12/10/2009 03:05:00 PG

Rapatkan Saff !

"Luruskan dan rapatkan saf.... sesungguh kesempurnaan saf merupakan sebahagian daripada kesempurnaan solat." Kata Tuan Imam lalu mengangkat takbir.

"Dik, rapatkan lagi sikit saf tu." Aku menegur seorang remaja, pantas dia menuruti nasihatku itu.

"Pak cik, tolong rapatkan lagi sikit saf." Aku menegur pula seorang pak cik di sebelah kiriku. Dia menoleh ke arah ku dengan muka sedikit pelik kemudian terus mengangkat takbir.

"Astagfirullah al azim..." Aku hanya mampu istighfar di dalam hati dan menarik nafas. Lantas aku pun terus mengangkat takbir.

Tidak aku fahami sikap kebanyakkan orang kita di dalam bab merapatkan saf. Bagaimana hendak mengajar si kecil, sedangkan yang si tua sendiri tidak menunjukkan cara solat berjemaah yang betul?


Kebiasaan Orang Kita

Tidak keterlaluan jika aku katakan sudah menjadi kebiasaan makmum-makmum di mana-mana masjid atau surau mengabaikan kesempurnaan saf solat.

Hendak dikatakan tidak tahu hukum, ada di kalangan mereka "Pak Aji", "Ustaz" dan "Pak Imam". Malah bertambah pelik, boleh dikatakan setiap kali solat Pak Imam memberi nasihat, "luruskan dan rapatkan saf..." namun ia seperti mencurah air ke daun keladi. Imam pula menuturkan kata-kata tanpa berusaha memastikan jamaah sudah merapatkan saf.

Sudah terang lagi bersuluh disebut di dalam hadith; dari Nu'man bin Basyir RA berkata,

"Adalah Rasulullah SAW meluruskan saf kami, seolah-olah meluruskan anak panah sehinggalah beliau berpuas hati bahawa kami telah memenuhi panggilannya. Pada satu hari, beliau keluar untuk solat. Beliau berdiri dan ketika hendak takbir, kelihatan seorang yang dadanya kehadapan dari saf. Beliaupun besabda, Hendaklah kalian luruskan saf kalian, atau ALLAH akan memecahbelahkan persatuan kalian." (HR Muslim no 436)

Ibn Hajar berkata: Yang dimaksudkan dengannya ialah: berlebih-lebihan dalam menyamakan saf dan mengisi kekosongan. [lihat: Fathul Bari 2/211.]

Kata Bakar Abu Zaid: Dalil menunjukkan betulnya apa yang difahami oleh Ibn Hajar ialah kata-kata Nukman bin Basyir itu sendiri iaitu: "Maka aku melihat seseorang lelaki menempelkan bahunya dengan bahu kawannya, lututnya dengan lututnya, dan buku lalinya dengan buku lalinya". Lafaz Abu Daud.
Menempelkan antara lutut dengan lutut tidak mungkin, maka di sini terserlah bahawa yg dimaksudkan ialah: galakan mengisi kekosongan dan meluruskan saf, bukannya benar-benar menempelkan (buku lali dengan buku lali). [Lihat: La Jadid Fi Ahkam al-Solah m/s 16]

Tetapi kalau jarang antara makmum begitu renggang hingga kadangkala boleh 'disumbat' seorang lagi makmum di antara mereka, apa yang mereka faham tentang 'rapatkan saff'?

Berlonggar-longgar dalam memenuhi arahan Nabi Sallahu alayhi wasallam agar meluruskan dan merapatkan akhirnya menjadi punca kepada:

1) Memberi laluan mudah untuk syaitan mencelah dan mengganggu solat kita. Sudah pasti menjadikan semakin sukar untuk kita memperoleh khusyuk di dalam solat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
"Luruskan saf kalian, dan luruskanlah bahu-bahu kalian, dan tutuplah celah-celah. Jangan biarkan celah-celah tersebut untuk syaithan. Barangsiapa yang menyambung saf, nescaya Allah akan menyambung(urusan) nya. Barangsiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah akan memutus(urusan) nya." (HR Abu Daud 666, Sohih Targhib wa Tarhib 495)

2) Mencari salah satu punca perpecahan ummat seperti yang disebut dalam hadith di atas, "Barangsiapa yang menyambung saf, nescaya Allah akan menyambung(urusan) nya. Barangsiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah akan memutus(urusan) nya."

3) Mengurangkan pahala solat berjamaah, sebagaimana sabda Nabi, "Sesungguhnya seorang hamba itu mendirikan solat tetapi tidak mendapat pahala kecuali sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, seperenam, seperlima, seperempat, sepertiga atau setengah." (HR Abu Daud, An Nasai).

Wallahu 'Alam

-Ibnu Abas-

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails