solat sunat. Malah al-Baihaqi mengutip kata-kata Syafi'i "kebiasaan orang ramai ialah bersegera pergi untuk solat jumaat dan melakukan solat sampai kedatangan imam". Menurut al-Baihaqi, apa yang dikatakan Syafi'i itu terdapat di dalam hadith-hadith sohih.' terang Midi lagi.
'Tapi aku tetap berpendapat bahawa pendapat yang aku pegang yang paling tepat! Sebab hadith tu sebut dengan jelas kan yang Nabi tak solat sunat malah terus naik berkhutbah!' balas Azmi tidak mahu mengalah.
'Suka hati anta lah....' Midi tidak mahu melayan lantas meninggalkannya.
_________________________________________________________________
Adalah sesuatu yang tidak boleh diterima apabila seseorang itu mendakwa bahawa pendapatnya sahaja yang paling benar di dalam masalah fiqh. Kita harus faham bagaimana proses sesuatu hukum fiqh itu dikeluarkan. Pada permulaannya ia diambil dari nash- yakni al-Quran dan Sunnah. Kemudian para sahabat dan ulama salaf berusaha untuk memahami dan menarik kesimpulan daripada keduanya. Selanjutnya ulama mutakhir menganalisis, mengolah maklumat terdahulu itu, dan melahirkan fatwa-fatwa yang sesuai dengan keadaan dan situasi masyarakat zamannya. Maka yang paling dekat dengan "node" terakhir itulah para ustaz dan tok guru yang cuba memahami fatwa tersebut dan menafsirkannya ketika berhadapan dengan jemaahnya. "Node" terakhir adalah pemahaman orang awam atas fatwa ustaznya. Hanya pada tingkat awal - yakni al-Quran dan Sunnah sahaja lah yang boleh kita katakan PASTI benar. Kerana keduanya adalah sumber mutlak bersifat Ilahi. Adapun setelah dibahas dan ditafsirkan akan ia menjadi hukum fiqh, maka sudah tidak bersifat Ilahi tetapi bersifat manusiawi.
Oleh kerana itu, tidak patut seseorang itu mengatakan pendapat dia lah yang paling benar. Hakikatnya pendapat yang dipegangnya itu adalah pendapat ulama yang berdasarkan pemahaman dan penafsirkan mereka yang berbeza-beza. Adapun golongan yang mengaku tidak mengikut mazhab (aliran pemikiran) sesungguhnya mereka berbohong kerana tidak layak bagi mereka untuk berijtihad apatah lagi mengeluarkan fatwa. Jika pun mereka mengaku tidak mengikut mana-mana mazhab, hakikatnya mereka mendirikan mazhab baru kerana mazhab itu sendiri bererti aliran pemikiran. Adalah tidak menjadi kesalahan untuk tidak mengambil pendapat daripada satu mazhab sahaja, tetapi jangan lah pula melampau-lampau sehingga seolah-olah menbenci mereka yang mengikut satu mazhab sahaja. Begitu juga mereka yang memegang satu-satu mazhab, janganlah pula berlebih-lebihan dengan terlalu taksub kepada pendapatnya sahaja sehingga menidakkan pendapat ulama / mazhab lain.
Bersambung
Wallahu 'Alam
-Ibnu Abas-
0 ulasan:
Catat Ulasan