4/25/2009 10:30:00 PG

A tidak semestinya pandai, C tidak semestinya bodoh

"Macam mana soalan usul fiqh td? Bleh skor A?" tanya salah seorang kawanku.

"Susahlah, soalan tak berapa clear! Ada soalan yang aku tak faham apa dia nak!" Aku menjawab dengan muka tension.

"Tawakal je lah, kalau tak de rezki dapat A nak buat macam mana..." Tambahku menyedapkan hati kami.


BELAJAR BERFIKIR

Aku suka berfikir tentang nilai kehidupan, sama ada kehidupan sebagai pelajar, sebagai anak, sebagai anggota masyarakat, dan sebagai Muslim. Namun kali ini aku hendak mencoret sedikit tentang nilai seorang pelajar.

Mungkin ramai di kalangan pelajar berfikiran bahawa A ialah cemerlang, B kurang cemerlang, C ialah bodoh. Tidak terkecuali aku juga berfikiran begitu dahulu. Namun pengalaman hidup 22 tahun ini mengajar aku banyak erti dan nilai kehidupan yang mana ia tidak boleh dinilai dengan angka, gred atau CGPA!

"Kau dah hafal usul fiqh?" Tanya Saiful.

"Belum, kenapa?" Jawab Ahmad dengan tenang.

"Yelah.. kan esok dah exam! Aku banyak lagi tak hafal!" Kata Saiful dengan nada cemas.

Kerana pemikiran begini, maka lahirlah timbunan pelajar yang belajar berorientasikan hafalan, bukan PEMAHAMAN. Hafal! Hafal! dan terus Hafal!Sedikit sekali yang berminat untuk FAHAM, yang dititikberatkan ialah A = Hafal. Cukup lah kita hafal, asalkan kita boleh jawab dan dapat A.

"Jadi bagaimana kamu dapat aplikasikan usul Fiqh dalam perbankan Islam?" Tanya ustaz.

Semua diam.. Tiada seorang berani menjawab.


Pembelajaran adalah proses yang mencabar. Ia bukan setakat memerlukan hafalan, tetapi kefahaman dan kebijaksanaan untuk mengaplikasikan ilmu yang diserap di dalam kelas. Cukup menghairankan ramai pelajar sanggup menghafal setebal-tebal buku, tetapi tidak sanggup berusaha untuk memahami ilmu yang dipelajari. Semuanya semata-mata kerana A! Semata-mata kerana A!

Ia umpama tindakan si bodoh yang memasang no. flat motor di basikal buruknya dengan harapan orang akan menganggap basikalnya adalah motor! Basikal tetap basikal, ia takkan berubah manjadi motor. A di atas kertas bukan nilai kalian, tetapi bagaimana kalian boleh menggunakan ilmu yang bertaraf A itu! Kita mengkin mampu menipu orang lain dengan A yang kita perolehi, tapi kita tak mampu tipu diri kita sendiri bila mana kita tak boleh gunakan ilmu yang kita hafal.

Learning without thinking is useless
Thinking without learning is dangerous
- Confucius


Sia-sia kalau kita belajar tanpa berfikir, tetapi berfikir tanpa belajar lagi lah merbahaya! Maka tidak dapat tidak, kita kena 'paksa' diri kita untuk menghadapi kedua-dua proses ini.
Perkara ini juga disentuh oleh Syeikh Prof. Dr. Yusof Abdullah al-Qardhawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan) di dalam bab Keutamaan Kefahaman ke atas semata-mata Hafalan. Islam menganjurkan umatnya memahami ajarannya, bukan menghafal sambil lewa tanpa inisiatif untuk memahami. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

"..Mengapakah tidak pergi tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka mengenai agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka dapat menjaga dirinya"
[Surah al-Taubah: 122]

Kefahaman ialah suatu aset penting di dalam darjat ilmu, malah Allah menyifatkan orang munafiq dan kafir sebagai:

"...kaum yang tidak memiliki kefahaman."
[Suran al-Anfal : 65]

Perlu aku jelaskan, aku tidak memperlekeh golongan yang menghafal. Tidak juga aku katakan hafalan itu tidak berguna. Hafalan adalah gudang ilmu dan maklumat yang akan digunakan kemudian hari. Tetapi ia bukan matlamat, sebaliknya perantaraan untuk untuk kita mencapai kefahaman. Terus-terang aku katakan, sistem pembelajaran yang sedia ada masih banyak ruang yang perlu diperbaiki. Aku sendiri dapat rasakan, ilmu yang yang dihafal mudah dilupakan berbanding ilmu yang difahami. Apa pun, ini hanyalah pendapat insan yang masih belajar. Belajar memahami dan menghayati nilai dan tujuan kehidupan.

Akhir sekali, kalian bebas untuk bersetuju @ tidak. Seperti mana aku nyatakan sebelum ini. Aku tidak pernah memaksa mana-mana pihak menerima pendapat aku, cuma kalau hendak tolak biarlah ia menjadi perbahasan ilmu.

Wallahu 'Alam.

-Ibnu Abas-

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails