(Pandangan Dr. Mahathir ini dipetik daripada blognya sendiri yang saya disedari adanya pada 23/08/08. Untuk memudahkan pembaca, pandangannya dipaparkan kembali satu persatu di sini dan pandangan balas saya terus diberikan perkara demi perkara itu)
Mahathir 1. Saya mengaku bertanggungjawab berkenaan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kerana itu ramai yang menuduh saya tidak bersemangat kebangsaan Melayu, tidak utamakan bahasa saya.
Jawaban Shaharir:
Pertama: Maknanya dasar beliau itu tidak mendapat persetujuan sepenuhnya daripada UMNO!?
Kedua: Memang beliau wajar menerima tuduhan yang disebutkannya itu kerana jelas makna “semangat kebangsaan” beliau berbeza daripada kebanyakan orang; dan makna “utamakan bahasa” beliau juga amat berbeza daripada sesiapa pun. Beliau suka memutarbelitkan isu dengan ayat lojik yang betul tetapi berimplikasi kabur dengan harapan orang terperangkap. Umpamanya “semangat kebangsaan ialah semangat yang mengutamakan bangsa” tetapi beliau menterbalikannya “orang yang tidak mengutamakan bangsa ialah orang yang tidak bersemangat kebangsaan”. Lojiknya betul tetapi beliau menyelewengkan makna “bangsa” pula kerana beliau tidak menerima “bahasa menunjukkan bangsa” atau lebih dalam lagi “bahasa jiwa bangsa”. Lagi satu, “Orang yang mengutamakan bahasanya bermakna bahasa lain berada ditangga bawah”, atau terbaliknya “Orang yang tidak meletakkan bahasa lain ditangga bawah bermakna orang itu tidak mengutamakan bahasa sendiri”; tetapi Dr. Mahathir lari daripada dua-dua bentuk ayat yang secara lojiknya betul ini dengan mengatakan “Orang yang ingin menguasai bahasa lain tidak bermakna dia tidak mengutamakan bahasanya sendiri”. Betul, tetapi dia menutup orang menumpukan kepada cara menguasai bahasa lain itu, sedangkan cara itu kalau salah, seperti yang dilakukannya itu, jelas bukan sahaja tidak mengutamakan bahasa sendiri tetapi menyisih, mengembiri atau mematikan langsung bahasa sendiri. Inilah sebenarnya cara beliau dalam dasar pendidikan beliau yang tidak membenarkan bahasa sendiri digunakan dalam sains dan matematik itu kerana dasar beliau itu menjadikan lebih daripada 60% peratus pelajar sekolah berada di aliran Inggeris (lebih drp 70% subjek bagi pelajar aliran sains menjadi dalam bahasa Inggeris). Beliau Berjaya mengalih pandangan orang kepadas hakikat ini.
Mahathir 2. Izinkan saya membuat sedikit penjelasan sebelum saya dihukum.
Jawaban Shaharir:
Baiklah.
Mahathir 3. Pendapat saya ialah mereka yang bersemangat kebangsaan Melayu tidak harus utamakan hanya penguasaan bahasa ibunda sahaja tetapi juga melihat bangsanya bediri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia. Hanya dengan fasih bertutur kata dalam bahasa sendiri dengan ilmu pengetahuan yang cetek tidak akan menjadi bangsa kita mulia dan mampu bersaing dengan jayanya dengan bangsa-bangsa maju dan dianggap setaraf dengan mereka.
Jawaban Shaharir:
Pertama: Seperti yang disebut di atas,Dr. Mahathir memang berpegang pada makna “semangat kebangsaan” yang salah. Sesuatu dasar yang membelakangi bahasa B padanya tidak bertentangan dengan “semangat kebangsaan B” . Ini suatu pendirian yang aneh dan tidak akan berlaku di mana sahaja bangsa di dunia ini. Bayangkan B itu Perancis, Jerman, Inggeris atau Jepun dan sebagainya. (tetapi jangan bayangkan negara-negara di Afrika, India, Filipina, dsbnya; iaitu negara-negara yang parah terjajah dan mundur atau yang tidak layak menjadi model kemajuan). Sudah pastinya bangsa B ini akan menentang sekeras-keras kepada pemimpinnya yang mahu menjadikan bahasa bukan bahasa B sebagai bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik, walaupun hujah yang muluk-muluk dapat diutarakan akan kewajaran dasar itu. Di Malaysia ini suku kaum China umpamanya tidaklah begitu marah kepada Dr. Mahathir dengan dasar pendidikannya itu kerana Dr. Mahathir telah bertindak lembut terhadapnya dengan membenarkan bahasa Cina juga boleh terus digunakan. Kalau dia berkeras sama seperti terhadap suku kaum Melayu, maka Dr. Mahathir layak dituduh “tidak bersemangat kebangsaan Malaysia” oleh semua kaum di Malaysia. Nasib baik Dr. Mahathir tidak mendapat tentangan yang keras daripada orang Melayu (UMNO terutamanya) pada masa dia berkuasa dahulu kerana sifat Melayu UMNO yang feudal (“Ketua mesti betul!”).
Kedua dan ini lebih penting lagi: Dr. Mahathir membuat andaian orang tidak mungkin fasih dalam bahasa lain jika dia belajar sains dan matematik dalam bahasa sendiri. Dia juga sengaja membuat andaian yang salah, dan diulang-ulangnya pada mana-mana kesempatannya, bahawa orang bersemangat kebangsaan tidak hirau bahasa lain dan tentu maksudnya bahasa Inggeris, malah kadang kala ditegaskan nasionalis ini tiak mahu orang lain menguasai bahasa Inggeris dan Berjaya seperti nasionalis itu. Sungguh jahat! Dia sengaja cuba memfitnahkan bahawa selama 30 tahun lebih ini orang Malaysia belajar sains dan matematik dalam bahasa sendiri (tentu bahasa Melayu maksudnya) tidak berjaya dalam sains dan matematik dan tiada fasih berbahasa Inggeris ke tahap yang sewajarnya.
Semua ini semata-mata prangsangka buruknya sahaja atau kejahilannya mengenali ahli sains dan matematik Malaysia selama ini. Tentunya apabila kita kata “ahli sains dan matematik Malaysia” ini bermakna orang Malaysia yang dahulunya belajar sains dan matematik sekolah hingga universiti dalam bahasa Melayu, atau sekurang-kurang belajar sains dan matematik sekolah dalam bahasa Melayu tetapi kemudian berkarya ilmu sains atau matematiknya di arina antarabangsa (menerbitkan karyanya dalam jurnal atau pascasidang dalam bahasa Inggeris di samping bahasa Melayu). Ahli sains dan matematik ini sudah ribuan banyaknya! Tentunya kita belum berjaya mendapat Hadiah Nobel, tetapi ini bukan kerana bahasa. Hadiah Nobel boleh dimenangi oleh orang yang tidak berapa tahu bahasa Inggeris pun! Telaahlah senarai pemenang Hadiah Nobel ini. Lagi pun, adakah Negara Membangun yang memang dasar pendidikannya semuanya sejak tadika bukan dalam bahasa sendiri, tetapi bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain, yang diagungkan oleh pemimpinnya masing-masing, selama ini sudah melahirkan ahli sains atau ahli matematik yang menerima hadiah sains atau matematik yang besar-besar yang mungkin menjadi kayu ukur Dr. Mahathir ?
Mahathir 4. Kita diberitahu Nabi bersabda "Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China". Apakah dapat orang Arab tuntut ilmu orang Cina tanpa mempelajari bahasa Cina, lisan dan tulisan, terlebih dahulu?
Jawaban Shaharir:
Ini Dr. Mahathir sengaja menyelewengkan maksud hadith ini sahaja. Dia pun memang tahu! Pemimpin Zaman Tamadun Islam dahulu, apatah Nabi Muhamad SAW, tidak pernah mengajar orang-orang di Timur Tengah atau di wilayah tamadun itu dalam bidang sains dan matematik dalam bahasa “China” (atau Hindia atau Yunani dsbnya) walaupun mereka tahu dalam bahasa-bahasa itulah ilmunya tinggi pada masa itu. Hadith ini semua orang tahu maksud sebenarnya cuma sengaja dipermainkan oleh Dr. Mahathir untuk membodohkan orang Malaysia yang disangkanya sebahagian besarnya masih boleh diperbodohkan begitu. Hadith ini memang telah pun kita laksanakan sejak zaman Tun Razak dahulu lagi. Dr. Mahathir meneruskan tradisi ini dengan mengukuhkan lagi melalui penghantaran pelajar ke negara-negara yang sistem pendidikannya sains dan matematiknya bukan dalam bahasa Inggeris sekali pun; dan ini dapat dilakukan dengan jayanya walaupun sistem pendidikan kita dalam bahasa Melayu sepenuhnya.
Mahathir 5. Kita juga tahu orang Arab telah menguasai ilmu Sains, Matematik dan falsafah yang diterokai oleh orang Yunani (Greek) dan menterjemahkan ilmu-ilmu ini ke dalam bahasa Arab sebelum kaji selidik dilakukan untuk memperluaskan ilmu-ilmu ini.
Jawaban Shaharir:
Ini betul dan memang menjadi hukum pembinaan tamadun. Malangnya kita (terutamanya pada zaman Dr. Mahathir berkuasa) tidak percaya pada hukum ini, lalu lambatlah kita membina pusat terjemahan yang boleh melaksanakan hukum itu. Pada akhir-akhir regimnya sahaja barulah ditubuhnya (atas desakan puluhan tahun) Institut Tejemahan Negara tetapi belum pun sempat bergerak, Institut itu dijadikan tak relevan olehnya dengan menjadi bahasa Melayu, bahasa yang haprak, yang tidak layak membawa ilmu, menerima ilmu, mengungkap ilmu dan dibangunkan menjadi bahasa ilmu. Kononnya kita lupakan dahulu bahasa Melayu, kita ajar semua dalam bahasa Inggeris dan lepas itu baru ramai yang boleh terjemah seperti yang cuba dibayangkannya berlaku di dalam Tamadun Islam itu. Dr. Mahathir sengaja memutar belit fakta. pendidikan sains dan matematik (apa ilmu pun) pada Zaman Tamadun Islam itu bukan dalam bahasa ilmu masa itu (yang disebut oleh Dr. Mahathir bahasa Yunani). Bahasa ini diketahui oleh segelintir sarjana pada masa itu, dan sarjana-sarjana inilah yang dimobilisasi oleh khalifah untuk melaksanakan gerakan penterjemahan besar-besaran itu. Penterjemahan ilmu ke dalam bahasa sendiri oleh para sarjana dan pendidikan dalam bahasa sendiri dilakukan serentak! Model Dr. Mahathir, kalau betullah begitu model dan wawasannya, iaitu “tinggal dahulu bahasa sendiri dan kemudian apabila sudah maju dalam bahasa asing maka barulah kita kembali kepada bahasa sendiri”, adaslah satu wawasan di kahyangan. Ini tak pernah berlaku dalam sejarah tamadun di mana-mana dan isya Allah mustahil berlaku pada masa akan datang (walaupun kita masih boleh bermain-main melaungkan “Malaysia boleh”!). Sebenarnya, sejak awal lagi dan semakin ramailah orang sangsi akan “niat murni” Dr. Mahathir yang ingin memajukan bangsa Melayu dengan dasar seperti lamunannya itu… Katanya “dia sebenarnya mahu bangsa ini menghayati bahasa Inggeris sahaja …. Dia sebenarnya terpesona dengan gaya Inggeris…Kalau akhirnya orang Malaysia tak pandai sains dan matematik pun tak apa, sekurang-kurangnya rakyat Malaysia rata-rata petah berbahasa Inggeris…. “biar pape ase bergaye”….(“pape” dalam ilmu tetapi tetap boleh “bergaye” semacam mat saleh!). Dia tak mahu macam Jepun yang tak tahu bercakap Inggeris!”. Yang lain lagi menuduhnya dasarnya beliau itu sebenarnya dimotivasikan oleh kehebatan implikasi kewangannya sahaja!
Mahathir 6. Semasa bangsa-bangsa yang beragama Islam iaitu Arab, Turki, Uzbek dan lain-lain berjaya bangunkan tamadun Islam yang gemilang, bangsa-bangsa Eropah berada "di zaman gelap", zaman mereka tidak berilmu dan percaya kepada kuasa-kuasa ghaib terhadap segala kejadian alam.
Jawaban Shaharir:
Setuju! Namun dia perlu berhati-hati dengan ungkapan “percaya kepada kuasa-kuasa-kuasa ghaib terhadap segala kejadian alam” itu kerana Islam juga mewajibkan umatnya percaya kepada benda ghaib (Jin, Syaitdan, Malaikat dan Yang Maha Berkusa). Satu daripada kelemahan besar sains sekarang ialah tidak mengiktiraf makhluk yang gaib ini dan berpegang pada falsafah Tabiisme atau lebih teruk lagi ateisme.
Mahathir 7. Pada abad ke-15 Masehi, orang Eropah yang berkurun-kurun kagum dengan tamadun orang Islam mula sedar akan ilmu pengetahuan dalam bidang sains, perubatan, matematik, astronomi yang dimiliki orang yang berbahasa Arab serta sumbangan ilmu-ilmu ini kepada tamadun gemilang Islam. Paderi-paderi Kristian Eropah belajar bahasa Arab untuk mendapat akses kepada ilmu-ilmu yang berada dalam kutub-khanah milik Arab dan orang Islam lain.
Jawaban Shaharir:
Betul! Tetapi orang yang telah ada asas ilmu seperti (pada masa iyu) para paderi itu memang sepatutnya demikian. Semua bangsa yang ingin maju demikiannlah. Selama ini pun, pada tahap tertentunya, kita, iaitu para rakyat yang berpengetahuan lebih tinggi daripada orang awam mempelajari sesuatu bahasa untuk mencungkil ilmu dalam bahasa itu. Cuma tahap keghairahan kita tidak sama dengan mereka di Eropah dahulu… itulah satu drp puncanya kita lambat maju sehingga Dr. Mahathir menggelabah dan tidak sabar untuk melakukan sesuatu tetapi tersalah fikir atau langkah itu. Beliau tidak mendapat iktibar sepenuhnya daripada sejarah Tamadun Eropah itu sendiri.
Mahathir 8. Mereka mempelajari semua ilmu-ilmu ini dalam bahasa Arab dan menterjemahkan kedalam bahasa Latin, dan kemudian kepada bahasa-bahasa Eropah. Kemudian mereka pula membuat kajian dan memperluaskan semua ilmu-ilmu ini. Maka terdirilah tamadun Eropah yang terus maju hingga ke zaman sekarang.
Jawaban Shaharir:
Selama ini kita tidak demikian; dan kerajaan di bawah Dr. Mahathir dahulu sekali-kali tidak menggalakkan para ilmuwan Malaysia melakukan seperti yang berlaku di Eropah itu. Ilmuwan kita mengejar apa yang Dr. Mahathir impikan (menerusi wawasan kahyangannya yang bergaya itu). Inilah hasilnya…. kita ada “sarjana” (ribuan banyaknya dalam satu-satu bidang seperti sains matematik, sains hayat, kejuruteraan… ) yang tidak pernah menterjemah hingga tamat usianya! Penyelesaian daripada Dr. Mahathir ialah “paksa semua orang belajar dalam bahasa Inggeris”… lupakan terjemahan..lupakan bahasa sendiri.. apa tujuan Dr. Mahathir bawa sejarah Tamadun Islam dan Tamadu Eropah itu?!
Mahathir 9. Yang jelas daripada sejarah ialah penguasaan ilmu yang ada pada bangsa lain bermula dengan penguasaan bahasa bangsa-bangsa ini.
Jawaban Shaharir:
Ini tidak berapa betul! Sarjana-sarjana Eropah dahulu yang menguasai bahasa Arab itu sama ada mereka sudah pun berilmu dalam bahasa Latin atau mereka belajar ilmu dalam bahasa Arab dan Latin (dwi-bahasa) hanya di peringkat universiti sahaja. Di sekolah umpamanya mereka tetap belajar dalam bahasa mereka sendiri atau bahasa Latin (walaupun pemimpinnya sedar Latin ialah bahasa yang mengandungi ilmu yang lebih inferior daripada yang ada di dalam bahasa Arab) tetapi mereka berwawasan dan beriltizam membina ilmu untuk bangsanya dalam bahasa Latin (bahasa jiwanya, bahasa rasmi agamanya). Akhirnya mereka agak berjaya sehingga pada satu tahap, malah dapat mengalahkan sains Tamadun Islam kerana kealpaan umat Islam, tetapi yang masih tidak memuaskan para pemimpin mereka sehinggalah masing-masing bangsa di Eropah itu membangun ilmu dalam bahasa kebangsaan masing-masing. Apa yang Dr. Mahathir belajar daripada sejarah Eropah ini? Lagi sekali Dr. Mahathir pandai membuat kesimpulan yang pendek itu untuk mengelirukan rakyat yang pernah berada di bawah telunjuknya dahulu.
Mahathir 10. Apakah kita tidak mungkin mengadakan segelintir daripada orang Melayu mempelajari bahasa ilmu di zaman ini, iaitu bahasa Inggeris supaya mereka dapat menterjemahkan ilmu-ilmu ini kepada bahasa Melayu. Dengan itu orang Melayu lain boleh kuasai ilmu-ilmu ini dalam bahasa Melayu, tanpa mempelajari bahasa Inggeris.
Jawaban Shaharir:
Ayat pertama itu tentu mungkin dan patut! Tetapi ayat kedua itu berniat jahat semata-mata! Dia tahu ayat kedua itu tidak pernah berlaku pada orang Inggeris pun. (Sarjana Inggeris masih menterjemah buku atau makalah ilmu dalam bahasa-bahasa lain, malah jauh lebih banyak daripada kita lakukan selama ini). Kita sebenarnya sudah buktikan selama 30 tahun lebih ini bahawa “segelintir” itu agak banyak sehingga jika dasar kerajaan di bawah Mahathir dahulu berwawasan yang tepat keadaan bangsa kita sekarang lain daripada yang ada sekarang ini.
Mahathir 11. Malangnya keadaan sekarang tidak seperti abad ke-15 dan sebelumnya. Ilmu di zaman dahulu terhad, dan tidak bertambah dengan pesat.
Jawaban Shaharir:
Dr. Mahathir membuat rumusan yang melulu untuk menegak benangnya yang basah atau tujuan mencapai hasrat yang dicita-citanya yang tersasar itu sahaja. Dr. Mahathir tidak membuat kerja rumah yang cukup. Apa bezanya sains dan matematik yang di ajar di sekolah dan universiti (ijazah pertama) sekarang dengan zaman beliau dahulu (50 tahun dahulu)?. Kalkulus yang diajar di sekolah dan di universiti sekarang ialah ilmu abad ke-17 dan ke-18 dan tidak berubah sebab perkara itu masih tetap menjadi asas yang perlu. Begitu juga dengan asas-asas fizik, kimia dan biologi. Yang berbezanya hanyalah aspek pengiraan dalam ilmu-ilmu itu kerana 50 tahun dahulu komputer belum ada, malah ilmu sains komputer dan teknologi maklumat amnya belum ada. Namun dalam bidang pengiraan (sains komputer dan teknologi maklumat amnya) di peringkat asasnya yang perlu diajar di sekolah atau di universit peringkat pertama tiadalah perubahan sepantas yang cuba ditakut-takutkan oleh Dr. Mahathir itu. Dia sengaja memomok-momokkan orang seperti menakut-nakutkan kanak-kanak dengan cerita-cerita hantu-jembalang sahaja yang pencerita itu sendiri tidak pernah mengalaminya!
Benar kadar perubahan ilmu sekarang jauh lebih pantas daripada abad ke-15 dahulu tetapi kadar kemampuan pelajar dan guru serta penyelidik sekarang menangani perubahan ini juga demikian, senahagiannya kerana teknologi juga. Jadi kesannya yang sebenar tidaklah menakutkan seperti yang cuba ditakuti oleh Dr. Mahahtir. Jika gambaran Dr. Mahathir itu benar, semua negara terutamanya negara-negara di Eropah tidak akan ada lagi dalam bahasa selain daripada bahasa Inggeris! Ternyata bahasa rasmi Kesatuan Eropah pun bukan bahasa Inggeris sahaja, malah terlampau banyak sehingga mereka mahu mengurangkan kepada 4 atau 5 bahasa sahaja.
Mahathir 12. Di zaman ini ilmu Sains dan Matematik yang amat penting untuk membangun dan memajukan masyarakat manusia, kembang dan bertambah dengan pesatnya. Tiap hari, tiap bulan dan tiap tahun ilmu baru yang diperbaharui sepanjang masa, diperkenalkan oleh para saintis dan pengkajiselidik kepada masyarakat dunia. Ilmu matematik terutama algorizmi dan perhitungan yang kompleks digunakan untuk mengetahui apa hasil jangka panjang daripada sesuatu teori dan untuk menentukan gerakan bintang di langit supaya kapal angkasa dapat menemui sasaran setelah berjalan berbulan-bulan.
Jawaban Shaharir:
Ini cerita daripada periwayat hantu yang disebut di atas. Teori baru yang terbukti berguna dan berjadi hanya berlaku jarang sekali, banyak bidang sains dan matematik berlaku perubahan teorinya dalam kalaan puluhan tahun, malah sains komputer yang dianggap terpantas itu pun biasanya dalam kalaan 3 atau 4 tahun (itu pun teknologinya sahaja). Yang digambarkan oleh Dr. Mahathir itu ialah tesis baru yang belum mencapai tahap yang patut dikuasai oleh kebanyak orang di universiti, apatah lagi di sekolah. Ia berlaku di kalangan sarjana berkenaan sahaja; dan sarjana tidak pernah menghadapi masalah bahasa yang ditakuti dan menakutkan orang oleh Dr. Mahathir itu. Berkenaan dengan “algorizmi” (sepatutnya alkhwarizmi atau algoritma) lagi lambat munculnya. Yang diajar di sekolah atau di universiti hingga kini masih yang asasnya yang dicipta ratusan tahun dahulu lagi (zaman belumada komputer lagi!). Teori dalam astronomi lagi lambat perubahannya, teori yang terbaik setakat ini (terutamanya oleh orang Barat) ialah ciptaan sarjananya lebih daripada 70 tahun dahulu (iaitu teori Einstein dan teori quantum) dan “algorizmi” untuk mengira ke angkasa lepas tidak banyak berubah sejak pertama kali Amerika barjaya ke Bulan (1974). Ilmu-ilmu yang lama inilah yang perlu dikuasai oleh pelajar kita sebelum mereka boleh belajar sendiri kelak. Persoalannya dalam bahasa apakah yang teraiknya? Takkanlah dalam bahasa yang pelajar tidak tahu atau tidak selesa? Lojik mana yang Dr. Mahathir pakai?l
Mahathir 13. Dimasa yang sama banyak ilmu baru diperkenalkan yang berasas kepada kuasa elektrik, gerakan atom, sains halus atau nano science, asas-asas fisiologi kehidupan tumbuh-tumbuhan dan makhluk Allah dan berbagai-bagai lagi.
Jawaban Shaharir:
Ini mengulang-ngulang benda yang sama…. Menakut-nakutkan tentang benda yang sama… hantu yang sama.. Cuma di sini lagi banyak Dr. Mahathir cuba bercakap benda yang nampaknya dia tak berapa tahu. Sains atom tidak banyak berubah sejak awal abad ke-20 ini kerana kadar penemuan atau pembinaan teori barunya memakan masa yang panjang kalaannya seperti yang disebut sebelum ini. Teori Bohm (tentang atom) yang dikatakan sedang membina kubu-kubu persaingan dengan teori sebelumnya dicipta pada 1950-an dan berkemuncakkan pada tahun 1980-an dahulu (nah! Memakan masa 30 tahun dan masih tak menang!... menunjukkan lambatnya perkembangan sains bidang ini). Sains halus, jika dimaksudkannya nano-sains, sebenarnya bukan sains baru tetapi sains awal abad ke-20M; yang barunya (dan belum berjaya) ialah teknologi berasaskan sains itu. Jika sains halus itu bermaksud sains makhluk halus, orang Melayu sudah tidak perlu kepada Barat, malah Barat sedang menterjemah ilmu ini (dari Timur) ke dalam bahasa-bahasa mereka. Nampak macam yang dalam kendong kita sedang berciciran dan yang dikejar mengikut Dr. Mahathir tak dapat-dapat!
Mahathir 14. Hakikatnya ialah jumlah ilmu baru dan kepantasan perkembangannya tidak dapat dikejar oleh penterjemah Melayu yang sedikit yang ada. Harus diingat untuk menterjemah tiap ilmu khusus dalam bidang Sains memerlukan bukan sahaja kefasihan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi juga kepakaran dalam ilmu berkenaan. Kita tidak punyai dengan mencukupi orang yang berkebolehan seperti ini. Jika ada beberapa kerat orang seperti ini mereka tidak mungkin sanggup bekerja sebagai penterjemah seumur hidup mereka.
Jawaban Shaharir:
Kalau Dr. Mahathir tidak berprasangka buruk dan membuat sedikit aritmetik kedudukan buku-buku ilmu dalam bahasa Inggeris sekarang, nescaya dia tidak akan bercakap dengan nada kalah seperti itu terutamanya jika dia berwawasan yang betul terhadap pembangunan sesebuah tamadun, bukan sekadar berwawasan begayo” seperti Wawasan 2020 itu sahaja [iaitu berwawasan bukan dalam bahasa sendiri dan bercakap segalanya dalam acuan sendiri tanpa takrif yang betul tentang acuan itu].
Secara amnya bilangan buku ilmu dalam bahasa Inggeris sekarang yang mungkin sesuai dipertimbangkan untuk diterjemahkan ialah sekitar 400 buah buku setahun dalam sesuatu bidang besar seperti sains matematik (termasuk sains komputer dan teknologi maklumat amnya), sains hayat, sains fizis (termasuk kimia dan geologi), sains kejuruteraan dan sains kesihatan dan perubatan. Dalam setiap bidang ini sekarang ini dianggarkan ada kira-kira 1000 orang sarjananya (yang ada ijazah Sarjana sekurang-kurangnya) yang banyak dahulunya belajar dalam bahasa Melayu tetapi tidaklah debek bahasa Inggerisnya (malah semuanya boleh menterjemah Inggeris-Melayu). Ini bermakna dengan dasar-dasar yang betul, kita tidaklah tidak mampu menghasilkan sebuah buku terjemahan setahun bagi setiap 2 orang sarjana. Di samping itu para sarjana ini juga tentunya boleh menghasilkan karya aslinya dalam bahasa Melayu, jika pengiktirafan terhadap penulisan buku tidak seperti yang berlaku selama ini. Ini belum lagi mengambil kira sarjana dari alam Melayu yang tentu sahaja boleh dimobilisasikan oleh Institut Terjemahan Negara itu umpamanya. Cara ini yang dilakukan pada Zaman Tamadun Islam dan Tamadun Eropah yang selalu disebut oleh Dr Mahathir dan disebut di sini juga (di atas tadi) tatepai nampaknya tidak pernah menjadi iktibar beliau.
Dengan teknologi penterjemahan yang ada, kadar penerbitan penterjemahan ini tentunya “secara teorinya kacang” sahaja. Anggaran perbelanjaan setiap buku sekarang pun amat murah berbanding dengan cara lama, dan biasanya sarjana memang tidak menagih bayaran kerja penulisannya, asalkan pengiktirafan akademik yang sewajarnya diinstitusikan. Dengan dasar-dasar yang betul seperti pengiktirafan bertaraf akademik kepada para penterjemah dari kalangan ahli akademik itu, peruntukan pembangunan untuk “penterjemahan Negara” yang patut diwujudkan itu amatlah kecil berbanding dengan peruntukan projek pembangunan mega-mega selama ini. Pokoknya wawasan pemimpin negara yang betul sahaja yang diperlukan, iaitu yang pastinya bukan wawasan ala Dr.Mahathir itu.
Mahathir 15. Sebaliknya jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris tanpa menunggu pengalih bahasa kita. Tiap-tiap tajuk yang terkini dan yang lama terbuka untuk kita menguasainya. Dengan itu kita tidak akan ketinggalan daripada segi ilmu pengetahuan berbanding dengan bangsa yang maju.
Jawaban Shaharir:
Ini yang sengaja Dr. Mahathir tidak atau buat-buat tidak faham-faham asalkan orang hanyut bersamanya dalam wawasan sebenarnya, iaitu menjadikan Malaysia ini bangsa yang kononnya lebih tahu berbahasa Inggeris daripada bangsa-bangsa lain yang bukan Anglo-Saxon dan pada masa yang sama dia tidak berpa kesah jika rakyat Malaysia memandang rendah atau tidak peduli kepada bahasa sendiri. Sejauh mana orang ramai sebenarnya lebih ramai/banyak boleh mencapai ilmu menerusi bahasa Inggeris itu (berbanding dengan menerusi bahasa sendiri) mungkin tidak begitu dipedulikannya. Persoalannya di manakah sandaran orang seperti Dr. Mahathir ini lakukan untuk mengatakan dengan mengajar Sains dan Matematik dalam bukan bahasa sendiri (di sini Inggeris) bagi lebih drp 90 % rakyat Malaysia ini (yang tidak menggunakan bahasa Inggeris di rumahnya) maka semakin ramailah rakyat Malaysia nanti faham sains dan matematik dalam bahasa itu dan seterusnya boleh mendapatkan sendiri ilmu itu kemudiannya menerusi teknologi maklumat? Siapa yang belajar sendiri tentang sains kependudukan umpamanya jika dia telah faham kalkulus sekolah? Siapa yang buka internet mencari ilmu baru tentang atom dan naoteknologi jika dia tidak faham hukum Newton pun? Pastinya orang mahir berabuk bercakap bahasa Inggeris sekarang pun jika dia tidak faham kalkulus sekolah tidak akan berbuta demikian! Hukum akal mana yang dia pakai: belajar dalam bahasa yang bahasa yang pelajar tidak selesa lebih baik daripada belajar dalam bahasa yang pelajar lebih selesa? Hasil kajian mana yang dia pakai yang menunjukkan pelajar berbahasa ibunda A lebih baik belajar dalam bahasa bukan ibundanya B? Hasil penyelidikan siapakah yang menunjukkan pelajar yang lebih selesa dalam bahasa A akan lebih berminat atau lebih berdaya cipta kelak jika belajar dalam bahasa bukan A? Jika semua soalan ini negatif jawabannya, apa maknanya Dr. Mahathir kata “jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris” ? “Kita” tu siapa dan berapa keratkah? Hebat sangatkah sains dan matematik orang Melayu di Singapura atau di Brunei kerana mata pelajaran ini begitu lama diajar dalam bahasa Inggeris? Sudah berpuas hatikah kita dengan prestasi sains dan matematik bangsa-bangsa di Afrika yang pendidikan seluruhnya dalam bahasa Inggeris sejak begitu lama sehingga secara tak langsung kita pun mahu mengikut jejak langkahnya? (Sebenarnya,contohnya, Nigeria dan Afrika Selatan baru berusaha untuk menggunakan bahasa sendiri dalam pengajaran sains dan matematik anak bangsanya!). Apa hebatnya sains dan matematik di Filipina yang begitu lama rakyatnya belajar ilmu ini dalam bahasa Inggeris? Adakah pendemokrasian sains dan matematik di Hindia begitu bagus berbanding dengan Tiongkok kerana pendidikan sains dan matematik di Hindia telah lama dalam bahasa Inggeris dan Tionghua masih dalam bahasanya sendiri; dan adakah pencapaian sains dan matematik di Hindia lebih baik drpd Tiongkok? …. dan terlampau banyak soalan yang jawabannya terang-terang menyangkal pandangan Dr.Mahathir itu.
Mahathir 16. Sesungguhnya agama kita menuntut supaya kita kuasai ilmu-ilmu ini. Sebagai orang Islam kita perlu bersedia untuk mempertahankan umat Islam. Di zaman dahulu kuda perang, pemanah, pedang dan tombak memadai untuk pertahanan.
Jawaban Shaharir:
Memang betul! Tetapi apa muslihatnya beretorik begini?
Mahathir 17. Di zaman ini kita perlu kereta perisai, meriam dan roket, pesawat pejuang dan pengebom, kapal perang dan kapal selam. Kita tak mungkin cipta dan bina semua ini tanpa ilmu sains dan matematik. Kita boleh beli daripada orang lain tetapi ini bermakna kita letak diri kita di bawah cengkaman mereka.
Jawaban Shaharir:
Amat betul! Tetapi apa guna leteran begini?
Mahathir 18. Jika kita ingin amal ajaran Al-Quran berkenaan dengan keperluan pertahanan bagi umat Islam maka penguasaan ilmu sains dan matematik perlu menjadi sebahagian daripada fardhu kifayah bagi kita. Ia bukan ilmu sekular seperti diperkata sesetengah orang. Ia adalah sesuatu yang diwajib keatas diri kita.
Jawaban Shaharir:
Sebahagian besarnya betul! Tetapi Dr. Mahathir tidak boleh menangkap borong semuanya bahawa ilmu sains dan matematik sekarang “bukan ilmu sekular”. Ilmu mengikut Islam ialah pengetahuan yang tidak menghakis iman sedangkan banyak teori dalam sains dan matematik sekarang bukan sahaja boleh menghakis iman tetapi jelas mencabar beberapa ajaran utama Islam. Kita perlu mengajar sains dan matematik kepada orang Islam supaya dia faham bukan sekadar matannya sahaja tetapi faham juga selok-belok ketakserasiannya dengan Islam sehingga orang Islam terpanggil untuk memperbaikinya dan seterusnya menjadi nakhodanya. Itu yang pernah dilakukan pada zaman Tamadun Islam dahulu dan Dr. Mahathir hanya buat-buat tak tahu sahaja. Dalam hubungan ini, pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidak membantu mendidik orang Melayu khususnya ke tahap yang diingini ini, kerana bahasa Inggeris itu membawa nilai-nilai kesekularan tersendiri yang sudah teradun dalam pengolahan penyampaian sains dan matematik dalam bahasa Inggeris itu. Diakui bahasa Inggeris pun semakin menjadi satu daripada bahasa yang berkesan untuk penyampaian Islam tetapi gaya ini masih belum meresap ke dalam penyampaian sains dan matematiknya.Malah berdasarkan tinjauan yang dibuat beberapa kali yang mendapati lebih daripada 90% ahli sains teori Barat kini adalah ateis atau apeduli agama (kalau sekular lagi tinggi!), maka gaya penulisan sains dalam bahsa Inggeris khasnya tidak mungkin akan berubah kepada yang teis atau peduli agama, makalah semakin sebaliknya.
Mahathir 19. Jika kita abaikan ilmu ini semata-mata kerana kita lebih utamakan bahasa kita, dan dengan itu kita jadi bangsa yang kolot dan lemah, dan dihina oleh orang, kita tidak boleh dakwa yang kita adalah pejuang bangsa dan agama. Orang yang rela bangsanya dihina tidak faham akan makna nasionalisme yang sebenar atau tanggungjawab orang Islam terhadap agama mereka.
Jawaban Shaharir:
Lagi sekali Dr. Mahathir membuat andaian palsu, iaitu bangsa yang mengutamanya bahasanya sendiri adalah bangsa yang mengabaikan ilmu, bangsa yang kolot dan lemah, dan sebagainya itu. Lupakah dia tentang nasib bangsa Inggeris itu sendiri? Begitu juga dengan bangsa-bangsa yang dianggap maju dalam sains dan matematik sekarang, bangsa yang manakah yang tidak mengutamakan bahasanya sendiri? Sebenarnya orang yang rela bangsanya dihina dan sebagainya yang dikatakan dan dilakukan oleh Dr. Mahathir sedang berlaku pada orang Melayu sekarang ini pun (sejak 2003) kerana dasar bahasa yang menabaikan bahasa Melayu sedangkan tahap pencapaian sains dan matematik orang Melayu ada tanda-tandanya yang semakin merosot sebagaimana yang dipaparkan oleh para penyelidik yang tidak terikat pada kepentingan politik semasa.
Mahathir 20. Bagi saya pejuang bangsa yang betul-betul bersemangat perlu bermatlamat untuk menjadikan bangsanya bermaruah, dihormati oleh semua bangsa lain dan berkebolehan bersaing dalam apa juga bidang dengan kemungkinan berjaya.
Jawaban Shaharir:
Siapa yang tidak bersetuju dengan pandangan ini?
Mahathir 21. Pemimpin dan pejuang yang hanya ingin disukai ramai dan kerana itu sanggup membiar bangsanya menjadi kolot dan hina, bukanlah pemimpin yang sayang bangsanya. Mereka hanyalah oportunis yang sanggup gadai bangsa sendiri asalkan mereka dapat kekalkan kedudukan mereka. Mereka ini bukan nasionalis dalam erti kata sebenar.
Jawaban Shaharir:
Pemimpin dan pejuang yang dibayangkan oleh Dr. Mahathir ini sukar dicari di Malaysia ini kerana sebahagian besar sejarah pasca-merdeka Malaysia ini berada di bawah zaman pemerintahan beliau. Dalam zaman pemerintahannya yang lama itu, beliau mungkin merasakan banyak benda yang dia buat yang tidak disukai ramai tetapi tetap dilakukan demi tidak “membiarkan bagsanya kolot dan hina” . Ini perasan beliau sahaja dengan menganggapkan setiap tindakan tidak popularnya tetap dilakukan kononnya demi kebaikan bangsanya, nasionalis sebenarnya, dan tidak penyempatnya dia. Orang boleh berhujah balik bahawa dasarnya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan sains dan matematik sekolah dilakukan demi sebaliknya sahaja. Umpamanya, penyempat (pandai mengambil peluang situasi yang muluk-muluk)! Takrif nasionalis siapakah yang yang ciri-cirinya mengizinkan pengabaian kebudayaan sendiri? Dia patut menilai semula perasannya itu atas sebab-sebab yang telah diutarakan sebelum ini yang memberi kesimpulan bahawa tindakan tidak popularnya itu sebenarnya “membiarkan bagsanya kolot dan hina”. “Kolot dan hina” kerana dasar itu berkebarangkalian yang amat kecil akan melahirkan bangsa yang mampu mencipta ilmunya sendiri dan berkebudayaan sendiri.
Mahathir 22. Bahasa jiwa bangsa. Tetapi ilmu menentukan keselamatan dan maruah bangsa.
Jawaban Shaharir:
Slogan “Bahasa jiwa bangsa” kini sudah dikelirukan oleh tingkah-laku Dr. Mahathir selama ini kerana padanya ilmu dan bahasa terpisah sifatnya. Padanya bahasa menjadi jiwa bangsa hanya dalam kebudayaan yang sempit bagi sesuatu bangsa itu sahaja, dan kebudayaan yang sempit itu pun tidak penting kalau bangsa itu tidak berilmu. Beliau menganggap ilmu itu neutral malah terpisah daripada bahasa. Bahasa tidak mewarnai ilmu dan ilmu tiada sumbangannya bahasa. Pada Dr. Mahathir ilmu yang sedia ada ini (apatah lagi yang hendak dicipta nanti) dalam bahasa apa pun memberi makna yang sama sahaja. Pandangan sempit dan salah ini ditambah pula dengan sikapnya yang tidak memasukkan ilmu sebagai komponen jiwa bangsa yang terpenting itulah menjadikan “bahasa jiwa bangsa” itu tidak perlu dipedulikan lagi. Tidak hairanlah dia merasakan slogan “Bahasa jiwa bangsa” itu tidak tepat, tidak kena, dan kolot, sehingga dia tambah satu ayat lagi itu. Inilah berbezanya Dr. Mahathir dengan kebanyakan ilmuwan seluruh dunia.
Shaharir b. M.Z.
(Dr., Mantan Profesor Matematik Fizik, UKM & dan Mantan Profesor Matematik UMT)
BBBangi, 28/08/08
Sumber : Prihatin
Persatuan Mahasiswa Masjid As-Syakirin (PERMAS)'s Fan Box
Artikel Terkini
Tsabat Dalam Perjuangan
Artikel Pilihan
Hentikan permusuhan Salaf & Khalaf
Lencana Facebook
How I Feel?
Bersuara Di Sini
Categories
- Aqidah (10)
- Cinta (2)
- Da'wah (54)
- Doa (1)
- Falsafah (4)
- Fiqh (31)
- Hari Raya (1)
- Iklan (2)
- info (15)
- Isu Semasa (31)
- kehidupan (20)
- Komputer (2)
- Politik (31)
- Puisi (2)
- Ramadhan (3)
- Renungan (29)
- Sirah (5)
- Tafsir (3)
- Tarawih (1)
- Tazkirah (39)
- Tokoh (2)
- Zikir dan Fikir (20)
Arkib Blog
-
▼
2009
(143)
-
▼
Jun
(14)
- Jawaban Mahathir Terhadap Dasar Pengajaran Sains D...
- Amru bin Maimun R.A meriwayatkan Nabi Muhammad Sal...
- Kisah Kambing dan Ayam
- Adakah Benar Kita Berjuang Untuk Islam?
- Susahnya khusyuk
- Paradigma Fiqh IV
- Doa Solat Istikharah
- Huraian Berhubung Aliran Wahabi
- Tok Guru
- Paradigma Fiqh III
- Sesekali 'Blank' jua...
- Paradigma Fiqh II
- Kenangan di Masjid As-Syakirin
- Kenangan di UiTM
-
▼
Jun
(14)
Laman Siasah
-
-
Kembara Ilmu November 20168 tahun yang lalu
-
Geopolitik kepimpinan dunia Sunni8 tahun yang lalu
-
Jual Saham Proton : Bisnes atau Politik?8 tahun yang lalu
-
UJIAN ADALAH DIDIKAN DAN TARBIYAH DARI ALLAH11 tahun yang lalu
-
60 petisyen gambaran kredibiliti SPR dipertikai11 tahun yang lalu
-
menawan puncak kinabalu 1 (politik)11 tahun yang lalu
-
-
BR1M - MURSYIDUL AM PERTAHAN PENDIRIAN11 tahun yang lalu
-
-
Ust Hasrizal
Taman Ilmu
-
Mengapa Hanya Surah Yusuf4 tahun yang lalu
-
DAKWAH MASA KINI: DARI KONFRANTASI KEPADA ENGAGEMENT6 tahun yang lalu
-
-
SENARAI GRADUAN SESI 20168 tahun yang lalu
-
-
Tanyalah Ustaz11 tahun yang lalu
-
Diharamkan Mengumpat11 tahun yang lalu
-
Beli Buku Online13 tahun yang lalu
-
Aku Pijak di Medan Bumi14 tahun yang lalu
-
PILIHAN RAYA KECIL SEKALI LAGI!!15 tahun yang lalu
-
-
-
-
-
-
-
-
-
Sahabat Saya
-
Bebanan Hutang Dan Persahabatan3 bulan yang lalu
-
mengapa Mustika? - VOL 16 tahun yang lalu
-
DEMI CINTA SUCI6 tahun yang lalu
-
Promo Awal Muharram Tasneem Naturel!!!!7 tahun yang lalu
-
Derma9 tahun yang lalu
-
-
Midnight in Paris (2011)9 tahun yang lalu
-
Zalim Terhadap Rohani?11 tahun yang lalu
-
Logo Petunjuk Arah12 tahun yang lalu
-
-
Guide Me All The Way..12 tahun yang lalu
-
2012: Update BLOG!!12 tahun yang lalu
-
My Big Bang12 tahun yang lalu
-
Malam Senyum Simpul12 tahun yang lalu
-
Hello & Hai13 tahun yang lalu
-
-
Warkah buat Ratna..13 tahun yang lalu
-
Taknak baby meragam sgt?13 tahun yang lalu
-
-
Rumah Baru14 tahun yang lalu
-
Final Exam...!!!15 tahun yang lalu
-
-
bicara hati..15 tahun yang lalu
-
-
HarakahDaily.Net
Pengikut
Tazkirah
Mereka melontar dan membaling kamu dengan batu
Tetapi kamu membalas mereka dengan buah
-Assyahid Hassan al-Banna-
Pengumuman
-Ibnu Abas-
Dilarang menerbitkan mana-mana artikel di blog ini bagi tujuan komersial. Untuk tujuan dakwah sangat dialu-alukan.
Kata kata Nasihat
Aku berlindung daripada penyakit ini Ya Allah.
-Ibnu Abas-
Jawaban Mahathir Terhadap Dasar Pengajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris Dan Jawaban Balas Daripada Shaharir
Dicatat oleh Ibnu AbasLabel: Isu Semasa
Amru bin Maimun R.A meriwayatkan Nabi Muhammad Sallallahu alayh wasallambersabda,
"Ada lima perkara yang sangat berharga yang diberikan percuma oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada umat manusia. Lima perkara itu perlu dimanfaatkan oleh semua umat manusia dengan sebaik-baiknya sebelum datang lima perkara lain. Ia adalah masa muda sebelum masa tua, masa sihat sebelum datang masa sakit, masa senang sebelum datang masa susah, masa lapang sebelum datang masa sibuk, serta masa hidup sebelum datang kematian."
P/S: Sekarang sangat sibuk...manfaatkan hidup selagi bernafas. Agi idup agi ngelaban!
-Ibnu Abas-
Label: Tazkirah
Al-Kisahnya, ada seekor ayam jantan dan seekor kambing jantan. Mereka ni musuh ketat, setiap kali berjumpa ada sahaja modal mereka untuk saling berbalah. Si ayam ni jenis ayam serama, memang cantik dan comel lah. Si kambing pula warak, ada janggut macam pak lebai.
Suatu hari sedang ayam jantan berjalan- jalan, terserempak ia dengan musuh ketatnya, si kambing jantan.
Maka si kambing pun apa lagi, dengan idea yang tercetus secara tiba-tiba ia pun segera lah memerli si ayam;
"Mu ni apa ayam....badan comey, kaler biru, hijau, merah. Slipar tak pakai!"
Lalu si ayam dengan selamba menjawab;
"Mu lagi teruk! Janggut ada, warak. Tapi 'batu' tunjuk kat orang!"
Maka kambing pun berlalu dengan tersiput-siput tunduk malu.
Pengajaran
Buat lah perkara yang wajib dahulu. Perkara yang sunat atau harus tu tak yah lar nak berbalah kalau tak buat.
Sekian.
-Ibnu Abas-
Label: Tazkirah
Hati ini terasa begitu sedih dan pilu. Di saat dakwah Islam semakin berkembang, di saat non-muslim tidak lagi fobia terhadap Islam, muncul pula golongan munafiq yang ingin merosakkan gagasan dakwah ini. Dahulu perjuangan ini sangat perit, tidak popular. Dihina keluarga, dibuang masyarakat, dipulau, dicaci maki malah dituduh sesat. Tidak ramai yang mahu menyambutnya. Di kala dakwah ini semakin diterima, semakin ramai lah yang menonjolkan diri bahawa mereka lah pejuang Islam sejati. Benarlah, ketika Islam dihimpit dan dihina, ramai yang sembunyi bagaikan pengecut. Di saat Islam naik dan merai kemenangan maka ramailah pula keluar menyatakan sokongan. Perjuangan menegakkan Islam tidak menjanjikan harta untuk diri dan kroni-kroni. Sebaliknya ia menuntut setiap Muslim yang ingin turut sama berjuang bersedia untuk berkorban harta, masa, dan jiwa.
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (10) Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (11)
[Surah as-Saff]
Ya, dakwah adalah suatu perniagaan, yang keuntungan diperolehi di hari kemudian. Suatu perniagaan yang mesti kita rebut untuk mendapatkan saham yang tidak ternilai harganya dan kekal abadi. Satu-satunya perniagaan yang tidak timbul soal rugi. Kerana ia mustahil terjadi.
Mengapa Allah meletakkan pra-syarat berjuang membela agama Allah ini dengan berkorban harta benda dahulu baru nyawa? Tidak lain tak bukan kerana sifat manusia yang cintakan harta itu sendiri. Sesungguhnya orang yang sanggup mengorbankan hartanya untuk Islam, insyaAllah mereka lah golongan yang sanggup mempertahan agama suci ini dengan darah. Tetapi ada pun yang bercakap lantang sanggup berkorban nyawa untuk Islam, tapi apabila diminta sumbangan semuanya sepi belaka. Inilah ciri-ciri pejuang yang tidak ikhlas dalam perjuangan. Kalau tak mampu korban harta, mustahil untuk seseorang itu mengorban nyawanya demi agama!
"Ana tak mampu syeikh, gaji ana pun tak besar"
Sering kedengaran alasan sumbang sebegini. Sumbangan sedikit atau banyak tidak menjadi persoalan, yang menjadi persoalan mahu atau tidak? Malah satu ringgit itu bisa mengalahkan seratus ringgit. Perkara ini terbukti di dalam satu hadith sahih yang bermaksud;
"(wang) satu dirham itu dapat mengalahkan seratus ribu dirham"
Hadith ini diungkapkan Nabi Sallallahu alayhi wasallam apabila terjadi kisah seorang lelaki (hanya) mempunyai 2 dirham, kemudian dia bersedekah dengan sekeping dirham (iaitu dia bersedekah dengan setengah harta yang dimiliki padahal dia berhajat kepada harta tersebut) dan seorang lelaki yang lain mempunyai harta yang banyak, kemudian dia mengambil dari hartanya seratus ribu keping dirham untuk disedekahkan.
Tepuk dada tanya iman, apakah jaminan di kala susah kita mampu tak mampu sumbang RM 50 sebulan daripada RM 1000 gaji kita (5%), dan apabila senang kita mampu sedekah RM 200 sebulan daripada gaji RM 4000? Tidak ada jaminan! Sebenarnya kita tertipu dengan nafsu kita sendiri. Kalau di kala susah kita berat untuk infaq harta demi Islam, jangan bermain kata bermimpi untuk menyumbang di kala senang. Telah ramai manusia diuji dengan harta, dan telah ramai jua lah yang tertewas. Semoga tazkirah di pagi jumaat ini membakar semangat kita semua untuk perbanyakkan sedekah kita ke jalan Allah.
Wallahu 'Alam
-Ibnu Abas-
Label: Da'wah, Tazkirah, Zikir dan Fikir
"L, aku nak tanya kau sikit boleh?" tegur seorang kawanku dalam kelas.
"Boleh, insyaAllah. Apa dia?" Balasku ringkas.
"Macam mana khusyuk dalam solat ek? Aku rasa macam mustahil lah!"
"Oh pasal tu... Ingatkan nak pinjam duit, kalau duit memang takde. Hehe.." sempat aku bergurau.
"Isk ko ni... Aku tau kau pun bukan layak jadi 'ah long'! Haha..." Cis, pandai betul dia ni kenakan aku balik.
"Yelah. Berbalik kepada soalan kau tadi, khusyuk ni bukan lah benda yang mustahil. Tapi ia sesuatu yang kau kena usahakan!" Jelas ku bersemangat.
"Isk aku dah usaha la tu, tapi masih juga dalam solat naik bas kuning! Haha.. "
"Engkau ni.. aku nak terangkan ni jangan lah buat lawak plak. Hilang ilmu nanti kalau kita bantai gelak sakan. Hehe.."
"Okey-okey... Aku setia dan tekun mendengar ni. Huhu.. " Dia buat-buat muka serius. Dalam hati nak je aku ketuk budak ni.
"Okey, aku pernah baca dalam satu buku karangan Ust Zaharuddin, beliau terangkan dengan cukup ringkas cara untuk khusyuk dalam solat. Antaranya, al-tafahhum. Yakni kita memahami semua bacaan di dalam solat dan hayati maknanya. Macam kita baca poem la kan, kalau tak faham mana nak datang feel. Hah, kau dah tau makna semua bacaan belum?"
"50-50.. Hehe" Jawabnya bersiput-siput malu.
"Haa, elok la lepas ni cuba kau hafal dan hayati semua bacaan dalam solat tu. Okey, yang kedua ialah al-ta'zim. Yakni kita merasakan kebesaran Allah seolah-olah kita berada di hadapan-Nya. Itu lah konsep Ihsan; kita beribadat seolah kita nampak Allah, atau paling kurang kita yakin Allah nampak kita. Ketiga ialah al-haybah; iaitu kita hadirkan rasa gerun terhadap Allah Subhanahu wa Taala. Umpama kita nak menghadap raja, malah lebih gerun lagi. Demikianlah yang selayaknya ketika menghadapi Raja bagi segala yang ada di langit dan bumi. Ok faham setakat ni?" Aku berhenti mengambil nafas.
"Okey faham.. teruskankan."
"Seterusnya ialah al-rajak; yakni kita mengharap ibadah kita yang sesekali leka ni akan diterima oleh Allah. Yelah, orang macam kita ni susah nak khusyuk betul-betul. Dah cuba fokus pun ada saja anasir luar masuk ke dalam otak kita ni. Ingat barang hilang lah, assignment lah, ada je teknik syaitan profesional ni nak distract kita. Jadi kita kena lah bersangka baik dengan Allah dan mengharap sepenuh hati agar Allah terima ibadah kita yang kekurangan tu."
"Betul juga cakap kau, selalunya bukan aku tak cuba fokus. Tapi tiba-tiba je ingat perkara yang aku tak ingat kat luar solat. Haish... macam-macam hal."
"Sebab tu aku kata syaitan professional. Hehe.. Akhir sekali ialah al-hayak; iaitu kita kena ada rasa malu dengan Allah. Malu sebab kita selalu cuai melaksanakan perintah-Nya dan serba kekurangannya dalam melakukan ibadah terhadap-Nya. Wallahu 'Alam.. itu je la sedikit ilmu yang aku boleh share. Apa yang penting ilmu sikit tu lah kita amal. Tahu banyak tak amal tak guna gak." sempat aku memberi nasihat.
"InsyaAllah, al-tafahhum, al-ta'zim, al-haybah, al-rajak dan al-hayak. Betul kan?"
"Ha'ah.. tapi jangan hafal je. Praktis!"
"Hehe okey... TQ!" Sebelum beredar sempat dia mengenyit mata kat aku. Ish budak ni... Sabar jelaaa...
(Cerita di atas adalah rekaan semata-mata, walaupun mungkin ada kaitan dengan mereka yang masih hidup mahu pun yang telah meninggalkan dunia)
-Ibnu Abas-
Daripada Muhammad 'Abdul Wahhab Fayid, beliau memceritakan pengalaman beliau:
"Aku menjadi imam solat maghrib berjamaah di sebuah masjid besar di Al-Aryaf. Aku tidak mengeraskan bacaan basmalah dalam al-Fatihah. Usai solat, salah seorang yang mengaku ulama' berteriak, 'Saudara-saudara, ulangi solat kalian! Kerana solat kalian telah batal!' Seorang muadzin kemudian menyampaikan iqamat dan ulama tersebut menjadi imam solat maghrib yang kedua. Aku sendiri berasa bimbang kemudian solat di belakangnya bersama orang ramai."
"Setelah selesai solat, aku menemuinya dan berkata kepadanya, 'Saya telah solat di belakang engkau untuk kedua kalinya. Tetapi saya ingin mengetahui apakah kesalahan saya sehingga solat saya menjadi batal?"
Dia berkata, "Kerana engkau tidak membaca basmalah pada awal Fatihah."
Aku berkata, 'Saya membacanya di dalam hati. Ada hadith yang menerangkan membaca basmalah dengan sirr (senyap) sebagaimana ada hadith yang menerangkan pembacaan basmalah dengan jahar (kuat). Kedua-duanya diperbolehkan. Bahkan Imam Malik R.A telah berkata: Membaca basmalah itu makruh. Saya tidak percaya bahawa seseorang yang berakal apalagi seorang Muslim akan berkata bahawa solat Imam Malik seluruhnya batal! Yang diyakini para ulama' ialah Imam Syafi'i jika beliau solat di belakang Imam Malik dan tidak mendengar basmalah, beliau tidak meninggalkan solatnya itu. Bahkan ketika disampaikan jika sekiranya Imam Hanafi berwudhu' dan setelah wudhu' tersentuh kemaluannya, sahkah solat Imam Syafi'i di belakangnya? (Dalam mazhab Hanafi, menyentuh kemaluan tidak membatalkan wudhu') Imam Syafi'i menjawab: 'Mana mungkin aku tidak solat di belakang Abu Hanifah?'
Apa yang berlaku di dalam kisah di atas masih berlaku dan terus berlaku sehingga ke hari ini. Di Malaysia umat Islam berpecah belah dan berbalah sesama sendiri bila ada imam yang tidak Qunut atau wirid selepas solat. Begitu juga apabila menjelang bulan Ramadhan, maka timbul pula perbalahan samada solat tarawih 20 rakaat atau 8 rakaat. Inilah salah satu akibat mendahulukan fiqh ke atas akhlak sehingga seseorang yang jahil itu berfatwa dan bertindak seperti seorang mujtahid. Yang sebenarnya mereka itu takliq membabi buta dan taksub terhadap mazhab yang dianuti sehingga membelakangi adab dan akhlak yang ditunjukkan oleh para imam Mazhab itu sendiri.
Wallahu 'Alam
-Ibnu Abas-
- Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.
- Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”
- Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
- Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
- Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu)
Klik sini untuk lihat artikel asal (penuh)
Label: Fiqh
Apakah sebenarnya Wahabi, adakah ia satu ajaran baru dalam Islam, atau satu mazhab lain daripada Ahl Sunnah wal Jamaah? Seorang imam di tempat kami tidak membaca apa-apa selepas solat fardhu, tindakannya menyebabkan ramai ahli jemaah benci kepadanya, ada orang kata dia Wahabi, adakah sah solat fardhu di belakangnya?
ROHANI MH, SELANGOR
Jawapan
Istilah Wahabi ini dicipta oleh kalangan tertentu untuk ikut menambahkan lagi keadaan rawan dan perpecahan baru dalam jasad umat Islam kerana pelbagai tujuan. Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika ditanya mengapa beliau menyerang umat Islam di Chechnya, menafikannya dan berkata pihaknya bukan memerangi umat Islam tetapi memerangi kumpulan Wahabi.
Istilah ini semacam alasan yang kuat baginya untuk membunuh dan melakukan kezaliman terhadap umat Islam di Chechnya yang kebanyakannya menganut mazhab Syafi'e. Demikian juga apabila Amerika menyerang dan membunuh ramai orang awam, wanita dan kanak-kanak di Afghanistan, Iraq dan beberapa negara Arab yang lain mereka menggunakan istilah al-Qaeda sebagai alasan untuk menjustifikasikan kejahatan tersebut. Perkataan-perkataan yang tidak konkrit dan jelas ini kerap diperalat untuk menjadi asas atau sebab melancarkan peperangan, pembunuhan, penangkapan dan pelbagai alasan lain untuk memangsakan siapa sahaja yang mereka suka atau yang mereka benci. Malah inilah alat penjajahan baru terhadap dunia Islam.
Sebab itu kita perlu lebih teliti dan berhati-hati dalam berhadapan dengan permasalahan seperti ini sesuai dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita,maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu." (QS.49:6)
Gerakan dakwah yang dipimpin oleh Syaikh Muhammad Abdul Wahhab adalah kumpulan dakwah salafiyah. Kumpulan ini adalah sebahagian gerakan-gerakan islah (reformasi) yang muncul menjelang masa-masa kemunduran dan kebekuan pemikiran di dunia Islam. Dakwah salafiyah ini menyerukan agar aqidah Islam dikembalikan kepada asalnya yang murni, dan menekankan kepada pemurnian erti tauhid daripada syirik dengan segala manifestasinya. Sesetengah pihak orang awam menyebut dakwah ini dengan gelaran Wahabi, kerana dinisbahkan kepada pendirinya, iaitu Muhammad bin Abdul Wahhab (1115-1206 H / 1703-1791 M). Meski pun sebenarnya nisbah itu tidak tepat kerana nama sebenar tokoh berkenaan adalah Syaikh Muhammad manakala Abdul Wahhab adalah nama bapa beliau yang sewajarnya tidak dilibatkan dengan hal ini.
Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab adalah seorang ulama yang sangat tegas dan lantang dalam menyeru kepada ajaran tauhid. Beliau seorang ulama yang karismatik dan disegani sehingga mampu mendakwahi para penguasa untuk kemudian bekerjasama menghancurkan pelbagai kemusyrikan yang ada di masyarakat, seperti penguasa Unaiyah yang bernama Othman bin Muammar atau dengan Pangeran Muhammad bin Su'ud sebagai penguasa Dir'iyah yang kemudiannya diteruskan oleh puteranya yang bernama Pangeran Abdul Aziz bin Muhammad bin Su'ud sehingga Syaikh meninggal dunia.
Di antara prinsip-prinsip dakwah salafiyah:
2. Menekankan untuk sentiasa merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah dalam permasalahan aqidah.
3. Berpegang teguh dengan Manhaj Ahl Sunnah wal Jamaah.
4. Menyeru kepada pemurnian erti tauhid.
5. Menetapkan tauhid asma dan sifat Allah tanpa tamsil (perumpamaan), takyif dan takwail (interpretasi).
6. Menentang segala bentuk bid'ah dan khurafat.
7. Menentang segala betuk ungkapan, salah laku tarekat sufistik yang menyimpang dan diserapkan ke dalam agama yang tidak pernah ada sebelumnya.
8. Melarang berkata-kata tentang Allah tanpa ilmu, berdasarkan firman Allah: "(Mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui." (QS. Al-A'raf: 33)
9. Segala bentuk didiamkan oleh hukum syarak adalah dimaafkan. Tidak ada seorang pun berhak mengharamkannya, mewajibkan atau memakruhkan berdasarkan firman Allah, "Janganlah kamu menanyakan hal-hal yang jika diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu, dan jika kamu menanyakan pada waktu al-Quran itu sedangkan diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Maidah: 101)
Dalam era kemunduran dan pertelingkahan lahir pelbagai tuduhan dan kecaman yang tidak semestinya benar atau mewakili suatu aliran kumpulan dakwah reformis yang utama. Tuduhan-tuduhan ini terbit dari kebencian atau kesilapan pendekatan dakwah orang tertentu yang membawa dakwah salafiyah itu sendiri sehingga menimbulkan kekeruhan hubungan dan salah faham yang merosakan imej baik kumpulan berkenaan. Ini ditambah dengan usaha jahat musuh Islam untuk meningkatkan lagi kadar perpecahan dan perkelahian dalaman sesama umat Islam agar mereka mudah dijajah semula.
(Jawapan oleh Ust Abdul Ghani Shamsudin di dalam Harakah 22-25 Disember 2008)
P/S: Sila baca dengan pemikiran yang bebas daripada belenggu "doktrin menyesatkan orang". Kita adalah daie, bukan penghukum yang kerjanya melabel orang sebagai Wahabi, sesat dan sebagainya.
Wallahu 'Alam
-Ibnu Abas-
Islam ajar kita, apabila manusia selalu diawasi Raqib dan Atid, walaupun ada ibu bapa, guru, ustaz, polis, dan askar, ada lagi Allah Yang Maha Mengawasi. Mari kita bersama-sama besar-membesarkan kesedaran ini. Inilah cara untuk menangani masalah sosial yang sangat kritikal sekarang ini. Semangatnya ialah, sekalipun polis tiada, Allah tetap ada. Tuhan sentiasa ada dan melihat perbuatan kita
- TG Dato' Nik Abdul Aziz
Tok Guru Nik Abdul Aziz adalah seorang tokoh agama dan juga tokoh politik yang sangat-sangat aku kagumi. Beliau telah berjaya menunjukkan keindahan Islam di dalam pentadbiran di Kelantan malah ditonjolkan oleh peribadi beliau sendiri. Malah tiada ulama' di rantau ini yang memiliki wilayah pentadbiran untuk diuji keberkesanan Islam memerintah. Beliau berjadi membuktikan bahawa Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Beliau lah tokoh Islam yang berparadigma akhlak, sehinggakan yang mengagumi beliau bukan sahaja 'orang agama' malah artis rock seperti Amy Search dan Renggo. Inilah figure pemimpin Islam yang kita mahukan. Disenangi oleh segenap lapisan masyarakat dengan peribadi mulianya.Malah Tok Guru juga berjaya menafikan kononnya orang berjubah dan berserban itu kolot dan tidak tahu memerintah, manakala berkot dan bertali leher itu moden dan serba tahu. Itu semua merupakan pemikiran yang jumud dan taksub kepada barat.
Tambahan pula beliau merupakan pemimpin dan tokoh agama yang berjiwa rakyat. Lihat dan dengar sahaja bagaimana beliau berucap mahupun berceramah. Jarang sekali untuk didengari istilah yang jargon atau orang muda sebut bahasa bombastik. Inilah sifat tawadhu' pada pemimpin yang mahu kita contohi.
Kadangkala kata-kata Tok Guru cukup ringkas dan 'kampung', tetapi ruhnya meresap ke sanubari. Ia ringkas tapi padat, justeru mengusung makna hikmah yang berlapis. Hujahnya meliputi nas dan logik akal, menyebabkan yang mendengar terpegun dan kagum.
Cuba anda bandingkan semua MB di Malaysia, siapakah yang paling kecil dan sederhana rumahnya? Jawapannya sudah pasti Tok Guru. Ini bukti perjuangan menegakkan Islam dan membela hak rakyat. Menjadi pemimpin bukan untuk mengisi perut sendiri tapi berusaha mengeyangkan rakyat. Justeru, aku cukup tidak faham kenapa masih ramai yang buta dan memperlekeh orang yang mulia begini?
Semoga lebih ramai tokoh politik Islam dan pemimpin seperti beliau di masa akan datang.
Ameen...
Wallahu 'Alam
-Ibnu Abas-
Label: Tokoh
Asas Mazhab Tunggal
Orang yang berparadigma fiqh, mereka mendakwa bahawa hanya satu-satu pendapat itu sahaja yang benar. Maka mereka pun menganjurkan menunggalkan mazhab. Seolah-olah umat Islam berpecah bila berbeza pendapat dan hanya bersatu bila hanya satu pendapat sahaja diterima.
Mereka mendakwa umat Islam hendaklah kembali kepada Allah dan Rasul-Nya yakni Al-Quran dan Hadis, tetapi bukankah keempat-empat mazhab itu berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah? Mari kita hayati kisah seorang ulama dari Kota Madinah al-Munawwarah dengan salah seorang pelajarnya.
Ketika aku sedang memberikan kuliah, salah seorang pelajarku bertanya,
"Bagaimana pendapat tuan tentang keupayaan menyatukan mazhab dan membawa manusia kepada satu mazhab sahaja?"
Mula-mula aku menjawabnya pendek, "Upaya ini bertentangan dengan kehendak Allah Azza wa Jalla di dalam penetapan syariat-Nya. Bertentangan dengan Rasulullah, para sahabat, ulama salaf sesudahnya dan bertentangan dengan akal."
Kemudiannya aku bertanya dia, "Bukankah Allah sejak azali, sudah tahu bahwa orang Arab akan menggunakan perkataan quru' dalam dua makna: haid dan bersuci?"
Ia menjawab, "Benar". Aku tanya lagi, "Bukankah Allah Subhanahu wa Taala sudah tahu sejak azali bahwa terdapat dua sahabat, Zaid bin Tsabit dan Abdullah ibn Mas'ud, dan Zaid akan berkata quru' itu bersuci, sedangkan Abdullah Ibn Mas'ud akan berkata quru' itu haid?" Ia menjawab, "Benar."
"Kalau begitu, mengapa Allah tidak menurunkan firman-Nya 'tsalatsata quru' dalam bentuk yang tidak menimbulkan ikhtilaf antara Zaid dan Ibn Mas'ud. Misalnya Dia berkata: Tiga kali haid atau tiga kali bersuci. Sehingga hilang ikhtilaf dan tiada lagi tempat untuk berbantah. Ada banyak kata-kata dalam nash-nash al-Quran yang memberi peluang untuk berbeza fahaman. Begitu juga hadith-hadith. Kita berkeyakinan bahwa hadith itu pun wahyu Allah. Mengapa Allah Yang Maha Mengetahui tidak mewahyukan kepada Rasul-Nya agar ia menyampaikan hadithnya dengan kata-kata yang tidak menjadi penyebab ikhtilaf? Mengapa Allah tidak memerintahkan kepada Rasulullah pada saat ia menyuruh para sahabat untuk bersegera ke perkampungan Bani Quraizhah dengan kalimah yang tidak menimbulkan perbezaan faham? Misalnya "Janganlah kamu solat Asar di dalam perjalanan menuju kampung Bani Quraizhah." Waktu itu Rasulullah bersabda, "Janganlah seorang pun di antra kamu solat Asar kecuali di kampung Bani Quraizhah." Ada sahabat yang berpegang kepada makna zahir dan ada yang memberi makna yang lain.
Aku bertanya lagi, "Apakah para sahabat dan orang setelah mereka berikhtilaf?" Ia menjawab, "Mereka berikhtilaf." Aku bertanya lagi, "Apakah akal kita berbeza-beza?" Ia menjawab, "Ya, benar." Kataku, "Dan adakah ikhtilaf terjadi kerana di dalam kehidupan dan masyarakat manusia ada apa-apa yang menyebabkan terjadinya ikhtilaf?" Ia berkata, "Terjadi kerana apa-apa yang menyebabkan ikhtilaf." Aku berkata, "Oleh itu, berusaha mempersatukan mazhab dan memaksa manusia mengikut satu mazhab saja adalah kegilaan atau kesesatan!" (Muhammad 'Awwamah, Adab Al-Ikhtilaf, hh. 23-24)
"Aku berkata kepadanya: Ya Amir al-Mukminin, jangan lakukan seperti itu. Setiap masyarakat sudah berlaku berbagai pendapat, mereka telah mendengar hadith-hadith dan menyampaikan riwayat-riwayat. Setiap kaum mengambil dari para pendahulunya dan sudah beramal berdsarkan itu. Jika anda mengubahnya dari apa yang mereka ketahui kepada apa yang mereka tidak ketahui, mereka akan menganggapnya sebagai kekafiran. Biarlah setiap negeri berpegang dengan ilmu yang ada pada mereka. Jika anda mahu mengambil ilmu ini, ambillah untuk dirimu saja. Para sahabat telah berikhtilaf pada hal-hal yang furu' dan tersebar di berbagai penjuru. Semuanya benar. Al-Manshur berkata: Jika anda menyetujuinya, sungguh aku akan memerintahkannya" (Thabaqat Ibn Sa'ad, h.440; Taqdimah al-Jarh wa al-Ta'dil 29)
Justeru keinginan menunggalkan mazhab adalah paradigma fiqh yang merugikan umat Islam. Malah melemahkan dan melembapkan pelaksanaan Islam itu sendiri. Sebagai contoh Malaysia sendiri. Kalau kita mengambil pendapat mazhab Syafi'i sahaja saya berani jamin sistem perbankan Islam yang wujud dan membangun seperti hari ini sukar tercapai.
Wallahu 'Alam
-Ibnu Abas-
Stress... Hampa... Tertekan...
Itu yang aku rasakan bila melangkah keluar dari dewan petang tadi..
Puncanya....
'Blank'
Aku jadi panik apabila mendapati banyak soalan teori yang keluar dan tidak aku baca langsung!
Berpeluh.... entah bagaimana, aku menjadi tak keruan. Soalan pengiraan yang aku dah study habis-habisan pun tetiba hilang! Aku cukup yakin soalan tu mudah! Memang nampak mudah! Sebelum test tadi pun aku dah ulangkaji.
Tapi itu lah ujian.... tarbiyah dari Ilahi.
Barangkali aku overconfident...
Barangkali usaha aku tak cukup bersungguh-sungguh...
Barangkali pergantungan aku terhadap Allah masih tak cukup tinggi...
“Dan percayalah (tawakallah) dirimu kepada Allah, jika kamu betul-betul beriman.” (Surah al-Maidah ayat 23)
Malam untuk muhasabah diri ini.... berfikir dan mencari ketenangan sambil mengadap laptop customer yang perlu aku service....
Wallahu 'Alam
-Ibnu Abas-
Label: kehidupan, Zikir dan Fikir
Pada mukaddimah yang lalu aku telah kupaskan sedikit perbezaan antara paradigma fiqh dan paradigma akhlak secara umum. Tuliskan kali ini aku ingin mengupas secara spesifik ciri-ciri orang yang berparadigma fiqh ini.
Empat ciri yang menunjukkan fiqh sebagai paradigma diniyah (keagamaan) ialah orang yang berpegang kepada prinsip kebenaran tunggal, asas mazhab tunggal, dan fiqh sebagai ukuran kesolehan.
'Syaikh, anta solat apa selepas azan solat jumaat tadi?' tanya Azmi kepada Midi sambil berkerut dahi.
'Ana solat sunat sebelum jumaat lah. Kenapa anta tanya macam pelik semacam je?' Midi menjawab lantas membalas dengan soalan.
'Setahu ana, mana ada solat qabliah jumaat ni? Rasulullah tak pernah buat! Bid'ah ni!' terang Azmi dengan berkobar-kobar.
'Anta dah mengaji ke? Berapa kitab fiqh anta buka? Ana tak mahu bahas la sebab panjang jadinya kalau bahas. Tapi setakat ana belajar, memang lah ada 2 qaul (pendapat) ulama yang berbeza yakni yang membenarkan dan menidakkan solat qabliah jumaat ni. Apa pun jangan lah anta senang membid'ah sesuka hati. Kita kena meraikan perbezaan pendapat ulama ni. Ada pun ulama yang menidakkan solat sunat qabliah jumaat ini seperti Ibn Qayyim mengambil hujah antaranya ialah "Bila Bilal selesai azan, mulailah Nabi Sallahu alayhi wasallam berkhutbah. Tidak ada seorang pun yang berdiri melakukan solat dua rakaat dan waktu itu hanya satu kali azan' jelas Midi dengan panjang lebar.
'Bagaimana pula hujah yang membenarkan solat sunat ni?' tanya Azmi dengan nada kurang puas hati.
'Baiklah, bagi ulama yang membenarkannya seperti al-Khandahlawi berpendapat; memang Nabi tidak pernah melakukan azan Jumaat selain yang dilakukan setelah kedatangannya dan tidak solat sebelumnya. Tetapi ia tidak menunjukkan argumentasi bahawa Nabi Sallahu alayhi wasallam keluar rumah tanpa melakukan solat sunat. Malah al-Baihaqi mengutip kata-kata Syafi'i "kebiasaan orang ramai ialah bersegera pergi untuk solat jumaat dan melakukan solat sampai kedatangan imam". Menurut al-Baihaqi, apa yang dikatakan Syafi'i itu terdapat di dalam hadith-hadith sohih.' terang Midi lagi.
'Tapi aku tetap berpendapat bahawa pendapat yang aku pegang yang paling tepat! Sebab hadith tu sebut dengan jelas kan yang Nabi tak solat sunat malah terus naik berkhutbah!' balas Azmi tidak mahu mengalah.
'Suka hati anta lah....' Midi tidak mahu melayan lantas meninggalkannya.
_________________________________________________________________
Adalah sesuatu yang tidak boleh diterima apabila seseorang itu mendakwa bahawa pendapatnya sahaja yang paling benar di dalam masalah fiqh. Kita harus faham bagaimana proses sesuatu hukum fiqh itu dikeluarkan. Pada permulaannya ia diambil dari nash- yakni al-Quran dan Sunnah. Kemudian para sahabat dan ulama salaf berusaha untuk memahami dan menarik kesimpulan daripada keduanya. Selanjutnya ulama mutakhir menganalisis, mengolah maklumat terdahulu itu, dan melahirkan fatwa-fatwa yang sesuai dengan keadaan dan situasi masyarakat zamannya. Maka yang paling dekat dengan "node" terakhir itulah para ustaz dan tok guru yang cuba memahami fatwa tersebut dan menafsirkannya ketika berhadapan dengan jemaahnya. "Node" terakhir adalah pemahaman orang awam atas fatwa ustaznya. Hanya pada tingkat awal - yakni al-Quran dan Sunnah sahaja lah yang boleh kita katakan PASTI benar. Kerana keduanya adalah sumber mutlak bersifat Ilahi. Adapun setelah dibahas dan ditafsirkan akan ia menjadi hukum fiqh, maka sudah tidak bersifat Ilahi tetapi bersifat manusiawi.
Oleh kerana itu, tidak patut seseorang itu mengatakan pendapat dia lah yang paling benar. Hakikatnya pendapat yang dipegangnya itu adalah pendapat ulama yang berdasarkan pemahaman dan penafsirkan mereka yang berbeza-beza. Adapun golongan yang mengaku tidak mengikut mazhab (aliran pemikiran) sesungguhnya mereka berbohong kerana tidak layak bagi mereka untuk berijtihad apatah lagi mengeluarkan fatwa. Jika pun mereka mengaku tidak mengikut mana-mana mazhab, hakikatnya mereka mendirikan mazhab baru kerana mazhab itu sendiri bererti aliran pemikiran. Adalah tidak menjadi kesalahan untuk tidak mengambil pendapat daripada satu mazhab sahaja, tetapi jangan lah pula melampau-lampau sehingga seolah-olah menbenci mereka yang mengikut satu mazhab sahaja. Begitu juga mereka yang memegang satu-satu mazhab, janganlah pula berlebih-lebihan dengan terlalu taksub kepada pendapatnya sahaja sehingga menidakkan pendapat ulama / mazhab lain.
Bersambung
Wallahu 'Alam
-Ibnu Abas-
Masjid As-Syakirin merupakan antara masjid yang paling aku sayangi. Sayangnya ku kepada masjid ini bukanlah semata-mata kerana ianya rumah Allah, tetapi ia juga lah tempat bermulanya episod baru dalam hidupku, Penghijrahan.
Semuanya bermula ketika aku part 1 (diploma), yakni lebih kurang 3 tahun yang lalu. Entah mengapa, semenjak aku menjejak kaki ku ke UiTM Segamat, hatiku bagaikan terpaut dengan masjid ini. Bagaikan ada magnet yang menarik aku untuk mengunjungi setiap waktu. Hakikatnya, sebelum itu jarang sekali aku hendak solat berjemaah di masjid. Apa yang pasti, aku berasa tenang dan senang setiap kali berada di dalamnya.
Di situ lah aku mengenali seorang insan istimewa yang menjadi salah satu asbab penghijrahanku, abg Feezan. Dia lah insan yang mula-mula approach aku untuk mendekatkan diri dengan masjid dan istiqamah. Pada mulanya aku agak segan, kerana ketika itu aku berambut 'pacak' berimej agak ganas. Dia pula tampak alim. Tapi pendekatan yang abg Feezan gunakan berjaya menarik minat ku kerana cara dia sangat aku senangi. Dia tidak pernah memperli apatah lagi memperlekeh gaya penampilanku ketika itu. Malah pernah dia sambil berseloroh memuji rambut 'pacak' ku dengan berkata: "Abg teringin nak buat rambut macam tu, tapi tak boleh lah. Dia tak pacak!" Semua itu masih segar dalam ingatan ku.
Abg Feezan bukan sahaja baik hati, malah pandai mengambil hati. Pernah suatu malam sedang aku mengulangkaji di masjid, dia datang membawa secawan kopi. Kemudian dia mengajak aku untuk tidur di bilik imam. Pada mulanya aku agak keberatan dan menolak dengan baik. Namun setelah berulang-kali diajak aku pun akhirnya termakan pujukan.
Masjid As-Syakirin.... di sini aku mula belajar mengenal Allah dengan lebih dekat. Di sini aku mengenal Islam dengan lebih baik dan beramal dengannya. Ketika itu aku mula merasai kemanisan qiamulail, air mata tidak berhenti mengalir. Sebak, pilu, bersyukur, perasaan ku bercampur baur.
Penuh penyesalan! Terlalu banyak masa muda aku tersia-sia. Masa yang sepatutnya diisi dengan menuntut ilmu dan melaksanakan tugas sebagai hamba telah banyak aku buang begitu sahaja... Ya Allah! Jahilnya aku kerna telah menzalimi diriku sendiri!
Aku harus berhenti menaip.... emosi sudah tidak stabil...
Masjid As-Syakirin.....
Nama yang akan sentiasa terpahat di dalam ingatanku sepanjang hayat.. insyaAllah..
Wallahu 'Alam
-Ibnu Abas-
Aku masih ingat ketika aku mula melangkah masuk ke UiTM Segamat... Dengan rambut panjang mencecah bahu (rambut belakang), selamba aku mendaftar sebagai seorang mahasiswa.
Namun rambut tu tak kekal lama. Dikisahkan aku tengah syok mendengar taklimat MMS di Dewan Sri Temenggong (yang sebenarnya syok tidur) datang seorang 'abg PM' menarik aku ke belakang.
'Kenapa ni bang?' tanya aku dengan kebingungan.
'Rambut kamu ni hah, kenapa tak potong?' dia tanya aku balik.
'Ah sudah.... Kenalah la ni.. habis lah' aku bercakap dalam hati. Bagai telah dapat ku jangkakan apa yang bakal terjadi.
'Errr... tak sempat lah bang' jawab ku dengan kecut perut.
'Baiklah, mari ikut abang.' lantas dia membawa aku ke belakang dewan. Rupa-rupanya dah ada pak Guard ready dengan gunting dan kerusi.
'Tidakkk!!!!' jerit batin ku. Akhirnya rambut yang aku sayangi 'dizalimi' dengan rakus oleh pak Guard tu... Kena bayar RM3 plak tu.. cehh... ingat free... dah la potong tak cantik.. Hehe
Pengajaran
Gunting rambut anda sebelum mendaftar masuk U ye! =)
Label: kehidupan