Menahan Diri Dari Pertelingkahan Ulama’
Para ulama’ telah berselisih pendapat secara panjang lebar sejak zaman dahulu hingga sekarang tentang masalah sifat-sifat ini. Perselisihan ini memberi kesan kepada kesatuan muslimin dan keadaan mereka amat menyedihkan. Al-Imam Asy-Syahid datang untuk menenangkan ketegangan ini kerana beliau mendapati bahawa perbahasan mengenainya menuju jalan buntu dan tidak benar. Beliau telah meminta agar tidak mendekati khilaf ulama’ silam dalam halini dan meminta agar cukuplah mengetahuinya secara ringkas (ijmal).
Ini bukanlah bermakna lari atau menyembunyikan perkara yang wajib dijelaskan. Bahkan itulah kebijaksanaan, kerana pada setiap ‘maqam ada maqal’ [1] dan manusia berbeza-beza dalam pemahaman dan penerimaan mereka. Manusia juga tidak boleh hidup seorang diri dan bercakap dengan diri sendiri.
Al-Imam Asy-Syahid dapat mengesan perkara ini dan mahu menyatukan hati-hati umat yang tidak mungkin dapat bersatu melainkan berpegang dengan ijmal yang tsabit dengan nas dan ijmak serta meninggalkan huraian yang dipertikaikan. Apa yang dilakukan oleh Al-Imam Asy-Syahid adalah manhaj dan tarjih ulama’ Islam yang terkemuka dalam hal ini.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata:
“Umat tidak berselisih dan berpecah jika pertikaian itu boleh diputuskan dengan ilmu dan keadilan. Jika tidak, maka dengan berpegang kepad ijmal yang tsabit dengan nas dan ijmak. Wajib menyuruh orang awam berpegang dengan ijmal yang tsabit dengan nas dan ijmak serta mencegah mereka dari hanyut dalam huraian (tafsil) yang mencetuskan perpecahan dan perselisihan. Sesungguhnya perpecahan dan perselisihan adalah di antara sebesar-besar perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan RasulNya [2].
Syeikhul Islam mempunyai kalam (huraian) yang bernilai di dalam hal ini, kalaulah tidak kerana takutkan meleret-leret, nescaya saya sebutkan kalamnya [3].
Alangkah bijaksana dan arifnya Al-Imam Asy-Syahid ketika beliau meminta agar menahan diri dari pertelingkahan tadi dan meminta agar berpada dengan ijmal yang tsabit dengan nas dan ijmak berdasarkan firman Allah:
“Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: Kami beriman dengan ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu di sisi Tuhan kami”. (Ali Imran: 7)
Dalam Risalah ‘Aqaid karangan Al-Imam terdapat keterangan yang sempurna lagi ringkas kepada usul ini. Selepas menyebut sebahagian ayat dan hadith yang menunjukkan kepada sifat, beliau berkata:
Dalam masalah ini, manusia terbahagi kepada 4 golongan:
1. Satu golongan mengambilnya secara zahir sahaja, maka mereka pun menyifatkan Allah dengan wajah seperti wajah-wajah makhluk, tangan atau tangan-tangan seperti tangan mereka, ketawa seumpama ketawa mereka dan begitulah seterusnya hingga mereka menyangka Tuhan seperti orang tua. Sesetengahnya pula menyangka bahawa Allah itu seperti pemuda. Mereka adalah golongan Mujassamah dan Musyabbahah yang tidak ada kena mengena sedikit pun dengan Islam. Kata-kata mereka tidak benar langsung. Memadailah kita menjawab tuduhan mereka dengan firman Allah yang bermaksud:
“Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat” (Asy-Syura: 11)
“Katakanlah: Dialah Tuhan Yang Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung padaNya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara denganNya.” (Al-Ikhlas: 1-4)
2. Satu golongan pula menolak makna lafaz-lafaz itu dalam sebarang bentuk iaitu dengan menafikan segala madlulnya terhadap Allah SWT. Di sisi mereka, Allah tidak bercakap, tidak mendengar dan tidak melihat. Ini adalah kerana semua itu tidak boleh berlaku melainkan dengan menggunakan anggota, sedangkan anggota wajib dinafikan dari Allah SWT. Oleh sebab itulah mereka menafikan sifat-sifat Allah SWT dan berpura-pura mensucikanNya. Mereka ialah golongan Muatthilah dan sebahagian ulama’ sejarah ‘Aqaid Islamiyyah menggelar mereka Al-Jahmiyyah.
Saya rasakan tiada seorang yang beraqal pun terpengaruh dengan kata-kata remeh ini, kerana sudah dibuktikan bahawa sebahagian makhluk dapat bercakap, mendengar dan melihat tanpa anggota (pancaindera).
Jadi bagaimana boleh dikatakan bahawa Allah SWT kalau bercakap mestilah menggunakan anggota? Maha Suci Allah dari semua itu. Inilah dua pendapat batil yang tidak layak diperhatikan. Tinggal lagi dua pendapat di hadapan kita yang berada di dalam perhatian ulama’ ‘Aqaid iaitu pendapat salaf dan pendapat khalaf.
Pendapat Salaf Tentang Ayat-ayat Sifat Dan Hadith-hadithnya
3. Golongan salaf mengatakan: “Kita beriman dengan ayat-ayat dan hadith-hadith ini sebagaimana ia datang (secara zahir) dan meninggalkan penjelasan maksudnya kepada Allah SWT. Mereka mentsabitkan tangan, mata, bersemayam, ketawa, takjub... dan lain-lain dengan makna-makna yang tidak dapat kita kesan. Kita serahkan kepada Allah untuk meliputi makna tersebut dengan ilmuNya. Lebih-lebih lagi kita telah ditegah daripada perkara tersebut dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: “berfikirlah kamu tentang kejadian Allah. Jangan kamu berfikir tentang zat Allah. Sesungguhnya kamu tidak dapat mencapainya.”
Al-Iraqi berkata: “Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim, dalam kitab Al-Hilyah dengan isnad yang dhaif dan juga oleh Al-Asbahani dalam kitab At-Targhib wa At-Tarhib dengan isnad yang lebih sahih darinya. Begitu juga Abu Syaikh. Mereka semua menafikan persamaan (serupa) di antara Allah dan makhluk. Lihatlah kata-kata mereka tentang hal ini.
Abu Al-Qasim Al-Lalika’ie di dalam kitab Usul As-Sunnah meriwayatkan dari Muhammad bin Al-Hassan, Abu Hanifah RA berkata: “Seluruh fuqaha’ baik di timur dan barat telah bersepakat tentang (wajib) beriman dengan Al-Quran dan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh perawi-perawi yang tsiqah dari Rasulullah SAW tentang sifat Tuhan, tanpa tafsir, tanpa sifat, tanpa bandingan. Sesiapa yang menafsirkan tentang perkara itru pada hari ini, ia telah terkeluar dari jalan Nabi SAW dan telah memisahkan diri dari jamaah kerana mereka semua (jamaah) tidak menyifatkan dan tidak menafsirkannya. Mereka hanya memberi fatwa dengan apa yang ada di dalam Kitab dan Sunnah kemudian mereka diam”.
Al-Khalall menyebut di dalam kitab As-Sunnah dari Al-Hanbal menyebut hal ini dalam kitab-kitabnya seperti kitab As-Sunnah Wal Mihnah. Al-Hanbal berkata: “ aku bertanya Abu Abdillah tentang hadith: “sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia” dan hadith “sesungguhnya Allah melihat” dan hadith “sesungguhnya Allah meletakkan kakinya” serta hadith-hadith yang seumpama ini?”
Maka Abu Abdillah menjawab: “kita beriman dengannya dan membenarkannya tanpa cara dan maknanya. Kita tidak menolaknya sedikit pun. Kita tahu bahawa apa yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW adalah benar jika sanad-sanadnya sahih. Kita tidak menolak firman Allah dan tidak menyifatkanNya lebih dari apa yang Dia sendiri sifatkan dirinya tanpa had dan kesudahan. Firman Allah:
“Tidak ada sesuatu pun yang serupa denganNya” (Al-Ikhlas: 4)
Barmalah bin Yahya meriwayatkan sambil berkata: “Aku mendengar Malik bin Anas berkata: Sesiapa yang menyifatkan sesuatu dari zat Allah seperti, firman Allah yang bermaksud “tangan Allah terbelenggu” lalu dia mengisyaratkan tangannya ke tengkuknya, dan seperti firmanNya yang bermaksud: “Dialah Tuhan yang Maha Mendengar dan Maha Melihat” lalu dia mengisyaratkan kepada matanya, telinganya atau tangannya, anggota-anggota tersebut hendaklah dipotong darinya kerana dia telah membandingkan Allah SWT dengan dirinya. Kemudian Malik menambah lagi: “tidaklah kamu mendengar kata-kata Al-Barra’ ketika beliau menceritakan bahawa Nabi SAW telah mengorbankan empat ekor korban sambil Al-Barra’ mengisyaratkan dengan tangannnya sebagaimana Nabi SAW lakukan. Al-Barra’ berkata : “tanganku lebih pendek dari tangan Rasulullah SAW”. Al-Barra’ tidak suka (benci) untuk menyifatkan tangan Rasulullah SAW kerana menghormatinya. Sedangkan Nabi SAW adalah makhluk. Maka bagaimanakah boleh kita bandingkan pula Pencipta yang tidak serupa dengan sesuatu pun?
Abu Bakar Al-Athram, Abu Amru’ At-Tolamanki dan Abu Abdillah Ibn Abi Salamah Al-Majishun telah meriwayatkan kalam yang panjang tentang makna ini. Kemudian disudahi dengan katanya: “apa yang disifatkan oleh Allah terhadap diriNya dan dinamakan dari lisan RasulNya, kita namakannya sebagaimana yang Dia namakan. Kita tidak boleh membebankan diri dengan sifat lain. Bukan itu dan bukan ini dan kita tidak boleh mengingkari dengan apa yang disifatkanNya serta tidak membebankan diri untuk mengetahui apa yang tidak disifatkan”.
Ketahuilah mudah-mudahan kamu dikasihi Allah, bahawa Al-Ismah [4] dalam agama tidak selesai di tempat kamu habis dan kamu tidak melebihi apa yang telah dihadkan kepada kamu. Sesungguhnya di antara dasar agama ialah mengetahui yang makruf dan mengingkari yang mungkar. Perkara yang kamu makrifah dan hatimu tenang dengannya, disebut dalilnya di dalam Kitab dan Sunnah dan ilmunya diwarisi oleh umat maka janganlah takut untuk menyebut dan menyifatkannya terhadap Tuhanmu tentang apa-apa yang disifatkan dirinya dan janganlah membebankan diri untuk menghadkan sifat tersebut. Perkara yang diingkari oleh dirimu dan tidak terdapat dalam Kitab dan Sunnah yang menyebut tentang sifat Tuhanmu, maka janganlah bebankan diri untuk mengetahuinya dengan aqal kamu dan janganlah menyifatkannya dengan lidah kamu dan diamlah sebagaimana Tuhanmu diam tidak menyebutnya. Jika kamu membebankan diri untuk mengetahui apa yang tidak disifatkan oleh Tuhanmu tentang dirinya maka samalah seperti kamu mengingkari apa yang disifatkan olehnya. Sebagaimana kamu memandang berat apa yang diingkari oleh orang yang mengingkari terhadap apa yang disifatkan oleh Tuhan terhadap diriNya. Maka begitu juga hendaklah kamu memandang berat orang-orang yang membebankan diri menyifatkan Tuhan dengan apa yang tidak disifatkan oleh Tuhan terhadap diriNya.
Demi Allah! Sesungguhnya telah menjadi mulia orang-orang Muslim yang mengetahui perkara-perkara makruf serta dengan pengetahuan mereka, makruf itu dikenali dan mengingkari perkara mungkar serta dengan keingkaran mereka mungkar itu diingkari. Mereka mendengar apa yang disifatkan oleh Allah tentang dirinya di dalam KitabNya dan apa yang sampai kepada mereka tentang perkara yang seumpama itu dari NabiNya. Tidak sakit (rosak) hati seseorang muslim dengan menyebut sifat ini dan menamakannya daripada Tuhan. Mukmin tidak boleh mencari sifat-sifat atau nama yang lain dari apa yang disebut oleh Tuhan. Apa-apa yang disebut oleh Rasulullah SAW bahawa Baginda menamakan sifat TuhanNya maka ia adalah sama dengan apa yang dinama atau disifatkan oleh Tuhan sendiri.
Orang-orang yang mendalam ilmunya, yang berhenti sekadar ilmunya, yang menyifatkan Tuhan dengan sifat yang disifatkan oleh Tuhannya, dan orang-orang yang meninggalkan dari menyebut sifat yang tidak disebut oleh Tuhan tidak mengingkari sifat yang dinamakan itu kerana ingkar dan tidak mencari-cari sifat lain yang tidak dinamakanNya kerana kononnya perbahasan yang mendalam kerana kebenaran ialah meninggalkan apa yang ditinggalkan dan menamakan apa yang dinamakan.
Firman Allah:
“Sesiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya. Dan mengikut jalan yang bukan jalan orang mukmin, Kami biarkan ia berkuasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya dan Kami masukkan ia ke dalam neraka jahannam dan jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali”. (An-Nisa’: 115)
Mudah-mudahan Allah mengurniakan kepada kita semua hikmat dan menjadikan kita orang-orang salih”.
1 ulasan:
Mana penjelasan tentang khalaf?
Catat Ulasan